Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Aku Din, pernah menulis confession setahun lalu di sini sini, (https://iiumc.com/rindu-emak/).
Sedikit coretan, semoga bermanfaat.
Dulu, aku selalu fikir – jika kita nak jadi orang yang hebat menyumbang untuk agama dan manusia, kita mesti ada sesuatu.
Contoh, dari segi harta, kita kena jadi kaya supaya kita boleh jadi dermawan beri sumbangan sebanyaknya. Dari segi pangkat, kita perlu ada jawatan atau pengaruh supaya dakwah kita lebih sampai kepada manusia.
Dari segi ilmu, kita kena jadi orang yang berpendidikan tinggi, belajar sampai PhD hingga gelaran Dr atau Prof supaya kita menyumbang untuk sebarkan ilmu dan lebih memberi kesah dalam berdakwah.
Walaupun itu semua penting, tapi itu bukan segala-galanya. Ayah telah mengubah cara fikir aku.
Ayah mertuaku, atau aku bahasakan ayah saja.
Dengan ayah, kau jangan bahaskan tentang manhaj ataupun firqah. Jangan kau bahaskan tentang siapa Ahlussunnah wal Jamaah yang sebenar.
Jangan kau bahaskan tentang takwil, tafwidh, tajsim atau tasybih. Muktazilah, jabariyyah, qadariah, ASWJ, salafi, syiah. Jangan. Ayah memang tak tahu.
Dengan ayah, jangan kau bercerita tentang dalil-dalil hukum. Jangan bercerita soal mana bid’ah hasanah atau bid’ah dhalalah.
Jangan bercerita tentang dalil harus atau haram yasin malam jumaat, boleh atau tidak zikir berjemaah selepas solat, apatah lagi petik nama-nama ulama serta ijtihadnya. Ayah memang tak tahu
Dengan ayah, jangan bercerita tentang martabat hadis. Periwayatan hadis, nasikh mansukh, jalur periwayatan hadis, ciri-ciri perawi, ayah memang tak tahu.
Ayah tak tahu semua tu. Setahu aku, ayah sekolah pun tak habis. Seawal usia muda ayah dah berkerja.
Ayah tak ada harta. Ya , ayah memang tak berharta. Rumah yang ayah duduk , atas nama ibu mertua. Ayah seorang duda ketika bernikah dengan ibu, beberapa tahun selepas isteri pertama ayah maut dalam kemalangan.
Ibu waktu itu balu kematian suami. Kata ibu, ayah masuk rumah ibu cuma sehelai sepinggang. Ayah tak ada apa. Duit dalam bank ayah pun berapalah sangat. Mungkin 1 kereta buruk tu saja yang didaftar dengan nama ayah.
Ayah tak ada jawatan apa-apa. Ayah bekerja sebagai pembantu awam di syarikat swasta dengan bayaran yang sangat minima. Kalau aku ditempat ayah, aku akan berhenti kerja dan cari kerja lain.
Kerjanya tidak sepadan upah, tapi ayah tetap tekun bekerja sehingga aku selalu rasakan majikan mengambil kesempatan dan mengerah tenaga ayah sepuasnya.
Ayah tak pernah burukkan majikannya cuma aku saja yang selalu tak berpuas hati dengan majikannya kerana kasihan melihat ayah.
Selepas sekitar 10 tahun bekerja di situ, ayah berhenti kerja, ayah ambil upah mengurut. Karenah orang mengurut, pelbagai.
Kalau berjanji pukul 8 malam, datangnya pukul 9 malam. Atau ada yang tak datang terus tanpa maklumkan. Buat ayah tertunggu- tunggu. Tapi ayah tak mengeluh.
Itulah ayah. Jika diukur dari segi harta, pangkat dan nilai ilmiah menurut sudut pandang sosial, ayah memang tiada apa.
Ayah bukan ustaz yang mahir bicara soal hukum, tapi yang ayah tahu, ayah kena bangun awal solat subuh berjemaah di masjid.
Sebelum azan berkumandang lagi, pasti aku dengar pintu grill dibuka dan enjin motor ayah sebab aku selalu tidur di ruang tamu.
Ayah bukan ustaz yang selalu mencanang jalanannya jauh lebih baik , apatah lagi mencela orang yang tak sehaluan.
Sepanjang kenal ayah, tak pernah aku lihat ayah marah orang. Apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat. Ayah selalu melawak, buat orang terhibur. Ayah selalu tersenyum saja.
Saat semua anak- anak kandung atuk tak mampu menjaga atuk yang diserang strok, kerana masing-masing kesibukan kerja, ayah dan ibu galas tanggungjawab tersebut. Cuci tilam atuk yang kena kencing hampir setiap hari.
Usung atuk ke tandas, pakaikan lampin. Kemudian berulang alik hantar nenek ke pusat dialisis yang ambil masa 45 minit perjalanan sehala 2- 3 kali seminggu. Aku tahu ayah penat, tapi tak pernah aku lihat ayah mengeluh.
Ayah memang tak berduit, tapi kalau ayah ada duit lebih, ayah mesti akan berikan pada ibu. Kalau ayah ada duit lebih, ayah sibuk nak belanjakan pada keluarga. Ayah memang tak pernah berkira dengan keluarga.
Dahulu masa baru kahwin, aku hulurkan duit pada ayah, ayah berkeras tak nak duit tersebut dan minta aku serahkan pada ibu. Ayah tak kisah berapa ringgit dia yang ada, kerana dia lebih kisah berapa ringgit yang dia nak belanja pada keluarga.
Ayah tak berjawatan hebat, tapi ayah lakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga. Rajinnya ayah, sampai di rumah ayah lakukan kebanyakan kerja rumah. Menyapu, mop, basuh dan sidai baju , tolong ibu memasak dan buat kuih.
Kadang aku rasa ayah macam superhuman yang tak pernah kenal penat. Tak boleh duduk senang, ada saja kerja yang dibuat untuk ringkankan kerja ibu. Ayah cergas bagai orang muda walaupun menjangkau 60an.
Itulah ayah. Siapa yang kenal ayah, aku pasti tak ada yang akan membenci. Sepanjang aku hidup, sukar untuk jumpa manusia sebaik ayah.
Pagi Jumaat itu, isteri aku kejutkan aku pagi Jumaat tu untuk pastikan ayah masih ada atau tiada.
Bila aku turun ke ruang tamu, ibu, adik beradik dan jiran dah berkumpul. Ayah tak beri response bila dipanggil. Tangan ayah sejuk. Nafas ayah sangat lemah. Ayah dikejarkan ke hospital.
Ayah pergi bertemu Tuhan pagi Jumaat. Sedih ayah pergi, tapi tetap gembira kerana ayah pergi pada hari Jumaat yang diberkati.
Bila kawasan perumahan tahu ayah meninggal, masjid-masjid yang berdekatan masing-masing minta ayah disolatkan di masjid mereka.
Ayah disolatkan jenazah selepas solat jumaat di masjid utama kawasan perumahan, dan dikebumikan sejurus selepas itu.
Sehingga pukul 4 petang, masih ada ahli masjid lain yang hubungi ibu bertanyakan kiranya jenazah dah sampai untuk mereka solatkan. Rupa-rupanya mereka tak tahu dan tertunggu-tunggu.
Kenalan ayah yang tahu ayah meninggal, semua memang terasa kehilangan ayah. Maklumlah, ayah memang baik dengan semua orang. Ayah tak pernah bercerita buruk tentang orang lain, ayah tak pernah marah-marah.
Pernah aku nampak ayah dalam keadaan marah, hanya raut wajah ayah berubah yang ayah sedaya sembunyikan. Teringat aku hadis saat Nabi marah, berubah air wajahnya sehingga sahabat sedar.
Bila orang mengadu lenguh atau sakit badan, laju saja ayah tawarkan diri untuk urut tanpa upah. Ayah ringan tulang tolong orang, baik ahli keluarga ataupun sahabat. Akhlak ayah, sangat disenangi orang ramai.
Lurus dan bersihnya hati ayah. Dari ayah, aku belajar banyak perkara. Yang terutama, untuk jadi insan hebat di sisi Tuhan, kau tak perlu kaya atau berilmu tinggi atau berjawatan hebat untuk menyumbang kepada masyarakat.
Tapi, kau kena sumbangkan dengan segenap apa yang kau ada untuk berbuat baik. Jika kau tak berharta, kau boleh menyumbang dengan tenaga. Jangan sakiti siapapun makhluk atas bumi ini .
Diakhirnya, kau harus tahu bahawa Allah tidak pandangan pada jasad atau harta atau pangkat yang kau ada, tetapi Allah hanya pandang pada hati kau.
Akhlak yang baik, itulah penyebab ramai manusia ke syurga. Bukankah Nabi diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik?
Walaupun aku lulusan sekolah agama dan universiti agama, fasih dalam bicara agama serta bergelar ‘Dr’ yang cukup buat masyarakat memandang tinggi, tapi aku percaya di sisi Tuhan, keududukan aku jauh berbeza dengan ayah.
Terima kasih ayah, sebab jadi tauladan yang baik untuk diriku. Terima kasih Allah hantarkan ayah dalam hidupku. Aku pasti ayah dah berada di salah satu dari taman-taman syurga.
– Din (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit