Terkilan Dengan Bapa

Assalamualaikum semua. Pertama kali aku meluah di alam maya macam ni.

Aku anak sulung dari dua beradik seibu dan anak ke 9 sebapa. Bapa aku berkahwin 3 kali dan masih bersama dengan ibu aku. Isteri yang dua lagi dah cerai.

Beban aku sebagai anak sulung sejak remaja lagi, bapa aku dari dulu memang punya ego yang sangat tinggi dan selalu menghina ibu aku.

Yelah sebab ibu aku orang yang tiada pelajaran tinggi, jadi bapa aku selalu kata ibu aku bodoh dan tak tahu apa-apa. Setiap kali mereka bergaduh aku yang menyaksikan dan mendengar hinaan bapa aku terhadap ibu aku.

Apabila aku masuk alam pekerjaan suasana dirumah sedikit tenang, namun aku sudah mulai stress setiap kali mereka bergaduh dan aku akan menangis bila mendengar mereka, bergaduh.

Bapa aku selalu mengungkit bab nafkah yang dia berikan kepada ibuku walhal duit yang ibuku ambil hanyalah untuk membeli barang keperluan dapur dan bil api serta bil air. Ibuku sudah jarang membeli pakaian untuk diri sendiri. Sedih sangat.

Bila lauk dimeja ala kadar bapa ku tahu pulak mengeluh. Setiap yang ibu ku lakukan semua buruk di mata bapa ku.

Bapa ku juga sering mengumpat dan merendah-rendahkan ibuku dihadapan adik beradik dan anak-anaknya lain. Bukan setakat itu terkadang di depan orang luar pun dia memarahi ibuku.

Aku pernah bertekad untuk membawa ibu ku pindah, namun ibu ku tetap tidak sampai hati meninggalkan bapa ku memandangkan bapa ku seorang warga emas yang berumur 70an.

Namun percakapan dan perwatakan nya masih sombong dan ego seperti dia berasa umurnya 40an barangkali.

Alhamdulillah Allah mengizinkan dia masih sihat dan kuat namun kerana itulah dia berbangga kerana mampu hidup lama,

Dia juga suka memberitahu dan menunjuk-nunjuk kepada orang dia banyak duit dan berkemampuan, namun hakikatnya tanggungjawab dirumah dia tetap culas dan sering berbolak balik hati.

Hari ni sayang esok benci, hari ni beri esok ambil semula. Banyak hal yang aku telan, dengar dan simpan selama ni. Aku cuma mengharapkan sebuah keluarga yang bahagia sering menyayangi satu dengan lain ikhlas.

Yang aku terkilan bermula dengan aku sambung belajar, pada mulanya dia kata dia nak tanggung semua. Tapi apabila di hujung jalan dia berhenti memberi wang kepada ku dan aku telah membayar sendiri pengajianku.

Itu tidak mengapa lagi, sejak beberapa tahun ini dia sudah mula berperangai pelik, jadi mata, duitan dan takut duitnya dan hartanya habis. Berkira untuk semua hal tetapi tamak untuk harta orang lain. Hahaha lawak.

Masuk bab aku berkahwin, kami sepatutnya ambil tempoh setahun dari bertunang sebelum melangsungkan perkahwinan tetapi bapa aku sibuk nak suruh aku kahwin cepat katanya dia dah tak sihat dia sakit. Dia takut jadi apa-apa kat dia.

Weh dia masih hidup sampai sekarang aku dah kahwin setahun lebih kot. Hahaha.

Dah aku dengan laki aku berkikis bulu betis sebab terpaksa kahwin 5 bulan selepas bertunang.

Dia 1 sen pun haram jadah nak menolong, tanya aku cukup duit ke idok, tanya ada apa yang perlu tambah ke apa. Haram takdok tapi duit dari tetamu dia laju simpan dalam poket tak bagi sikit pun kat aku.

Duit hantaran aku lima belas ribu habis bersih tanggung seratus peratus majlis aku. Tapi depan tetamu bukan main dia ambil nama katanya dia yang atur semua. Haha lawak bukan?

Sekarang aku ditimpa sakit pulak, sebelum aku pembedahan dia sempat pesan kat aku, duit kau dekat tabung haji ada 30 ribu kan. Keluarkan la semua, bagi mak kau. Weh dia harap aku mati ke weh.

Dari hari aku admit hospital yang dekat dengan rumah sampai aku pembedahan haram jadah sekali dia datang melawat aku kat hospital.

Pastu balik ke rumah, sebulan aku terlantar di bilik dia tak pernah jenguk pun tapi bila topup handphone dia dah habis tiba-tiba mengetuk bilik aku awal pagi sebab nak suruh aku topup.

Sedih gila weh aku ingat dia ketuk nak tanya khabar ke apa. Rupanya tetap fikirkan kepentingan diri dia sndiri.

Ujian sekarang pulak bila dia ada topup mula lah dia call adik beradik dia dan memburukkan kami, kata kami tak bagi tu la tak buatkan dia ni la tak bercakap dengan dia lah. Sedangkan hakikatnya tak macam tu.

Dia suka cari perhatian dengan orang tapi burukkan kami. Entahlah sampai bila nak lalui ujian macam ni.

Sepatutnya di umur dia macam ni dia tak perlu dah fikir harta benda dunia.

Allah beri dia umur panjang kesihatan yang baik tapi Allah masih uji dia dengan kerisauan hilang harta benda dan ketamakan hingga nafkah kepada isteri pun tak ikhlas. Sering mengungkit-ungkit.

Aku dah lama bercadang nak keluar dari rumah dan pindah ikut suami aku tapi sebab aku kesian dengan mak aku yang perlu hadap perangai bapa aku, aku selalu kuburkan niat aku.

Doakan aku dan mak aku kuat lalui ujian ni. Aku kesian kat mak aku tak pernah merasa betul-betul bahagia. Semoga satu masa Allah izinkan aku gembirakan mak aku dan bagi apa sahaja yang mak aku inginkan.

– ORKED (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *