Tercalar Pelangi Dihiris Gerimis

Assalamualaikum para pembaca IIUM Confession. Terima kasih admin, jika tersiarnya coretanku ini.

Pertama sekali, aku menulis cuma mahu redakan kekecewaan hati, seumpama tercalar pelangi dihiris gerimis. Maaf jika penulisan aku macam berterabur sebab bukan penulis.

Aku yang bergelar isteri selama 8 tahun memendam rasa. Nama ku Arisa dan aku gelarkan suami sebagai Zaki. Ibu ada tinggal bersamaku sejak setahun lalu.

Sejak setahun yang lalu, ibu aku ambil tinggal bersamaku kerana ibu kurang sihat. Oleh kerana ibu seorang dikampung tidak tenang rasanya hati kami (tiga beradik perempuan) untuk tinggalkan ibu dikampung.

Walaupun ibu berat hati tinggalkan rumah peninggal arwah abah, tapi apakan daya kami semua bekerja di ibu kota. Ibu pasrah terpaksa tinggal bersama kami.

Aku anak kedua daripada 3 beradik. ibuku lebih selesa tinggal bersama kami memandangkan rumah kami masih ada 1 bilik kosong, dan bila agak bosan ibu akan pergi rumah adik nombor 3.

Suami aku seorang yang boleh dikatakan baran, tapi tidak pernah memukul. Cuma suka bergaduh mulut yang selalunya menguris perasaan hati seorang isteri.

Selalunya bergaduh soal yang kecil-kecil seperti terlupa tutup lampu atau kipas sebelum keluar, susun atur rumah, sesat jalan, lambat kemas rumah dan macam-macam lagilah. Kalau isu besar lagi besarlah dia membebel, sampai pada mulanya aku diam buat-buat tak dengar terus mengamuk.

Dia macam selagi kau tak balas, selagi itu dia akan provoke sampai kau membalas dan bertekak sehingga terkeluar la segala binatang, hantu syaitan yang ada di alam semesta.

Sungguh penat rasa bergaduh setiap masa. Kadang-kadang bangun tido terus sahaja dia nak membebel fasal banyak sampah nak kena buang. Aku penat, penat sangat dengar orang memebebel hari-hari.

Kalau hari cuti, aku kemas rumah, mop lantai, sapu sawang, cuci bilik air, cuci peti, lipat baju kemas almari, cuci tandas, kemas dapur,

Kadang- kadang ada ahli keluarga ku datang bertandang dan rumah agak tidak kemas selepas mereka pulang, Zaki akan cakap, “awak buat apa dirumah seharian cuti tapi rumah tak kemas”.

Masakan lantai masih berkilat kalau sudah dipijak beberapa orang. Pedihnya orang tak menghargai. Kalau aku mampu beli cctv, nak saja aku rakam dan bagi dia tengok apa aku buat.

Jika dia dirumah pula, dia akan kemas rumah, (sapu sampah, mop lantai, buang sampah, basuh pinggan) tapi akan membebel itu dan ini. Ada sahaja yang tak kena dimata dia.

Aku penat lagi. Mungkin orang akan kata dia pembersih, tapi ada kenapa hal-hal lain macam bilik air dia tak ambil peduli walaupun berlumut. Ada kala aku saja biarkan berlumut, sebab nak tengok adakah dia ambil kisah, jawapannya tidak.

Kurasakan Zaki seperti ada dua watak berbeza bila berhadapan dengan keluarga. Bila bersama keluarganya aku dilayan sangat baik. Tutur katanya jarang menyakitkan perasaanku.

Contohnya bila aku dirumah keluarganya, pagi-pagi dia akan belikan sarapan, segala barang untuk memasak akan dibeli tanpa disuruh.

Bermanja-manja dengan ku, menolong aku memasak didapur. Boleh dikatakan dia sangat ringan tulang dan manis mulut dirumah keluarganya. Mereka gelarkan kami pasangan bahagia.

Dan bila bersama keluargaku, dia sering keluar berjumpa kawan-kawan dikampung sehingga larut malam, jika aku meminta tolong tak akan diendahkan atau dia akan buat tapi merengus kasar.

Kadang-kadang aku ambil masa agak lama dirumah ibu ku kerana ingin mengemas rumah tinggalan yang berhabuk, bagi ibu selesa sebelum aku tinggalkan dia untuk beberapa hari.

Selalu memarahi ku dihadapan ibu dan adik beradik ku yang lain. Ada saja yang tidak kena bila bersama keluargaku. Terasa malu bila dimarahi suami dihadapan keluargaku disebabkan isu kecil.

Dari kampung ku akan pulang kekampunya pula, bila lambat sedikit dia akan cakap, “balik rumah mertua macam nak balik keneraka lambat siap”.

Allahu, kadang terlambat tu sebab aku kemas basuh pinggan didapur dahulu, pasti segalanya selamat untuk aku tinggalkan ibu. Pedih lagi hati ini.

Bila ibunya datang kerumahku, dia sangat gembira, pagi-pagi dibuatkan air dan membeli sarapan diluar. Aku juga akan layan mertuaku dengan sepenuhnya, kadang balik kerja aku masakkan untuk mereka.

Kadang-kadang tidak jika aku letih setelah pulang bekerja. Sebaliknya bila ibuku berada dirumah kami, tika aku suruh membeli sarapan untuk ibuku dia akan merengus, atau akan berkata tidak sempat.

Sejak itu, tidak lagi aku memintanya membelikan makanan untuk ibuku. Biarlah tak perlu daripada hati tersangat sedih. Setiap bulan aku akan berikan ibu RM100, kadang-kadang Zaki berbunyi jugak dengan pemberian itu.

Tapi aku terus potong dan ku katakan itu duitku, suka hati aku nak beri berapa kepada ibuku. Kadang-kadang aku lihat, ibu takut-takut bila dirumahku, cepat sahaja dia ingin membuat kerja rumah semampu yang terdaya walaupun aku tidak minta.

Mungkin dia selalu mendengar petengkaran kami. Tapi aku tahu jauh disudut hati, ibu takut jika kehadiran nya menyusahkan anak menantu. Oh ibu, aku juga lebih terluka melihat ibu begitu.

Ibu, maafkan aku, menangis aku dalam perjalan yang panjang ke tempat kerja. Memohon kepada Allah semoga diberi peluang untuk berbakti kepada ibu selagi hayat dikandung badan.

Hanya itu yang ku mampu, untuk meluah kepada adik beradikku tidak mungkin. Sedalamnya akan kusimpan rahsia rumahtangga ku.

Ditempat kerja, aku adalah orang yang sangat periang, riuh rendah bersama rakan-rakan pejabat. Akulah tempat mengadu rakan sekerja, penyelesai masalah mereka semua. Hilang segala masalah aku dirumah.

Tapi sampai dirumah aku terus berubah. Mungkin aku juga punya dia watak.

Sejak akhir-akhir ini aku kurang melayannya ditempat tidur. Jika dia berkehedak, aku akan memberinya tapi layananku sangat dingin.

Sedang dia mengamatiku, aku terbayang kata-katanya yang amat pedih. Aku terbayang layanannya terhadap ibuku dan keluargaku. Aku terbayang rengusannya bila kami bergaduh.

Bila dia mahukanku, dibelai aku bagai minyak yang penuh, tapi esok bangun tidur ada saja perkara yang dibebelkannya.

Aku penat ya Allah. Pernah dia katakan padaku bahawa aku mempunyai teman lelaki kerana aku tidak melayannya acuh tidak acuh. Demi Allah aku tidak mempunyai teman lain cuma rasa hati yang terlalu sakit mengenangkan sikapnya.

Berkali-kali aku mengajaknya berbincang mengenai masalah rumahtangga kami, aku luahkan segala yang terbuku dihati ku.

Aku katakan yang aku terguris dengan layanannya terhadap ku, terhadap ibuku dan kelurga ku. Esok dan beberapa hari dia akan okay, tapi minggu hadapannya dia kembali seperti Zaki yang sebelumnya.

Hati terasa pudar, terasa tawar. Tiada lagi kegembiraan didalam rumahtangga kami. Aku ingin sebuah keluarga yang bahagia,yang tenang sahaja, yang membawa kami sama-sama kesyurga. Puas aku pujuk hati untuk jadi isteri solehah tidak melawan suami.

Tapi aku gagal dengan makian dan tomahan yang dia berikan, aku melawan lagi. Dan setiap kami bergaduh aku lebih lagi akan mengamuk.

Aku bukan lagi yang dulu. Jika dia memarahiku, aku tanpa tunggu banyak masa terus mebalas dengan makian juga.

Rasa sayang itu semakin menipis. Ada tikanya, menangis aku dihujung solat, terfikir adakah aku mengejar menjadi anak yang soleh lalu menjadi isteri derhaka.

Adakah juga penceraian adalah jalan terbaik. Ada lagikah peluang untuk kami kesyurga bersama-bersama.

Mungkin jauh dilubuk hati paling dalam, aku sayangkan dia. atau mungkin sayangnya sudah tiada, yang tinggal hanya ketakutan untuk digelar perkahwinan yang gagal.

Allahu, aku mahukan pendapat, nasihat daripada rakan-rakan untuk aku selamatkan rumahtangga kami.

– Arisa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *