Tersalah Memilih Suami

Assalamualaikum warga IIUM Confession…

Di sini saya ingin meminta pandangan serta pendapat daripada saudara saudari mengenai masalah yang saya sedang hadapi. Saya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa yang mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun. Suami saya tidak memberi kebenaran kepada saya untuk bekerja.

Jadi di sini saya ingin menyatakan beberapa masalah yang saya hadapi sepanjang hidup berumahtangga.

1. Tidak diterima oleh keluarga mertua

• Mak mertua saya tidak bersetuju dengan perkahwinan saya dan suami. Mak mertua saya memberitahu saya tentang hal ini setelah saya selamat melahirkan anak saya. Suami saya pula telah lama tahu mengenai hal ini dan menyembunyikannya daripada saya.

• Mak mertua saya mempunyai calon isteri yang lain untuk suami saya.

• Mak mertua saya sering menfitnah saya mengatakan saya tidak hormat pada keluarga mertua, padahal saya seorang yang pendiam dan sangat menghormati keluarga mertua.

• Kakak ipar saya pula selalu menjadi batu api dalam setiap masalah yang saya dan suami hadapi.

• Kakak ipar saya juga pernah berkata kepada saya yang saya ni tidak ada agama, saya mengidamkan untuk putus silaturahim kerana saya diamkan diri apabila saya stress dengan keluarga mertua, dan saya memberi contoh tidak baik pada anak.

• Keluarga mertua saya selalu memarahi saya dibelakang suami saya. Ada sahaja yang tidak kena dengan tindak tanduk saya pada mereka.

• Saya cuba berbaik dengan keluarga mertua, tetapi kebaikan saya tidak diterima oleh mereka.

2. Suami tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan anak

• Suami tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami iaitu menjadi pelindung kepada anak dan isteri, membantu isteri menjaga anak, menjaga aib isteri dan menjadi pendengar yang setia kepada masalah isteri.

• Suami sering kali membiar saya menghadapai masalah dengan keluarga mertua seorang diri. Kata suami saya itu bukan urusan dia dan dia malas untuk masuk campur walaupun pelbagai fitnah dilemparkan oleh keluarga mertua terhadap saya.

• Aib dan maruah saya sebagai seorang isteri tidak dijaga oleh suami kerana suami saya selalu menceritakan hal rumah tangga dan keburukan saya pada keluarga mertua dan kawan-kawan suami saya.

• Soal anak pula, sememangnya hanya saya seorang diri yang akan menguruskan anak dan rumah tangga daripada pagi sampai ke malam setiap hari tanpa sedikit pun bantuan daripada suami. Apabila saya sakit dan penat suami seakan tidak berpuas hati dengan saya dan mengatakan saya pemalas.

3. Diabaikan oleh suami

• Setiap hari suami akan keluar selepas subuh dan balik semula ke rumah sebelum subuh.

• Saya dan anak diabaikan oleh suami.

• Suami tidak membenarkan saya untuk berkawan dengan sesiapa. Saya hanya dibenarkan rapat dengan keluarga mertua dan pergi ke rumah mak mertua saya sahaja.

• Suami pernah kantoi dengan saya bermesra di mesej dan keluar berdua-duaan dengan perempuan lain.

4. Mendapat layan yang tidak baik daripada suami

• Suami tidur di bilik berasingan selama dua bulan disebabkan tidak boleh terima apabila saya mengadu pada suami tentang perbuatan keluarga suami yang tidak menerima kehadiran keluarga saya.

• Suami juga pernah mengheret saya turun tangga rumah dan memukul saya disebabkan saya ada mengadu kepadanya yang saya tidak berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh keluarga mertua.

5. Nafkah tidak diberikan

• Seperti yang sedia maklum, nafkah suami erhadap isteri adalah rumah yang selesa, peralatan mandian, pakaian baru, duit belanja dapur dan duit belanja diri.

• Suami tidak menyediakan saya nafkah dari segi pakaian baru dua kali setahun dan duit belanja diri.

• Pada anak juga suami tidak memberi nafkah sepenuhnya di mana kebanyakan barang keperluan anak dibeli dengan menggunakan duit anak sendiri.

• Suami sering menghabiskan duit pada keluarga mertua.

6. Keluarga saya dihina oleh suami

• Suami menghina keluarga saya kerana tidak berpuas hati tentang penerimaan saya terhadap layanan yang diberi oleh keluarga mertua kepada keluarga saya walaupun mak dan ayah saya melayan suami saya lebih daripada seorang anak.

7. Suami bermain dengan kuasa talak

• Saya sering bergaduh dengan suami tanpa henti, boleh dikatakan hampir setiap hari, walaupun hal kecil.

• Suami sering berkasar dan bersikap kurang ajar dengan saya.

• Suami turut menghina saya dengan mengatakan saya tidak sabar untuk menjadi janda dan ibu tunggal.

• Setiap kali bergaduh suami seakan ugut saya untuk bercerai tetapi tidak lama kemudian suami cuba berbaik semula dengan saya.

• Suami pernah membuat tuntutan kembali taat kepada saya. Waktu itu saya pulang ke rumah mak saya dengan keizinan suami. Tetapi disebabkan saya dan suami bergaduh, suami saya menyuruh saya untuk tidak pulang lagi ke rumah sewa kami melalui panggilan telefon.

Lalu saya dan suami menjalani kehidupan masing-masing bersendirian selama setahun ibarat gantung tidak bertali sehinggalah suami datang semula untuk berbaik dengan saya.

8. Disihir oleh mak mertua dan suami turut bersubahat

• Mak mertua menyihir supaya saya dan suami bercerai.

• Mak mertua mahu mendapatkan anak saya, lalu menyihir saya supaya menjadi gila meroyan. Saya hampir menjadi gila meroyan, tetapi Allah selamatkan saya.

• Suami tidak mahu menceraikan saya kerana tidak mahu menanggung nafkah anak.

• Dalam masa yang sama suami ingin menikahi perempuan pilihan mak mertua saya tanpa pengetahuan saya.

9. Sijil nikah dan surat beranak anak disembunyikan oleh suami

• Suami menyembunyikan sijil nikah dan surat beranak anak saya di rumah mak mertua saya.

• Suami enggan memulangkan sijil nikah dan surat beranak anak saya setelah diminta oleh saya.

• Saya memberi tempoh kepada suami untuk pulangkan sijil nikah dan surat beranak anak saya. Sekiranya dalam tempoh tersebut suami masih berkeras, saya tidak teragak untuk membuat laporan polis mengenai kes ini.

Saya sudah tidak sanggup untuk menghadapi kehidupan yang tidak ada kebahagiaan dan diseksa sebegini oleh keluarga mertua saya. Saya sebolehnya ingin mendapatkan hak jagaan anak saya sekiranya berlakunya penceraian.

Saya berharap ada saudara saudari yang arif tentang bidang ini sudi berkongsi pendapat dan langkah yang harus saya lakukan untuk tindakan yang seterusnya.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca confession saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik kalian.

– Nadia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *