Assalamualaikum W.B.T buat semua pembaca IIUM Confession. Ini adalah confession pertama saya di sini dan saya terdetik untuk menulis setelah membaca confession Muka Nerd Tapi Perangai, (https://iiumc.com/muka-nerd-tapi-perangai/).
Saya bukan Farid dan jalan cerita saya jauh berbeza berbanding confessor. Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf andai luahan saya ini hambar atau berterabur. Maklumlah saya bukan penulis dan dah lama tinggalkan dunia penulisan karangan.
“Kena jaga-jaga ni sebab suami saya pun nerd. Risau je kalau dia buat perangai diam-diam.” ini respon dari isteri kesayangan saya selepas membaca confession tersebut.
Saya tergelak kecil dan teringat kenangan ketika isteri mengurat saya dahulu. Dulu saya nerd, sekarang pun masih nerd cuma boleh dikategorikan nerd yang kacak dan bergaya. Konfiden itu penting.
Berkaca mata petak besar, warna kulit yang gelap kerana campuran melayu dan mamak, kemeja dibutang sehingga ke atas dan pelajar pintar.
Seumur hidup saya, tak pernah ada perempuan yang minat saya tapi hidup saya berubah ketika tingkatan lima. Saya berjumpa isteri di pusat tuisyen dan kami dari sekolah yang berlainan. Kami sering berjumpa tetapi tak pernah bertegur.
Pada suatu hari ketika hari kokurikulum di sekolah ibu saya, tiba-tiba si isteri menegur saya. Saya terkejut dan tak tahu nak respon apa sebab selama ni tak pernah bercakap dengan dia. Hanya berpandangan ketika terserempak.
Dia berbisik kepada rakannya Apik sambil memandang saya. Kebetulan Apik juga kawan saya kerana kami sama-sama anak cikgu. Tak lama lepas tu Apik bagi tau saya ada orang minat saya.
Tak tau nak respon apa masa tu sebab saya tak pernah ada dalam situasi macam ni. Minat perempuan tu pernah, tapi saya masih sedar diri.
Saya tumbuk perlahan bahu Apik dan gelak kecil sahaja.
Selepas tu bila berjumpa di pusat tuisyen dia mesti senyum-senyum dekat saya tapi saya tak balas. Rasa janggal untuk budak nerd macam saya.
Dia letak air Tinge atas meja saya, dengan sticky note bertulis nama saya. Setiap minggu dia bagi air yang sama walaupun tu bukan air favorite saya.
Dia satu sekolah dengan adik saya, dia boleh pula suruh adik kirim salam pada saya. Adik yang masa tu baru tingkatan dua memang suka melayan dia. Sukalah bila ada senior pay attention dekat dia.
Selain dari pusat tuisyen, kami juga berjumpa di bengkel mata pelajaran di sekolah dia. Dia pun pelajar pintar, jadi setiap bengkel mesti akan nampak muka dia. Makin dekat SPM, makin kerap sekolah dia buat bengkel dan makin kerap kami berjumpa.
Dia saja cari tempat duduk depan saya, bila bertentang mata dia pula tunduk ke bawah. Setiap kali bertentang mata tu, rasa nak gugur je jantung saya. Kata Apik nampak je dia macam galak dan berani, tapi sebenarnya dia pemalu.
Bengkel ni pada hari Sabtu dan Ahad, jadi kantin memang tak buka. Si isteri pula kebetulan ada lesen motor dan rumah dia dekat dengan kedai sarapan, jadi dialah yang menjadi mangsa rakan-rakan untuk membeli makanan.
Ada satu hari tu kebetulan saya tak bawa sarapan dari rumah, ibu pula memang dah pesan siap-siap pada isteri untuk bawa extra untuk saya. Masa tu ibu tak tau isteri suka pada saya.
Isteri datang pada saya dan hulurkan polisterin berisi bihun goreng. Boleh je dia pass pada budak lelaki lain, tapi dia saja nak bagi sendiri.
Masa tu saya menggigil nak ambil, berperang dengan perasaan sendiri. Semua yang ada dekat situ gelakkan saya. Isteri kata ambil jelah, yang menggigil ni kenapa? Saya ambil dan terus duduk.
Saya cakap pada Apik saya meluat, belum habis belajar dah sibuk nak bercinta. Dah lah perigi cari timba. Apik kata saya beruntung sebab ramai je lelaki try isteri saya, tapi dia yang tak nak.
Ramai yang tertanya, taste isteri saya ni macam mana. Bila isteri kata dia minat saya, ramai yang terkejut. Gila tak terkejut, saya ni nerd gila kot dulu. T-shirt pun pakai t-shirt polo je.
Nak di bandingkan saya dengan isteri, aduh jauhnya. Dia memang suka berfesyen. Apa yang saya perasan, dia tak pernah pakai tudung yang sama masa pergi tuisyen dulu.
Minggu depan dia tak datang bengkel, masa tu lagi tiga minggu nak SPM. Saya sangka Apik dah sampaikan pada dia apa yang saya cakap, tapi rupanya tak. Masa tu hati saya tak keruan, hari Ahad pun dia tak ada. Saya tanya Apik, Apik kata tak tau.
Hari isnin pun dia tak datang tuisyen. Lagi lah hati ni rasa tak tenang. Balik tu saya beranikan diri tanya ibu, sebab ibu guru Biologi dia.
Rupa-rupanya dia jatuh motor ketika dalam perjalanan ke sekolah. Ibu kata teruk juga, habis satu badan luka-luka. Aku kesian, tapi lega.
Lega sebab dia bukan menghilangkan diri.
Esoknya dia tiba-tiba sms saya yang berbunyi, “Hai, awak cari saya ya? Rindu ke?”
Fuh rasa nak pitam. Menggeletar seluruh badan. Saya terus tanya ibu, mana dia dapat nombor saya? Ibu kata tak tau. Dekat situ kantoi dengan ibu yang dia suka saya. Tapi saya baru perasan, nombor ni pernah miscall saya beberapa kali.
Ibu kata dia okey je, lagi pun isteri saya memang baik. Pandai, berdisiplin dan pemalu.
Pemalu? Biar betul. Kalau pemalu macam mana dia boleh mengurat saya?
Ibu kata fokus dulu SPM, kemudian baru bercinta. SPM pun memang dah dekat sangat.
Lepas tu saya tak jumpa isteri lagi sebab bengkel dah tamat, tuisyen pun dah berakhir. Penangan cinta si isteri baru terasa lepas tu. Rasa rindu nak tengok muka, rasa rindu nak kena ngurat dengan dia. Bila fikir balik, saya memang suka dia cuma ego nak mengaku.
Lepas dapat result, dia sms saya ucap tahniah. Saya balas dengan ucapan tahniah juga dan masa tu baru saya ada keberanian nak ajak dia berjumpa. Itu pun dengan berteman adik saya yang sememangnya peminat tegar si isteri.
Kami berjumpa seminggu sebelum dia sambung belajar, tu pun dia yang ajak. Kami memang tak ada contact langsung. Dalam hati ada juga rasa nak sms, tapi malu lebih menguasai diri.
Awal berjumpa tu memang awkward. Tak tau nak mula macam mana. Nak kata dating, bukan dating. Nak kata berkawan, tak pernah berkawan. Jumpa ni pun sebab dia ajak, saja nak jumpa katanya.
“Kenapa awak suka saya?” itu yang terkeluar dari mulut aku sebagai pembuka bicara. Masa tu memang menggigil, nak pegang sudu pun tak boleh. Dia senyum, nampak muka dia merah.
Dia kata sebab muka saya macam Vijay versi nerd. Isteri memang minat hindustan dan tamil, dan sampai sekarang hidup saya di ceriakan dengan lagu hindustan.
Kami berborak panjang, lebih kepada perancangan masa depan. Biasalah baru habis SPM, memang semangat berkobar-kobar untuk belajar dan capai cita-cita. Sebelum balik dia bagi tau saya yang dia memang serius. Dia bukan saja-saja nak mengurat saya.
Saya senyum je, bila sentuh bab cintan cintun ni automatik saya jadi kaku. Semua perkataan yang memang saya rancang nak cakap tersimpan dalam hati.
Malam tu saya sms dia, saya bagi tau yang saya pun serius dengan dia. Kalau tak ada apa, lagi enam tahun kita kahwin.
Ya Allah konfidennya saya ajak dia kahwin di usia 18 tahun. Dia suruh saya buka akaun Facebook supaya kami senang berhubung, maklumlah masa tu Whatsapp tidak digunakan secara meluas lagi, handphone pun bukan jenis android.
Dan selepas itu kami berpisah selama hampir 5 tahun. Dia ke timur tengah dan saya di Malaysia selama dua tahun dan kemudian terbang ke bumi England.
Kami ada berjumpa semasa raya aidilfitri, kebetulan dia dan saya sama-sama balik bercuti. Ketika tu kami di tahun akhir pengajian.
Kebetulan dia dan rakan-rakan beraya ke rumah saya untuk menziarahi ibu. Kami ambil peluang sekali untuk berjumpa. Berdebar tu tak tau nak cakap macam mana, sama je rasa dia macam kes bihun goreng dulu.
Saya terus terang dekat ibu yang kami serius, dah lama berkawan sejak lepas SPM. Cuma dating baru sekali, tu pun adik teman. Masa ni dah berani sikit, mungkin dah matang dan agak dewasa.
“Laaa memang jadi lah ni?” jerit ibu dari meja makan. Semua anak murid ibu yang dekat ruang tamu pandang saya, termasuk isteri. Suara ibu saya nyaring, saya pun terkejut masa tu. Ingatkan dia marah.
Sebelum balik, ibu panggil dia. Ibu kata kalau betul-betul serius ibu masuk meminang je. Dua-dua jauh, risau pula tak jadi.
“Mestilah jadi cikgu. Ingat senang ke saya nak mengurat budak nerd ni? Setahun dia jual mahal.” jawab isteri selamba.
Mungkin betul jodoh kami, sepanjang belajar di tempat orang saya tak pernah jatuh hati atau tertarik pada yang lain. Kami jarang berhubung walaupun masa tu dah ada whatsapp, hanya seminggu sekali untuk bertanya khabar.
Kadang-kadang je perbualan jadi panjang bila kami ada sesuatu untuk diluah.
Kami bertunang tiga hari sebelum dia pulang ke timur tengah dan berkahwin setelah enam bulan saya bekerja. Boleh kata kami bercinta selepas kahwin sebab semasa tempoh pertunangan pun kami jarang berjumpa.
Kami banyak kenal hati budi selepas kahwin. Betul lah, indah dan manisnya bercinta selepas kahwin ni. Sekarang pun masih bercinta, dan saya berharap cinta ni sampai syurga.
Doa saya, semoga setiap insan yang sedang mencari jodoh dipermudahkan perjalanannya.
Kisah cinta saya simple dan hambar saja, tapi saya saja nak kongsi kepada pembaca dan juga untuk bacaan si isteri memandangkan dia pembaca tegar dan top fan di sini.
Dan kepada para suami dan isteri di luar sana, hargailah pasangan yang sanggup susah dan senang bersama anda.
Sedih bila terbaca luahan-luahan isteri dan suami yang tersakiti. Dari setiap confession dan komen, terdapat banyak pengajaran yang kita boleh ambil.
Terima kasih IIUM Confession kerana menyiarkan cerita saya.
– Anak Cikgu Leha (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit