Teduhan Jiwa (;)

Aku Sofea. Berumur 23 tahun. Tujuan aku mengarang ini bukan untuk membuka aib sesiapa. Aku ingin mengingatkan pada semua rakyat Malaysia betapa pentingnya isu masalah kesihatan mental ini. (semua nama dalam ini bukan nama sebenar ya).

Jangan dipandang remeh. Kesihatan mental perlu dijaga sejak kecil lagi supaya tidak berlakunya ‘dendam’ atau meninggalkan kesan luka yang dalam pada kanak-kanak. Semua itu akan memberi perubahan yang amat besar kepada mereka setelah mereka menjadi dewasa.

Aku bukan seorang doktor atau pakar psy. Aku hanyalah seorang pesakit mental yang masih menerima rawatan setiap bulan di salah sebuah hospital besar. Kebanyakkan pesakit mental kenal dengan tanda ini ( ; ). Tahukah anda apa maknanya?

Tanda noktah ( . ) ini bermakna mereka ingin menamatkan hidup mereka namun ( , ) tanda koma ini bererti mereka harus bertahan dan berjuang untuk hidup.

Aku boleh katakan ini adalah salah satu sakit mental yang agak serious kerana mereka ada ‘suicidal thoughts’ iaitu keinginan membunuh diri. Red flag.

Kebanyakan pesakit mental macam aku ni hanya perlukan sokongan moral, perhatian, kasih sayang dan didengari. Untuk pengetahuan anda semua, sakit yang berkaitan dengan masalah mental ini adalah bukan sakit ‘agama’.

Seringkali dikaitkan dengan agama sedangkan orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t juga ada yang terkena sakit seperti ini.

Jadinya, aku ingin berpesan kepada anda semua apabila berhadapan dengan pesakit mental ini adalah lebih baik anda menjaga tutur kata anda. Ini kerana hati pesakit mental ini sangat sensitive.

Aku mewakili pesakit mental yang mengalami Major Depressive Disorder (kemurungan) dan lain lain sakit berkaitan dengan mental ingin memberitahu bahawa pesakit seperti kami tidak akan mendengar nasihat orang, kami akan jadi bertambah aggressive dan marah jika dikaitkan dengan agama.

Kami tidak mahu pendapat jika tidak diminta. Sebaiknya adalah hanya dengarkan luahan kami tanpa memberi respond apa-apa pun itu sudah cukup untuk menenangkan kami.

Di sini, aku ingin selitkan kisah aku sendiri. Aku anak kedua dari empat beradik. Aku jarang diberi perhatian. Suara aku tidak pernah didengarkan. Sewaktu aku berumur 13 tahun, hanya aku sahaja dipaksa masuk ke sekolah menengah agama.

Abang dan adik-adik yang lain sekolah berdekatan dengan rumah keluarga. Disekolah aku dibuli, dipukul dan macam-macam lagi oleh pelajar senior. Aku menangis dan merayu kepada ayah untuk bertukar sekolah atau tinggal sahaja dengan nenek.

Sekolah menengah agama tu memang dekat sangat dengan rumah nenek tapi ayah tak bagi aku tinggal dengan nenek. Ayah paksa aku duduk asrama juga. Rayuan aku tidak dipedulikan oleh ayah aku sendiri.

Aku sangat tak tahan dibuli setiap hari aku menangis di depan public phone sekolah merayu kepada ayah. Sampailah satu hari, aku terus call sahaja ibu. Waktu ini aku tidak rapat dengan ibu tapi aku tetap juga bagitahu dia yang aku dibuli.

Ibu terus mengambil aku dan bawa aku keluar dari sekolah itu. Ayah begitu marah sehinggakan kejut aku bangun subuh dengan merotan aku. Padahal sebelum ni ayah kejut elok sahaja.

Ayah marah kepada aku begitu lama selama sebulan aku tidak bercakap dengannya. Aku hanya dilayan baik oleh ibu dan sejak itu aku terlalu rapat dengan ibu.

Aku tak faham kenapa aku diabaikan? Aku dibuli pun masih buat tak tahu? Mungkin ayah nak tunggu anaknya mati dahulu baru dia nak ambil peduli. Benda ni amat terkesan dalam bagi aku sehingga kini.

Aku tidak banyak berbicara dengan ayah. Aku banyak luah semuanya pada ibu sahaja. Aku ingatkan ayah adalah cinta pertama aku sebagai anak perempuannya tetapi ternyata tidak. Dia adalah orang yang pertama menyakiti aku.

Aku perasan kalau apa-apa perancangan dan berita mesti adik-adik aku iaitu Maya dan Helmi yang akan bagitahu. Kalau mereka tak bagitahu, aku langsung tak tahu apa-apa.

Begitu juga dengan ibu yang senasib dengan aku ibarat tidak wujud. Bukankah seorang suami perlu menghormati juga seorang isteri? Isteri sepatutnya diutamakan dan isteri juga berhak untuk tahu segala perancangan dan perbincangan suami.

Isteri bukan tunggul. Ibu sampai kecewa dengan sikap ayah yang tidak mengutamakan isteri. Ibu sudah tidak peduli lagi “kalau rasa nak bagitahu, bagitahu je. Tak nak bagitahu sudah. Malas dah nak ambil tahu”.

2 tahun ibu bertarung dengan sakitnya yang melibatkan organ dalaman iaitu buah pinggang. Aku ketika itu telah pun menyambung pengajian di salah sebuah IPTA.

Kebetulan ibu dimasukkan ke hospital yang berdekatan dengan IPTA aku. Jadi, aku membuat keputusan untuk menjaganya di ward.

Ibu tidak mahu orang lain uruskan dirinya melainkan anaknya sahaja. Aku mengambil surat cuti selama 2 minggu dan hanya join kelas online sahaja ketika itu jika berkesempatan. Ibu tidak lagi boleh berjalan.

Tugas aku adalah menukar lampinnya, mengambilkan wuduk untuknya, menyuapnya makan, memakaikan baju atau telekung untuknya.

Satu hari tu, masih segar dalam ingatanku di mana ibu menangis kerana ayah tidak mahu menjaga di ward. Ayah memberi alasan sibuk. Aku turut merasa ‘kepedihan’ itu. Apakah kami ini tidak bermakna bagi kamu? Kami tiada nilai? Hanya menyusahkan? Aku mula berasa down.

Setelah ibu dibenarkan discharge ward, ibu ajak aku temannya makan bersama. Kemudian, ayah membawanya pulang ke rumah. Aku tak boleh ikut mereka sebab aku harus ke kelas seperti biasa.

Maya akan menjaga ibu di rumah nanti. Ketika di rumah, Maya memberitahu aku yang ibu asyik menyebut nama aku dan bertanya bilakah aku akan pulang ke rumah?

Selang beberapa hari, aku menerima panggilan dari ibu yang menangis dan merayu kepada ayah yang dia ingin berubat membuang ‘saka’ dalam waktu terdekat.

Tapi, rayuannya tidak dipedulikan. Menangis aku ketika mendengar suara rayuan itu. Luluh dan terkesan menusuk ke dalam jiwa. Saka itu adalah saka keturunan yang dah terlalu lama tetapi begitu sukar untuk dibuang.

Pada hari Isnin, setelah habis kelas kira-kira pukul 1pm aku terus mengajak teman lelaki aku Nazrin untuk pulang ke rumah melawat ibuku.

Nazrin membawa beberapa biji buah belimbing kegemaran ibuku. Aku melihat dia menjamah buah itu banyak sekali. Aku tahu dia sangat sukakan buah belimbing. Aku mendapat tahu bahawa ibu tidak makan dari pagi kerana tiada selera. Pada malam tu, aku menyuapnya bubur ayam.

Ibu makan walaupun tak banyak. Waktu tu ibu tenung mukaku seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi tidak terucap.

Renungan matanya yang tajam itu membuatkan aku rasa macam something is not right. Kira-kira dalam pukul 9pm aku gerak pulang ke IPTA bersama dengan Nazrin.

Esoknya, lepas habis je kelas Account, aku terus melelapkan mata sehinggakan aku terbangun pada pukul 4pm. Aku rasa macam satu perasaan yang pelik dan sayu sahaja. Aku tiba-tiba sahaja rasa rindu pada ibu kuat sangat.

Pada pukul 6.30pm Maya call aku dan memberitahu bahawa ibu telah pun meninggal. Allah. Meraung aku pada ketika itu. Aku terus menghubungi Nazrin yang tinggal jauh kira-kira 1 jam dari tempatnya. Nazrin terus pick up aku dan membawa aku pulang ke rumah.

Aku menjejakkan kaki ke dalam rumah pada pukul 10pm. Aku menuju ke ruang tamu dan melihat sekujur tubuh yang pucat dan kaku terbaring di atas katil.

Aku membuka kain putih yang menutupi wajahnya. Allah. Aku tahu itu jenazah ibu tapi aku cuba untuk bertenang. Air mata membasahi pipi dan aku mencium kakinya yang sejuk itu “Ibu, sejuknya kaki ibu.”

Aku memandang raut wajahnya “Ibu, bangunlah. Kite balik ni ibu. Ibu kata nak pergi berubat dengan kite sama-sama. Tapi kenapa ibu….”.

Nazrin berasa sayu dan sedih melihat aku cuba mengejut sekujur tubuh yang tiada nyawa lagi. Duit RM50 yang Nazrin bagi pada ibu semalam masih terletak elok di tepi katil ibu.

Aku turut membantu mereka yang memandikan jenazah ibu. Aku dapat melihat terdapat air mata pada bahagian mata kirinya.

Setelah ibu dikebumikan, Nazrin meminta diri untuk pulang. Aku terus tidur kepenatan di atas katil arwah ibu. Aku mula berasa kosong dan lonely sangat apabila Nazrin pulang.

Setelah aku pulang ke IPTA semula, Nazrin banyak teman aku sehinggakan dia juga menangis setelah merenung mataku yang ‘kosong’.

Nazrin banyak habiskan masa dengan membawa aku ke tempat yang sesuai untuk mendapatkan ketenangan. Setelah ibu pergi, aku rasa macam aku tiada lagi tempat bergantung kecuali Nazrin.

Bukankah tempat anak perempuan sepatutnya dibawah pelukan ayahnya? Setelah apa yang terjadi sebelum ini, aku tidak lagi berharap apa-apa dari ayah.

Aku banyak sembunyikan apa-apa dari dia kerana aku tahu, dia bukan peduli. Dari kecil lagi aku sudah rasakan seperti itu. Diabaikan.

Ayah mahu menjual rumah yang arwah ibu belikan untuk kami adik-beradik. Rumah itu dibawah nama Helmi tapi ayah tanpa membincang sepatah apa pun dengan Helmi untuk menjual rumah itu. Arwah ibu tahu suatu hari nanti kami anak-anaknya akan merempat kerana ayah tak ada beli rumah.

Sebelum ini pun hanya menyewa. Setelah ibu meninggal, kami semua pindah duduk dengan nenek. Rumah nenek pun belum tentu bakal menjadi milik siapa setelah nenek meninggal. Kami mengadu kepada Mak Na (kakak ibu) dan Helmi dapat semula rumah tersebut.

Ayah banyak lepas tangan. Tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga yang wajib memberi nafkah kepada isteri tidak dilaksanakan. Aku tahu semua itu dan benda itu membuatkan aku sangat marah terhadap ayah.

Dia tidak memberi wang perbelanjaan kepada adik-adik yang masih bersekolah ketika itu. Ibu tidak berkerja tapi adik-beradik ibu memberi ibu duit setiap bulan dan dengan duit itu juga ibu memberi kami untuk dibuat belanja.

Bukan ayah tak pernah bagi kami duit belanja tapi kalau dia tahu tanggungjawab dia sebagai bapa, anak-anak tak perlu minta pun, dia akan bagi sendiri.

Aku kesian pada Nazrin. Kami belum ada apa-apa ikatan yang sah tapi Nazrin dah banyak bantu aku dari segi kewangan. Nazrin bukan orang kaya. Nazrin seorang anak lelaki yang bertanggungjawab dan pemurah. Dia bekerja keras untuk melengkapkan keperluan 5 orang adiknya.

Setelah 8 bulan ibu pergi, aku disahkan oleh pakar psy bahawa aku kemurungan (MDD), Borderline Personality Disorder (BPD) dan juga panic attack. Semua itu adalah sakit yang melibatkan masalah mental.

Aku ada ‘suicidal thoughts’. Aku mula bermain pisau dan cederakan diri sendiri. Aku kerap menangis. Aku pernah hampir untuk minum clorox.

Kadang tengah keluar, Nazrin terpaksa balik ke hostelku untuk mengambil ubat penenang bila aku dah mula mengamuk dan lost control.

Nazrin menggenggam tanganku erat supaya aku tak terlepas lari untuk terjun jambatan. Nazrin juga menjadi punching bag bila aku mula aggressive.

Sehari sebelum appointment aku dengan psychiatric clinic, Nazrin terpaksa tinggalkan aku untuk berlayar kerana dia adalah seorang kakitangan offshore. Aku merayu supaya dia tidak tinggalkan aku dalam keadaan begini yang remuk, bercelaru dan bercampur aduk semuanya.

Nazrin memesan pada Esra untuk temankan aku ketika appointment. Aku banyak diam apabila ditanya oleh doktor. Nazrin memujukku melalui Whatsapp untuk admit di psychiatric ward selama beberapa hari. Aku pun setuju dan sign surat tersebut.

Setelah aku discharge dari psychiatric ward, aku membuat keputusan untuk tangguh belajar. Ayah marah aku kerana aku tidak memberitahunya aku telah admit ward. Terngiang di kepalaku ayatnya “Kau ni macam tak ada bapak”.

Andainya dia tahu itulah point yang aku nak beritahu kepadanya pasti dia akan terdiam. Seperti yang aku cakap, aku tidak mengharapkan apa-apa dari dia langsung. Semuanya aku uruskan sendiri je.

Aku duduk dengan Mak Na. Aku tak boleh duduk dengan ayah terlalu lama nanti akan muncul perasaan nak bunuh dia. Aku berteduh di bawah kasih sayang Mak Na demi membaikpulih jiwa aku yang kian dirobek.

Aku berasa selamat tinggal bersama Mak Na. Mak Na juga kerap memberiku wang. Aku dilayan seperti anak sendiri. Dari kecil lagi aku memang sudah rapat dengan Mak Na dan arwah suaminya. Aku pernah dijaga oleh mereka dengan penuh kasih sayang.

Sehingga kini sisa dan bekas luka pada masa dahulu masih kekal di dalam. Kata “maaf” atau “lupakan sahaja kisah lama semua itu” tidak semudah itu untuk dilupakan.

Aku tahu hati aku bakal retak lagi, mentalku bakal rosak pada waktu akan datang kerana aku tahu Mak Na kini menghidap kanser payudara stage 4.

Kalau ada yang berminat nak tahu pengalaman aku masa kat psychiatric ward yang agak ngeri ketika itu, boleh komen. Thanks.

– Sofea (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *