Assalamualaikum wrt. Sekali lagi aku singgah di sini, meluahkan rasa hati yang celaru. Entah apa motifnya. Mungkin kerana di sini aku boleh meluah tanpa dikenali. Nak cerita pada kawan, rasa seperti membuka pekung di dada sendiri.
Tadi aku call ayah di kampung. Dan kini fikiranku bercelaru. Ujian datang lagi.
Ayah dah melepasi usia 70 tahun. Dah uzur, sakit-sakit. Tapi masih mampu mengurus diri. Ayah kata dia kurang sihat. Demam yang agak berat juga. Aku nasihatkan pergi la ke klinik. Ayah kata doakan sahaja yang baik-baik. Biasa lah ayah dah tua.
Tapi aku ingat minggu lepas ibu ada meluahkan hasratnya. Katanya minta aku pulang ke kampung pula, tinggal bersama mereka. Sebab mereka dah tua, uzur, tiada siapa menemani mereka di kampung.
Aku mula resah lagi bila dengar ayah tak sihat. Aku sekarang serba tak kena. Tak senang duduk jadinya. Kasihankan ibu ayah di kampung. Dalam masa yang sama rasa geram dan tersepit juga.
Aku sudah bersuami dan beranak satu. Rumah kami hampir siap. Impian kami semestinya ingin tinggal berdikari di rumah sendiri.
Aku boleh tinggal di kampung aku, atau di kampung suami, asalkan di rumah kami sendiri. Di negeri mana pun, asalkan tidak berkongsi rumah dengan orang lain.
Aku luahkan pada suami kegusaran hati ini. Suami juga kurang bersetuju memandangkan kami kini bekerja di negeri kami tinggal sekarang. Dan kata suami, menjaga ibu bapa adalah tanggungjawab anak lelaki.
Beberapa hari kemudian, aku dengar kuliah ustaz yang menekankan hal yang sama. Sebelum berkahwin, anak perempuan lebih bertanggungjawab menjaga ibu bapa.
Tetapi setelah berkahwin, ibu bapa adalah tanggungjawab anak lelaki. Tidak semestinya menjaga dengan tinggal bersama, tetapi dengan memenuhi keperluan mereka walaupun dari jauh.
Sedangkan anak perempuan, setelah berkahwin wajib mendahulukan suaminya. Itu garis panduan yang ditetapkan Islam.
Tapi sekarang aku kembali dalam dilema. Aku sering persoalkan kenapa aku yang mereka harapkan? Sedangkan ada abang kakak ku yang tinggal berdekatan.
Walaupun aku sebenarnya mengerti alasan mengapa mereka inginkan aku yang menjaga mereka, tapi aku berharap mereka juga mengerti status aku sekarang sebagai isteri orang.
Aku jadi berharap ada abangku yang lebih bertanggungjawab, berkesedaran untuk pulang bekerja dan tinggal di kampung menjaga mereka, menggantikan aku.
Mengapa mereka anak lelaki boleh memilih untuk tinggal di tempat pilihan masing-masing, menjalani kehidupan berdikari dengan keluarga sendiri, walaupun jauh dari ibu bapa. Sedangkan aku harus merasa tersepit begini?
Sungguh aku benci bila datang perasaan-perasaan begini. Tak mahu merasa ibu bapa adalah beban kerana mereka adalah syurgaku. Tapi aku juga ingin memilih jalan hidup sendiri.
Tak sanggup melukakan hati mereka, membuat mereka merasa terabai atau dipinggirkan. Tapi aku juga ingin berbahagia dengan keluarga kecilku sendiri. Aku faham benar situasi apa yang mungkin dihadapi kalau tinggal bersama nanti. Sebolehnya ingin aku elakkan.
Coretan ini sekadar meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Sudah terlalu banyak yang aku pendam, rasanya boleh bawa gila nanti.
Hal-hal keluarga adalah hal yang tak mudah untuk dikongsi dengan sesiapa. Jadi daripada sekecil-kecil masalah, bila disimpan banyak dan lama, rasanya tak tertanggung lagi.
Doakan semoga Allah memberiku jalan keluar untuk masalah yang satu ini. Bagaimana untuk aku tetap dengan keinginan tinggal sendiri tanpa melukakan hati ibu ayahku.
Bila tersepit begini, aku rasanya tak sanggup untuk hidup lagi. Kerana ibu ayah sangat penting bagiku, demikian juga pentingnya keluarga kecilku. Mohon pembaca sudi doakan aku kuat. Demi anak yang masih kecil.
– Nuri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit