Assalamualaikum. Alhamdulillah saya telah selamat bertunang dan akan melangsungkan pernikahan tidak lama lagi. Tunang adalah satu-satunya lelaki yang tersemat di hati tiada pengganti.
Cuma saya ada satu kisah pilu dan saya amat menyesali dengan apa yang pernah berlaku. Saya dan tunang pernah terlanjur hingga saya hamil tanpa pengetahuan keluarga.
Kami tiada pilihan selain menggugurkan bayi tersebut memandangkan kandungan baru mencecah 1 bulan. Pembelian pil diuruskan oleh tunang dan beliau juga mengambil berat sewaktu proses menggugurkan.
Tapi proses itu tidak berjaya dan kami kerap bergaduh sehingga waktu itu tunang block saya di whatsapp serta menghilangkan diri di social media.
Saya cuba menghubungi beliau selama beberapa hari namun gagal. Lalu saya bersakit lelah selesaikan masalah tersebut sendirian bertemankan air mata.
Terlalu perit apa yang saya lalui, sakit fizikal dan mental hingga saya rasa ingin tamatkan sahaja kehidupan ini.
Namun syukur masih ada setipis iman di dada dan saya anggap ini semua balasan kepada dosa yang dilakukan.
Akhirnya kandungan saya telah gugur dan saya mengalami sedikit kesan sampingan hingga kini terutamanya ketika datang haid, efek pengambilan ubat terlarang.
Saya telah melalui fasa ‘healing’ selama beberapa bulan tanpa pengetahuan sesiapa.
Saya cekalkan hati dan tubuh badan untuk lalui hari-hari mendatang di pejabat dan rumah seperti tiada apa yang berlaku.
Tetapi setiap malam saya akan menangis sama ada akibat sakit di badan atau terkenangkan dosa yang dilakukan.
Berminggu kemudian tunang hadir kembali dan atas rasa serba salah dia ingin bertanggungjawab serta menjadikan saya isteri. Dia satu-satunya insan di hati. Lalu saya terima dan maafkan dia hingga kami pun bertunang
Layanan dia terhadap saya amat baik sekali dan jelas kelihatan betapa dia ingin membina mahligai kami.
Soal masa silam kami yang itu kami langsung tidak bercakap lagi. Seolah-olah ia tidak pernah berlaku.
Saya sangat menghormatinya dan tidak pernah sekali pun saya ungkit akan kekejaman dia meninggalkan saya keseorangan ketika saya berperit sendirian menggugurkan anak dia demi nak menjaga aib kami.
Masalahnya di sini, terkadang ada waktu-waktunya saya terkenang peristiwa tersebut. Betapa saya sakit sorang-sorang walhal dia menghilangkan diri serta berfoya-foya dengan wanita lain ketika itu.
Dan apabila saya teringatkan perkara tersebut, saya rasa teramat benci dengan tunang hingga saya menangis teresak-esak.
Di hadapannya saya kelihatan gembira tapi dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa saya bencikan dia tetapi sayangkan dia dalam masa yang sama.
Saya keliru. Sepertinya saya dah takkan rasa lagi definisi sebenar kegembiraan.
Saya tahu tunang saya juga sudah bertaubat. Saya kasihankan dia yang cuba sedaya upaya untuk bahagiakan saya. Jelas keikhlasan dia.
Tapi kadang-kala saya tak boleh terima kesungguhan tersebut lebih-lebih lagi ketika saya teringatkan apa yang dia buat. Mungkin balasan Tuhan telah tarik nikmat gembira walaupun saya cintakan dia.
Moga Allah swt ampunkan kami berdua dan terima taubat kami
– Daisy (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit