Watak : Siti , Amir
Siti merupakan seorang remaja yang sangat pemalu. Dia gemar bersendirian dan tidak ambil tahu perihal orang lain. Dia juga tidak bergaul dengan lelaki kerana sikapnya yang garang membuatkan lelaki tidak berani menegurnya. Selain itu, majlis-majlis sosial hanyalah sekadar kedatangan baginya, tiada apa yang menyeronokkan. Siti merasa selesa dengan kehidupan sebegitu. Namun segalanya berubah, apabila Siti bertemu dengan Amir.
Jika ingin mengetahui sikap Amir, maka semua sikap yang berlawanan dengan Siti merupakan sikapnya. Peramah, suka berkawan, dan bersikap terbuka. Amir menegur Siti yang merupakan temannya semasa di sekolah. Siti menjawab acuh tak acuh. Namun, setelah acap kali berkomunikasi melalui laman sosial, Siti berasa selesa dengan Amir. Ataupun lebih sekadar selesa? Siti sendiri tidak pasti akan perasaannya, adakah dia hanya menyukai Amir sebagai rakan atau lebih dari itu kerana itulah kali pertama Siti merasakan perasaan seperti itu. Setelah lama mengenali hati budi Amir, Siti terpaksa jujur dengan dirinya bahawa dia telah jatuh cinta kepada Amir.
Siti memberitahu Amir akan perasaannya. Baginya, dia hanya ingin meluahkan apa yang terbuku dan tidak bermaksud untuk meneruskan sebuah perhubungan yang lebih dari kawan. Cukup Amir mengetahui akan hal itu. Amir tidak memberikan respon yang baik berkaitan dengan luahan Siti sebaliknya terus berkomunikasi seperti biasa. Siti akur jika Amir tidak ingin menyatakan apa yang dia rasa berkenaan luahan itu.Mungkin Amir tidak ingin berbicara tentangnya. Setelah itu, hubungan mereka menjadi lebih akrab. Mereka sering bermesej tentang kehidupan masing-masing dan tentang pelajaran. Amir juga kerap menunjukkan petanda bahawa dia juga menyukai Siti, tapi tidak pernah menyatakan hal itu. Mungkin Siti perasan. Tapi apabila Siti bertanyakan tentang hal itu, Amir menyangkal apabila Siti memberitahu bahawa Amir tidak menyukainya.
Harapan demi harapan ditaburkan oleh Amir kepada Siti. Siti yakin bahawa Amirlah orang yang dicari selama ini. Setelah mengenali Amir, kehidupan Siti menjadi lebih ceria dan bertenaga. Dia lebih suka bergaul dengan rakan-rakan dan berfikiran terbuka. Dia juga tidak malu untuk menyatakan pendapat di hadapan kelas dan gemarkan aktiviti sosial. Rakan- rakan berasa hairan akan sikap Siti yang berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya. Manakan tidak, dulu Siti hanya masam dan tidak bercakap dengan sesiapa tetapi sekarang senyum sentiasa dan bercakap sepanjang masa.
Siti juga perasan akan perubahan dirinya. Tidak lama selepas itu, Siti mengetahui dari seorang rakannya bahawa si Amir telah menyukai seorang perempuan yang merupakan rakan Siti juga sejak dari dulu lagi. Siti terdiam dan tidak tahu apa perasaannya sekarang. Baginya, kebahagiaan Amir lagi penting dari kebahagiaan dirinya. Selama ini, dia selalu berharap agar Amir sentiasa sihat, bahagia di samping insan tersayang dan diredai Allah.
Tapi, dia tidak menyangka bahawa Amir sanggup mempermainkan perasaannya. Amir mengetahui bahawa Siti menyukainya tapi terus memberi harapan palsu kepada Siti walaupun dia sudah menyukai orang lain. Siti berasa amat sedih tetapi dia tetap bersyukur. Baginya, walaupun tidak bahagia akhirnya, setidaknya dia dan Amir pernah tertawa bersama.
Amir memang telah melukakan hatinya tetapi Amir juga telah membuatkan dia gembira. Siti tidak pernah menyesal menyukai Amir kerana zaman remajanya dipenuhi kegembiraan kerana Amir. Siti berharap Amir bahagia selalu. Siti tidak mengharapkan Amir menyukai dirinya kerana dia yakin cinta yang ikhlas tak minta dibalas. Siti ingin Amir tahu bahawa Amir merupakan cinta pertamanya. Terima kasih Amir untuk segalanya.
Walaupun Siti akan melupakan kisah sedih ini, tapi kenangan indah kita bersama tak pernah Siti lupakan. Kenangan semasa kita di tempat memandu, pertama kali Amir menegur Siti, lawak-lawak Amir semasa dalam van memandu, kenangan Amir datang ke universiti Siti sebab ada perlawanan bola, walaupun kita tak berjumpa, padang bola tersebut selalu buat Siti menangis apabila melihatnya.
Kenangan kita bergaduh, yang pahit serta manis, semuanya terindah buat Siti. Walaupun Siti amat marah akan Amir, tapi apakan daya Siti cuma hamba-Nya. Siti cuma memohon yang terbaik kepada Allah. Moga kita tidak sama-sama membenci dan bermusuhan antara satu sama lain. Mungkin juga Siti perlu masa untuk diri sendiri bagi memulihkan luka yang dalam ini.
Biarlah Siti mengundur diri. Betullah kata orang, cinta pertama tak akan jadi lebih dari cinta pertama. Tapi, Siti tidak yakin bahawa Siti akan menyukai orang lain sebagaimana Siti menyukai Amir. Tak akan pernah sama seperti Amir, keterujaannya, kegembiraannya, kesedihannya, kesakitannya, dan kenangannya. Sekali lagi, terima kasih, Amir.
– Hana
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit