Terlalu Baik atau Tak Cerdik?

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca semua. Tulisan ini sekadar untuk meluahkan apa yang sudah lama saya pendam. Bacalah dengan hati dan fikiran yang terbuka.

Saya Kathaliya (bukan nama sebenar), umur dalam lingkungan 20-an dan bakal berkahwin tahun depan, In Shaa Allah.

Dulu, saya ada seorang bekas teman lelaki. Saya namakan dia B. Tua dua tahun dari saya. Berpisah secara baik dan berkawan seperti biasa. Memang tak bermusuhan, senang cerita.

Cuma sebelum B berkahwin, dia pernah beberapa kali ajak saya kahwin.

Saya tolak dengan cara baik kerana sudah anggap dia sebagai kawan dan tak lebih dari itu. Takde langsung dah perasaan cinta atau sayang macam dulu-dulu.

Tapi siapa saya nak halang or paksa perasan orang lain kan?

Sebelum B berkahwin, saya beritahu B saya nak bagi dia hadiah perkahwinan. Memandangkan dia kahwin masa PKP jadi tetamu yang dijemput pun terhad. Jadi kami berjumpa di kedai kepunyaan B.

B keseorangan di kedai sebab pekerjanya tak dapat datang. Silap saya terlebih berani berjumpa dengan dia seorang diri.

Silap saya percaya yang dia tak ada niat jahat terhadap saya. Silap saya yang tak akan saya lupa sampai bila-bila.

B cuba rogol saya. Ya, di dalam kedai. Bahagian dapur. Di kawasan yang boleh saya katakan sibuk orang lalu lalang, kawasan kedai yang ramai pelanggan tetapi masa kejadian itu berlaku, tiada pelanggan yang singgah di kedai dia.

B kata dia dah lama nak saya jadi isteri dia.

Saya saja yang selalu tolak lamaran dia.

Saya takut sangat masa itu, sampai saya tak boleh fikir apa. Saya cuma doa dalam hati semoga Allah tolong saya.

Saya merayu kat dia, jangan apa-apakan saya dan ingatkan dia bahawa lagi 2 hari dia nak kahwin.

Saya cuba menjerit tetapi dia cakap kalau saya jerit nanti orang ramai datang, kami akan ditangkap basah dan dipaksa berkahwin. Saya tak nak. Saya bergelut dalam keadaan pandangan saya kabur.

Cermin mata saya diletak entah ke mana. Saya tak pasti. Kemudian, saya tolak dia sekuat hati dan lari ke bahagian depan kedai. Sehabis kudrat saya guna. Dalam kepala saya, saya kena lari sekarang juga.

Di bahagian depan ada juga satu bilik kecil yang lain. Di situ dia cuba tarik dan peluk saya sekali lagi. Saya tampar muka dia dan tolak dia.

Bergelut sekali lagi. Merayu sekali lagi. Bila nafsu menguasai, hilang kawalan diri.

Alhamdulillah, kemudian ada seorang pelanggan datang. Terima kasih Ya Allah. Masa itu, saya fikir nak lari saja. Tapi cermin mata saya masih ada pada B. Dia simpan di dalam poket seluar belakang.

Semasa B sibuk melayan pelanggan, saya tinggi kan suara meminta dia bagi semula cermin mata saya.

B mula rasa tak selesa sebab pelanggan itu memandang ke arah dia. Dia terus pulangkan cermin mata saya dan saya cepat-cepat keluar dari kedai itu.

B memanggil saya tapi saya tak endahkan. Saya cuma nak balik. Saya takut sangat. Saya menangis sepanjang jalan pulang ke rumah.

Saya ada terfikir untuk buat laporan polis tapi pada masa yang sama saya tak nak hancurkan perkahwinan dia yang lagi 2 hari akan berlangsung.

Kesian bakal isteri dia. Persiapan mungkin banyak dah siap. Serabut fikiran saya. Sudahnya, saya pendam seorang diri. Saya block nombor, FB, IG milik B. Saya tak nak tahu dah pasal dia. Dia dah mati bagi saya.

Hari ini, Khamis 13/5/2022, B datang ke rumah saya. Saya tak perasan bila dia ikut kereta saya dan berhenti betul-betul sebelah pintu kereta saya.

Kebetulan Ayah saya berada kat pagar dan pergi ke arah saya. Alhamdulillah. Saya cepat-cepat masuk rumah.

Saya takut dan jadi teringat semula apa yang terjadi. Trauma. Tak nak dah tengok muka dia. Sejak dari kejadian hari itu, saya hari-hari berdoa supaya hidup dia tak tenang atau senang dia mati je lagi bagus.

Jahatnya saya mendoakan kematian orang lain tapi saya tak kuat nak maafkan dia apatah lagi hadap muka dia sekali lagi.

Suicidal thoughts jangan cakap lah, tapi sebagai seorang yang beragama Islam, saya sabar. Allah nak ajar saya dengan cara macam ni. Ada hikmah.

Adakah saya terlalu baik atau bodoh sebab tak buat laporan polis atas apa yang telah dia buat kepada saya? Saya terlalu takut, panik dan sedih masa itu untuk berfikir secara waras.

Akhir kata, dalam mengenali sesiapa pun di dunia ini, jangan terlalu percaya. Walau baik mana pun dia. Serapat mana pun hubungan. Jaga diri ya terutama gadis-gadis.

Doakan saya kuat untuk hadapi ujian ini dan semoga Allah sentiasa dilindungi kita semua. Aamiin. Terima kasih kerana sudi membaca tulisan saya.

– Kathaliya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *