Aku tak mahu dilabel sebagai isteri tak bersyukur jika aku meluahkan perasaan aku ketika ini kepada suami. Maka aku tuliskan saja di sini, sekurangnya tiada siapa mengenaliku.
Untuk pengenalan, suami aku anak lelaki tunggal dalam keluarga, adik beradiknya yang lain semua perempuan dan telah berkahwin.
Aku dan suami bekerja dalam sektor swasta, alhamdulillah aku bergaji t20 manakala suami separuh dari itu.
Aku sejenis isteri yang jarang meminta pada suami sebab aku boleh usahakan sendiri, aku tahu duit aku cukup jika aku mahukan sesuatu, so jarang sangatla aku minta suami bayarkan kehendak aku.
Untuk nafkah pula, suami yang bayarkan rumah, kadang² suami bayarkan keperluan dapur, most of the time, memang aku bayarkan juga.
Nafkah untuk aku, 200 setiap bulan. Kami bayar kereta masing-masing.
Insuran aku, anak², tuition mereka, tadika, transit, segala keperluan penting lain seperti sekolah memang aku yang bayarkan. Suami lebih banyak beli kegembiraan anak² dengan membeli barang mainan macam tu.
Kadang² bawa kami makan sedap² juga. Sepatutnya, aku menjadi isteri yang bersyukur lah bukan? Cukup segalanya, suami pula memang tak berkira dengan anak² bab makan dan toys. Jadi apa isunya.
Tadi aku terbaca WhatsApp suami dengan kakaknya, suami ada transfer sejumlah duit untuk kegunaan kakaknya untuk beraya. Seribu. Aku termenung sekejap.
Aku ketika ini sedang berkira untuk membeli baju raya ke tak sebab ekonomi tidak sekukuh dulu, harga barang pun makin mahal.
Tapi alhamdulillah kami masih cukup makan. Sebab aku ada untuk mencukupkan. Walaupun 3, 4 hari sebelum gaji ada masanya duit tinggal beberapa saja selepas membayar semua tadika dan tuition anak², tapi masih cukup.
Sebelum puasa hari tu kakak suami juga ada mintak beberapa ratus sudah. Bukan seorang, kadang kakak yang lain juga menjadikan suami sebagai ATM bila keperluan mereka terdesak.
Suami tak berahsia denganku, memang diceritakan, aku pun kurang complaint, yelah bukannya duit aku dan bukannya berkurang duit aku pun.
Cuma hari ni aku termenung sekejap. Aku sendiri segan nak meminta sampai beribu dengan suami. Suami baik hati membantu kakak² yang dah berlaki tu semua tak bersyarat.
Tak pernah dia minta balik semua tu. Kadang dibayar balik, selalunya kira halal lah.
Tu belum mertua pun sama, walaupun sudah ada nafkah tetap setiap bulan, masih juga meminta lebih. Yelah bukan setiap bulan minta lebih, tapi sentiasa ada.
Sedangkan aku isteri berkira² untuk meminta dengan suami sebab aku segan. Nanti balik cuti di kampung, bercuti di mana², aku yang akan keluarkan belanja lebih,
Suami macam tak rasa bersalah pula membiarkan aku keluarkan semua belanja sedangkan dia senangnya menghulurkan kepada kakak.
Ya betul kakaknya tidak bekerja, suami kakaknya entahla berfungsi ke tidak. Jadi faham tak perasaan ku sekarang, antara rasa bersalah untuk complaint dan juga rasa sebu memikirkan.
Suami aku bukanlah orang tak bertanggungjawab, tak reti agama tu jauh sekali. Aku pun tak faham. Adakah aku dengki dengan rezeki kakak iparku? Huhu.. semoga tuhan kurniakan aku ikhlas.
Perasaan ini bukan baru bermula hari ini. Dah lama, aku pun dah hampir berbelas tahun berkahwin.
Cuma hari ni, aku terasa ingin menulis kerana aku tidak ingin di 10 malam terakhir Ramadhan ini, aku pergi mencari pasal pula dengan suamiku.
Selamat berpuasa…
– Sarah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit