Terima Kasih Wahai Lelaki Santun & Berbudi

Ini adalah cebisan kisah yang ingin aku kongsikan buat pedoman yang membacanya.

Aku adalah seorang perempuan bujang yang berusia 30-an. Belum direzekikan jodoh. Aku perempuan biasa. Bekerja biasa biasa. Tiada yang istimewa.

Sehingga, suatu hari, aku terdetik dengan sangat bergelojak untuk melamar seorang lelaki yang pernah aku kenali waktu belajar di Universiti dahulu.

Dia adalah antara lelaki terbaik yang pernah aku kenali.

Lelaki budiman yang faham agama. Lelaki yang mesra alam dan bersopan santun. Lelaki yang sangat akrab dengan ibunya dan mengambil alih perniagaan kecil milik keluarga setelah pemergian arwah ayahnya.

Sudah bertahun tidak berkomunikasi. Cuma sesekali reply story Whatsapp.

Tapi, kebaikan yang pernah dia tinggalkan membuatkan hati terdetik untuk melamar walaupun aku seorang perempuan.

Entah dari mana datang keberanian, yang hampir mustahil terjadi ini; keberanian melamar seorang lelaki.

Hati aku sangat tenang untuk melamar dia. Tanpa debaran, tanpa kerisauan. Tanpa jangkaan penerimaan.

Aku memilih hari jumaat sempena mulianya hari tersebut buat umat Islam untuk meluah keinginan.

Walaupun sedar jauh beza dia dari aku.

Jauh beza ilmu dia dari aku.

Jauh beza iman dari aku.

Jauh beza akhlak terpuji dari aku.

Jauh beza latar belakang dengan aku.

Walaupun tidak pernah bersua lebih 10 tahun.

Walaupun tak pernah bercakap lebih 10 tahun.

Tapi aku sangat ingin melafazkan lamaran ini.

Ketenangan yang aneh ini sangat berharga bagi aku.

Ketenangan yang entah dari mana datangnya.

Tiba hari kejadian;

Tiada balasan. Dan katanya dia mahu menelefon dan bercakap denganku.

Aku menanti dengan sabar.

Menunggu keputusan. Jangkaan aku adalah penolakan kerana sedar diri. Jika penerimaan, itu adalah rezeki dan keajaiban.

Sebaik sahaja mengangkat panggilan telefon, lelaki itu menyapa aku dengan sangat berhemah. Bertanya khabar dan meminta maaf atas kesibukan.

Dia berbual sehingga membuatkan aku selesa. Bertanya keadaan aku dan menceritakan keadaan dirinya. Kami berbual dan hatiku merasa tenang.

Dalam perbualan itu, dia menyatakan penolakan dengan sangat baik dan berhemah. Sehingga sedikit pun tidak melukakan.

Dia berbicara dengan tenang dan ikhlas, malah mendoakan kebaikan untuk aku. Mendengar masalah dan mencadangkan penyelesaian.

Subhanallah.

Penolakan terindah!

Penolakan yang memberi tenang, lebih dari rasa sebelum berbicara.

Katanya;

Dia menghubungi kerana menghormati keinginan aku. Dia memilih untuk terus berbicara untuk tidak melukakan.

Entahlah.

Betapa budimannya lelaki ini.

Walaupun aku ditolak, tapi dia berjaya memberikan suatu kata hikmah, nasihat, pesan dan rasa tenang dalam hati.

Semoga berbahagia wahai lelaki budiman. Bersama pilihan yang selayaknya untukmu.

Terima kasih untuk segala kebaikan yang pernah engkau hulurkan. Aku akan meneruskan hidup dengan senyuman dan usaha perbaiki diri.

Andai kau membaca ini, kau pasti tahu ini cerita aku. Tetaplah mendoakan kebaikan untukku dunia dan akhirat.

Terima kasih, wahai lelaki santun & berbudi.

– A (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *