Terima Kasih Cikgu Selamatkan Saya

Terima kasih Cikgu, selamatkan saya

Ya..bagaimana mungkin sebilangan besar guru-guru di sebuah sekolah asrama penuh di Perak akan melupakan seorang pelajar tingkatan dua tahun 1989, yang lari daripada sekolah pada waktu malam, menaiki keretapi lalu ke utara tanah air tanpa diketahui sesiapa.

Gamat satu sekolah keesokannya. Namun kisah ‘fugitive’ itu tidak bertahan lama. Dua hari selepas itu saya berjaya ditangkap. Tidak mungkin juga, mana-mana guru dapat menghilangkan wajah seorang Azamin yang terpaksa berdiri di hadapan ratusan pelajar pada hari perhimpunan Jumaat, kerana melanggar displin sekolah.

Digelar oleh guru displin sebagai P1 (Penjenayah, penjahat, perosak dan pelbagai perkataan P yang menunjukkan akhlak saya tidak elok). Bukan sekali langgar. Acap kali. Antaranya bertumbuk, bergaduh, pecah almari makmal, bawa ‘lari’ sebuah TV asrama ke bilik gerakan sekolah semata-mata untuk menonton video, meronda-ronda ke Asrama Puteri lewat malam dan aneka macam kelaku yang cukup memalukan.

Seringkali mata memandang serong apabila saya menuju ke bilik pengetua sekolah untuk menjalani hukuman sebatan rotan yang cukup menyakitkan. Lebih mengaibkan, ayahanda terpaksa datang sebab saya digantung selama seminggu kerana mencederakan pelajar. Senarai panjang salah laku, tidak mungkin dapat memenuhi coretan ini.

Cukup secebis, tanda pengakuan salah sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Saat itu, umpama sudah ada ‘sayap untuk terbang’. Terlalu angkuh, padahal hijau lagi akal budi.

Cumanya…paling menyayat hati dan tersentuh jiwa, walau setinggi mana gumpalan noda dan dosa, biar melangit saya melompat, dan tersungkur ke bumi sekalipun, guru-guru sekolah tidak pernah ‘membuang’ ataupun ‘menyisih’ saya.

Malah ketika saya ‘jatuh’, mereka mengutip saya, mengangkat lalu menjulang semula ke atas. Tanpa serik, saya kembali ‘liar’ melonjak ke sana ke mari mencabar jiwa naluri seorang guru. Setelah lama, saya ‘jatuh’ terperusuk lagi. Sepi, sakit dan berdarah.

Guru-guru, sekali lagi memapah, memeluk dan menyelamatkan saya sambil membasahkan bibir dengan kalimah kata-kata hikmat dan azimat. Tanpa peduli, siapa saya yang dikenali cukup bermasalah. Tidak putus-putus, seorang demi seorang menasihati saya.

Baik guru lelaki mahupun perempuan. Baik yang beragama Islam mahupun bukan. Tanpa kecuali guru kaunseling, silih berganti, menjadikan saya sebagai subjek bermasalah yang perlu ditangani dengan segera. Selama setahun lebih guru-guru memulih dan menenangkan ‘pemberontakan’ saya.

Bayangkan tanpa ayah ibu di depan mata, guru-guru menjadi keluarga pengganti diri. Jika tidak sabar, sudah pasti tidak ada sekelumit nurani pun yang berhajat untuk membimbing saya ketika itu. Tanpa jemu, guru-guru terus memberi semangat juang yang tinggi untuk menjadikan saya, seorang pelajar yang baik.

Tahun 1990, terbit rasa insaf. Allah jualah yang mendorong hati untuk berubah. Mungkin doa tidak putus-putus ibu ayah. Juga nasihat guru yang semangatnya tidak pernah patah. Berjurai air mata tatkala mendengar kalimah tajam menusuk jiwa daripada guru-guru saya.

“Awak terlalu matang untuk membuat kerja-kerja bodoh ini. Seorang pemimpin, bukan begini kelakuannya.,” nasihat seorang guru perempuan kepada saya yang ketika itu berada di tingkatan tiga.

“Azamin, cara awak berkata-kata, bercerita menunjukkan tahap pemikiran yang sama sekali berbeza dengan sifat yang awak tunjukkan selama ini. Berubahlah, disebalik keburukan pasti ada cebis kebaikan awak,” kata pula seorang guru kaunseling sambil menitiskan air mata.

Walaupun tercatat nama dalam buku hitam dispilin sekolah termasuk satu rekod di Balai Polis kerana lari sekolah, saya ‘bangkit’ semula atas usaha jerit pedih cikgu-cikgu mendidik saya. Ya…bukan senang menjadi guru. Siang malam bergelumang dengan karenah dan ragam pelajar yang kini cukup dasyat, menyeramkan dan meloyakan.

Saya, antara bukti yang masih hidup. Betapa payahnya, guru-guru melentur saya, namun akhirnya berbalas jua. Berapa ramai guru di seluruh negara, secara ‘tidak sengaja’ dan tanpa niat telah melahirkan beratus-ratus malah ribuan ‘penjenayah’ di luar sana.

Penjenayah sekalipun asalnya juga daripada suci perut ibu mengandung, juga asalnya seorang pelajar sekolah. Pasti mengecewakan. Namun itu bukan salah cikgu, bukan sepenuhnya salah ayah ibu.

Alhamdullilah, saya terselamat kerana guru-guru saya sempat dan cepat. Calar-balar dan lebam di tubuh serta tempeleng dan jerkahan guru menjadikan saya sedar kesilapan yang dilakukan.

Jika tidak, entah di kolong manalah saya melabuhkan lena, entah di longkang manalah saya terjaga. Lorong hitam manalah saya berkelana dan mungkin perginya tanpa nama, atau lebih pedih dihina.

Jikalau badan saya tidak berbirat dan tiada pekikan guru menerjah telinga saya, sudah pasti saya tidak berada di sini. Mungkin tidak ada sesuatu pun boleh dibanggakan oleh guru-guru terhadap saya.

Namun sejahat mana sekali pun saya, seteruk mana libasan guru ke tubuh saya, sekuat mana tempikan guru kepada saya…saya tidak pernah melawan guru. Jauh sekali untuk mencalarkan kereta atau memancitkan tayar kereta cikgu apatahlagi mengajak cikgu ‘bertempur’ di luar sekolah.

Biar apapun, dua jenis manusia yang tetap saya hormati sepanjang hayat…’ayah ibu dan guruku’. Mungkin guru-guru saya, di sekolah, di kolej atau di pondok agama pasti akan bersyukur dan merasa sungguh bangga apabila sebilangan besar anak-anak didik mereka telah menggapai ‘bintang’. Yang menjadi doktor, peguam, jurutera, pendidik, usahawan, pemimpin politik dan berada di puncak pasti akan menyejukkan hati guru-guru saya.

Cuma tentang diri saya, saya belum pasti. Cuma pinta saya hanyalah sekelumit doa buat saya dan saya mohon ampun dan maaf atas segala tutur-kata dan gerak-gaya yang menyinggung dan mengusik hati cikgu-cikgu yang cukup baik terhadap saya.

Cikgu, bersabarlah dan pandanglah…kerana ada anak murid dan pelajarmu yang ternanti-nantikan kasih sayangmu….percayalah.

Maaf cikgu, tidak dapat membariskan nama cikgu satu persatu kerana tak mahu cikgu mendapat malu.

Terima kasih cikgu, selamatkan saya…
(Allah Tolong Saya dan Kita Semua)

– AZAMIN AMIN

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *