Tawar Hati, Apa Ubatnya?

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Nama aku Som. Aku baru berkahwin 3 tahun lepas dengan duda anak 3. Dua anak telah remaja (18 tahun dan 16 tahun) duduk dengan kami, dan 1 anak lagi duduk dengan bekas isteri.

Yang sulung duduk di asrama. Yang kedua bersekolah harian berdekatan dengan rumah. Aku tahu, apabila aku mengambil keputusan berkahwin dengan duda ada anak ni, aku kena terima anak-anak dia.

Ya, betul aku terima anak-anak mereka. Aku layan mereka dengan baik. Aku tak pernah berkira soal duit dan tenaga dengan mereka. Boleh kata aku berikan apa yang mereka mahu.

Mahu makan itu, makan ini – aku ikutkan walaupun kadang-kadang aku tak layan juga. Tapi yelah, dah namanya emak, kalau anak nak makan, surelah kita usahakan juga.

Aku hantar ke asrama (musim pkp dapat kebenaran untuk gerak berdua saja), aku siapkan dokumen.

Yang kedua tu nak cuba masuk asrama selepas PT3 dibatalkan, pun aku usahakan juga untuk cari mana kursus yang sesuai, sekolah yang ok. Carikkan info. Kelas online, aku bagi guna laptop aku.

Tapi betullah orang kata, mak tiri tetap tidak akan sama dengan mak kandung walau kita usaha macam mana pun.

Aku akui aku memang garang. Aku kadang marah bila apa yang aku suruh tak buat. Bila duduk dengan aku – kenalah ikut peraturan rumah aku?

So, aku suruh bangkit sebelum pukul 8 kalau weekdays dan pukul 9 (weekend). Aku suruh pulangkan hp setiap hari pada jam 7 malam (sebab kalau dibiarkan dorang sanggup bersekang mata sampai ke pagi dok ngadap hp).

Baju kotor, berminggu tak basuh. Mula-mula aku cakap dengan elok, suruh basuh. Dia kata ya, nanti. Nanti. Bila dah berminggu tak basuh, anginlah aku. Memang aku marahlah.

Sebelum ni aku marah, bila balik kerja aku tengok sampah kat dapur tak dibuang pun. Sedangkan duduk rumah satu hari (musim pkp). Manalah aku tak angin. Keluar bilik hanya untuk makan saja.

Yang selalu buat perangai anak yang kedua ni. Dah dia selalu ada di rumah, memang dialah yang selalu menjadi kemarahan sebab perangai dia juga. Aku memang pantau apa yang dia ada di hp dia.

Aku dok layan movie korea, aku tegur je suruh kurangkan. Dia dok main tiktok, instagram, Berborak di whatsapp dengan entah siapa-siapa (dia join grup wasap tiktok), dengan laki2. Aku marah dia sebab dok gatai mesej dengan budak laki.

Bila aku dok check kat whatsapp dia dengan group bff dia – dia kutuk aku. Dia kutuk abah dia. Siap cakap bodoh, anjing. Kau rasa apa yang perlu aku rasa?

Pagi tu, aku tulis nota dan tampal di hp dia. Aku cakap terima kasih sebab kata aku bodoh dan anjing. Tak lama lepas tu dia whatsapp aku dan kata – bila masa dia kata aku gitu. Aku diamkan je.

Ya, aku diamkan dan tak bertegur dengan dia sudah masuk 6 hari. Dia pun takde nak tegur atau nak datang minta maaf dengan aku. Kali ni aku memang diamkan saja.

Ada masa aku memang tawar hati dah nak jaga dia. Nak je aku bagitahu abah dia suruh hantar balik rumah mak kandung dorang. Kalau dah tak suka hidup dengan aku.

Kalau baca whatsapp2 dia dengan kawan-kawan dia, ada benda yang dia menipu. Ya dia memang kaki penipu.

Kadang aku takde suruh mandi pun, dia bgtahu kawan dia, aku panggil suruh mandi. Dia mengadu kononnya kami lebih sayangkan kakak dia. Apa kakak dia nak, semua dapat. Sedangkan dia, hanya dapat barang2 bekas kakak dia.

Ya Allah, sakitnya hati aku membacanya. Sambil dok fikir, apa je barang yang dia kena guna bekas kakak dia punya?

Baju baru, seluar baru, spek mata, semua dapat yang baru. Tapi tergamak dia kata begitu kat kawan-kawan dia sampai kawan dia kata tak patut parent kau buat macam tu.

Aku panggil makan tengahari supaya kami boleh makan sekali (sambil nak eratkan hubungan), dia kata dengan kawan dia – Panggil-panggil makan pulak. Aku tahulah perut aku kalau lapar.

Aku tak beritahu tentang kes dia maki aku bodoh dan anjing ni pada suami aku. Tapi aku tahu suami aku perasan aku tak bercakap dengan anak dia.

Aku cuma tunggu masa dia tegur atau tanya tentang hal kebisuan aku ini. Kalau suami aku tahu, mahu mengamuk agaknya laki aku.

Aku pun tawar hati sangat. Aku memang jahat dan tak boleh mendidik anak dengan baik. Perkara buat perangai dan aku mendiamkan diri ni bukan baru pertama kali, tapi sudah berkali-kali terjadi. Tapi tetap begitu.

Aku pun buntu apa nak buat. Kadang sedih teramat sedih. Apa lagi yang aku boleh buat untukmu, wahai anak?

Dari hati yang telah hilang rasa,

– Som (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *