Hari ini aku mendarat lagi di tanah air. Membawa penumpang tanah air yang suatu ketika dulu, aku pun berada di situ. Ulang alik dari Prague ke Kuala Lumpur.
Membuka pintu kokpit, aku berdiri melihat penumpang-penumpang. Sesekali aku melihat seseorang wanita, persis sepertinya. Cintaku, 6 tahun yang lalu.
Aku namakan dia Nun. Namanya bermula daripada huruf N tetapi sering kali menulis singkatan namanya di dalam jawi sebagai huruf ‘ن’. Orangnya berasal daripada Sarawak tetapi belajar di sebuah universiti tempatan. Tinggi dan selalu tersenyum.
Cara pengenalan kami biarlah aku yang simpan. Biar sentiasa hidup dalam ingatan. Selepas 1 tahun berkenalan, aku mengajak Nun untuk berjumpa. Di sinilah bermulanya perubahan di dalam hidup aku.
Aku? Seorang lelaki yang berdarah muda. Asal daripada ibu kota. Aku merasakan aku mempunyai segalanya. Harta dan rupa. Sering sahaja aku memaparkan di alam maya tetapi hatiku kosong. Hatiku hitam.
Ayah dan ibu berpisah sewaktu aku 5 tahun. Memori hitam yang aku sentiasa ingin padam tetapi harusku telan.
Aku kurang berkomunikasi dengan kedua-duanya. Aku selalu menghabiskan masa di dalam bilik ataupun keluar dengan kawan. Solat? Ketika aku merasa betul- betul terdesak dan susah sahaja.
Cuti semester pun tiba. Aku mengajak Nun untuk keluar bersama pada satu hujung minggu. Cantik. Walaupun Nun setakat memakai tudung bawal dan baju blouse merah jambu.
Membuka kereta dan memberi salam. Mulutnya tidak lekang bertanyakan aku perihal pelajaran dan juga senyumannya.
Azan Zohor pun berkumandang di Masjid Negara. Dia meminta izin untuk singgah ke masjid untuk menunaikan solat zohor. Aku? Terkejut. Aku memandu dan setibanya di perkarangan masjid, aku tertunduk.
Aku memberitahunya aku sudah lama tidak solat. Aku tidak sanggup memandang kekecewaan dimatanya. Tetapi dia, hanya tersenyum dan mengajak aku keluar untuk solat bersama sama.
Sejak daripada hari itu, aku berusaha untuk mengubah diriku. Mencari jalan untuk solat dan berbalik semula kepada Tuhan. Nun pula? Sama-sama mencari jalan untuk kami berdua.
Sejak daripada itu, hujung minggu kami akan kami penuhi dengan kelas-kelas agama dan belajar bersama.
Clichè? Tidak. Perjalanan aku mencari Tuhan dibantu oleh seseorang yang tidak aku sangka. Seseorang yang asing tetapi membawa kerahmatan daripada Tuhan kepadaku. Hubungan aku dengan ibu bapaku juga semakin bertambah baik.
Tetapi langit tidak selalunya cerah.
Nun dimasukkan ke HUKL disebabkan mengalami kanser rahim dikala berbaki satu minggu lagi aku di tanah air. Aku berulang alik ke HUKL daripada rumahku. Sesekali aku terserempak dengan keluarganya tetapi aku tidak berani untuk bersua. Aku takut.
3 hari sebelum aku pulang ke Prague, aku bersua dengan ayahnya. Kulitnya bersawo matang dan matanya berwarna coklat. Mengingatkan aku kepada Nun yang mempunyai ciri yang sama.
Aku meminta izin untuk menjaga Nun pada malam itu. Ayahnya mengangguk dan menepuk belakangku lalu tersenyum.
Aku merenung Nun yang terbaring dikatil. Selendang dililit dilehernya untuk menutupi rambutnya. Pastinya, ibunya yang berbuat sebegitu. Nun merupakan seorang anak perempuan tunggal di dalam keluarga.
4:15 a.m
Tangan Nun bergerak mengejutkan aku daripada lenaku. Matanya sedikit terbuka dan memandang ke arahku. Bibirnya sempat lagi mengukir senyuman. Aku menjerit memanggil doktor daripada pintu biliknya dan balik semula ke arahnya.
Dia menarik topeng oksigen dan menarik lengan bajuku, mendekatkan telinga aku kepada mulutnya.
“Berubah kerana manusia akan menghampakan kita selalunya. Tetapi berubah kerana Allah, tidak akan pernah. Selamanya cinta.”
Air mataku jatuh dibajunya. Aku tidak ingin memikirkan mengenainya. Tetapi, kata kata itu aku pegang sehingga kini setelah aku kehilangan untuk selamanya ketika berkumandangnya azan Subuh pagi itu.
Aku tetap terbang ke Prague dengan kesedihan di hati bersama gambarnya disisip di dompetku. Biarlah jiwanya yang idamkan mengembara ke seluruh dunia, aku bawa bersama.
Ingatanku tersentak apabila mendengar wanita itu mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku tersenyum dan kembali ke dalam kokpit. Membuka dompet dan mengeluarkan sekeping gambar yang kian pudar yang disimpan ku untuk bertahun.
Terima Kasih, Selamanya Cinta.
Fiksyen ataupun tidak, biarlah Tuhan sahaja yang mengetahui. Biarlah satu hati sahaja yang merasai.
– Enjin dan Langit (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit