Tetaplah Mencintai Walau Diuji

Assalamualaikum semua. Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Saya adalah seorang yang takut pada kucing. Trauma masa kecil sebab pernah digigit kucing. Membesar dalam persekitaran yang tiada kucing.

Nak dijadikan cerita saya berkahwin dengan lelaki yang sukakan kucing.

Beberapa tahun usia perkahwinan, suami ada nyatakan hasrat nak jaga kucing, namun saya menolak. Sebab tak berani nak pegang.

Hinggalah pada satu hari, suami bawa balik anak kucing ke rumah. Usianya dalam dua bulan. Saya yang takut kucing, rasa excited pula.

Saya yang beri nama dan membeli kelengkapaan untuknya. Saya namakannya K****. Namun, masih tak berani nak pegang.

Selepas sebulan, suami ada tugas luar yang memakan masa berbulan-bulan. Nak tak nak, saya kena terima yang saya perlu duduk berdua dengan anak kucing tu.

Bayangkan seorang penakut kucing, kena handle seekor kucing. Nak pula anak kucing dalam fasa bermain. Asyik menggigit dan mencakar.

Habis luka kaki, tangan dan badan akibat dicakar.

Lama-lama saya jatuh hati, anak kucing yang mulanya garang dan bertukar menjadi sangat manja. Alhamdulillah.

Setelah setahun, suami bawa lagi kucing ke rumah. Maknanya ada dua ekor. Saya namakannya M*****.

Saya dah jadi pencinta kucing. Sanggup berhabis untuk keduanya. Keluar rumah tak boleh lama-lama sebab teringat mereka.

Kemudian, bertambah lagi seekor, bernama L****. Menjadikannya tiga ekor dan akhirnya 4 ekor. Yang keempat, bernama C*****.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Dalam melayari bahagia bersama anak-anak bulusku sayang. Saya di uji dengan kehilangan. Kehilangan yang tiba-tiba.

Saya balik kerja, tengok C dah tiada. Menangis saya terduduk, memikirkannya. Macam-macam perasaan membelengu diri.

Saya tak keluar rumah dan tak boleh tersenyum. Kehilangan anak kucing yang berusia 7 bulan. Tanpa mengetahui ia sakit. Ya, tanpa apa-apa petunjuk.

Sedihnya rasa hati. Macam ni rupanya perasaan orang lain yang kehilangan anak bulus.

Tak mahu saya terus bersedih, suami bawa lagi seekor anak kucing baka yang sama. Saya namakannya B****. Aktif dan lincah. Makanya saya mempunyai 4 ekor anak bulus.

Balik kampung pun bawa semua. Tak tinggal. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja.

Dah 7 bulan berlalu, bertambah lagi seekor bernama D****. Eh dari seekor dah bertambah 5 ekor.

Bulan Februari 2023, tiba-tiba M tak kencing. Saya dah risau. Seharian dia tak kencing. Makan dan minum seperti biasa.

Klinik veterinar yang selalu kami pergi tutup kerana doktornya mengerjakan Umrah. Hati semakin risau. Saya beli ubat di petshop. Esoknya, masih tak boleh kencing, dan M kurang selera makan.

Tak berlengah, saya membawanya ke klinik veterinar yang lain. Alangkah kecewa rasa hati, sebaik sahaja tiba di klinik tersebut.

Doktor hanya memegang di bahagian pundi M. Dan terus menyatakan kaedah rawatan yang akan di buat pada M pada papan putih di klinik itu.

Doktor akan bius M untuk mengeluarkan air kencing M. Seterusnya akan buat ujian untuk tahu punca M tak boleh kencing. Dan kosnya adalah RM6++.++.

Sya macam terkejut, eh tak scan ke dulu? Terus nak buat macam ni. Lepas tu, doktor bagitahu risiko bius, 50-50.

Sama ada kucing akan sedar dan baik atau kucing tidak akan sedar. Macam nak rebah saya bila mendengarkan risikonya. Apa yang buat saya kecewa, doktor tu tanya saya menangis sebab kos rawatan ke? Ya Allah.

Saya tak boleh nak terima ayat itu terkeluar dari mulutnya. Sejujurnya saya menangis bila mendengarkan risiko tersebut. Kalaulah dia pujuk saya dan cuba positifkan saya, keadaan mungkin berbeza.

Saya minta izin keluar sekejap nak berbincang dengan suami. Bila tengok keadaan saya yang macam tu, suami cakap kita bawa balik dulu M.

Dengan harapan nak pergi ke klinik yang saya selalu pergi tu nanti. Saya masuk jumpa doktor, dan beritahu nak bawa balik M dulu.

Doktor terus inject M ubat, saya tak pasti nama ubatnya. Dan bekalkan ubat anti radang, surut bengkak dan antibiotik. Saya bawa balik M, dan M masih tak kencing.

Saya berbual dengan M. Kami duduk sebilik. Saya usap perut dia sambil berzikir. Malamnya M tengok je saya. Saya baring sebelah M, minta M tidur.

Tengah malam saya terjaga, M dah tak ada. Dia dah kaku. Ya Allah, dugaan buat saya. M pergi tanpa saya sedar. mungkin M tak nak saya sedih.

Buat klinik tersebut, jika betul cara rawatan anda, terima kasih banyak kerana membantu M. Namun, jika tindakan anda sambil lewa atau cuai, anda bertanggungjawablah nanti.

Walau hati ni sedih, saya mesti kuat. Saya masih ada empat anak-anak yang perlu saya jaga dan beri perhatian. Namun kenangan bersama C dan M sentiasa ada di hati.

Pada Mei 2023, L selamat melahirkan anak. Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Namun, pada Jun, D macam suka tidur. Namun, makan macam biasa. Berselera.

Saya fikir dia demam. Suami bawa ke klinik veterinar, dan doktor check suhunya. Memang D demam. Tapi doktor perasan macam lain di bahagian perut D.

D ni boy tapi perut dia macam kembung sedikit. Doktor minta izin nak scan. Suami saya minta doktor teruskan.

Bila dah scan memang ada cecair dalam perut D. Doktor suspect FIP. Allahuakbar, terkejut kami. Doktor nak buat ujian darah, dan kami teruskan. Menunggu dalam debaran.

Keputusan keluar, dan D positif FIP. Doktor bekalkan ubat antibiotik, ubat anti flame, ubat tambah selera makan dan vitamin hati.

Doktor minta kami banyak membaca tentang virus FIP. Kami bercadang nak buat rawatan seterusnya sebaik suami habis tugasan luar, yang memerlukan injectiom selama 84 hari.

Mendengar kosnya memang agak tinggi. Tapi, kami nekad nak teruskan.

Suami pun pergi tugasan luar. Saya meneruskan memberi D ubat yang dibekalkan. D masih berselera makan. Doktor pesan jika D macam sukar bernafas, bawa D ke klinik untuk buang cecair dalam badannya.

Saya pergi kerja macam biasa. Selalunya bila balik kerja, semua anak-anak bulus saya akan menunggu di depan pintu menyambut kepulangan saya.

Satu hari tu, tiba-tiba saya rasa lain. Tak semena-mena saya rasa mengantuk di pejabat. Perjalanan balik kerja, dalam debaran. Saya memikirkan D. Eh kenapa fikiran saya ni.

Saya nak buka pintu, hati terdetik lagi, macam mana dengan D. Seperti yang saya rasa, sebaiks aya buka pintu, D dah kaku di depan pintu.

Menangis terduduk saya. Anak-anak yang lain meluru kepada saya dan mengiau. Mungkin nak memberitahu.

Dalam keadaan menangis saya telefon suami. Saya bertanya dalam hati, kenapa saya diuji dengan kehilangan. Rasa sayang saya dah menebal pada makhluk bernama kucing. Dan saya diuji sedemikian.

Tak apalah, saya cuba ikhlaskan diri. Saya cuba kuatkan hati. Inilah dugaan bila kita menjaga anak bulus. Kita mesti bersedia untuk menerima kehilangan.

Untuk makluman, saya memberikan makanan yang premium untuk semua anak bulus saya. Ada juga wetfood, vitamin, treats, toys dan lain-lain kemudahan. Saya ni kalau sayang, memang sayang betul-betul.

Walau sebaik mana kita mencuba. Kita pasti diuji. Jangan terlalu bersedih hati. Insya-Allah semua baik-baik sahaja. Teruslah menyanyangi makhluk bernama kucing.

Tak kisah, apa bakanya, di mana kedudukannya, teruslah mencintai. Moga kita semua pencinta kucing kuat dan terus bertanggungjawab.

– Pencinta Meow (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *