Dalam hidup kita akan lalui banyak kali fasa tersuka, tercinta, dan tersayangkan seseorang. Ya aku pun lalui. Baru saja lalui.
Aku baru sahaja pulih daripada fasa mengikhlaskan seseorang yang awalnya aku kira dia lah yang terbaik untuk aku. Tapi perancangan Allah sebaliknya. Dan bukan cinta itu yang aku ingin bahaskan saat ini.
Sejujurnya hati aku dah terikat suka kepada seorang hamba Allah yang dulunya sentiasa ada menjadi pendengar, pendorong dan penasihat setiap kali diri diuji dengan masalah dan kesedihan.
Kami berkenalan di laman Facebook beberapa bulan yang lalu. Dia juga lah insan yang menjadi asbab untuk aku move on sepenuhnya daripada cinta yang tak kesampaian suatu ketika dahulu.
Tapi apa kan daya. Aku dan dia, jauh langit dari bumi. Sepertimana dalam surah Yassin ayat 40,
“Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.” Ya begitula perumpamaan aku dan dia.
Setiap kali aku berkawan dengannya, perasaan tak layak selalu bermain dibenak fikiranku. Dia seorang yang kuat agamanya. Luas pengetahuannya.
Sedangkan aku hanya seorang gadis biasa. Penuh dengan kekurangan. Mana kan layak seorang gadis biasa dengan seorang lelaki seperti dia.
Bagi aku, dia lebih sesuai dengan wanita-wanita muslimah dalam kelompok kumpulannya. Wanita yang menjaga. Wanita yang faham ilmu agama. Bukan gadis konyol yang cokia cokia dalam semua benda.
Lagipula kami pun tidak pernah bertemu, hanya berkenalan dan berkawan di laman muka buku.
Terdetik juga rasa cemburu dan ingin tahu bila setiap kali melihat gadis yang sama menyukai postingan-postingannya.
Kadang terlintas juga di hati rasa ingin tahu siapakah wanita itu. Mereka rapat ke? Atau itu wanita yang dia cinta? Dan adakah kehadiran aku ni sebagai orang ketiga dalam hubungan mereka?
Perit bila akal dan hati masing-masing terus menerus dibiarkan tertanya. Malangnya aku tak mampu untuk menanyakan hal itu kepadanya.
Bimbang terserlah sangat aku mengejar cintanya. Lagipun bagaimana mungkin aku ingin memilikinya jika ada seorang wanita yang lebih hebat agamanya menginginkannya juga.
Percayala aku tewas tanpa bertanding. Kerana aku tak unggul dalam hal apapun.
Lagi pula, umur kami pun jauh berbeza. Dia tidak lama lagi akan menamatkan pengajiannya, aku pula lama lagi sebenarnya.
Mahu tidak mahu terpaksa la juga aku melihat lelaki yang aku suka berkahwin dengan gadis pilihannya nanti.
Sebegini sakit ke menyukai seseorang dalam diam tanpa pengetahuannya?
Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Haha jujur, aku selalu tertunggu-tunggu balasan kiriman chat darinya. Meski terkadang dia ambil masa yang sangat lama untuk membalasnya.
Sampai pada akhirnya aku sedar, aku bukan prioriti, aku bukan siapa-siapa. Mungkin kehadiran aku hanya akan terus-menerus mengganggu ketenteraman hidupnya. Maafkan aku. Maafkan aku sangat.
Untuk kamu, kau masih tetap menjadi orang pertama yang paling ingin kucari ketika bahagia, terluka, atau bahkan bosan dan ingin bercerita.
Diamku bukan bererti tidak memperjuangkanmu, tapi aku ingin belajar bahawa mencintai tak semestinya akan memiliki.
Terima kasih kerana pernah sudi menjadi tempat untuk bercerita, meluah dan bercanda. Terima kasih orang asing.
– Adliah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit