Assalamualaikum dan hai semua pembaca iium confession. Ini adalah nukilan pertama aku mengarang disini kerana aku terpanggil untuk berkongsi kisah aku sebagai seorang wanita yang berkerjaya dan ”temporary jobless” untuk sepanjang tempoh dan selepas PKP ini.
Untuk pengenalan, cukuplah sekadar mengenali aku sebagai Nita lewat 20-an. Masih bujang dan insyaallah bakal menamatkan zaman bujang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tamat.
Jadual kerja aku memerlukan aku bekerja selama 5 hari setengah seminggu, dimana separuh hari setiap sabtu. So disebabkan tugasan aku yang tidak menentu, adakalanya memang aku balik lewat sedikit dari waktu yang sepatutnya.
Jadinya bila aku rancang untuk keluar bersama keluarga atau tunang dan terpaksa balik lewat sedikit, aku akan maklumkan pada mereka awal.
So kebiasaannya baik keluarga mahupun tunang, mereka ok dan faham. Aku syukur sebab scope kerja bakal suami hampir sama dan dia faham adakalanya diluar jangkaan.
Jika dulu masa baru bertunang, orang kata zaman bertunang ni kuat dugaan dia. So apa-apa jangan cepat melatah, banyakkan bersabar. Cuma aku masa baru lepas bertunang tu, aku terfikir jugak laa apa dugaan aku esok-esok. Masalah kewangan ke, sebab ialah kebiasaan nak kawin ni kan banyak pakai duit.
Dalam tenang ada juga gusarnya. Cuma aku banyak doa supaya apa-apa ujian yang aku terima, aku dapat hadapi dengan tenang. Alhamdulillah hubungan kami sejak dari proses merisik hingga selepas majlis bertunang semuanya dalam keadaan baik dan lancar.
Merajuk sikit-sikit tu adat laa tapi bukanlah berpanjangan, bagi aku lebih kepada proses mendapatkan persefahaman dan keserasian. Contoh paling mudah, dia akan merajuk bila dia ajak pergi makan tapi aku biasa laa bersiap lambat. Tapi bukan merajuk annoying tu.
Dia biasa diam sahaja dan aku faham laa dia tengah merajuk. Sebab dia senang merajuk kalau tengah lapar. Spesis macam aku laa, kalau lapar mood hilang. Nanti bila dapat makan happy semula laa.
Memandangkan tahun 2020 ni bakal jadi tahun keramat sebab tahun ni aku akan tukar status aku daripada cik ke puan, jadi aku bayangkan semua seperti apa yang aku rancang.
Macam aku cakap, semua berjalan lancar baik dari segi urusan peribadi mahupun karier, sampai laa lagi beberapa bulan nak nikah, majikan aku buat perangai. Bayar gaji lambat daripada kebiasaan.
Maaf melebihi tarikh akhir pembayaran gaji kalau ikut undang-undang buruh Malaysia. Bulan pertama aku masih bertenang sebab kononnya bersangka baik dengan majikan.
Rakan sekerja lain dah mula mengeluh kerana mereka ada tanggungjawab komitmen yang perlu diselesaikan. Lambat bayar interest jalan. Tambahan pula mereka sudah berkeluarga.
Aku pun ada komitmen bulanan macam mereka cumanya daripada awal pembayaran, aku dah mulakan dengan gaji yang aku dapat bulan ini untuk bayaran komitmen bulan depan.
So aku tidak laa terasa bebanan seperti yang mereka lalui. Cumanya sesak sikit laa. Dengan gaji tak besar mana, bila gaji lambat, terasa laa kering duit poket.
Aku sangkakan sebulan sahaja, rupanya aku silap. Berlarutan ke 3 bulan. Gaji masih dapat amount sebulan cuma lambat. So faham-faham laa kalau lambat ni banyak urusan kita tertunggak dan terganggu.
Aku memang pantang dimain-mainkan gaji macam ni. Boss bagi alasan masa bulan pertama itu yang terakhir tapi tengoklah, sudah 3 bulan gaji lambat. Ewah-ewah, suka-suka aje dia melambatkan bayaran gaji kami.
Mentang-mentang kami diam tidak buat laporan, semudah itu dia meringankan urusan gaji kami. Alasan majikan, kewangan syarikat mengalami krisis yang amat tenat. Aku tak tahu laa kenapa tenat.
Nak kata aku tiada kerja, kerja sentiasa ada malahan lebih. Projek baru rancak datang ke tangan aku. Celah mana kewangan syarikat jadi tenat. Prestasi jualan meningkat sejak tiga tahun lepas tetapi kenapa majikan aku bagi statement yang bercanggah daripada apa yang aku nampak?
Bila masuk bulan Mac, perdana menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 berkuatkuasa ke seluruh Malaysia.
Pintu-pintu sempadan negara mula ditutup begitu jua segala jenis premis perniagaan melainkan mereka yang terlibat dengan ‘essential service’ sahaja yang dibenarkan beroperasi.
Kemudian dilanjutkan ke fasa kedua dan ketiga. Disinilah bermulanya dugaan kedua buat aku. Ya, dugaan dimana hak gaji aku diperkotak katikkan. Sama seperti sebelum ni, gaji lambat lagi.
Cumanya kali ni majikan aku cuba untuk mendapatkan persetujuan bersama untuk mengurangkan gaji pekerja sebanyak 50% daripada gaji basic untuk sepanjang PKP ini sehingga selepas PKP tamat.
Bila aku persoalkan pengurangan gaji bersamaan pengurangan waktu bekerja setelah tamat PKP, majikan tidak dapat memutuskan lagi. Berkemungkinan masa bekerja sama seperti biasa cuma gaji separuh. Oh ya, sepanjang PKP dilaksanakan, aku wajib bekerja seperti biasa dari rumah.
Boleh nampak tak perbincangan ini berat sebelah dan tidak adil untuk sebelah pihak? Ya itu yang aku rasakan. Aku tidak pasti apa yang majikan aku sedang fikirkan. Yang pasti majikan memberi pilihan sama ada menerima tawaran mereka atau berhenti.
Sebelum perbincangan antara aku dan majikan, aku siap ‘study’ subsidi yang kerajaan beri melalui PERKESO kepada majikan bagi mengelakkan pekerja hilang pekerjaan sepanjang PKP ini dan nasib mereka terbela. Jadi aku rasa tindakan majikan aku ini tak adil dan berat sebelah.
Kenapa aku berani cakap macam tu? Sebab aku dah jelas dan terang dengan program subsidi PERKESO ini.
Untuk makluman korang sekalian, seperti yang kita tahu, bantuan ERP atau Employment Retention Program ini untuk pekerja yang mendapat notis cuti tanpa gaji (CTG) selama 6 bulan (maksima) berkuatkuasa 1 Mac 2020.
Manakala Wage Subsidy (subsidi gaji) untuk majikan yang nak kekalkan pekerja, istilah lainnya bekerja macam biasa walaupun dari rumah. So kat sini bagi aku jelas. Boleh bayar gaji atau tidak. Jika boleh dan mahu pekerja bekerja boleh apply Wage Subsidy. Tapi jika tidak, mohonlah ERP.
Selagi mana pekerja tersebut menepati syarat yang diberikan. Kalau nak cakap syarat. Aku memg layak sangat sebab gaji aku tak sampai pun RM4000 dan aku pun mencarum PERKESO.
Oh ya, untuk majikan yang mohon Wage Subsidy, mereka tak boleh mengurangkan gaji pekerja yang sediaada, meminta pekerja cuti tanpa gaji atau memberhentikan pekerja dalam tempoh 6 bulan walaupun subsidi yang diberi cuma untuk 3 bulan.
Korang jelas tak penjelasan aku atau korang pening? Tidak mengapa, kalau pening mungkin boleh rujuk jadual perbezaan ERP dan Wage Subsidy yang Perkeso keluarkan.
So aku mohon masa untuk aku fikirkan keputusan aku. Dalam masa sama, majikan ada laa juga ugut manja yang kalau aku tak terima tawaran mereka dan berhenti kerja, dekat luar pun tengah ”susah”. Jadi daripada jobless baik terima sahaja tawaran mereka tanpa ragu.
Dekat sini nampak tak betapa bagusnya psychology yang mereka pakai. Mereka tahu mereka perlukan pekerja untuk bekerja seperti biasa sebab deretan kerja yang melambak tapi mereka tidak mahu bayar gaji penuh, dengan alasan kewangan syarikat yang tenat.
Untuk pekerja yang tak nak cari solusi bagi pihak diri mereka, dengan buta-buta terima dengan alasan daripada tiada kerja tiada gaji. Aku jadi tawar hati sebenarnya. Sebab tawaran itu langsung tidak beri benefit untuk aku.
Maaf kalau korang fikir aku tolak rezeki. Bukan aku menolak tapi cuba bayangkan, korang perlu kerja macam biasa, beban kerja yang sama, working hour sama or even more tapi gaji jadi separuh. Adil ke? Mesti korang pun akan minta waktu berfikir bukan?
So setelah dua tiga hari mencari solusi, akhirnya aku dengan sebulat suara untuk memilih cuti tanpa gaji. Bagi aku lebih baik aku terima bantuan ERP RM600 sebulan daripada perlu menghadap kerja yang memerlukan aku berfikir dan dalam masa sama tak ikhlas sebab bayaran gaji yang tidak setimpal.
Sudah pasti majikan kurang senang dengan pilihan aku. Kerana yang lain bersetuju cuma aku sahaja memilih CTG. Tapi majikan tidak boleh nak kata tidak.
Jadi masa yang ada ini aku boleh khususkan untuk aku sendiri. Aku boleh gunakan dan manfaatkan untuk perkara yang aku tertangguh selama ini.
Walaupun aku jobless seketika, aku happy dan tenang. Even family dan bakal suami pun respect dan sokong. Mereka betul-betul tulang belakang aku yang sebenar.
Aku syukur sebab Allah berikan aku family dan bakal suami yang sentiasa ada dekat belakang aku walaupun situasi aku rumit. Aku tak tahu laa kalau ini mungkin sebahagian ujian dan dugaan aku nak bina masjid.
Untuk pembaca diluar sana, jangan takut untuk membela nasib kalian. Jika korang rasa tertindas, please jangan buat keputusan terburu-buru dengan terus bersetuju atau resign.
Ambil masa berfikir dengan rasional dan cari solusi terbaik. Insyaallah Allah akan temukan kalian dengan jalan keluar. Rujuk kepada orang yang arif. Jangan terus putus asa. Korang ada hak korang sebagai pekerja.
Oh ya, sebelum terlupa, kalau majikan korang ingin memberhentikan atau mengurangkan gaji, mereka perlu submit PK form di Pejabat Buruh. Once diluluskan baru boleh majikan take action. Selagi tidak dapat kelulusan, gaji mesti dibayar seperti biasa.
Aku rasa hikmah kenapa aku lalui semua ini, aku dapat ilmu dan pengalaman baru yang mungkin aku tak akan tahu kalau aku tak ada dalam situasi ini.
Aku baru tahu yang Akta Pekerja 1955 tu termaktub untuk pekerja yang gaji bawah RM2000, aku baru tahu yang gaji lebih RM2000 kena refer Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) jikalau diberhentikan dengan cara salah atau dianiaya, aku baru tahu fungsi PK form tu.
Aku baru tahu beza retrenchment, Voluntary Separation Scheme (VSS) dan Mutual Separation Scheme (MSS). Dan tak lupa juga berkenaan Sistem Insuran Pekerja (SIP).
Jadi sampai disini sahaja nukilan kisah aku yang temporary jobless. Jikalau penulisan aku diatas terkasar atau tersilap bahasa, aku mohon maaf. Kalau ada term related isu yang aku kongsikan tersalah, mohon kalian sudi kongsikan so aku boleh take noted for future.
Sepanjang PKP ini please duduk rumah dan sama-sama jaga kesihatan. Aku doakan semoga korang sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah.
– Nita (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit