Terima Kasih Ayah

Kira-kira 24 tahun dahulu, saya telah melahirkan anak pertama saya, seorang bayi lelaki. Saya pulang berpantang di rumah ibubapa di Pantai Timur selama 40 hari.

Sehabis pantang saya, dan suami akan tiba pada keesokan harinya untuk mengambil saya pulang ke rumah kami, ayah saya bertanya kepada saya satu soalan yang menjengkelkan saya pada waktu itu.

‘Za, takda beli harta apa-apa ke untuk diri sendiri?’

Saya tergamam. Saya baru bekerja 2 tahun sebelum tu. Dahlah baru lepas cuti bersalin. Otak masih blur-blur waktu itu.

‘Kenapa ayah tanya macam tu ?’

‘Za, mari ayah nak pesan. Orang perempuan ni, belilah tanah, rumah ke apa-apa harta yang boleh dibuat sandaran satu masa nanti. Kita tak boleh jangka yang suami kita akan selamanya sayang kat kita.’

Memang ayat itu buat saya tersentap. Allah, takkanlah suami saya nak permainkan saya ? Dia sayang saya, kan. Saya dah bagi dia anak lelaki. Dia bangga sungguh, dia beritahu semua rakan sekerjanya.

‘Kalau jadi apa-apa kat Za…ayah sanggup ambik Za balik tak ?’ Saya tanya soalan itu dalam sebak.

‘Za kan anak ayah dan ma, Kami terima Za seadanya.’ Memang terharu bila kenang balik ayat ayah itu. Betapa kasihnya seorang ayah kepada anaknya yang telah berkahwin.

Walaupun saya rasa cuak di atas soalan ayah, tapi saya tetap beringat. Selepas sah dalam jawatan kerajaan, saya telah mengeluarkan simpanan KWSP saya dan membeli sebuat flat kos sederhana berdekatan rumah kami

. Sebenarnya saya tak bercadang nak duduk di flat itupun, cuma sebagai rumah sewa. Setakat ini, flat itu tidak putus sewa sejak 20 tahun lepas. Alhamdulillah.

Saya dan suami berkongsi rezeki dan berusaha membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin. Ketiga-tiga anak kami anak lelaki. Saya dan suami juga sudah naik pangkat beberapa kali. Alhamdulillah.

24 tahun berlalu. Awal tahun ini, saya telah dikejutkan dengan perbuatan suami berbalas mesej dengan seorang kenalan wanita, sehingga ke tahap ingin bernikah dalam rahsia. Namun di saat-sata akhir, wanita itu tarik diri. Suami telah minta maaf banyak kali namun hati saya berasa sukar untuk redha.

Dan saya kembali teringat pesanan ayah saya 24 tahun dulu : ‘Kita tak boleh jangka yang suami kita akan selamanya sayang kat kita.’

Terima kasih ayah di atas pesanan itu. Za sangat hargai. Za akan bangkit dan membesarkan anak-anak, walaupun mungkin Za tak seikhlas dulu.

– Zainab (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *