Terlampau Kecewa

Assalamualaikum semua. Sebelum covid ayah mentua aku kumpulkan anak-anak dia, menantu dan cucu. Semua berkumpul, suami aku ni adik beradik dia ada 4 orang dan semuanya lelaki dia ni pula anak nombor 2.

Kami semua berkumpul sebab dari cara ayah mentua aku bagitahu tu macam ada benda penting.

Ayah mentua aku cakap dia dah jual tanah, rumah dan kebun dia. Semua agak terkejut bukan apa kenapa tiba-tiba ayah mentua perlu kan duit ke apa. Tapi ayah mentua aku cuma cakap dia ni dah tua.

2 tahun lepas mak mentua aku meninggal dunia. Ayah mentua aku bagitahu dia dah tua rasanya 3-4 tahun lagi mungkin tak tahu hidup ke mati.

Jadi kalau boleh dia nak sekurang-kurangnya anak-anak, menantu dan cucu dia ada rumah sendiri sebelum dia pergi. Kami ni semua sebenarnya menyewa dari abang ipar aku ke adik ipar aku semua masih menyewa belum ada rezeki nak beli rumah sendiri.

Ayah mentua aku bagitahu dia dah habis berurusan duit pun dah ada dan dia akan bahagikan setiap satu bahagian untuk anak-anak dia.

Cuma ayah mentua aku pesan dia kalau boleh sebelum dia pergi. Dia nak tengok rumah yang diorang ni beli dan nak menetap dalam sebulan.

Suami aku dan adik beradik dia cuma angguk sebab benda pun dah di jual. Bila kami tanya ayah mentua aku mana dia nak tinggal sebab dah jual rumah dan tanah semua. Dia cakap nak duduk rumah lama, rumah waktu hidup muda dengan arwah mak mentua dulu.

Tak sampai seminggu suami aku dan adik beradik dia semua dapat jumlah duit yang banyak. Aku selama hidup ni tak pernah nampak duit sebanyak tu dalam bank. Dengan jumlah tu untuk beli rumah landed typical orang kita beli tak ada masalah untuk full payment.

Dalam group wasap waktu ni semua rancak abang ipar aku, akak ipar aku bila duit masuk.

Tahun pertama dapat duit adik ipar aku dah beli rumah dulu. Rumah lokasi bagus tempat pun selesa, kemudahan dekat.

Masa ni aku agak jealous sebab niat nak ada rumah sendiri tu makin membuak-buak. Aku suruh suami lekaskan urusan beli rumah tapi dia cakap nanti, belum masanya lagi. Senang cerita dia banyak tangguh sedangkan adik beradik dia yang lain dah memang fokus merata mencari.

Masa ni era covid dan pkp. Aku sebenarnya ada buat semakan dan carian sendiri pasal rumah. Aku cakap dengan suami kita pergi at least boleh tengok rumah. Sebab pada aku lokasi dia tu memang bagus yang paling penting sekolah sebab anak kami dua orang ni baru sekolah rendah.

Suami aku selalu cakap pandai lah dia cari sendiri. Aku pun nak bertekak payah juga sebab itu duit dan hak dia.

Tapi bila aku catch up dengan ipar aku. Diorang semua progress dah 50%. Apa lagi waktu covid tu nak keluar payah diorang semua dah ada macam at least 2-3 rumah yang macam dah confirm.

Abg ipar aku pun pernah video call suami aku. Dia cakap ada satu rumah ni dia jumpa dari kawan dia. Dia recommend dekat suami aku sebab rumah tu dekat negeri dan kawasan kami tinggal.

Abg ipar aku pun bagi semua contact lengkap dan aku sendiri dah tengok dari fb orang tu dan video rumah tu, lawa.

Bila tengok dari kawasan perumahan, dari luar sampai dalam rumah pada aku serba serbi lawa dan harga dia tu pula kami masih boleh ada balance untuk renovate dan beli beberapa barang.

Masa ni aku dah berangan sangat pasal rumah ni. Hampir setiap hari aku paksa suami aku cuba check rumah ni dan try tanya orang tu yang abang ipar aku recommend.

Suami aku cakap nanti lah aku waktu ni agak emosi juga sebab dah masuk 2 tahun setengah dari dapat amanah dari ayah mentua aku.

Ayah mentua pun selalu kalau call dia tanya macam mana urusan. Suami aku punya tak malu cakap “Alhamdulilah tak lama lagi ada hasil” padahal dia belum ada progress langsung.

Yang paling aku tak sedap hati. Dia asyik sembang pasal kereta, motor. Selalu sangat cakap “murah juga harga kereta dengan motor ni kalau dapat beli boleh bercuti” lepastu dekat wasap, tiktok bermacam tempat dia chat tanya pasal kereta, pasal motor.

Aku dah warning dia cakap, “abang awak jangan gatal tangan duit tu beli benda lain, kalau nak juga beli. Beli rumah dulu balance tu suka hati awak nak beli apa. Duit tu amanah ayah untuk beli rumah”

Suami aku dia selalu jawab “saya tahu” tapi aku memang kalau tengok gelagat dia. Dia tak excited untuk beli rumah tapi lebih excited kereta dan motor baru.

Penghujung pkp tu abang ipar dah beli rumah. Adik ipar yang pertama beli tu dia laki bini dengan anak-anak dah siap renovate rumah. Aku bila tengok diorang update video dan gambar rasa jealous betul. Lawa rumah, dari cat diorang pilih, meja, kerusi kira memang nampak mewah betul.

Bila habis pkp ayah mentua aku pun tinggal dengan adik ipar aku. Kami sendiri melawat tengok rumah baru dia dan memang lawa. Yang design dalam rumah beli barang semua isteri dia. Kalau biasa tengok concept modern dekat tiktok tu macam tu lah rumah adik ipar aku.

Sambil tu kami melawat rumah abang ipar aku. Kalau adik ipar aku tu diorang buat sendiri tapi yang abang ipar aku ni dia upah orang. Bila tengok ni aku memang cemburu habis. Adik ipar aku yang lagi sorang pula dia laki bini dah boleh di katakan confirm satu rumah ni tapi cuma tengah explore option lain.

Aku balik tu terus paksa suami aku. Aku cakap dengan dia tahun ni kalau boleh biar kita ada rumah baru. Adik beradik dia dah 2 orang tunaikan amanah ayah dia. Yang lagi sorang tu mungkin tak lama lagi dah ada rumah. Kita ni yang belum ada progress langsung.

Segala cadangan aku dia tolak. Semua tak kena pada tekak dia. Tahun depan adik ipar aku yang sorang ni dah berjaya beli rumah.

Aku memang dah agak stress sebab suami aku cakap dia dah jumpa rumah tapi nak suprised dekat aku cakap tengah nak selesaikan. Aku percaya dekat dia tapi kau tahu dia bawa balik Alphard. Kawan dia ada jual alphard jadi dia pun beli.

Aku bila dapat tahu tu hampir nak pengsan tersungkur. Aku sampai menangis cakap kenapa beli kereta ni. Suami aku dengan tak bersalah dia cakap “benda dapat harga murah mileage pun baru berapa rugi tak beli” dia cakap hal rumah tu nanti ada balance bayar down payment sahaja.

Padahal ayah mentua aku tujuan kasi duit dengan jumlah banyak tu biar anak-anak, menantu dan cucu dia ada rumah sendiri dan tak fikir bulan-bulan kena bayar duit rumah.

Suami aku memang dia dah tak dengar. Selepas beli alphard dia beli motor sampai 2 biji. Aku masa ni dah tak larat dan tak berdaya membebel dia cakap hal rumah pandai dia urus.

Adik dan abang ipar aku semua hal rumah diorang dah selesai. Masa ni bila ayah mentua aku dekat rumah adik ipar aku dia sakit baru ngelabah suami aku nak fikir pasal rumah. Kalau tak, tak habis-habis dia tayang motor harga puluh ribu dia denga alphard.

75% dari jumlah duit yang ayah mentua aku amanahkan dia dah guna untuk barang dia. Sedangkan rumah satu progress pun tak ada.

Adik beradik dia cakap pun masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Itu tak termasuk motor puluh ribu dia satu tu yang beli tak sampai setahun jahanam total lost. Nasib baik nyawa dia tak melayang.

Ayah mentua aku meninggal dunia cuma keluarga kami sahaja yang tak ada rumah. Cuma kami sahaja yang ayah mentua aku tak dapat duduk dan tinggal dekat rumah baru.

Aku masa arwah meninggal nangis rasa macam gagal sangat tak dapat tunaikan amanah arwah aku sampai menjerit dekat suami aku.

Bila dah ayah dia meninggal baru suami aku rasa sedih. Boleh pula dia cakap kenapa aku tak push dia beli rumah padahal aku hampir setiap hari. Segala contact orang rasanya jejak 100 dan link rumah aku share dekat wasap.

Itu belum termasuk suami aku jadi punca kemalangan dekat seseorang ni dan sebab taknak kasi benda ni di rumitkan jadi kes polis dan mahkamah nak taknak puluh ribu kami keluarkan untuk selesaikan masalah tersebut.

Setiap kali aku nampak kereta Alphard tu dengan motor dia setiap kali tu aku rasa meluat dan geram.

Tiba-tiba suami aku cakap nak jual alphard dengan motor dia nak beli rumah siap cakap “syg cuba tengok rumah mana kita try check”

Tapi aku waktu ni dah tak ada langsung nafsu nak beli rumah. Duit yang dapat tu habis macam tu sahaja. Ipar duai aku dah tak perlu fikir hal bayar sewa rumah atau tuan rumah tiba-tiba suruh keluar.

Diorang dah ada tempat sendiri yang tak payah pening kepala nak fikir. Kami pula sampai sekarang masih menyewa. Motor yang satu tu dia jual. Alphard tu ada lagi. Padahal kami ni motor dah ada 2 dah habis bayar. Motor lc tu dengan skuter ego. Kereta myvi tu pun dah habis bayar.

Paling kelakar pada aku hujung tahun lepas sebab tuan rumah ni nak bagi rumah ni dekat anak dan menantu dia yang nak kahwin tak lama lagi jadi kami terpaksa pindah.

Aku cuma mampu gelak tengok suami aku kehulu kehilir cari rumah nak sewa. Sebab terdesak kami terpaksa bayar sewa yang 30% lagi mahal dari rumah kami sebelum ni.

Suami aku setiap hari tunjuk aku nak rumah ni tak, atau nak yang ni. Aku cuma bagitahu dia “ikut awak lah abang duit awak”

Sebenarnya yang paling aku sakit. Seminggu sebelum ayah mentua aku meninggal dan melawat. Ayah mentua aku ada gurau “insyaAllah ada ni rezeki lawat rumah baru angah nanti”

Tapi seminggu selepas kami melawat tu ayah meninggal dunia. Aku rasa macam gagal dan sedih sangat tak dapat tunaikan amanah arwah.

Raya haritu melawat rumah abang dan akak ipar aku cemburu betul bila tengok rumah dah siap lawa. Abg ipar aku tu dia upah orang dalam 20-30 ribu renovate rumah tu dan hasilnya lawa, berbaloi.

Bila aku check rumah diorang tu semua benda yang aku cuma mampu mimpi. Bermacam video tiktok aku save untuk beli dan design rumah tapi cuma mampu telan air liur.

– Maria (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *