Untuk part I, (https://iiumc.com/tanpa-mereka-aku-bukan-apa-apa/).
Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Sambung kembali dari kisah aku sebelum ni. Terima kasih sekali lagi admin sudi approve lagi.
Dalam entry yang pertama (boleh rujuk kepada entry sebelum ini), aku banyak bercerita pasal hidup dan keluarga aku. Kenapa aku cerita secara teliti? Kerana ini akan menjadi FOUNDATION yang penting dalam entry entry yang seterusnya.
Aku pun antara pembaca setia IIUMC ni, dan kerja aku sebagai doktor komuniti ni pun banyak berjumpa dengan masyarakat secara am nya. Aku pernah bekerja di hospital di bandar yang besar, dan kini aku bekerja di sebuah pekan yang membangun.
So aku dah tengok manusia dari pelbagai lapisan masyarakat. So aku dah lihat, dengar dan rasa pelbagai perkara juga. Pengalaman aku bermastautin untuk belajar selama lima tahun di negara asing juga cukup mendewasakan dan membolehkan aku melihat dunia dari pelbagai perspektif.
Masyarakat kita semakin ‘tenat’, iyalah, kita pun menuju ke akhir zaman. Semasa aku belajar di luar negara, aku banyak mengikuti usrah agama – to put myself always in the right track. Di luar negara banyak cabarannya.
Bagaimana aku menjaga diri? – Dekatkan diri kita dengan rakan-rakan yang baik dan sentiasa berpegang teguh kepada jati diri dan agama. Terima kasih ibu dan ayah kerana telah menanam pasak yang padu, memberikan aku bukan sahaja ilmu dunia, tetapi ilmu akhirat yang sentiasa mengingatkan aku pada Allah, biar dimanapun aku berada.
Di dalam usrah yang aku ikuti, aku telah belajar tentang ISK (Ini Sejarah Kita) – aku rasa kebanyakan pelajar oversea yang mengikuti usrah tahu benar tentang ini. Untuk membangunkan kegemilangan tamadun Islam dan secara am nya menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran dan fitnah dunia akhir zaman.
Salah satu cara yang paling ampuh dalam membangunkan masyarakat cemerlang dunia akhirat adalah bermula dari unit INDIVIDU, unit KELUARGA dan seterusnya sekolah ( PENDIDIKAN ) dan masyarakat.
Kerana inilah aku mahu bercerita tentang didikan ibu dan ayah kepada aku. Semoga bermanfaat.
Sambung balik kepada kisah aku. Alhamdulillah, seusai tamat UPSR aku ditawarkan masuk ke MRSM. Aku tak nak masuk asrama sebenarnya sebab aku takut untuk berjauhan dari ibu dan ayah, aku nak jaga ibu dan adik adik bila ayah bekerja di luar daerah, tapi aku gagahkan juga demi mencapai cita cita aku.
Dan aku tahu ia akan menjadi satu platform yang baik untuk aku dan mendidik aku kehidupan dari aspek yang berbeza. Along juga mendapat 5A dan masuk ke sebuah sekolah sains berasrama penuh di Kuantan.
Sejak aku masuk ke asrama. Homesick, adoi jangan ceritalah. Aduhai, sungguhpun ibu dan ayah relaks je kat rumah, aku ni dah macam orang gila di asrama. Aku ni walaupun ayah garang macam singa dan ibu pun tak berapa nak ada masa melayan ragam aku, aku ni sejenis – keluarga adalah segala galanya.
Dan aku sejenis budak perempuan yang sedih macam manapun, takut macam manapun, aku tak akan tunjuk pada orang. Muka selalu nampak keras je, walau di dalam hati bergelora bagai taufan.
Aku kuatkan semangat, motivasi aku ialah ibu dan ayah. Aku tak nak kecewakan mereka. So kalau aku jadi homesick atau sedih sangat, aku akan menangis masa dah lights off atas katil, atau dalam shower tengah mandi, so orang tak nampak aku menangis.
Satu benda yang aku perasan pasal diri aku, which is actually my strength, ialah aku ni ialah orang yang pandai asingkan EMOSI dan PELAJARAN. When it comes to my study, aku sangat fokus.
Sedih pun sedih juga, stress pun stress juga, tapi belajar tetap belajar. Dia macam kat diri aku ni ada satu butang : STUDY MODE. Bila press je butang ni, segala masalah aku hilang dan aku fokus 200% kepada study aku.
Lagi satu, ibu aku selalu berpesan pada aku beberapa perkara, yang aku ingat sampai bila –bila;
1. Bila aku ada masalah dengan kawan kawan, atau senior buli aku buatkan aku rasa sangat down, ibu selalu cakap;
“Kenapa kita nak putus asa atau rosakkan hidup kita untuk orang asing? Orang yang tidak pun menolong kita apabila kita susah. Orang yang tidak bertungkus lumus mencari duit membesarkan dan menyekolahkan kita. Orang yang tidak mahu memberi manfaat kepada diri kita?
Adik (nama panggilan aku di rumah ialah adik) ingat muka ibu dan ayah, orang yang bertungkus lumus menjaga adik, bilamana adik sedih atau susah. Kuat demi ibu dan ayah.”
2. Bila aku tak dapat keputusan yang seperti yang aku inginkan, dan aku rasa aku tidak cukup bagus, ibu pernah tulis satu nota untuk aku, ibu letak dalam plastik makanan yang mereka hantar ke asrama,
“Berjalanlah adik walaupun lelah. Sesungguhnya hidup ini memang payah dan penuh pancaroba. Sekali adik terjatuh, bangunlah semula. Jika terjatuh lagi, bangun lagi semula. Sesungguhnya ibu telah mengajar adik bertatih sebelum adik belajar berjalan dan berlari. Ingatlah dalam setiap langkah adik, ibu dan ayah sentiasa ada bersama.”
3. Jangan berhasad dengki dengan orang lain, dan jangan menyimpan dendam atau kebencian. Di dunia jangan mendongak ke langit, kita kena sentiasa ingat bumi yang kita pijak. Dari mana asal kita. Dunia ini bulat, kejap kita di atas, kejap kita di bawah. Kita tak tahu bila kita akan perlukan orang lain untuk membantu kita.
Yes, ibu dan ayah aku memang puitis. Dari mereka lah kot aku dapat cabang sastera dalam diri aku ni haha. Tapi tiga pesanan ibu ni aku ingat dan tanam dalam dalam sampailah sekarang. Sebab itulah perkataan GIVE UP tak pernah wujud dalam kamus hidup aku.
Semester pertama di MRSM, aku dapat Anugerah Penghormatan Pengetua (dekan) bersama enam rakan satu batch aku yang lain. Masa tu seingat aku tujuh orang je yang naik pentas untuk batch form 1, baru macam aku. Iyalah semua baru nak start enjin, so dari form 1 aku dah start dikenali.
Dalam homesick bagai nak gila, sampai ada satu masa tu aku kena marah dan dipanggil masuk ke bilik pengetua sebab aku mengadu kat ayah aku nasi kat dewan makan dah habis, ayah aku call direct pengetua. Memang kena sembur habis habisan dengan pengetualah. Nak terkeluar biji mata menangis time tu. Semua kawan-kawan tengok aku, uish malu sangat wei! Rasa nak kambus muka dalam tanah!
Pengetua siap cakap (yang aku ingat sampai sekarang) “Tengoklah dengan perangai lembik macam awak ni, sejauh mana awak boleh pergi dalam hidup awak!” Aku ingat kata-kata pengetua ni, aku akan buktikan pada dia, aku bukan se ‘lembik’ yang di sangka! haha
Tapi tetap aku boleh maintain pelajaran aku. Disitulah aku jumpa potensi diri aku. Kita semua tahu kan, the most important thing to be successful people, is by having the right attitude. Know our strengths and weaknesses. Because it is important to know yourself and your capacities. Your strengths are things you can leverage on, things you can use to push yourself further. So we should know ourselves better!
Haaa kan dah keluar falsafah hidup aku. Bear with me, aku ni memang jenis motivational punya orang sikit.
Ibu dan ayah pula sangat supportive. Nasib baiklah along tak sehomesick aku, tak adalah ibu dan ayah kena naik turun asrama Kuantan tengok along. Setiap minggu bermula, aku tak sabar nak tunggu weekend, sebab aku nak balik rumah. Sampaikan kerap kali aku memang balik hari.
Kasihan sangat kat ayah, dah jadi satu kerja nak kena ambil aku dari MRSM waktu pagi dan hantar semula aku ke MRSM sebelah petang. Masa tu jarak perjalanan satu jam pergi satu jam balik. Maafkan adik, ayah. Besar sangat jasa ayah pada adik. Patutnya hujung minggu ayah rehat setelah penat kerja sepanjang minggu, dapat pula anak macam adik yang selalu membebankan.
Macam mana adik nak balas berjam jam rehat ayah setiap minggu penat yang dikorbankan untuk adik sepanjang tiga tahun adik di sana. Allahuakbar. Hebatnya manusia bernama ayah. Tak terbalas budi ayah untuk adik!
Satu benda yang paling ramai budak asrama takutkan, ialah takut ibu dan ayah mereka meninggal dunia sewaktu kita di asrama. Pernah satu kawan aku kematian ibu ketika dia di asrama, Allahu menangis nangis balik ke kampung halaman beliau untuk melihat jenazah ibu sebelum dikebumikan. Benda ni buatkan aku takut sangat.
Siang malam aku doakan ibu dan ayah. Lepas solat tak doakan untuk diri aku tak apa, janji doakan untuk ibu dan ayah. Semoga Allah jaga ibu dan ayah. Semoga ibu dan ayah panjang umur, semoga sentiasa sihat. Semoga sentiasa gembira. Disebabkan itu, aku belajar lagi pandai pandai. Nak balas jasa ibu dan ayah. Supaya ayah tak rasa penat membela anak nya yang satu ni.
Macam yang aku cakap dalam entry aku sebelum ni, sekuat kuat aku, aku manusia biasa. Aku ada terbaca beberapa entry dalam IIUMC, betapa biasanya stok anak anak yang sulung ni kebanyakannya kadangkala tak dapat perhatian sangat dari ibu bapa. Benda ni sama berlaku pada aku. Bukan bermakna mereka tak sayang, tapi biasalah bila adik beradik ramai dan ibu ayah sibuk bekerja, soal hati dan perasaan ni kadangkala kita terlepas pandang.
Aku remaja perempuan yang biasa. Banyak konflik diri ketika meningkat remaja. Aku rasa mungkin aku buat banyak benda nampak senang dari aku kecil, so ibu dan ayah tak banyak sangat lending their eyes and ears on me. Bukanlah masalah besar pun, tapi fitrahlah, sebagai wanita kita mahu di dengari.
Aku pula jenis tidak menunjukkan kelemahan pada orang, jadi aku tak bercerita pada sesiapa melainkan pada ibu. Dengan best friend aku yang paling baikpun, benda benda yang memaparkan kelemahan aku, aku memang tak akan cerita. Memang perangai ayah diri aku ni, selalu nak nampak kuat.
Aku selalu nak mengadu dengan ibu, aku call ibu empat kali sehari wei sepanjang aku duduk asrama. Even ibu dah naik bosan dengan call aku, aku tetap call haha. Bila aku dengar suara ibu, aku jadi tenang. Cakap seminit pun jadilah, hati aku jadi lapang.
Satu benda yang buat aku sedih sikit dengan ibu, sejak aku di asrama, ibu jarang sangat tanya tentang diri aku. Aku ada masalah ke tak, aku ada apa apa nak cerita dengan dia ke tak. Biasalah, budak budak nak perhatian haha. Kalau call ibu, ibu akan senyap je di hujung telefon.
Selalu aku tengok orang lain call ibu mereka, ibu mereka akan banyak bercakap dan mereka mengangguk angguk. Tapi bila aku call ibu, di hujung sana akan senyap je, bila aku bercerita ibu jarang memberi respon. Ibu penat dan letih mungkin menjaga adik adik.
Lagipun, aku memang jenis yang berdikari sejak kecil, mungkin ibu rasa aku sudah cukup kuat. Ayah pula garang, dan sepanjang aku membesar di rumah, ayah jarang ada. Aku nak bercerita dengan dia aku takut ayah tak faham. Jadi aku dan ayah tak banyak bercakap hati ke hati.
Tapi aku tak kuat. Aku masih selalu menangis masa lights off dan dalam shower bila aku sedih sangat. Dan macam aku ceritakan sebelum ini, aku terus menerus menulis diari. Diari menjadi teman yang setia aku. Susah senang jatuh bangun aku. Gelak tangis aku, aku abadikan dalam diari aku.
Sometimes aku bercakap dengan diri aku sendiri, depan cermin masa roommate tak ada dalam bilik. Sometimes aku cakap seorang diri dalam shower. Itulah cara aku kuatkan diri sendiri. Remember? Aku sangat berdikari orangnya haha. Aku tak pandai bercinta bagai, so tak adalah nak bercerita dengan boyfriend ke apa ke haha.
Setiap orang mempunyai self support system, depending on our ‘root’. Meaning how we are raised by our parents/guardian. Sebab tu penting untuk kita sebagai ibu bapa kepada anak anak kita sendiri untuk menyemai satu jati diri dan membentuk personaliti yang kuat dan teguh dalam diri anak anak. Supaya biar apa cabaran sekalipun, ‘akar’ mereka ini tidak cepat goyah.
Matlamat hidup aku masih kekal sama, nak gembirakan ibu dan ayah. Bersangka baik dengan ibu dan ayah. Mereka juga manusia biasa, mereka tak dapat dapat jadi perfect untuk kita. Aku tengok zaman kini ramai orang yang berfikiran yang terbaik untuk diri sendiri sahaja, bila keperluan diri tidak dipenuhi, kita menghukum orang lain. Waima Rasulullah saw sendiri lebih mementingkan umatnya dari diri sendiri.
Antara benda yang aku amalkan sepanjang aku belajar ialah, setiap kali aku call ibu atau ayah, di hujung perbualan aku akan minta maaf. Tak buat salah apapun aku minta maaf juga. Aku minta mereka doakan aku lapang dada, mudah menerima ilmu. Lima kali aku call sehari, lima kalilah aku mohon doa dari mereka. Prinsip aku, keredhaan Allah, keredhaan ibu bapa.
Terima kasih ibu dan ayah, hantar adik mengaji, hantar adik sekolah agama. Maka aku faham konsep Tauhid. Aku faham konsep ketaatan. Aku faham konsep tawakkal. Aku faham konsep rezeki, dan dari Allah datangnya segala kebaikan. Pandai manapun aku, sekiranya tiada keberkatan, aku tidak akan ke mana mana. Ingat apa yang kita capai hari ini, 99% adalah kerana kasih sayang Allah, tidak sampai 1% datangnya dari diri kita.
Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun aku di MRSM itu, tiap tiap semester aku tak pernah missed anugerah pengetua. Setiap semester aku naik pentas. Allahuakbar, aku sangat mudah menerima ilmu yang diberi, asalkan menjaga adab dalam menuntut ilmu.
Aku ni di sekolah ialah RATU TIDUR – pernah dapat award ya masa student award – award ‘sleeping princess’. Sebab asal masuk kelas je aku tidur. Reason nya, sebab aku suka berjaga malam burning my midnight oil. Pun begitu, cikgu tak hairan dengan perangai tidur aku, sebab kalau mereka tanya, aku mesti boleh jawab. Terang sangat hati aku belajar waktu tu, mesti berkat doa ibu dan ayah.
Masih aku aktif dengan segala pertandingan syarahan, pantun, aku dilantik menjadi jawatan tertinggi dalam perwakilan pelajar dan menjadi Kapten kepada pasukan netball maktab. Biarpun aktif, aku masih boleh score. Dan yang paling membanggakan, ibu ku terpilih dan diberi penghormatan menjadi wakil ibu bapa dalam majlis graduasi tingkatan tiga dalam majlis penyerahan para pelajar dari pendidik.
Ibu berdiri di atas pentas memberi ucapan penghargaan kepada para guru. Aku sempat berterima kasih kepada Pengetua yang telah memberi kata kata cabaran pada aku dulu, “Terima kasih cikgu atas kata-kata cikgu, membuatkan saya mahu terus maju.”
Allahuakbar. Terima kasih Allah memberi aku kekuatan untuk terus membahagiakan kedua orang tuaku.
Ok sekali lagi tamat waktu rehat aku, pesakit dah membanjiri klinik.
Nanti aku sambung. Banyak lagi yang mahu aku ceritakan, doakan kita jumpa lagi di persada ini.
– Kemboja putih (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit