Tanpa Mereka, Aku Bukan Apa-Apa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pembaca IIUM Confessions. Thank you admin sebab approve coretan aku. Dah lama dah nak tulis kat sini, tapi kekangan masa tak mengizinkan. Akhirnya ada juga kesempatan.

Nama aku Kemboja Putih. Ini memang nama pena aku, sebab dari kecil aku memang suka menulis dan nak jadi penulis. Tapi impian menjadi penulis tak kesampaian, sebab, ibu cakap aku mesti jadi seseorang yang lebih lagi dari itu. Ibu ayah aku nak aku jadi doktor, sebab doktor boleh tolong ramai orang.

So Alhamdulillah, berkat doa ibu dan ayah, aku berjaya melanjutkan pelajaran di bumi Dublin, Ireland dalam bidang perubatan. Kini aku sudah masuk tujuh tahun berkhidmat dalam bidang kesihatan dan kini bertugas di sebuah klinik di sebuah pekan kecil di Pahang.

Aku datang dari keluarga yang sederhana pada awalnya. Ibu dan ayah kerja kerajaan, masih lagi berkhidmat. Ibu seorang guru di sebuah sekolah rendah di Selangor, ayah pula seorang pegawai tentera. Ibu aku orang susah dari kecil, begitu juga ayah.

Aku anak kedua dari enam orang adik beradik. Aku dan along aku hanya beza umur setahun, diikuti dua orang adik perempuan, dan ketika aku berusia 15 tahun, ibu dan ayah dikurniakan lagi dua orang cahaya mata. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Maka lengkaplah keluarga kecil kami.

Pada penulisan ini, aku nak ceritakan tentang hidup aku yang taklah seberapa ni, tapi betapa apa yang aku percaya dan pegang kuat, telah membentuk kehidupan aku hari ini. Sebab this FAITH dalam diri aku ini telah mengemudi setiap gerak langkah aku, dan menjadikan hidup aku betul betul tenang.

Sungguh janji Allah itu pasti, redha Nya terletak kepada keredhaan MEREKA. Hebatnya MEREKA yang akan aku ceritakan ini. Aku akan ceritakan tentang hidup aku secara telus, dan jujur aku katakan tiada satupun yang aku capai hari ini adalah kerana diri aku, tapi semuanya adalah atas KASIH SAYANG dan REDHA Allah, serta REDHA dari mereka yang sangat hebat ini.

Aku betul betul berharap apa yang aku ceritakan ini akan memberi manfaat, sebab itulah tujuan hidup aku. Aku ingin menjadi seorang yang bermanfaat, dunia dan akhirat.

Ibu aku selalu bercerita, yang sedari kecil aku ni memang budak yang bijak dan berdikari. Ni ibu akulah cerita, sebab aku pun tak ingat cerita masa kecil dulu. Aku ni sejenis budak yang SENANG , kata ibu. Mengandungkan aku senang, lahirkan aku senang, masa kecil nak makan senang, buang air pun senang (on time sokmo sampai boleh predict), dan aku jarang sakit.

Sebab masa ibu ayah muda, ayah sebagai pegawai tentera yang masih junior sangat kerap dihantar ke sana kemari so memang basically ayah selalu tiada di rumah. Ibu pula isteri tentera yang tak ikut suami seperti kebanyakan isteri tentera yang biasanya akan ikut suami posting di tempat lain. Ibu nak menetap di satu tempat je , katanya dia tak nak anak anak berpindah randah dan bertukar tukar sekolah. Kesian kat anak anak katanya.

Ayah memang meratalah pergi, berbulan bulan sampai bertahun tahun pun ada. Sabah, Sarawak, seluruh negara, luar negara pun ada. Paling aku ingat ayah pergi misi keamanan Bosnia Herzegovina dekat 7 bulan juga memang tak jumpa ayah langsung. Jadi masa tu aku dan along yang banyak tengok kesusahan ibu dan ayah membesarkan kami 6 beradik.

Hebat ayah aku, mencari rezeki membesarkan kami adik beradik. Tanpa penat, tanpa lelah. Tak pernah merungut. Biarpun dulu kami susah, tapi hidup kami semua cukup. Terima kasih ayah. Hebat ibu aku, menjaga dan membesarkan kami enam beradik dengan tabah biarpun selalu ayah tiada di sisi.

Satu benda yang paling hebat tentang mereka, ialah pemikiran dan pendirian mereka yang telah membentuk kami hari ini. Ibu dah ayah mementingkan pendidikan untuk anak anak. Ibu aku dulu antara budak paling pandai dalam kampung. Dapat tawaran masuk universiti, tapi tak dapat pergi sebab atuk nenek tak ada duit. Lagipun ibu aku dijaga oleh nenek beliau, yakni moyang aku.

Hidup ibu sangat susah, jadi peluang tak banyak. Masuk perguruan sebab perguruan ada elaun, duit itulah yang digunakan meneruskan hidup. Kalaulah ibu dapat peluang dulu, mesti ibu dah jadi doktor macam aku. Ayah pun tak kurang hebatnya. Jenis yang rajin belajar.

Masa kecil kecil dulu aku selalu tengok ayah menelaah buku dalam bilik belakang rumah sewaktu kami nyenyak tidur. Aku ingat ayah akan duduk di meja belajar dengan buku buku bertimbun. Ayah ada masters dari Universiti Malaya. Mana aku dapat sifat rajin belajar/NERD aku? Dari ayahlah. Bagi ibu dan ayah biar betapa susah, ilmulah yang akan merubah kehidupan dan mangangkat martabat seseorang.

Bila aku masuk tadika dan sekolah rendah, ibu cakap memang seorang budak yang lapang dada, sebab nak belajar pun senang, buat kerja sekolah senang. Sometimes aku buat kerja sekolah orang. Ibu selalu cerita aku ni malam malam pukul 9 malam sharp aku akan masuk tidur. Bila ibu tanya kerja sekolah dah buat ke belum, aku cakap dah. Ibu aku tak percaya, dia buka buku buku sekolah aku, kerja aku semua dah settle. Sebab aku jenis dah buat semua kat sekolah.

Ni ibu aku yang cerita, sebab aku memang tak ingat betapa NERD nya aku masa kecil. Disebabkan aku ni dikira anak sulung perempuan, aku belajar tanggungjawab sangat awal. Aku ni dah macam assistant ibu yang setia, semua kerja rumah aku buat. Pula aku ni jenis yang ‘hygiene freak’ dan belajar disiplin dari ayah (ayah aku garang orangnya). Jadi kerja kerja rumah aku yang uruskan serba serbi.

Aku melihat kesusahan ibu dan ayah aku membesarkan kami adik beradik. Aku belajar tentang pengorbanan ibu dan ayah di usia yang sangat muda. Aku tengok ibu aku yang keseorangan mengandung dan melahirkan adik adik tanpa ayah disisi. Berpantang pun seorang diri.

Masa tu kami masih lagi empat beradik ( dua lagi adik aku lahir sangat lambat masa ibu dah 40 an), aku lihat kegigihan ibu yang walaupun tanpa ayah disisi selalu, hantar kami adik beradik belajar sekolah kebangsaan sebelah pagi, sekolah agama sebelah petang, mengaji balik dari sekolah agama, malam akan ke tuisyen. Itulah rutin kami adik beradik, tak pernah gagal.

Ibu cakap dulu ibu tak dapat semua tu sebab hidupnya menumpang kasih orang, jadi anak anaknya mesti dapat semua itu. Didikan dunia, didikan akhirat. Kami adik beradik khatam alquran seawal 7 dan 8 tahun.

Aku masih ingat dengan jelas, ketika ayah gigih mencari rezeki, dengan kereta proton saga kami lah ibu ke sana ke mari menghantar kami menuntut ilmu. Kadangkala kereta rosak, atau ibu tersangkut kat jalan berbukit – ibu tak pandai sangat di jalan berbukit dengan kereta manual, selalu tak lepas, orang kereta belakang akan tolong haha. Kami adik beradik ketakutan dalam kereta (kelakar bila ingat balik) tapi ibu tak pernah give up atau berhenti bekerja keras untuk kami.

Paling aku ingat, yang ini aku tak pernah lupa, ada satu masa ibu demam panas. Masa tu along darjah enam, aku darjah lima, adik adik perempuan aku berumur enam dan tujuh tahun. Along nak UPSR, exam dah dekat. Ayah di Bosnia waktu tu selama 7 bulan.

Ibu yang demam panas tu menghantar juga kami ke tuisyen dengan gigih. Dia akan masukkan kami empat beradik ke dalam kereta dalam pukul 8 malam, hantar aku dan along ke tuisyen yang jauhnya dalam 5 km dari rumah, dan balik ke rumah menunggu kami habis. Pukul 10 malam, waktu tu biasanya adik adik kecil dah tidur, dia akan kendong adik adik masuk ke kereta dan ambil kami dari tuisyen.

Kadangkala ibu tidur sahaja dalam kereta menunggu kami habis belajar. Pada waktu itu mungkin kerana dia terlalu penat dan sakit, dia menangis ketika memandu. Ibu terlalu penat mengurus semuanya tanpa ayah disisi. Aku ni anak yang memerhati, sentiasa memerhati ibu.

Setiap pengorbanan yang mereka lakukan untuk kami. Itulah motivasi aku, itulah semangat aku. Setiap keringat ayah dan titisan air mata ibu aku kira, setiap detik itu aku ingat. Dan aku katakan pada diri aku, aku tak akan biarkan ibu dan ayah menangis kerana aku.

Dan aku tahu salah satu cara untuk membalas jasa mereka adalah memberi apa yang mereka inginkan – belajar sehingga ke menara gading. Alhamdulillah, aku dikurniakan kebijaksanaan oleh Allah, dan aku juga berbakat dan sangat aktif dalam kokurikulum.

Segala jenis pertandingan aku masuk, pertandingan bercerita aku masuk sampai peringkat kebangsaan, pertandingan syarahan pun aku pergi sampai peringkat negeri. Pertandingan kuiz Sains pun aku. Dalam bidang sukan, aku tak ketinggalan. Aku player Netball dan bola baling sekolah, aktif dalam olahraga juga, tapi tak proceed sangat sebab time tu big exams dah dekat. So serba serbi aku boleh in sha ALLAH.

Sampailah masa tu aku terpilih jadi Tokoh Pelajar peringkat sekolah, dan juga aku terpilih menjadi tokoh pelajar Daerah Hulu Langat, aku ingat lagi masa tu aku ambil pingat tu di Mint Hotel, sekarang dah jadi Nouvelle hotel tak silap kat area Sungai Besi tu.

Masa tu lah kali pertama, aku lihat bangganya wajah ibu dan ayah. Ibu menangis, tersenyum, menangis, tersenyum sepanjang hari. Aku ingat. Ingat sangat. Itulah antara detik paling manis, aku telah membanggakan ibu dan ayah yang tercinta.

Dapat upsr 5A, aku masuk ke sebuah MRSM di selatan tanah air. Di sekolah agama juga aku dinobatkan sebagai best student – di tawarkan masuk ke dua sekolah agama terkemuka salah satunya Maahad Hamidiah Kajang, tapi aku pilih untuk ke MRSM.

Masa aku kecil, satu je matlamat hidup aku. Aku nak gembirakan ibu dan ayah aku. By all means possible. All means. Disebabkan aku kakak yang tua aku cepat matang. Aku mula belajar erti berkorban untuk orang lain dari ibu dan ayah.

Masa kecil aku selalu diejek sebagai budak yang kuat makan, tapi jauh sekali untuk mereka tahu, yang aku beriya-iya habiskan makanan sebab nak jaga hati ibu yang penat memasak untuk kami. Badan aku naik, sampai saudara mara mengejek. Tak apa, asal Allah tahu matlamat aku untuk menjaga hati ibu pada waktu itu. Sayang sangat kat ibu.

Masa aku dan along duduk asrama, adik adik pun semakin besar, belanja rumah makin bertambah. Bila kami shopping time gaji hujung bulan, biasanya akan penuhlah troli dengan barang barang keperluan kami. Hidup kami masih lagi sederhana waktu itu. Sekali shopping adalah RM300 habis. Masa tu RM300 sangat besar nilainya.

Ada sekali aku perhatikan ayah dari jauh ketika kami sedang ligat memasukkan segala barang keperluan di dalam troli, ayah mengira duit di dalam dompet. Takut tak cukup. Ayah tak nampak aku tengah perhatikan dia. Sejak itu, aku selalu mengurangkan barang barang aku dari troli, aku ambil barang murah sahaja untuk keperluan aku. Asalkan cukup keperluan aku, tak apalah. Aku tak mahu tambah membebankan ayah. Sayang sangat dekat ayah.

Dulu dari kecil, ayah janji akan beli hadiah jika kami dapat nombor 1, 2 atau 3. Makin rajin belajar, makin banyak lah ganjarannya. Dan sepanjang aku belajar di sekolah rendah memang 1, 2 dan 3 lah nombor aku. Bila dapat je keputusan peperiksaan semester, tak sabar aku ingin meminta hadiah dari ayah.

Masa tu aku gilakan set patung Barbie. Duduk mengumpul set dapur, set bilik tidur dan lain lain. Ada satu masa tu aku darjah 3, aku tuntut hadiah aku sebab aku dapat nombor 1. Set patung Barbie kan mahal dulu dulu. Aku dah ada set dapur, set bilik makan, so aku nak set bilik tidur. Tapi bila je aku minta patung itu, adik perempuan aku yang lagi dua menangis berguling guling minta patung yang sama dalam mall tu. End up ayah kena belikan tiga set Barbie.

Masa tu aku marah sangat dengan adik adik aku, sebab setengah tahun kot aku aim nak barbie tu. Belajar macam nak gila. Itulah habuan yang dapat menggembirakan hati aku waktu itu. Tapi end up aku jadi sedih, sebab aku rasa aku macam dah susahkan ayah.

Nak marah adik adik, tapi mereka tak faham apapun. Budak kecil kan. Tapi sejak itu, aku dah jarang minta hadiah dari ayah. Sebab nanti ayah kena beli 3 set pula haha. Itulah antara pengorbanan yang aku belajar dari kecil. Aku tak mahu ibu dan ayah susah.

Sebagai seorang budak perempuan yang meningkat remaja, hidup aku juga banyak cabarannya. Banyak likunya. Bukan senang mendaki tangga kejayaan. Apatah lagi masuk ke fasa duduk di asrama, macam macam konflik timbul. Apatah lagi hormon remaja yang memberontakkan, banyak frustration yang mahu aku ceritakan pada ibu dan ayah.

Tapi sebab aku selalu perhatikan ibu dan ayah yang letih dan penat, aku simpan sahaja semua masalah aku. Aku tak mahu menambah masalah ibu dan ayah. Aku tak mahu mereka penat dan susah hati.

Pada masa itulah aku mula menulis. Aku ada banyak diari, banyak sangat. Bila aku sedih, kecewa, marah, aku tuliskan dalam diari aku. Walaupun aku dalam aliran sains, aku sangat mahir menulis. Aku tulis puisi, cerpen, macam macam lagi. Tapi aku simpan sendiri. Itulah cara aku menghilangkan masalah aku. Keletihan aku.

Ok tamat waktu rehat aku, pesakit dah membanjiri klinik.

Nanti aku sambung. Banyak lagi yang mahu aku ceritakan, ada banyak masa aku ada juga berjauh hati dengan ibu dan ayah. Hati yang masih muda dan terlalu kecil untuk belajar erti kasih sayang dan pengorbanan. Doakan kita jumpa lagi di persada ini.

– KEMBOJA PUTIH (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *