Sahaja aku menulis tentang pengalaman diri yang tak seberapa sebagai hiburan untuk pembaca-pembaca di luar sana. Kisah yang tiada apa, namun mungkin ada yang dapat mengaitkan.
Umurku, 4 dekad tahun ini. Takut betul aku menginjak ke umur ini dan masih sendiri. Dulu, itu perasaan dulu. Sekarang? Aku rasa bersyukur sangat kerana diberi kesempatan oleh Yang Esa untuk aku terus menghirup udara dunia penuh pancaroba.
Ya, banyak lagi sebenarnya nikmat hidup yang Allah beri. Banyak cara mendapatkan redha-Nya. Kenapalah tentang berpasangan sahaja yang menjadi matlamat hidup?
Perkara yang sukar untuk aku pelajari, namun sudah cukup mengerti bila terkena sendiri. Nak fahamkan orang sekeliling, wah, ini satu cabaran lain!
Aku secara naturalnya, seorang introvert dan pemalu. Sungguh tak pandai berbual kosong, beramah-mesra dengan orang yang tidak dikenali adalah yang paling sukar sekali.
Namun, sejak kecil, aku sering jadi mangsa ‘digosipkan’ dengan sepupu sendiri. Dengan jiran. Dengan kawan sekolah. Sungguhlah menyeksakan untuk orang seperti aku. Diam-diam aku yang tidak kacau orang pun, selalu jadi mangsa sakat.
Zaman sekolah rendah, aku melihat kakakku yang berperangai kontra denganku mula bercinta dengan jiran depan rumah. Pemikiranku masa tu, oh, darjah 6 kita sudah boleh suka lelaki rupanya. Beza aku dengan kakak adalah 5 tahun.
Pada masa sama, ada rakan sepermainanku merangkap rakan sekelas yang suka betul berkirim salam kepada aku melalui kakak dan abangku. Di kala aku mengganggap beliau sebagai rakan, eh, dia pula sudah ada perasaan cintan-cintun.
Perkara ini berlanjutan sehingga ke aku darjah 3, di mana klimaksnya adalah dia menghantar kad raya dengan ucapan bertulis I Love You’.
Aku buka kad tu semasa berjalan pulang ke rumah bersama rakan sekelas yang tinggal berdekatan. Aduh, malu betul rasa masa tu. Terus aku kerat 18 kad tu dan buang ke dalam longkang.
Aku mula suka pada lelaki sewaktu berada di Darjah 6 (betul-betul ikut jejak kakak?) tapi mengetahui dia budak lelaki popular di sekolah, tidaklah aku berbuat apa-apa kecuali memerhati dia dari jauh.
Kadang terperasan sendiri bila aku lalu di sebelah kelasnya, terdengar kawan-kawannya menjerit mengusik.
Pelik, aku tidak bercerita langsung kepada sesiapa tentang perasaan sendiri. Mungkinkah jika bertepuk, akan berbunyi? Ah, tak mungkin, siapa aku, bukan gadis popular seperti yang digosipkan dengannya.
Menginjak ke Tingkatan 3, wah, ini tahun dalam hidup yang paling menyeronokkan!
Ada rakan sekelas yang masuk kepala, ada peperiksaan besar hujung tahun, dan ada ‘crush’! Dia nerd. Tak campur dengan geng-geng nakal yang bising. Suka buat hal sendiri, dan paling penting, selalu excel dalam kelas.
Aku jadikan dia inspirasi untuk belajar lebih rajin, dan alhamdulillah, PMRku cemerlang tahun itu! Namun aku tidak direzekikan untuk masuk ke sekolah asrama, dan dia pula dapat masuk MRSM.
Bila dah terbiasa nampak dia dalam kelas, jadi rindu. Aku cuba beranikan diri menulis surat kepada dia. Tapi tak pernah berbalas. Entah dia baca atau warden koyakkan dulu, hahaha.
Tingkatan 4 tahun bulan madu kata orang, dan tahun itu aku mula belajar tentang mIRC. Syurga dunia seorang introvert yang ingin ada kenalan baru! Ramai juga jejaka sebaya yang aku kenal melalui mIRC.
Yang jadi kawan cukup cukup cukup baik pun ada, namanya FM. Yang aku berharap dia menyukaiku sepertimana aku menyukainya pun ada, namanya CS. Yang aku ter-lead on pun ada, namanya P.
CS tu memang idaman remaja, tinggi, main bola keranjang, hidung mancung. Dia ada ajak aku menonton dia bermain basketball. Sungguh aku tak pandai langsung bab sebegini, rasa malu tinggi betul walau dalam mIRC rancak berbual.
Aku ingatkan kami ok sahaja walaupun tak pernah berbual secara bukan maya, sehinggalah pada suatu insiden di kelas tuisyen. Aku dan kawan baikku sudah berada di dalam kelas. Aku tak tahu dia turut join kelas tersebut, sehinggalah dia muncul di depan pintu.
Aku nampak dia, dia nampak aku, dan dia terus pusing dan keluar. Kawannya terkejut, aku pun terkejut. Dia tak join kelas itu sebab ada aku.
Apa aku dah buat? Blur betul masa tu. Tahulah aku masa tu, inilah perasaan kena ‘reject’.
FM pula kawan yang cukup supportive, pemangkin semangatku untuk menghadapi SPM. Kami kerap berutus surat, lebih-lebih lagi bila dia mengikut ayahnya yang menyambung pelajaran di Australia selama setahun. Sekali surat diterima, itu dia, bermuka-muka!
Namun, sebab aku tahu dia ada teman wanita, hubungan kami memang terhad sekadar kawan sahaja. Nak dijadikan cerita, selepas SPM, dia bagitahu yang dia bekerja di sebuah kedai serbaneka.
Ayahku pula, sejak menolak tawaran syarikat lama untuk berpindah negeri, telah mendapatkan kerja sebagai pengurus stor di sebuah kedai serbaneka yang mempunyai cawangan yang begitu banyak di seluruh Malaysia.
Suatu hari, aku menjenguk ayahku di stornya yang terletak di kawasan segitiga emas kerana hendak meminjam tandas dan berehat sebentar.
Dapatlah aku tengok meja kerja ayahku di bahagian belakang stor. Nampak jugalah senarai nama pekerja-pekerjanya di papan tanda.
Eh. Aku kenal nama tu? Rupanya dialah yang sedang bekerja menjaga kaunter! Aku tak berani menegurnya, dia pun tidak tahu aku berada di stor itu. Selepas kes itu, barulah aku bagitahu dia dan ayahku sendiri tentang betapa kecilnya dunia ini!
P pula orang pertama yang ‘ajak couple’. Orang yang cukup popular di #4p5. Pelawaan diterima melalui sepucuk surat juga. Dalam surat turut disertakan tag nama sekolahnya, berserta sekeping gambar. Melihat gambarnya, aku terus rasa tawar hati, bukan seperti dalam bayangan.
Tunjuk gambar beliau pada kawan-kawan pula, semua tidak setuju kalau aku mahu berpasangan dengan beliau yang duduk jauh di negeri selatan.
Aku ada terjumpa kembali gambar beliau hampir sepuluh tahun kemudian. Eh, beliau ok je, kenapa aku tawar hati? Aduh, dah terlepas haha. Mungkin masa itu aku masih angaukan CS.
Lepas SPM, di majlis pengantin pakcikku, aku bertemu dengan kawan kepada sepupu sebayaku. Sepupu yang sering digosipkan denganku sejak kecil tu.
Sepupuku bagitahu yang rakannya berminat untuk mengenaliku. SMS menjadi aturan komunikasi kami dan sepupu kami bertindak sebagai orang tengah.
Semua pertanyaan rakannya tentangku adalah melalui sepupuku. Sampailah satu tahap, sepupuku bagitahu yang beliau tidak mahu mengenalkanku kepada kawannya, kerana beliau sendiri yang nak masuk line. Allah. Aku anggap kata-katanya itu sebagai gurauan.
Cuma beberapa tahun kemudian, bila beliau berkahwin, pernah beliau tanya kepadaku tentang apa yang aku rasa jika gurauan beliau sebelum itu adalah perkara serius? (tak ingat jawapanku apa, mungkin aku jawab aku geli kot).
Sewaktu bergambar di pelamin semasa majlis persandingan beliau pula, selamba saja dia bagitahu isterinya di sebelah yang aku ini skandalnya dahulu. Aduh, nak aja aku hempuk kepala dia tapi takut jadi drama pula di hari persandinganmu~~~
Zaman universiti, aku agak nekad untuk tidak bermain cinta memandangkan kos pengajianku yang mahal dan aku perlu fokus dalam pelajaran supaya tidak gagal, kalau gagal siapa yang nak bayar pinjaman?? Bercinta lepas belajar, pesan ayahku.
Namun, tanpa disedari aku mula jatuh cinta pada kawan sekelasku, MH, di Tingkatan 3 dahulu. Tidak ada rupa, tapi aku suka sebab dia jaga solat, tak clubbing, tak merokok dan ramah.
Kami agak rapat waktu itu, selalu lepak bersama, sehinggalah dia mengatakan yang dia akan melanjutkan pelajaran ke sebuah negara di Eropah.
Rasa pilu sewaktu menghantar beliau ke lapangan terbang bersama kawan-kawan yang lain. Kawan-kawan yang tidak tahu pun aku menyimpan perasaan pada beliau. Usai kembali dari lapangan terbang, aku menangis teresak-esak kerana rasa sedih berpisah.
Tak tahan, aku pun merangka surat elektronik (e-mel haha) kepada rakan baik beliau meminta pendapat, memandangkan surat ‘confession’ yang telah aku tulis tidak sempat aku serahkan kepada MH.
Respon dari rakan baiknya tidaklah begitu meyakinkanku, maka aku pendam terus niat hendak menyatakan perasaan sebenarku kepada MH.
Setahun sahaja MH di negara seberang. Tak tahan katanya, lantas dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di sini. Jarak universiti kami hanyalah 20 minit.
Gembiranya aku waktu itu! Rasa istimewa juga bila aku menjadi rakan pertama yang diberitahunya tentang kepulangannya ke Malaysia.
Rakan baikku dari zaman sekolah juga turut berada di universiti yang sama dengan beliau. Kerap juga kami lepak bertiga. Waktu itu aku sedar, aku tidak sekufu dengan MH apabila melihat keakraban mereka berdua.
Teringat lagi bila MH membuka topik tentang kereta, aku tidak dapat respon sebab aku memang tak minat langsung tentang kereta. Terus MH puji kawan baikku yang tahu pasal kereta. Haha.
Perlahan-lahan aku padamkan rasa sukaku pada MH atas sebab tak mahu kehilangan kawan baikku sendiri.
Masuk zaman bekerja, aku ditakdirkan memperoleh pekerjaan pertama di dalam industri hiburan. Tahun pertama, aku cukup culture shock, ye lah, seorang yang naif diperkenalkan kepada budaya bebas. Pekerja bawa minuman keras ke pejabat tidak menjadi kesalahan.
Rakan di meja belakang pula sibuk bercerita tentang kisahnya yang tinggal serumah dengan kekasihnya. Lama-kelamaan, aku cuba untuk blend-in dan jadi seorang yang cool (konon), dan memandang semua perkara-perkara maksiat di sekelilingku sebagai tiada apa.
Setahun bekerja di situ, aku mula keluar dating dengan rakan sekerjaku, AR. Baik orangnya, aku tahu dia sejenis panas baran tapi denganku, dia selalu tenang. Dia tak pandai bawa kereta, tapi dia tahu selok-belok jalan di kotaraya.
Teringat sewaktu beliau bawa aku makan di sebuah kedai steak, aku yang naif ini ingin merasa makanan yang dipesannya, namun terus dihalang sekerasnya! Terkejut aku, seperti satu kesalahan besar.
Rupanya, dia beritahu makanan yang dia order itu ada mengandungi arak JD, jadi dia tak mahu aku terjebak sekali. AR, sosial orangnya, namun dia tak pernah bawa aku sekali ke kancah beliau. Tidak pernah mengambil kesempatan.
Namun, setelah beberapa bulan keluar bersama tapi masih tiada label kepada perhubungan kami, aku memilih untuk ambil jalan keluar.
Lagi-lagi bila beliau jujur memberitahu yang beliau bukan sahaja keluar denganku, malah beliau ada 2-3 orang lagi wanita di dalam hidupnya.
Sewaktu aku mula menjauhkan diri dari AR, ada rakan sekerja lain yang datang mendekat. MM. Antara usikan awalnya sewaktu MM nampak AR naik keretaku selepas waktu kerja adalah, “ambil kelas memandu waktu malam ke tuuuu”. Hahaha.
Aku pula kerap menegur MM dengan tujuan menjadi spy untuk bekas rakan sekerjaku yang selalu komplen MM tidak menjawab sms dan callnya. MM masuk ke syarikat ini setelah bekas rakan sekerjaku berhenti, namun mereka kenal beberapa bulan sebelum itu lagi.
Perbualan tentang orang lain juga menemukan kami kepada fakta yang bekas kekasihnya merupakan kawan sekolahku. Oh, rupanya dialah yang buat kawan sekolahku ‘hilang’ dan tidak pulang ke rumah dulu!
Dari spy, aku menjadi tempat luahan rasa untuk dia move on dari kawan sekolahku itu yang katanya telah kembali kepada cinta pertamanya (yang juga merupakan kawan sekolahku!). Ingat kisah P di atas?
Rupanya, P adalah rakan sekelas MM! Habis aku digelakkan MM lagi bila dia tahu aku dengan P pernah macam ada apa-apa. Haih kecilnya dunia ini.
Dalam tak sedar, tiba-tiba, MM lah yang menjadi orang pertama yang panggil aku sayang, walaupun aku bukan yang pertama dia panggil sayang. Orang yang betul-betul mengajar aku tentang cinta, tentang indahnya, tentang peritnya, tentang bodohnya.
Orang yang telah memberi amaran kepadaku tentang betapa sukarnya untuk move on dari cinta pertama. Tapi aku yakin waktu itu dia bukan cinta pertamaku, kerana bagiku MH lah orang pertama yang aku betul-betul suka (aku silap rupanya).
Orang yang buat aku ingin sekali menulis di sini akibat terbaca confession ‘Orang Yang Belum Siap Kehilangan – IIUM Confessions’ ini.
Bukan kisah yang sama, namun aku cukup relate kepada ayat terakhir yang terngiang-ngiang di fikiran confessor.
Ayat yang hampir sama yang diungkap MM. “Awak ingat senang ke nak sayang orang?”
Hubungan kami yang cuma 2 tahun itu disulami dengan pelbagai drama.
Bodohnya aku yang tetap bersama dia walaupun dia mengaku check-in ke hotel bersama bekas kekasihnya, yang terang-terang tinggal bersedudukan dengan kekasih yang katanya sekadar peminatnya, yang minum arak di depanku sewaktu majlis makan malam syarikat.
Semuanya kerana satu harapan, yang dia akan berubah.
Aku tahu waktu itu cara terbaik untuk aku jauh dari dia dan melindungi diri dari terus terperosok ke lembah duka adalah dengan bertukar kerja. Alhamdulillah, aku dapat kerja baharu setelah 3 tahun di dalam industri tersebut.
Namun, cukup sukar untuk aku melupakan dia, mungkin kerana dialah yang pertama aku panggil kekasih. Yang pertama yang memberi bayangan akan pernikahan. Paling teruk, setiap kali aku nampak kereta kelabu dia, aku akan bayangkan itu dia, tapi bukan!
Sewaktu aku berjalan-jalan di luar, kerap saja aku nampak kelibat seolah-olah dia, tapi bukan! Namanya juga kadang-kala terpapar di end credit filem tempatan, ah, seksa!
Sehinggalah, syarikat kami diarahkan untuk berpindah ke negeri lain. Sedih aku waktu itu, namun aku sayangkan kerja yang baru saja aku ceburi. Aku pun berpindah.
Rupanya, itulah rezeki yang Allah bagi untukku ‘lebih mudah’ melupakan MM kerana di negeri itu, tak banyak penduduk yang pakai kereta proton itu.
Alasan untuk tidak berjumpa dengan circle of friends yang sama dengannya juga lebih mudah bila aku jauh. Di syarikat ini jugalah aku kenal 3 orang jejaka.
K, sparring partnerku, cukup baik orangnya, jauh beza dengan MM, namun rasa suka aku kepada K rupanya hanyalah sekadar suka sebagai kawan baik sahaja. Mungkin perasaan waktu itu lebih kepada rasa rebound.
A, yang aku kenal kerana dia baik dengan K. Menjadi peneman aktiviti waktu lapangku sewaktu kami sama-sama menjadi perantau di negeri orang.
Walaupun kami kerap ke mana-mana bersama-sama sehingga orang sekeliling merasakan kami seperti ada sesuatu, namun memandangkan aku tak nampak masa depanku bila dengannya,
Tambah lagi dengan gangguan dari bekas kekasihnya, maka mudah saja aku kata yang kami memang sekadar sahabat baik.
Dan S, yang aku kenal kerana beliau baik dengan A.
S, yang paling aku serasi dengan, yang paling melayan aku dengan baik, yang aku paling terbuka hati dengan lagi-lagi tatkala melihat beliau yang jalan terhencot-hencot setelah pembedahan kecil membuang kutil kaki namun tetap gagah ke surau untuk menunaikan solat.
Dalam ramai-ramai yang pernah aku kenal, dia sahaja yang pernah menimbulkan detikan dalam hatiku, adakah dia jodohku?
Perasaan gembira dan selesa bila dapat bersama dengan S melakukan pelbagai aktiviti mengisi kebosanan kami sungguh ikhlas sekali.
Karaoke, wayang, travel, jalan-jalan cari makan. Rakan-rakan sepejabat yang lain sudah maklum tentang betapa belangkasnya kami.
Sehinggalah seseorang yang lebih muda masuk berkhidmat di pejabat selama 3 bulan. Mudah jalan untuk mereka berdua menuju ke alam perkahwinan dalam masa perkenalan yang sungguh singkat.
Dan aku, yang sudah terbiasa sentiasa ada dia, sekali lagi terpaksa belajar melepaskan walau ditegah S.
Aku tak mahu kecewa berat lagi sepertimana aku kecewa dengan MM, tak sanggup! Tapi mana mungkin S mengerti walaupun yang menanggung seksa menjadi mangsa cemburu isterinya adalah aku.
Kadangkala tertanya-tanya juga aku, kenapalah isterinya cemburukanku sedangkan S telah memilih dia untuk jadi suri hidupnya!
Pada tahun terakhir umurku dimulakan dengan angka 2, aku jadi tak keruan. Risau menjadi andartu. Pada waktu ini, banyak pendapat sekeliling yang menyuruh aku ‘pergi berubat’. Ya, aku buat, dengan pelbagai jenis rawatan.
Yang kata aku ada gangguan, yang kata aku tak ada gangguan, yang kata ada yang menghantar, yang kata aku baik-baik saja cuma kena perbanyakkan zikir. Macam-macam! Dalam pada aku pergi ‘berubat’, aku juga perlahan-lahan mula berhijab.
Dulu, aku pernah berniat hendak berhijab bila aku berkahwin. Alhamdulillah aku tidak terus mengikut niatku itu, betapa salahnya niat itu, kerana berhijab itu seharusnya kerana Allah!
Pada umur itu juga, aku kenal dengan seseorang yang baru masuk ke syarikat kami, F. Kali ini kisah kami cuma 2 minggu, tapi 2 minggu yang sungguh memberi kesan kepadaku.
2 minggu itu, beliau tidak berhenti membuatku rasa istimewa, aku bertemu ibunya 2 kali, dating 2-3 kali, dan whatsapp darinya pula masuk setiap masa, sehinggalah tiba-tiba beliau diam.
Bila ditanya, beliau kata beliau telah bertemu jodohnya yang sebenar. Aku terus tersentak dan menangis teresak-esak di pejabat. Bukan sebab kecewa kerana tak dapat dia, tapi lebih kepada rasa kecewa ditipu!
Tapi, aku tahu, ini pasti jawapan terbaik yang Allah beri untukku, sebab aku ada buat solat istikharah tentang hubungan kami, walaupun baru 2 minggu. Perkara yang aku tak pernah buat dalam perhubungan-perhubunganku sebelum ini.
Dalam esak tangis meratapi kesedihan mempersiakan tempoh 2 minggu kepada orang yang salah, aku berdoa sungguh-sungguh pada Yang Maha Mendengar,
Ya Allah, aku dah tak larat bermain cinta sebegini, maka, ya Allah, kau hadirkanlah jodohku pada masa yang tepat, dan sementara jodoh itu muncul, Kau jauhkanlah aku dari gangguan lelaki-lelaki ini.
A & S tahu tentang kisah aku ini. Terharu aku bila A bagitahu yang kalau dia nampak F depan mata, mahu saja ditumbuknya!
S pula, bila aku kata yang aku ingin berkahwin tapi tak berjumpa jodoh, terus mengingatkanku yang Allah bukan ciptakan kita di dunia semata-mata untuk berkahwin.
Semak balik rukun iman, rukun islam, apakah semua itu telah aku capai? Pesannya lagi, kalau dia di tempatku, akan dia nikmati dengan pergi berjalan-jalan melihat dunia dan lakukan segala jenis aktiviti yang aku mahu! Aku pegang nasihatnya sampai sekarang!
2 tahun kemudian, mendengarkan kata-kata orang sekeliling yang risau dengan status andartuku, aku turut arahan mereka untuk pergi mandi bunga. 3 kali mandi di rumah ‘perawat’. Bunga yang telah digunakan, kami buang di sungai (maafkan aku sungai, aku dungu).
Aku turut diberi minyak wangi, yang katanya, kalau aku calit, aku tak boleh lalu bawah ampaian (red flag!! dan aku tak pakai bila abangku bagitahu yang biasanya minyak sebegini ada khadam, Allahu). Pesan ‘perawat’ lagi, jaga-jaga dengan gangguan suami orang.
Iya, selepas itu, bosku semakin menunjukkan niatnya untuk berpoligami. Dikongsinya poster tentang kebaikan poligami dalam group whatsapp kerja kami. Setiap kali aku pulang ke kampung pula, ditanyanya samada aku telah sampai atau belum. Harijadiku?
Buat pertama kali dalam sejarah, aku terima hadiah dari seseorang yang aku panggil bos.
Marah sungguh aku rasa, segala wang yang dia guna untukku, sepatutnya dia guna untuk anak bininya! Aku tak perlukan semua ini! Gila apa?! Apalagi senjata yang aku ada selain doa, semoga Allah lindungi aku dari menjadi perosak rumahtangga orang.
Alhamdulillah, aku berjaya berpindah department selepas itu. Aku nekad, aku tak mahu lagi berjumpa dengan mana-mana ‘perawat’. Sakit sangatkah aku? Sakit dengan tanggapan manusia sahaja kan sebenarnya?
Sebaliknya, aku telah mula bersungguh-sungguh untuk dekatkan diri lagi dengan Allah, letakkan kebergantunganku sepenuhnya kepada Allah,
Hafal sebanyak boleh zikir, ayat-ayat quran, doa dan surah, pergi ke kelas-kelas ilmu, faham dan amal al-Quran, buat sebanyak mungkin kebaikan, gembirakan orang sekeliling dan yang paling penting, berbakti kepada orang tuaku.
Raya tempoh hari, aku berpeluang beraya ke rumah datuk dan nenek saudaraku setelah bertahun-tahun tidak pulang. Jujur, aku lupa yang dahulu aku ada trauma untuk berhari raya kerana takut emosi bila mendengar soalan tentang kahwin. Alhamdulillah, aku tenang tahun ini!
Ada soalan yang aku jawab dengan gelak tawa, ada soalan yang aku berjaya tukarkan topiknya, dan yang paling seronok, aku jawab semula soalan mereka dengan meminta mereka doakan yang baik-baik untukku. Semoga namaku disebut mereka dalam setiap sujud terakhir.
Begitulah kisahku yang tidak ringkas mana. Itupun aku tak masukkan kisah beberapa cubaan dikenenkan oleh keluarga dan rakan-rakan dengan polis, jururawat, pekerja kilang..
Juga kisah peminat di zaman universiti yang kemudian dikatakan menjadi g4y setelah aku tolak cintanya <masukkan smiley tersengih dengan peluh setitik>.
Yang penting, setelah aku lepaskan semua perkara berkaitan lelaki, aku rasa lebih tenang. Terasa ‘beban’ yang menyesakkan dada ini tiada.
Namun, aku manusia biasa, belum kuat untuk jadi setinggi Rabiatul Adawiyah, dan hanya mampu berserah bulat-bulat kepada Allah untuk tentukan rezekiku dalam perihal jodoh.
Untuk mereka yang pernah singgah, terima kasih di atas pengalaman hidup. Semoga kita semua baik-baik saja.
“Do we ever forget people?”
“No”
“Then?”
“We just learn to live with their absence”
– Yana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit