Tegas atau Keras?

Assalamualaikum. Pertamanya terima kasih jika confession ini disiarkan.

Saya merupakan seorang ibu, berkahwin sudah 10 tahun dan alhamdulillah dikurniakan tiga orang anak lelaki.

Membesarkan dan tugas mendidik amanah Allah iaitu anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah.

Suami saya seorang yang bertanggungjawab, selalu membantu kerja rumah & family oriented. Sentiasa mendahulukan isteri & anak-anaknya syukur.

Namun apa yang selalu membimbangkan saya dalam mendidik anak-anak, suami agak baran & selalu bertindak berlebihan dalam mendidik anak-anak.

Suami saya dibesarkan oleh seorang ayah yang sangat tegas dan garang.

Ayah mertua memang jenis cakap lepas, tegas dalam mendidik suami & adik beradik yang semuanya lelaki. Oleh itu, suami saya banyak terikut cara ayahnya mendidik adik beradiknya satu ketika dulu.

Saya pula dibesarkan dengan cara didikan yang berbeza. Emak saya agak tegas & garang, tetapi tetap rapat seperti kawan dengan anak-anak.

Ayah saya pula seorang yang sangat penyabar, jarang-jarang marah. Bila marah ayah biasanya diam kemudian nasihat dengan berhemah.

Anak-anak saya umur rapat semuanya, 9, 7 dan 5 tahun. Biasalah anak tengah membesar, bergaduh tu kan lumrah.

Asalkan tak tercedera, sekali sekala kami ambil peranan selesaikan macam pengadil, adakala boleh mereka settle sendiri.

Yang menjadi masalah bila suami saya mula marah, seolah tak terkawal. Akan keluar perkataan yang bagi saya cukup mengguris hati sekiranya saya berada di tempat anak-anak.

Biasanya kalau suami mula marah, saya lari sebab tak sanggup nak dengar ayat yang keluar dari mulut suami. Tidaklah sampai mencarut, tapi perkataan yang agak kasar untuk anak-anak.

Sejak anak kecil lagi, bila suami marah dia akan ugut halau anak keluar rumah, tinggal tepi jalan, kadang benda kecil bila anak tantrum sikit je suami sebut pergi cari mak ayah lain, tak nak tengok muka anak, kalau tak berhenti nangis dia akan rotan & sebagainya.

Kadangkala diambilnya batang penyapu, tali pinggang untuk ugut anak, walaupun tak pernah dilibas guna barang tu, tapi saya cukup terluka tengok situasi anak kecil yang diugut begitu. Kalau dia mula rotan anak,bukan sekali tapi berkali-kali.

Bagaimana perangai anak-anak saya?

Sejujurnya, anak saya tidaklah nakal mana. Biasalah, anak-anak kecil. Saya sendiri seorang guru tadika jadi pada saya anak-anak saya pada tahap mudah ditegur & dididik.

Tapi bilamana ayahnya agak keras, saya perasan anak sulung saya jadi sangat ‘keras’.

Semakin suami berkeras dengan dia, semakin dia berani melawan. Biasanya terpaksa saya masuk campur sebab sangat takut suami hilang sabar & boleh buat sesuatu di luar kawalan.

Kebiasaannya bila anak-anak sedih, nangis teresak-esak saya akan cool down, pujuk semula & ambil hati mereka. Saya risau anak saya nampak ok tapi sebenarnya trauma & tinggalkan kesan pada emosi mereka.

Banyak kali saya cuba berbincang & suarakan untuk suami lebih bersabar dengan anak-anak tapi biasanya berakhir dengan perang dingin.

Susah nak bawa berbincang.

Katanya itu cara dia, daripada orang lain marah anak kita,lebih baik kita sendiri marah & didik. Katanya tak kisah anak anggap dia garang, biar rapat dengan ibu sahaja. At least ada figura yang dia takut & ikut.

Secara halus biasanya saya suka share tentang tips keibu bapaan di status whatsapp, wall facebook. Kadang-kadang ajak dia berbincang.

Tapi nampaknya dah 10 tahun masih sama lagi pendekatan terlalu tegas suami saya.

Oh ya, satu lagi. Kebanyakan masa anak-anak dengan saya. Jadi, bila anak-anak buat perangai & sebagainya, saya akan cerita pada suami.

Saya cerita dengan harapan suami sebagai ayah lebih rasional dalam menasihati anak tetapi setiap kali cerita, suami akan panggil anak, brainwash, tengking & ugut anak sampai anak menangis. Saya jadi sangat bersalah seolah-olah jadi punca anak dimarahi seteruk itu.

Penyudahnya saya dah tak cerita apa-apa, nampaknya emosi suami lebih tak stabil dari saya huhu..

Dari segi agama, latar belakang agama suami jauh lebih baik dari saya. Malah bacaan Quran dia sangat baik & boleh jadi guru mengaji.

Tapi setiap hari, saya selalu berjemaah dengan anak-anak sahaja waktu maghrib, jarang sekali suami ada bukan dia tak nak berjemaah, tapi sengaja dilewatkan solat.

Biasanya waktu Isyak barulah suami imamkan solat kami. Mengaji pun anak banyak dengan saya, sampai pernah anak bertanya ‘tak pernah nampak ayah baca Quran pun’.

Sedih di hati saya tuhan je yang tahu.. Usia bertambah, anak pun meningkat remaja tapi rasa suami semakin lalai pula. Nak ditegur memang sukar kerana egonya. Hanya mampu berdoa dalam hati..

Bila waktu Maghrib, disibukkan buat itu ini, main telefon kemudian baru nak mandi. Mandi pula lama.

Selalu saya minta suami bawa anak solat berjemaah di masjid, tapi setakat ni terawih & aolat jumaat saja itupun awal Ramadan saja anak-anak ke masjid.

Yang peliknya kalau balik ke rumah mertua, suami saya boleh pula ke masjid tepat waktunya. Mungkin segan dengan ayah mertua.

Harapan saya anak lelaki saya dapat jadi orang-orang soleh yang baik budi pekerti & akhlaknya. Sangat berharap ayah mereka dapat jadi contoh terbaik.

Jika ada yang sudi bagi pandangan bagaimana nak ubah sikap suami yang keras pada anak-anak & bagi contoh terbaik untuk anak mohon pendapat & panduan ya.

Saya dahulukan ucapan terima kasih.

– Mama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *