Tentang Seorang Nenek Yang Aku Tak Pernah Kenal Dengan Kasih Sayang

Hari ni aku nak kongsi tentang satu kisah lama, kisah yang aku simpan dalam hati bertahun-tahun. Tentang seseorang yang sepatutnya menjadi pelindung, tapi jadi sumber luka

Dari awal, nenek aku tak pernah suka dengan ibu aku. Bukan sebab ibu aku buat salah, tapi sebab ibu aku ‘orang luar’.

Keluarga ayah aku dulu jenis yang hanya kahwin sesama sepupu. Jadi bila tiba-tiba ibu aku muncul — seorang gadis biasa yang tak ikut budaya mereka, seksi katanya — dia terus jadi bahan benci.

Masa majlis kahwin, macam-macam jadi. Kakak ayah aku sorokkan gelang pengantin. Ada saja usaha nak batalkan perkahwinan tu. Tapi akhirnya mereka tetap bersatu.

Malangnya, perkahwinan itu bukan permulaan bahagia. Ayah aku tak dibenarkan keluar dari rumah nenek. Ibu aku diperlakukan macam hamba.

Bayangkan, semua kerja rumah ibu aku kena buat. Perempuan-perempuan lain dalam rumah tu malas, pinggan mangkuk pun bertinggik.

Ibu aku tak dibenarkan guna elektrik. Masak nasi, masak air semua kena guna dapur kayu, sebab katanya takut bil mahal — walhal ayah aku yang bayar semua bil.

Sampai masa ibu aku mengandungkan aku pun, dia tetap kena buat kerja berat. Nak mandi pun tak boleh guna paip — kena kutip air perigi yang jauhnya bukan dekat.Sarat mengandung, badan lemah, tapi dipaksa pikul semua beban.

Aku tak pernah rasa kasih sayang nenek aku. Yang aku tahu, dia pernah buat ibu aku menderita cukup-cukup.
Kadang aku fikir, patut ke aku sedih bila dia dah tiada?

Jujurnya, aku cuma sedih untuk ibu aku. Sebab walau macam mana teruk pun layanan nenek aku, ibu aku tetap ajar aku untuk mendoakan dia.

Sampailah satu saat, bila kandungan ibu aku makin sarat, dia dah tak mampu nak hidup dalam rumah yang macam neraka tu.

Akhirnya ayah aku nekad — bawa ibu keluar dan sewa rumah lain.

Tapi jangan sangka semuanya terus jadi aman. Setiap hari, selepas menoreh getah, nenek aku tetap datang rumah yang kami duduk — bising, marah-marah, umpama tak puas hati walaupun anak dia dah keluar dari rumah dia.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Ibu aku lahirkan kami — tiga orang anak perempuan.

Dan ya, jangan terkejut, kebencian nenek aku bukan setakat pada ibu aku saja — kami cucu-cucu perempuan dia pun dia tak suka.

Depan ayah aku, dia pandai berlakon — cukup baik, cukup alim. Tapi belakang, perangai dia… nauzubillah.

Setiap kali raya, ayah aku akan bagi ibu duit. Duit tu untuk beli keperluan raya — baju raya, kuih, daging , semuanya untuk keluarga ayah aku.

Ibu aku jugalah yang bersusah payah beli, angkut, dan hantar semuanya.

Tapi yang paling menyakitkan hati — duit raya yang nenek bagi pada semua cucu, sebenarnya dari ayah aku sendiri.

Dan kami, tiga beradik perempuan ni, setiap kali salam nenek masa raya… tangan kosong. Tak pernah sekalipun dia hulur walau seringgit.

Aku ingat, dari kecil lagi rasa tu dah ada — rasa tak disayangi. Hari demi hari, rasa benci kami pada nenek makin membuak. Tapi ayah aku?Dia tetap tak boleh terima.

Bagi dia, semua yang kami rasa, semua yang kami nampak — salah. Bagi dia, ibunya tetap suci, tetap betul.

Kadang aku terfikir, kenapa manusia macam ni wujud?

Kenapa orang yang sepatutnya paling banyak memberi kasih sayang, jadi orang pertama yang meracuni hidup anak dan cucunya?

Tapi aku tahu. Allah nampak semuanya.

Dan aku tahu, kasih sayang sebenar — aku dah rasa cukup banyak dari ibu aku sendiri.

Masa kami makin besar, satu lagi ujian datang.

Ayah — yang selama ni kami sayang, yang tak pernah culas nafkah, yang tiap minggu bawa kami jalan-jalan, main game, tengok wayang, makan macam keluarga biasa — rupanya simpan rahsia besar.

Ayah tak pernah naik tangan. Cubit, lepuk, aipp pun tak pernah.

Kalau ibu marah, ayah cuma tarik kami tiga beradik naik motor atau kereta, bawa ke mall, ke taman, ke mana-mana — janji jauhkan kami dari suasana tegang.

Pernah sekali, adik aku masih pakai pampers, ayah tetap bawa masuk mall. Dia cakap, “Takpe, biar orang tengok. Janji kita beli barang, kita bayar.”

Tapi… Apa guna semua memori tu bila akhirnya kami semua terpaksa telan hakikat: ayah ada perempuan lain.

Bukan ibu saja yang remuk. Kami adik-beradik pun rasa dunia macam runtuh.

Aku masih ingat macam semalam — ibu menangis sampai makan panadol satu papan dalam satu masa. Overdose. Hampir minum Clorox.

Kami meraung tengok ibu bergelut nak hidup, dalam jiwa yang dah hancur.

Ibu tak ramai kawan. Tak ada lagi mak ayah untuk mengadu.

Dia cuma ada kami — anak-anak kecil yang masa tu pun tak tahu nak buat apa selain menangis sekali.

Ibu mengamuk, pergi tanya nenek tentang hubungan ayah.

Tapi nenek — seperti biasa — mati-mati nafi sedangkan dia tahu segala nya bukan dia sahaja adik beradik dia semua tahu tentang perempuan tu . Sumpah dengan Al-Quran pun sanggup.

Padahal, dari aku umur 5 tahun, ayah dah tinggal serumah dengan perempuan tu.

Sampai la kantoi masa aku umur 14 tahun.

Bayangkan berapa lama mereka hidup begitu dalam penipuan.

Dan perempuan tu — bukan sorang. Ada tiga orang anak lain.

Macam mana kantoi? Banyak mulut yang sampai pada ibu, tapi selama ni ibu bertahan, tak percaya. Sampai satu hari, seorang staff ayah sendiri tunjukkan rumah perempuan tu.

Dan aku, anak perempuan sulung, ikut ibu setiap hari lalu depan rumah tu.

Nampak kereta ayah.

Nampak selipar ayah.

Nampak baju sidai atas ampaian — baju ayah.

Allah… beratnya rasa waktu tu.

Tak ada perkataan yang boleh lukiskan betapa pecahnya hati aku, hati ibu, hati kami adik-beradik.

Nak dipendekkan cerita, lepas semuanya terbongkar, hidup ayah makin susah. Rezeki makin sempit. Kesihatan pun mula merosot. Tak lama lepas tu, ayah jatuh sakit.

Sebulan sebelum ayah meninggal, dia panggil kami tiga beradik. Masa tu, kami dah lama pendam luka. Tapi ayah… dia mula buka mulut.

Dia ceritakan semuanya — segala beban yang selama ni dia simpan sendiri. Dia kata, perempuan yang selama ni bersama dia tu… sebenarnya cuma pak sanggup.

Bukan cinta. Bukan pilihan sebenar.

Hanya satu keputusan salah yang akhirnya menghancurkan banyak hati — termasuk hati kami, anak-anak dia sendiri.

Lepas ayah mula terbuka dengan kami, macam-macam dia cerita. Keluh kesah yang dia pendam bertahun-tahun, semua diluahkan satu persatu.

Sejak dari itu, ayah mula berubah. Dia belajar solat. Belajar baca Al-Quran. Setiap hari waktu Subuh, dia akan kejut kami tiga beradik untuk solat. Suara dia jadi suara pertama yang kami dengar setiap pagi.

Kami nampak usaha ayah nak jadi lebih baik. Dan kami, perlahan-lahan mula maafkan walaupun hati masih luka.

Sampailah ke penghujung hayat dia. Dua hari sebelum raya. Sehari sebelum dia meninggal. Ayah tiba-tiba koma. Pendarahan dalaman. Doktor sahkan ayah dalam keadaan kritikal.

Dan dalam saat kami sekeluarga kelam kabut di hospital, diuji dengan kehilangan yang semakin hampir—muncul pula satu lagi luka yang tak disangka.

Petang sebelum aku berbuka puasa tu aku bergaduh dengan kakak ayah. Dia tiba-tiba datang ke rumah dan curi mesin basuh yang ibu baru beli, seminggu sebelum tu. Katanya, ayah yang suruh.

Padahal ayah dah koma. Tak ada apa-apa pesanan pun. Mesin basuh tu duduk bawah garaj, macam biasa rumah kampung. Suka-suka hati dia kaut barang luar rumah. Tak rasa bersalah langsung.

Waktu tu aku betul-betul kecewa. Ayah nazak di hospital, tapi darah daging dia sendiri lebih sibuk mengutip harta.

Pertengkaran tu tak habis dekat situ.

Aku sampai terpaksa bawa polis ke rumah kakak ayah. Ya, tahap tu sekali. Sebab dia memang dah melampau.

Dan kau bayangkan, kakak ayah tu tinggal serumah dengan nenek aku — dua manusia yang dari dulu lagi tak pernah suka tengok kami senang. Jadi kau boleh agak la macam mana situasinya.

Tahap kesabaran aku masa tu? Senipis kulit bawang.

Sampai ke umur aku 2+, aku masih tak puas hati. Sebab masa bergaduh tu, ramai yang tarik aku —

Dan tak dapat lempang mulut busuk hati bangkai patutla takde anak kawin dah bertahun tahun rupanya hmmmmmmm dia gado dengn laki dia pun dia buang baju laki dia luar rumah haha pelik.

Dan yang paling menyakitkan hati — dia siap rekod video masa kejadian.

Hari ayah meninggal, waktu semua orang tengah sedih dekat bilik mayat, dia tayang video tu pada orang-orang dengan bangga, siap duduk sebelah perempuan indon tu —

Ya, perempuan yang pernah curi suami orang — dan canang dekat semua orang kononnya perempuan tu isteri sah ayah.

Padahal, sebelum ayah menghembuskan nafas terakhir, dia dah jujur dengan kami. Dia dah bersihkan semuanya. Dia dah minta maaf.

Tapi entah kenapa, orang yang hidup pulak tak reti nak berhenti menipu.

Nak buat sijil kematian pun… bergaduh. Ya Allah, waktu tu rasa macam entahla . Kami tengah uruskan jenazah, dia sibuk pertikai itu ini, sibuk bertekak soal hak.

Akhirnya, kami semua mengalah. Ambillah. Buatlah ikut suka.

Kami cuma nak satu — percepatkan semuanya. Kasihan ayah.

Tapi cerita tak habis dekat situ.

Lepas semuanya selesai… JENG JENG JENG… rumah kami kena kunci.

Kami dihalau. Oleh siapa?

Kakak ayah yang sama.

Katanya, sebab kami semua anak perempuan, jadi tak ada hak langsung atas rumah tu.

Kami? Merempat.

Ya, kami tiga beradik dan ibu kami — dibuang macam tak ada nilai. Dalam sekelip mata, dari anak kepada si mati, jadi pelarian dalam hidup sendiri.

– Tomato (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *