Assalamualaikum WRT. Confession aku ini agak panjang, kalau rajin bacalah sampai habis. Pengajaran dari kisah aku ini bergantung kepada pembaca untuk membuat kesimpulan masing-masing. Aku perkenalkan diri sebagai NME, iaitu singkatan nama aku.
Aku dilahirkan di KL, merupakan anak tunggal dan anak lelaki kepada mama dan abah sepanjang tempoh perkahwinan mereka selama 12 tahun sebelum mereka bercerai. Mama aku seorang pegawai kerajaan dan abah pula pegawai tentera, tapi sekarang kedua-duanya sudah bersara.
Sebelum mereka bercerai, dalam setahun aku dapat berjumpa abah cuma 3 atau 4 kali saja kerana mama dan abah tidak tinggal bersama disebabkan bertugas di negeri lain-lain.
Menurut mama, mereka sebenarnya pernah tinggal bersama selama 4 tahun semasa mula-mula berkahwin dulu dan sebelum abah diarahkan bertugas ke Sabah semasa aku berumur 3 tahun.
Sepanjang perkahwinan mereka, aku tahu mama dan abah tidak bahagia. Aku sering melihat mama menangis dan bergaduh dengan abah di telefon. Bila abah pulang ke rumah sekalipun, aku tahu mereka akan tidur di dalam bilik berasingan.
Sempena cuti hujung tahun semasa aku di Darjah 5, mama dan abah bawa aku bercuti selama 3 hari di Genting Highlands. Sampai hari ini aku masih ingat betapa seronoknya kami di sana, menginap di hotel menikmeninggal dunia cuaca sejuk dan bermain di taman tema.
Rupa-rupanya itu semua hanya gula-gula kerana sebaik pulang dari Genting Highlands, mama dan abah beritahu aku keputusan mereka untuk bercerai.
Selepas habis Darjah 6 dan mendapat keputusan UPSR, tanpa pengetahuan aku mama membuat permohonan untuk aku ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Aku dapat masuk belajar di salah satu SBP di Kelantan, negeri kelahiran mama.
Semasa hari pendaftaran, aku masih ingat yang aku menangis macam budak kecil merayu dengan mama, atuk dan nenek yang aku panggil Tok Wan dan Tok Mi supaya jangan tinggalkan aku di asrama.
Sepanjang aku di SBP, hanya Tok Wan dan Tok Mi yang sering datang melawat aku. Memang rasa sedih dan cemburu bila melihat riuh rendah kawan-kawan lain bersama ibubapa dan ahli keluarga mereka datang membawa bekal makanan dan duduk makan bersama.
Mama dan abah pernah datang melawat aku sekali saja iaitu semasa di Tingkatan 2, itupun untuk memberitahu aku yang mereka sudah bertemu pasangan baru dan akan berkahwin.
Ya, mama dan abah masing-masing ada keluarga baru. Mama sekarang menetap di KL dan abah di Ipoh, Perak. Melalui perkahwinan baru ini, mama dikurniakan 2 orang lagi anak dan abah pula 3 orang anak.
Aku langsung tidak rapat dengan adik beradik aku, pertama kerana jarak umur yang jauh dan kedua kerana aku amat jarang bertemu mereka. Semasa musim cuti, aku lebih banyak bersama dengan Tok Wan dan Tok Mi di kampung.
Aku hanya ke rumah mama atau abah apabila diminta. Lagipun bila aku bersama mama atau abah dengan keluarga baru mereka, aku rasa sangat terasing dan aku rasa sangat cemburu melihat kemesraan mereka anak-beranak, kerana aku dulu tidak pernah merasa itu semua.
Mungkin kerana ingin menutup rasa bersalah mereka, sepanjang aku di sekolah menengah mama dan abah limpahkan aku dengan wang ringgit sehingga kawan-kawan ingat aku anak orang kaya.
Ditambah lagi dengan wang belanja yang diberi oleh Tok Wan dan Tok Mi, aku sering belanja kawan-kawan makan bila dapat outing di hujung minggu, aku beli barang-barang mahal seperi kasut Adidas, pakaian dan jam tangan berjenama.
Aku ingat dengan berbuat begitu bolehlah menimbulkan rasa bahagia dalam hati, tapi hakikatnya aku tetap rasa sangat sunyi dan kosong terutamanya bila mengingatkan aku sebenarnya ter4b4i jauh dari kasih sayang mama dan abah.
Selepas tamat Tingkatan 5 dan keputusan SPM diumumkan, pihak sekolah mengadakan majlis konvokesyen. Aku mendapat anugerah antara 5 pelajar terbaik SPM peringkat sekolah.
Aku hubungi mama dan abah berkongsi rasa gembira dan bangga, meminta mereka hadir majlis tersebut dan mereka berjanji akan hadir. Aku menaruh harapan tinggi sehingga kepada Tok Wan dan Tok Mi aku beritahu tak perlulah hadir menemani aku kerana aku sangat yakin mama dan abah akan hadir.
Namun apa yang berlaku, hampir dua jam lamanya aku berdiri di pintu dewan menunggu ketibaan mama dan abah sehingga cikgu terpaksa memujuk aku masuk ke dalam dewan kerana majlis sudah bermula.
Sehingga majlis selesai, kelibat mama dan abah langsung tidak kelihatan. Hari itu aku naik dan berdiri atas pentas menerima anugerah seperti seorang anak yatim piatu, sedangkan kawan-kawan lain beriring dan berpelukan bersama ibubapa mereka.
Malam itu mama dan abah menelefon aku, mereka memberi alasan kerja dan hal keluarga sebab mereka tidak dapat hadir lalu meminta maaf. Kerana diselubungi rasa sangat kecewa, malam itu dalam keadaan berair mata dan amarah, aku semburkan segala yang terpendam dalam hati aku kepada mama dan abah.
Sejak itu aku berjanji kepada diri aku sendiri yang aku tidak akan menaruh apa-apa lagi harapan daripada mereka kerana aku tidak mahu dikecewakan lagi.
Beberapa bulan kemudian, aku mendapat tawaran mengikuti program asasi sains sebuah universiti awam di Lembah Klang. Tok Wan menghadiahkan keretanya, MyVi kepada aku. Dengan kereta itulah aku memandu seorang diri ke KL untuk hari pendaftaran.
Mama dan abah ada hubungi bertanya jika aku mahu mereka hadir bersama di hari pendaftaran, tapi aku jawab tidak perlu. Hati aku sudah tawar dan bagi aku soalan seperti itu sepatutnya tidak perlu ditanya jika mereka benar-benar mengambil berat tentang aku.
Dari program asasi, aku melanjutkan pelajaran ke kampus utama universiti dalam bidang kejuruteraan. Semasa aku di tahun kedua, Tok Mi pergi meninggalkan kami diikuti oleh Tok Wan enam bulan kemudian.
Pemergian mereka berdua betul-betul membuatkan aku bersedih. Tok Wan dan Tok Mi pergi dengan menghibahkan kepada aku berupa tanah dan rumah pusaka di kampung, dan ini telah menyebabkan konflik panas antara aku dan adik-beradik mama terutamanya Pak Su.
Sebenarnya setiap orang adik-beradik mama ada mendapat bahagian masing-masing. Pak Su sendiri mendapat satu lot tanah yang menempatkan dua buah rumah sewa, tetapi dia tetap berkeras mahukan tanah dan rumah pusaka itu.
Semasa Tok Wan dan Tok Mi masih hidup, Pak Su dan isteri serta anak-anaknya memang tinggal di rumah itu bersama mereka, sebab itulah dia berkeras kerana berasa Tok Wan dan Tok Mi tidak berlaku adil sehingga mama sendiri memujuk aku supaya mengalah saja.
Sebelum Tok Wan meninggal dunia, arwah sebenarnya sudah beritahu aku awal-awal tentang wasiatnya dan meminta aku mempertahankan hak aku tidak kira apapun yang berlaku.
Walaupun aku beritahu Pak Su dia boleh terus menetap dan tidak perlu keluar dari rumah pusaka itu, namun dia tetap mengambil keputusan berpindah lalu meninggalkan rumah pusaka itu kosong tidak berpenghuni. Sejak itu aku rasa seperti hidup sebatang kara walaupun aku masih ada mama dan abah.
Semasa cuti semester, aku akan mengajak kawan-kawan yang sudi bercuti selama beberapa hari di kampung mengisi rumah pusaka itu, dan kemudian aku akan memandu mereka pulang ke kampung mereka pula dan menghabiskan cuti aku di sana.
Aku hanya mengunjungi mama dan abah cuma di hari raya, itupun tidak berlama, hanya bermalam sehari dua.
Sebaik tamat pengajian pada tahun 2008, aku ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat minyak dan gas (aku sebenarnya penerima biasiswa mereka semasa belajar dulu). Aku ditugaskan di Sarawak dan banyak masa kerja aku dihabiskan di offshore.
Pendapatan bulanan aku pada waktu itu memang agak lumayan dan untuk 3 tahun pertama, aku memang seronok bekerja. Bila ada peluang bercuti, aku melancong ke luar negara. Namun apabila masuk tahun keempat bekerja, aku mula hilang minat, mudah rasa bosan dan penat serta rasa hidup tiada tujuan.
Fikiran aku mudah melayang kepada perkara yang bukan-bukan, menangis tiba-tiba, asyik mahu tidur dan berfikir fasal meninggal dunia, sentiasa terkenangkan Tok Wan dan Tok Mi serta sejarah perjalanan hidup aku.
Atas nasihat seorang kawan rapat, aku pergi mendapatkan rawatan. Doktor mendiagnosis aku mengalami kemurungan. Dengan bantuan ubat-ubatan dan khidmat kaunseling, syukur kepada Allah SWT kerana keadaan diri aku kini semakin baik.
Sekitar tahun 2014/2015 industri minyak dan gas mengalami kemelesetan dan pihak syarikat menawarkan severance package bagi pekerja yang mahu berhenti kerja secara sukarela. Tanpa berfikir panjang, aku mengambil peluang itu dan pulang ke kampung dan tinggal di rumah pusaka peninggalan Tok Wan dan Tok Mi di Kelantan.
Pada tahun 2016, dengan wang simpanan yang ada aku memulakan perniagaan sendiri, secara kecil-kecilan saja dengan mengupah 2 orang pekerja. Alhamdullilah, setakat ini perniagaan aku berjalan baik walaupun sekarang operasinya terpaksa dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19.
Usia aku pula kini sudah mencecah pertengahan 30-an dan masih bujang. Bukan kerana tidak pernah ada calon, tapi entah masih belum timbul keinginan langsung untuk berkahwin, ditambah pula bila memikirkan tentang penyakit yang aku hadapi.
Kepada para pembaca, mohon semua doakan semoga suatu hari nanti hidup aku akan berteman.
Ketika aku menulis confession ini, sudah hampir dua bulan aku berada di KL menjaga mama di rumahnya. Bulan Februari lepas mama diserang strok, namun keadaan kesihatannya kini semakin menunjukkan perubahan positif dan masih menjalani rawatan fisioterapi di hospital.
Abah pula sihat-sihat saja, kali terakhir aku bersama dia adalah pada bulan Disember tahun lepas ketika kami berdua berada di tanah suci Mekah dan Madinah, aku bawa abah bersama menunaikan Umrah.
– NME (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit