Assalammualaikum warga IIUM Confession. Yang pertama, saya ucapkan terima kasih kepada admin jika cerita saya disiarkan.
Saya memilih untuk meluah di sini disebabkan tiada yang sudi mendengar. Mungkin masalah saya agak remeh tetapi saya tetap tertekan dan tak mampu untuk teruskan lagi.
Saya bekerja sebagai admin selama 3 tahun di Selangor dan mempunyai gaji yang agak lumayan. Saya adalah anak rantauan yang berasal dari Kedah.
Masalah saya adalah berpunca dari tekanan pekerjaan. Persekitaran yang toksik dan juga rakan sekerja yang sukar memberi kerjasama membuatkan saya penat dan sukar untuk membuat kerja.
Saya cerita sedikit tentang latar belakang syarikat saya, syarikat ini menghasilkan pendapatan dengan mendapatkan projek atau tender dari kerajaan dan swasta.
Setiap kali ada tender baru yang diiklankan, pasti bos akan meminta untuk kami sertai.
Sejujurnya saya tiada masalah untuk membuat tender walaupun beratus tender yang perlu masuk. Saya menganggap tender-tender adalah rezeki dan merupakan sumber pendapatan untuk saya juga.
Namun yang membuatkan saya tertekan adalah apabila rakan sekerja langsung tidak mahu mmbantu dalam pembuatan tender sedangkan saya juga mempunyai tugas hakiki.
Saya terpaksa berjaga pada waktu malam untuk menyiapkan tender tersebut.
Syarikat kami memiliki penyelia untuk di site iaitu apabila kami mendapat tender, kami akan melatik seorang penyelia untuk mengendalikan site.
Kami mempunyai 4 orang penyelia untuk 4 projek/site. Mereka telah pun di terangkan skop dan tugas masing-masing.
Namun semakin lama, mereka mengambil sikap lepas tangan. Tidak turun ke site sehingga client membuat aduan dan saya perlu selesaikan.
Selain pekerjaan di pejabat, saya juga perlu memantau dan memastikan penyelia-penyelia melakukan tugas mereka. Jika ada penyelia yang melakukan masalah, sudah pasti saya yang dimarahi samada oleh client ataupun bos.
Saya sudah memberi nasihat dan memberikan surat amaran namun mereka mengendahkan amaran saya. Sebaliknya mereka mengejek dan menyindir saya.
Mereka tak takut dengan saya disebabkan usia saya yang masih muda dan salah seorang dari mereka adalah anak saudara bos saya.
Setiap hari, pada waktu pagi saya akan berasa takut dan menggigil untuk pergi ke tempat kerja.
Saya dah maklumkan kepada bos mengenai masalah saya namun tidak dipedulikan malah saya yang dimarahi kerana bos saya menganggap itu hanya remeh saja,
Dan apabila saya memberitahu mengenai aduan client, bos saya hanya berkata itu adalah masalah saya dan saya perlu menyelesaikannya.
Kadang kala saya terfikir apa sebenarnya tugas saya di syarikat ini. Bila saya membaca skop kerja yang diberikan, saya hanya perlu melakukan tugas- tugas admin tetapi saya perlu menjadi ‘pengasuh’ kepada penyelia yang lebih tua dari saya.
Tentang bos saya pula, beliau sering memberikan arahan yang memeningkan.
Apabila saya menyampaikan arahan tersebut kepada penyelia dan rakan pejabat, mereka tidak mengendahkan arahan dan bertindak sesuka hati. Dan akhirnya saya yang dipersalahkan.
Saya sudah mencuba untuk apply kerja di tempat lain namun masih bukan rezeki saya. Setiap hari saya berdoa agar saya mendapatkan pekerjaan dengan persekitaran yang lebih baik.
Sekarang setiap kali, saya ke tempat kerja saya akan berasa kosong dan tiada lagi keseronokan bekerja sampai satu tahap saya selalu membayangkan jika saya kemalangan untuk mengelakkan diri dari orang-orang toksik.
Saya hanya mendiamkan diri, mengelakkan diri dari rakan pejabat dan memekakkan telinga.
Saya mohon kepada rakan IIUM Confession, tolong doakan saya mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dari ni dan dekat dengan keluarga saya.
– May (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit