Tekanan Berpantang

Assalamualaikum. Nama ku Cempaka (bukan nama sebenar). Aku baru melalui proses bersalin anak pertama kira-kira 3 minggu lalu.

Aku bersalin normal, cuma terdapat banyak koyakan kerana bayi ku besar seberat 4.1kg. Akibatnya, jahitan ku panjang.

Bersalin waktu pkp ini bukan mudah. Segalanya harus dilakukan sendiri tetapi aku telah mempersiapkan mental dan fizikal ku untuk itu.

Dua hari selepas bersalin, anak ku dimasukkan ke wad kerana kuning. Alhamdulillah kuningnya tidak tinggi, 2 hari selepas itu kami dibenarkan pulang.

Di wad, aku banyak bergerak ke sana sini menguruskan anak. Makan juga terkejar-kejar kerana kami tidak dibenarkan makan di katil, hanya di pantry yang disediakan. Ketika itu aku sudah berasa sangat tertekan.

Sudahlah jahitan panjang dan sukar untuk bergerak, tangan lenguh kerana selepas bersalin aku diberi suntikan vaksin covid 19 dan kemudian aku mengalami bengkak susu. Mujur hanya 2 hari anak ku di tahan.

Untuk tempoh berpantang, suamiku telah membawa ibu ku dari kampung untuk menjaga sepanjang proses berpantang. Jadi di rumah ada suamiku, adik ipar dan juga ibu.

Di rumah, ibu banyak membantu melakukan kerja-kerja rumah yang selama ini aku lakukan. Aku akui, suami dan adik ipar tidak banyak membantu. Mereka perlu disuruh untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Di rumah, aku dapat rehat yang cukup. Cuma satu yang buat aku tertekan, ibu selalu mengomel tentang suami dan adik iparku.

Aku selalu berpesan jika tidak larat, tidak perlu memasak. Suami dan adik ipar boleh membeli makanan bungkus di luar tetapi ibu berdegil.

Kesannya, dia akan kepenatan dan kemudian mengadu mereka tidak membantu kecuali apabila disuruh.

Mula-mula aku okey, lama-kelamaan aku yang jadi tertekan menjadi orang tengah. Sudah aku pesan, arahkan sahaja jika ingin bantuan tetapi ibu tetap dengan pendiriannya yang mereka kena faham-faham sendiri.

Sedangkan selama aku hidup bersama suami, aku yang akan arahkan suami untuk membantu. Nampak seperti queen control, tetapi itulah suamiku. Setiap kali perlukan bantuan dari dia, aku perlu bercakap setiap satu.

Aku faham, mereka tidak dididik dengan cara ibu. Mereka agak manja kerana ibu mertuaku suri rumah sepenuh masa.

Berbeza dengan aku yang sangat berdikari kerana ibu bapaku bekerja. Aku pula tidak tinggal dengan pengasuh, tinggal sendiri di rumah kerana kekangan wang ringgit.

Aku bersyukur kerana kesusahan hidup banyak mengajar aku. Tetapi dalam hal ini, ibu mahu mereka menjadi seperti aku. Susah untuk melentur buluh, silap-silap patah dan kita yang terluka.

Dalam soal makanan pantang pula, sejujurnya aku dah muak dan langsung tidak boleh menelan makanan. Aku makan hanya untuk menjaga hati ibu.

Kadangkala aku kemam agak lama baru aku telan. Malam pula aku tak makan dan menahan lapar. Lauk harian aku hanyalah ikan bakar, ikan kukus dan sup ayam.

Tempoh hari suamiku membelikanku ayam panggang. Terlebih dahulu dia meminta izin ibu dan ibu mengangguk. Aku makan memang berselera.

Tiba-tiba hari ini, ayah menghubungiku dan memarahi aku kerana cerewet soal makanan.

Aku melenting kerana selama ini aku hanya berdiam diri. Tidak pernah aku berbunyi mengatakan makanan tidak sedap.

Aku hanya memberi alasan tidak selera setiap kali tidak mahu makan atau makan dengan sedikit. Sejujurnya aku lapar. Sangat lapar. Tetapi apakan daya aku terpaksa akur.

Ibu semakin ketat menjaga makanan pantangku kerana jahitan tidak pulih lagi dan aku mula berasa pedih di kawasan jahitan. Aku tertekan.

Aku tidak mahu melukakan hati sesiapa, tetapi aku sangat tertekan.

Tertekan kerana setiap hari mendengar bebelan ibu mengenai suamiku.

Aku selalu berpesan pada suami dan kadangkala mengadu yang ibu tidak suka cara dia dan adiknya. Mujur suami menerima dengan baik kerana ibu banyak membantu.

Tetapi hari-hari mendengar bebelan yang sama membuatkan aku rasa nak mengamuk. Ingin sahaja aku mengambil alih semula semua kerja di rumah.

Aku inginkan pandangan dari pembaca, apa yang perlu aku lakukan?

Dan ada tak tips untuk memulihkan luka jahitan dengan cepat kerana aku tidak sabar untuk pulih agar boleh melakukan semula kerja rumah.

Setiap kali bergerak atau duduk, luka jahitan memang pedih tetapi tiada nanah dan tidak bengkak. Terima kasih.

– Cempaka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *