Nama aku H, berusia 28 tahun dan dah berkahwin tapi belum dikurnia rezeki anak.
Aku dan suami sekarang nak masuk 2 tahun kahwin, kira baru lagi. Kami berdua kerja jauh dari mak ayah aku yang duduk di KL. Kami berdua sama-sama bekerja di utara berlainan negeri.
Suami aku N, bekerja sebagai jurutera, ada maknya sahaja dan 4 orang adik beradik lain. N sebagai abang ngah yang menjadi seorang father figure juga kepada adik-beradiknya.
Rumah N beli untuk keluarganya dan sekarang diduduki oleh mak dan adiknya berusia 25 tahun yang masih belum bekerja.
Itu sedikit latar belakang mengenai N. Aku pula anak bongsu. Kerja sebagai pegawai. Kini menyewa dengan suami di kedah tapi suami selalu berada di perlis sebab dia bekerja dan keluarganya di situ.
Aku anak harapan mak ayah sebab dari kecil sampai sekarang aku asyik “perform”. Tapi aku rasa lah kan, aku bukan anak kesayangan.
Sebab anak kesayangan tu salah seorang adik beradik yang lain. Tapi biar lah.
Isunya bagaimana mak ayah aku dan N ni tak berapa ngam. Selalu orang cerita masalah mak mertua atau menantu kan? Tapi ni dari sudut seorang anak dan isteri yang tersepit di tengah-tengah pulak haha.
Seperti yang aku cerita tadi la kan, N ni banyak perlu tanggung keluarga dia.
Bagi aku, aku okay sahaja asalkan dia provide rumah (tapi aku bayar sewa separuh) dan bagi nafkah walaupun sikit pun tak apa dan tunaikan tanggungjawab dia sebagai suami.
Lagipun sebelum kahwin, aku sepatutnya dah setuju dah dengan “terms and conditions” suami aku ni kan?
Tapi mak ayah aku ni jenis materialistic sikit. Sebelum kahwin tak nampak warna sebenar, kononnya “kahwinlah dengan sesiapa pun asalkan dia baik” gitu. Restu pun dapat dari kedua belah.
Lepas kahwin je mulalah ada je benda tak kena especially bab2 duit.
Mak ayah aku ni jenis meluah ataupun cakap lepas. Tapi bukan jenis cakap lepas bila berbincang dan tegur bila tak kena. Mereka jenis perhati dulu, kumpul dan ungkit. Haaa gitu la kaedahnya.
Misalnya bab hantaran, bila berbincang semuanya baik dan setuju. Tapi lepas selesai je majlis, ungkit benda lama.
Jadi aku dan N susah nak bergerak ke depan sebab asyik ditarik. Faktornya sebab mak ayah aku ni suka juga mendengar pendapat “anak harapan” mereka ni.
Lepas isu tersebut, isu lain pula. Makin banyak masalah selesai, makin banyak yang ditambah.
Aku sayang pada N, jadi aku akan pilih untuk pertahankan dia sampai aku dan mak aku sendiri bergaduh besar. Trauma yang aku tak nak ingat sebab aku hampir cederakan diri sendiri.
Sebab bila ada je benda yang N terasa, dia akan mengadu pada aku. Aku bukan typical pasangan di mana aku jawab “sabar la”. Tak. Aku akan cuba sedaya upaya untuk tolong dia selesaikan.
Contohnya bila hubungan mak ayah aku dengan N ni tegang sampai mak aku telefon N, aku yang akan jawab telefon dan “defend” dia.
Lama-lama aku sendiri jadi penat. Bukan penat badan, tapi mental. Cukuplah aku nak menghadap stress di tempat kerja, balik rumah aku kena hadap konflik ni lagi.
Mungkin ada yang berpendapat, abaikan je. N asyik datang pada aku dan cerita masalah ni, takkan aku nak abaikan.
Mungkin ada juga berpendapat untuk berbincang.
Bincang sampai menangis melutut mohon mak ayah aku faham sebab apa yang diminta aku dan N tak dapat tunaikan seperti bayar duit gantian sumbangan kahwin dari tetamu sebab kami dah gunakan untuk persiapan rumah sewa.
Oh ya, kami mengendalikan majlis dengan duit kami sendiri. Barang doorgift dan majlis tunang mak ayah aku sumbang tapi kami enggan awalnya tapi mereka tetap berkeras.
Aku dapat rasakan pokok pangkalnya dari latar belakang N sendiri. Sebab mak ayah aku ni selalu bandingkan N dengan suami “anak kesayangannya” yang bergaji ‘five figure’ walaupun kakak aku tak bekerja.
Suaminya bawa kereta mercedes, kami pula guna axia je. Aku pun selalu justify kepada mak ayah aku tapi lalu di telinga gitu sahaja lah.
Konflik dengan N pula, dia selalu mengadu dengan aku yang dia terasa dengan mak ayah aku.
Aku faham perasaannya dan aku dah cuba sedaya habis untuk perbetulkan keadaan. Dan pastinya dia luah kat aku berharap aku lakukan sesuatu sebab aku tak nak setakat dengar je.
Rumah mak ayah aku pun aku tak minta untuk pergi dah cukup setakat raya dan singgah sekejap je. Tapi sebelum kami pergi, aku tanya dia, adakah dia selesa? Kalau tak, tak pergi pun aku faham.
Mungkin juga mak ayah aku tak berpuas hati dengan N sebab dia banyak berkorban dan menanggung keluarganya.
Sebab majlis kami pun keluarganya tidak menyumbang duit melainkan menggunakan duit N sendiri. Hadiah pun tak diberi. Seperti aku bagitahu, keluarga aku jenis materialistik.
Kadang aku berfikir, adakah kami tak sekufu? Lama-lama aku mula berpendapat, mungkin N ada banyak benda yang tak berpuas hati dengan mak ayah aku dengan caranya,
Tapi aku pun ada juga yang aku bertoleransi terhadap keluarganya seperti macam mana maknya asyik bagitahu aku yang rumah yang dia duduk sekarang adalah rumah dia padahal aku tak harapkan pun rumah tersebut,
Adik lelaki N masih lagi tak bekerja dan mengharapkan duit poket dari N dan adik perempuan N selalu pau abang dia.
Bila aku bagitau N apa yang aku terasa dari keluarganya, dia merajuk pula haha. Akhirnya aku rasa mungkin perkara yang aku bangkitkan tu kecil, aku tepikan sahaja.
Cuma aku penat sangat jadi orang tengah, buat apa yang diharapkan N, mak ayah aku terasa, buat apa yang mak ayah aku nak, N pula merajuk.
Entah la. Sampai satu tahap benda nak jadi, biar lah. Cuma aku nak pesan yang belum berkahwin, pastikan kau dan pasangan dah set, setuju dan komited dengan “terma dan syarat” masing-masing sebelum berkahwin.
Silap aku juga sebelum aku berkahwin, aku banyak bertoleransi dengan N dan mak ayah aku, lambat laun, aku yang merana. Tapi kalau letak syarat yang terlampau tinggi, tak kahwin sampai sudah ye dak?
– H (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit