Tetamu Allah

Assalamualaikum w.b.t kepada semua pembaca IIUM. Tujuan penulisan ini adalah untuk berkongsi pengalaman dan kenangan sebagai tetamu Allah. Memandangkan Syawal bakal melabuhkan tirai dan jemaah haji 1438H akan berlepas seawal 24 Julai 2017 bagi KT1 , saya ingin berkongsi sedikit tips sebagai tetamu Agong. Niat saya adalah mudaha-mudahan ianya dapat membantu jemaah haji mendapat haji yang Mabrur dan bukannya untuk riak atau nak tunjuk pandai . Alhamdulilah, saya diberi keizinan Allah untuk menunaikan rukun islam kelima tahun lepas dalam usia yang muda. Mungkin ada pembaca IIUM yang ibu ayah, sanak saudara atau rakan taulan yang dijemput menunaikan Haji tahun ni, bolehlah berkongsi sedikit pengalaman saya ini. Saya berharap penulisan ini dapat disiarkan untuk manfaat bersama. Insyaallah.

Saya masih ingat ceramah yang disampaikan oleh ustaz Pembimbing Kursus Haji yang mana perjalanan Haji ialah perjalanan kerohanian. Ini kerana anggota fizikal kita yang banyak bergerak semasa melakukan kerja-kerja haji . Tidak kira jemaah lelaki, wanita , muda ataupun berusia, semuanya melalui proses perjalanan Haji yang sama dari awal sehingga akhir. Ikut pengalaman saya, bermula dari proses keberangkatan jemaah iaitu pendaftaran di Kelana Jaya (bagi jemaah dari selangor, KL ), kami berkumpul di Kelana Jaya, dibawa dengan bas Eksklusif ke KLIA sambil diiringi Polis Trafik (terasa macam VVIP pulak), semasa dalam penerbangan menuju ke Jeddah, melalui proses Imigresen dan pengambilan bagasi di Terminal Haji yang amat lama dan meletihkan sehinggalah menjalani ibadah di kota suci. Semua itu memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat. Tahap kesabaran yang tinggi diperlukan dalam diri jemaah.

Setiap pengerakan perlukan kesabaran yang tinggi dalam diri jemaah bermula ketika keluar dari rumah lagi sehinggalah selesai kerja-kerja haji. Niatkan supaya Allah permudahkan urusan kita. Tinggalkan segala tanggapan negatif kita terhadap sesuatu perkara. Anggaplah setiap ujian dan kejadian yang berlaku ada hikmahnya. Hanya Allah yang mengetahui. Kadang-kadang perkara kecil pun akan jadi isu yang besar sehingga boleh menjejaskan ibadah kita. Semasa sampai di Terminal Haji Jeddah, kebiasaanya proses jemaah keluar dari bangunan Terminal Haji mengambil masa lebih daripada 6 jam. Ujian pertama jemaah bermula disini, dengan cuaca yang panas dan cara kerja pegawai imigresen menyebabkan jemaah merungut mengenai hal ini. Alhamdulillah, tahun lepas KT saya antara KT terawal yang masuk ke Mekah dahulu yang mana proses di imigresn agak cepat lebih kurang 2 jam sahaja. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah lancar dan urusan penempatan jemaah di hotel jugak lancar. Syukur Alhamdulillah.

Jemaah perlu bawa stok makanan bagi mengalas perut sekiranya proses keluar dari bangunan Terminal Haji mengambil masa yang lama. Makanan akan diberikan semasa dalam bas menuju ke Madinah atau Mekah. Bagi jemaah yang tidak sihat atau ada penyakit, ubat perlu bawa dalam bag handcarry bagi memudahkan jenaah. Banyakkanlah istigfar dan tenang apabila diuji dengan kesulitan. Dalam waktu begini Syaitan dan Iblis berusaha merosakkan kerja-kerja haji dengan bisikan halus bagi menimbulkan kemarahan jemaah. Saya pohon sangat, tolonglah kawal kemarahan tambah-tambah lagi ditanah suci. Jemaah berebut tempat duduk dalam bas, berebut makanan. Jemaah Haji Muasasah disediakan makanan tengah hari dan malam sahaja. Sarapam tidak disediakan. Tabung Haji ada menyediakan kafeteria di Hotel penginapa. Disekitar hotel Abraj Al-Janadriyah setiap pagi ada jual makan oleh orang Patani dan Thailand dengan menu yang kena dengan selera orang Malaysia.

Niatkan dalam hati bahawa aku menunaikan haji kerana Allah bukan kerana gelaran Haji atau Hajah. Perbetulkan niat, jika niat kita tidak betul ibadat yang dilakukan sia-sia. Rugi tau. Semua jemaah yang datang ke Tanah Suci nak dapatkan Haji Mabrur, kerana Haji yang mabrur balasan nya tak lain tak bukan Syurga Allah . Tanamlah azam semasa di Tanah Suci untuk beribadah yang terbaik. Fokus kita waktu itu hanya kepada Allah, masa yang ada hanya untuk beribadah kepada Allah. Tinggalkan sekejap hal duniawi, bagi jemaah yang tinggalkan anak kecil di tanah air elakkan berhubung dengan anak setiap hari. Gunalah masa sebaik mungkin untuk beribadat , elakkan bershoping sakan disana. Rugi tau datang jauh-jauh, tunggu giliran yang lama tapi tak fokus beribadat. Saya bukan nak cakap saya ni ahli ibadat tapi semua ini saya sedar sewaktu ceramah-ceramah oleh petugas tabung Haji semasa kat Mekah. Biasalah orang muda kan suka shoping, jubah murah tau kat sana. opps.. Baiklah.

Jemaah muasasah kebiasaanya ditempatkan di hotel sekitar Masjidil Haram dengan jarak 750 meter ke 1km. Jadi, jemaah perlu berjalan kaki ulang alik ke masjid setiap hari. Gunakan masa berjalan ke masjid dengan berzikir, sebut nama Allah, puji kebesaran Allah, jangan duk sibuk berborak pulak. Mata jangan duk tengok kedai-kedai jual jubah sekitar hotel pulak. Shoping lah selesai kerja-kerja Haji. Bagi jemaah Haji yang datang ke Madinah dulu, shoping saja di Madinah. Sewaktu di Mekah fokuslah pada ibadat. Semasa masuk masjid jangan lupa niat iktikaf, baca Quran dan lakukan amalan-amalan fardu yang lain. Pokok pangkalnya gunalah masa yang ada hanya untuk beribadat. Tingkatkan amalan kita masa kat Tanah Suci ni. Gunakan ruang dan peluang yang ada untuk sama-sama jemaah di Masjidil Haram, kurangkan masa santai dalam bilik. Sebab kalau dalam bilik susah untuk kita nak buat amal, nak baca Al-quran pun payah. Dapat pulak rakan sebilik yang kaki bercakap. Minta jauh la ya.

Kebiasaanya jemaah ditempatkan seramai 5-8 orang sebilik bergantung kepada keluasaan bilik. Rakan sebilik datang dari latar belakang yang berbeza, mohon jaga hubungan sesama jemaah kerana kita semua jauh daripada ahli keluarga. Sakit pening kita disana rakan sebilik yang bantu. Elakkan bermasam muka dengan hal remeh seperti rakan sebilik tak suka aircond, berdengkur . Saya tahun lepas (1437H) ditempatkan di Hotel Abraj Al-Janadriyah, pusat Operasi Tabung Haji yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ditempatkan sebilik 7 orang jemaah yang latar belakang kehidupan, tahap kesihatan, usia, fahaman ilmu agama dan latar belakang ekonomi menyebabkan sedikit masa diambil bagi menyesuaikan diri. Maklumlah 40 hari kami akan berkongsi bilik, keakraban dan perhubungan perlu dibina. Saya jemaah paling muda dalam bilik tu, jadi sayalah yang kena banyak bertolak ansur. Biasanya hal aircond je lah. Sekiranya ada rakan sebilik yang kurang sihat mohon ambil tahu. Sememangnya kita datang nak buat ibadat, tapi perlu juga bertimbang rasa jaga jemaah yang tiada pengiring. Bagi saya jemaah muda berperanan menjaga kebajikan jemaah yang berusia. Anggaplah mereka sebagai ibu ayah kita. Gunakan peluang ini untuk mengutip pahala. Insyallah.

Semasa di tanah suci kebanyakkan jemaah teruja melakukan amalan-amalan sunat sehinggakan terlupa keutamaan kerja-kerja haji. Ada jemaah haji yang teruja melakukan umrah sunat setiap hari sehingga menjejaskan kesihatan. Saya nasihatkan kalau badan kuat banyakkanlah tawaf sunat. Jagalah kesihatan fizikal sehingga tiba waktu wukuf. Bila nak dekat hari Wukuf, jemaah berkenaan demam dan batuk sehingga dimasukan ke hospital. Rugi tau. Ini bukan nak cerita aib jemaah tapi just nak kongis dan sebagi iktibar untuk jemaah lain nanti. Hari wukuf di Arafah adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh Jemaah Haji dari pelusuk dunia yang bagi kita jemaah Malaysia mungkin sekali seumur hidup. Waktu ni air mata sangat murah bila mengenangkan yang kita datang dengan berbakul dosa kat bahu ni. Kerja-kerja haji bermula dari 8 Zulhijjah sehingga selesai tawaf dan sa’ei haji ( bagi jemaah Haji Tamattu’, jemaah Haji Ifrad bermula seawal dalam ihram dalam flight ). Badan harus cergas dan kesihatan perlu dalam keadaan baik bagi melaksanakan kerja haji yang sememangnya menuntut kekuatan fizikkal dan ketahanan mental.

Jemaah haji perlu berjalan ulang alik dari khemah Muassim di Mina ke Jamrah sejauh 7 km pergi balik selama 4 hari iaitu 10 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah. Sekembali ke Mekah jemaah perlu melakukan Tawaf dan Sa’ei Haji pulak. Ianya memerlukan kekuatan fizikal jemaah haji. Kaki kena kuat untuk melakukan rukun haji tersebut. Seeloknya di tanah air lakukan sedikit senaman atau joging sebagai persediaan.Sememangnya kalau jemaah tidak larat boleh upah tolak untuk lakukan tawaf dan sa’ei. Tapi mungkin keseronokan melakukan ibadat tu tidak sama. Upah tolak kerusi roda meningkat masa musim haji. Tahun lepas untuk tawaf dan sa’ei upah tolak sekitar SR 400-SR 450.

Semasa wukuf di Arafah, jemaah digalakkan tidur secukupnya pada waktu malam kerana kerja-kerja haji dilakukan waktu siang. Waktu wukuf bermula masuk zuhur 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari , waktu doa dimakbulkan dan jemaah perlu memanfaatkan setiap saat yang ada. Elakkan tidur waktu zuhur itu kerana kita akan diuji dengan mengantuk yang amat dengan cuaca yang sangat panas. Cuba keluar dari khemah dari cari tempat -tempat redup untuk berdoa . Gunakan semua peluang dan ruang yang ada sebaik mungkin. Doalah, menangislah, mohon lah pada Allah . Insyaallah dimakbulkan segala doa kita nanti. Sebaiknya jemaah perlu mendapatkan rehat secukupnya ketika di bumi Arafah bagi meraikan Hari Wukuf yang berkemungkinan sekali seumur hidup kita. Oh ya, seeloknya setiap doa yang kita nak minta mohon tulis sejelas-jelasnya senang untuk jemaah berdoa nanti. Berdoalah, mohonlah pada Allah, Insya allah akan dimakbulkan Allah. Dikhemah saya tahun lepas ada jemaah yang printkan doa pada kertas A4 untuk diagihkan pada jemaah yang tak sempat tulis doa masa ditanah air. Selepas magrib 9 Zulhijjah jemaah akan bergerak ke Muzdalifah dengan bas untuk bermalam sambil mengutip anak batu. Cabaran di Muzdalifah ialah tiada khemah, berbumbungkan langit dan berlantaikan tanah. Terasa insaf bila disini. Seterusnya jemaah akan bergerak ke Mina bermalam disana dan membuat lontaran jamrah selama 4 hari. Sekali lagi kekuatan fizikal dan mental diuji di Mina. Perlu kasut atau selipar yang selesa untuk berulang alik. Teruskan bersabar wahai Dhuyufur Rahman. Pastikan makan, tidur dan rehat secukupnya sebelum keluar melontar.

Cuaca dan suhu di Tanah Suci berbeza dengan Malaysia dimana Mekah dan Madinah cuaca panas dan kering. Jemaah perlu bawa losyen pelembap bagi mengelakkan kulit kering dan pecah. Lip balm jangan lupa. Jemaah tak perlu kerap mandi, cukup sekali sehari atau 2 hari sekali bagi mengelakkan batuk dan selsema. Saya hanya mandi sekali sehari sebelum subuh untuk segarkan badan. Minumlah air zam-zam sebanyak mungkin dan bawa botol kosong ke Masjid, sewaktu balik ke hotel boleh isi air zamzam untuk minum kat hotel. Biasanya kat hotel ada disediakan air zam-zam. Ubat-ubatan dan vitamin perlu dibawa dari Malaysia, sana mahal. Bagi jemaah yang uzur bawa pamper dewasa secukupnya. Jemaah wanita bawa pad, pantyliner dan disposable underwear untuk memudahkan urusan. Bawa lebih tak pe, boleh je sedekahkan pada jemaah yang memerlukan. Niat bersedekah.

Kita datang ke tanah suci ni dengan jiwa hamba, kita hamba yang kerdil yang banyak kekurangan bawa berbakul dosa dan tak perlu rasa diri hebat dengan pangkat dan gelaran yang ada. Di mata Allah kita semua sama yang beza amal ibadah, lagi sedih kalu Allah tak terima ibadat kita, tak terima pengampunan kita dan tak terima doa kita. Sentiasalah kita berjiwa bersih, berhati bersih dan menyedari bawaha kita taiad sebarang keistimewaan. Petugas Tabung Haji akan melayan jemaah sama rata. Kita adalah hamba Allah yang datang ke tanah suci untuk memohon keampunan dan mengharap belas ihsan dari Allah. Mohon pada Allah agar kita dapat mengawal emosi dan tingkah laku, jaga hati dan niatkan semat dalam hati yang kita kerjakan haji kerana Allah, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Buanglah sikap tawaduk dan elakkan sifat sombong dan bongkah. Ringankan tangan untuk membantu jemaah lain, insyaallah semua itu menyumbang kearah kemabruran haji.

Saya harap perkongsian ini sedikit sebanyak bermanfaat untuk jemaah Haji terutama jemaah yang kali pertama jejak kaki ke Tanah Suci. Bukan niat untuk riak just untuk kongsikan sahaja. Selamat menunaikan ibadah haji 1438 H, semoga mendapat Haji Mabrur. Selamat berjuang para Dhuyufur Rahman. Insyaallah.

– Tasha

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit