Tekanan & Cubaan Untuk Tarik Nyawa Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Akhir-akhir ini aku lihat kes tekanan, cubaan bunuh diri dan mencederakan orang sekeliling semakin parah. Lebih-lebih lagi disebabkan PKP, Covid, beban kerja dan masalah kelangsungan hidup yang semakin mencabar.

Aku juga pernah mengalami tekanan yang melampau dan pernah cuba membunuh diri lebih 10 tahun yang lepas.

Pada ketika itu, perkataan tekanan, depresi, kemurungan dan bunuh diri sangat asing di Malaysia. Biasanya kes-kes begini hanya terlihat dalam berita artis-artis Hollywood.

Oleh kerana pada ketika itu perkara sebegini masih janggal di Malaysia, maka aku tidak mendapat apa-apa bantuan sama ada berbentuk nasihat-nasihat daripada ceramah, perkongsian-perkongsian daripada influencer dan lain-lain.

Maklum sajalah, pada ketika itu, internet bukan seperti hari ini yang semuanya dihujung jari serta mudah untuk mendapatkan apa-apa maklumat. Waktu itu, majalah – majalah lebih terkenal berbanding laman sosial.

Nak mengadu kepada ibu bapa jauh sekali kerana keluarga aku juga pada ketika itu sedang dihimpit dengan masalah kelangsungan hidup.

Simptom awal tekanan.

Pada mulanya aku tidak sedar bahawa aku sedang mengalami tekanan yang teruk. Waktu itu aku sedang belajar di sebuah IPT. Aku merasa terlalu rendah diri dan hilang keyakinan untuk bergaul dengan rakan-rakan yang aku kira jauh lebih pandai dan menarik.

Untuk pengetahuan, pada ketika itu aku dikelilingi oleh rakan-rakan yang bersifat kebandaran. Mereka mempunyai gaya penampilan yang menarik, petah bercakap dalam bahasa inggeris dan aktif. Mereka juga kerap keluar ke bandar pada hujung minggu.

Aku boleh disifatkan sebagai agak kekampungan. Terlalu malu untuk menegur orang lain, terlalu malu untuk bercakap dalam bahasa inggeris dan mudah penat apabila terlalu aktif.

Di dalam kelas pula, mereka sangat aktif dan bijak. Setiap kali pensyarah bertanyakan soalan-soalan tertentu. Mereka boleh menjawabnya dengan pantas. Tugasan-tugasan harian juga dapat disiapkan dengan baik oleh mereka.

Manakala aku, aku merasakan aku terlalu lembab pada ketika itu. Kuliah yang disampaikan oleh pensyarah tidak dapat aku fahami. Aku begitu takut sekiranya ditanya di dalam kelas kerana aku pasti tidak boleh menjawab soalan tersebut.

Keadaan-keadaan begini membuatkan aku merasa begitu tertekan dan hilang keyakinan diri. Aku merasakan diri aku sebagai seorang yang loser pada ketika itu.

Aku pernah cuba bangkit. Aku cuba bergaul dengan rakan-rakan. Aku mengikuti cara mereka supaya aku boleh masuk dalam lingkungan mereka dan lebih yakin apabila bersama-sama mereka.

Aku mula membelanjakan wang dengan lebih untuk membeli pakaian-pakaian yang lebih trendy. Mula turut sama keluar pada hujung minggu dengan kerap. Makan makanan yang melebihi bajet supaya dapat bersama-sama dengan kawan.

Mula belajar minum Nescafe yang pekat setiap malam supaya aku juga boleh menyiapkan tugasan-tugasan harian tepat pada waktunya dan mula tidak tidur untuk mengulang kaji pelajaran supaya aku boleh menjawab soalan-soalan semasa kuliah.

Usaha aku agak berbaloi kerana aku sudah sedikit berkeyakinan tinggi dan boleh bergaul dengan rakan-rakan pada ketika itu.

Namun, sekali lagi aku terduduk apabila aku gagal dalam satu kuiz. Aku telah dimalukan oleh pensyarah aku pada ketika itu kerana gagal dalam kuiz tersebut.

Aku dimalukan dihadapan orang ramai. Rakan-rakan pada ketika itu hanya senyap memandang aku. Aku begitu malu. Selepas daripada itu, mereka semakin kurang bercakap dengan aku. Aku juga sukar mendapatkan partner semasa tugasan berdua.

Partner yang terpaksa bersama aku sentiasa cuba pergi ke kumpulan rakan-rakannya dan meninggalkan aku terpinga-pinga membuat tugasan.

Keadaan seperti ini membuatkan aku kurang fokus dan sering terpecahkan barang makmal semasa tugasan di Makmal. Ini membuatkan aku dicop sebagai pelajar lemah sekali lagi oleh para pensyarah.

Pada ketika itu juga, masalah keluarga aku semakin meruncing. Aku semakin tidak bersemangat untuk meneruskan hari-hari di IPT.

Pernah semasa hari lahir aku, seluruh rakan sekelas aku menyambut hari lahir seorang rakan di kelas tersebut dan membiarkan aku di penjuru kelas.

Sedangkan kami semua bersahabat di Facebook dan status hari jadi aku juga dimaklumkan dalam Facebook sama seperti rakan yang diraikan tersebut. Sekali lagi aku merasa begitu sunyi dan dipinggirkan.

Oleh kerana itu, aku mula ponteng kelas. Aku hanya berbaring di bilik. Aku hanya pergi ke kelas yang aku rasa penting. Aku mula mencipta berbagai alasan untuk tidak pergi ke kelas. Aku tidak mampu bercerita kepada sesiapa mengenai tekanan yang aku rasakan.

Pernah seorang rakan datang ke bilik aku kerana aku tidak hadir ke kelas. Pada awalnya aku merasa gembira kerana ada yang prihatin. Namun rupanya rakan tersebut hanya datang ke bilik untuk meminta dokumen tugasan dan pergi begitu sahaja tanpa bertanya khabar.

Kesunyian tersebut membuatkan aku merasa seperti tidak diperlukan oleh sesiapa. Tidak layak untuk berada di IPT dan tidak mungkin boleh berjaya seperti orang lain. Aku hanya beban kepada keluarga yang sedang dihimpit masalah.

Maka suatu hari, aku mengambil keputusan untuk mati. Tetapi seperti yang aku katakan, zaman itu, internet bukanlah perkara yang utama seperti hari ini. Aku tidak tahu cara untuk mati.

Pada awalnya aku cuba mengelar tangan tetapi tidak berjaya kerana aku takut untuk membenamkan pisau pada pergelangan tangan aku pada ketika itu.

Kemudian aku ternampak panadol yang masih banyak di dalam laci meja. 2 papan panadol. Aku kira itu cukup untuk overdose ubat dan mati.

Lantas aku menelan kesemua ubat tersebut, menetapkan mod telefon pada mod senyap dan berbaring di katil. Waktu itu sudah malam.

Mungkin pada jam 9 malam. Aku sungguh bersedia untuk mati dengan sedih dan sunyi pada ketika itu.

Namun, aku tersedar keesokan harinya pada waktu senja. Apabila tersedar, aku berasa sedikit keliru lalu kecewa kerana aku tahu aku berharap untuk mati. Keadaan di bilik aku juga sama seperti sebelum aku menelan panadol.

Untuk makluman, pada ketika itu roomate aku tidak ada kerana pulang ke kampung. Aku mencari telefon dan aku lihat ibu aku telah menelefon aku beberapa kali dan menghantar sms.

Pada masa itu aku menangis. Barulah aku memikirkan ibu aku sekiranya aku benar-benar mati. Waktu itu, aku masih tidak tahu bahawa aku sedang tertekan. Aku hanya merasa diri aku sebagai seorang yang lemah, gagal dan terpinggir.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berhenti daripada belajar. Aku katakan kepada keluarga bahawa aku tidak lagi boleh meneruskan pelajaran pada ketika itu.

Aku berehat di rumah dan cuba menyibukkan diri dengan apa-apa sahaja aktiviti. 2 tahun aku di rumah, aku bekerja kerana aku memerlukan duit.

Semasa bekerja aku hanya mempunyai 2 orang rakan kerja kerana hanya bekerja di sebuah syarikat persendirian yang kecil. Pada ketika itulah aku belajar untuk bangkit dari kesunyian dan rasa gagal yang sebelum ini menyelubungi aku.

Aku bekerja dari pagi hingga ke malam hampir setiap hari. Aku mengambil OT supaya aku sibuk. Selepas 2 tahun, aku mula mempunyai rasa yakin dan aku membuat permohonan belajar sekali lagi.

Aku diterima masuk ke sebuah IPT. Namun, pada awalnya rasa malu apabila berhadapan dengan ramai orang mula menyerang. Aku masih senyap dan terlalu malu di dalam kelas.

Sehingga suatu masa di awal semester ketika itu, ditakdirkan terdapat kursus pengurusan tekanan dan psikologi serta pemeriksaan ujian tekanan diri.

Barulah aku tahu bahawa selama ini aku menghadapi tekanan yang melampau dan mempunyai kecenderungan bunuh diri yang tinggi.

Bermula dari situ, dan mengingatkan kejadian di IPT lama, aku kuatkan diri untuk melakukan sesi kaunseling. Aku juga mula menyusun waktu untuk mengulang kaji pelajaran dan memastikan tidur dan makan yang cukup dan baik.

Rezeki aku juga, pada ketika itu aku dikelilingi rakan-rakan sekelas yang mempunyai aura yang positif. Oleh kerana malu, aku selalu berjalan menundukkan kepala dan tidak senyum kepada sesiapa.

Satu hari, aku ditegur oleh seorang rakan sekelas. Beliau meminta aku untuk senyum. Aku terkejut dan cuba senyum pada ketika itu.

Kemudian beliau mengatakan bahawa senyuman aku manis dan rugi sekiranya aku menyembunyikan senyuman itu. Pada waktu itu, beliau bersama rakan-rakannya. Kesemua rakan-rakannya juga senyum kepada aku.

Selepas daripada itu, aku mula mendapat kekuatan untuk bercampur dengan rakan-rakan sekelas. Mereka juga adalah rakan-rakan sekelas yang aktif menegur seluruh kelas dan menceriakan suasana.

Walaupun ada di kalangan kami yang slow learner tetapi mereka sentiasa menyokong pelajar-pelajar slow learner. Gaya kehidupan mereka juga tidak bersifat kebandaran.

Penampilan mereka yang sederhana membuatkan aku juga selesa dengan gaya aku yang sederhana. Aku tidak perlu malu memakai baju yang tidak trendy dan gadget yang biasa-biasa.

Semua itu sudah hampir lebih 10 tahun yang lepas. Kini aku sudah berkerjaya. Namun aku akui kita sememangnya tidak boleh lari daripada tekanan hidup. Tanggungjawab, beban kerja dan kelangsungan hidup sentiasa memberikan cabaran kepada kita.

Apa yang penting adalah, kita perlu sentiasa bangga dengan apa-apa sahaja pencapaian kita walau pun sekecil-kecil perkara. Kita perlu menerima diri kita sendiri dan jangan sekali-kali membandingkan hidup kita dengan orang lain.

Aku masih lagi pemalu tetapi kita perlu belajar untuk keluar dari zon selesa tanpa mengubah nature diri sendiri. Aku perlu sentiasa belajar siapa aku dan bagaimana cara yang terbaik untuk aku bersosial tanpa mengubah personaliti aku.

Zaman internet hari ini memudahkan segalanya, segala info untuk perkembangan diri boleh diakses dengan mudah.

Namun dalam masa yang sama, media sosial yang penuh dengan tayangan gaya hidup mewah ada keburukannya pada aku kerana aku akan mula cenderung untuk membandingkan hidup orang lain dengan hidup sendiri.

Maka, penyelesaiannya, aku skip untuk lihat posting-posting seperti itu dan kurangkan juga untuk mempamerkan lifestyle aku. Kerana aku percaya “hidup kita yang tidak disyukuri ini, adalah dambaan kepada seorang insan yang kurang bernasib baik di luar sana”.

Aku juga pasakkan dalam hati bahawa aku ini adalah orang yang penting. Paling penting dan diperlukan untuk keluarga aku. Untuk ibu dan bapa aku yang semakin berusia dan memerlukan aku menemani hari-hari tua mereka.

Aku teringat bagaimana ibu aku menelefon aku berkali-kali semasa aku tidak sedarkan diri mencuba untuk mati sebelum ini. Mungkin naluri ibu pada ketika itu.

Aku juga faham kepentingan untuk kita luahkan rasa hati kita. Tetapi dalam masa yang sama bukan semua orang boleh dijadikan tempat bercerita. Ada yang hanya mendengar, ada yang memberi nasihat menyinggung perasaan, ada yang toksik dan bermacam-macam lagi.

Bab ini aku masih belajar untuk menerima hakikat bahawa manusia itu tidak sempurna. Akhirnya, hanya Allah tempat sebaik-baik mencurahkan rasa hati.

Namun sebagai manusia, kita masih memerlukan manusia lain untuk meluahkan rasa. Maka carilah orang yang betul-betul layak mendengar keluhan hati supaya kita tidak pula makan hati di hujungnya.

Aku kira sampai sini sahaja perkongsian aku. Aku berharap kita semua sentiasa kuat menghadapi tekanan-tekanan hidup zaman sekarang yang semakin mencabar.

Mungkin kisah tekanan hidup aku tidak seberapa tapi itulah yang aku lalui. Aku yakin ramai lagi yang lebih hebat cabaran dan tekanannya namun itulah kehidupan.

Hiduplah dengan seadanya berdasarkan siapa kita, apa kemampuan kita.

Carilah waktu untuk menambah ilmu supaya minda semakin terbuka,

Carilah waktu untuk belajar perkara-perkara baru yang bermanfaat untuk tambah nilai diri,

Hargai orang sekeliling terutama keluarga tanpa mengharapkan apa-apa,

Berbuat baiklah dengan orang tanpa mengira siapa namun jangan dilupa kebajikan diri sendiri,
dan percayalah bahawa Tuhan sentiasa bersama kita.

Maka, usahalah setiap hari untuk dekat dengan Allah dan berserah kepada DIA..

-stay strong-

– Silent writer (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *