The One That Got Away

Assalamualaikum semua. Tulisan saya ni cuma nak meluahkan rasa hati yang sedang berusaha untuk move on. Semoga Allah kuatkan hati-hati yang sedang dalam kesedihan.

Saya Ema, seorang wanita berumur awal 30an. Ditakdirkan umur sekarang baru saya rasa perasaan menyukai seseorang. Saya tak pernah bercinta sepanjang hidup saya.

Bukan tak pernah sukakan sesiapa. Ada. Cuma bukanlah perasaan yang terlalu kuat. Biasanya rasa tu saya tak ambil pusing dan berlalu begitu sahaja.

Beberapa bulan lepas saya ada terlibat dalam satu program. Di situ pertama kali saya bersua muka dengan seorang lelaki, Luqman. Dia ialah lelaki yang saya suka.

Sebenarnya, saya pernah kenal Luqman sewaktu saya masih belajar. Ketika itu, seorang guru yang saya hormati memberitahu saya ada seseorang yang ingin bertaaruf/berkenalan.

Pada masa itu, saya rasa agak keberatan dan belum bersedia untuk berkenalan dengan sesiapa. Waktu itu saya dalam semester terakhir dan sibuk dengan projek akhir tahun. Jadi saya beritahu guru saya yang saya belum bersedia.

Kebetulan, waktu yang sama saya baru sahaja menolak lamaran seorang sahabat lelaki saya. Aziz namanya. Aziz seorang lelaki yang baik, keluarganya juga baik. Tapi saya menolak kerana merasakan kami tidak setaraf.

Keluarganya orang senang, dan dia mempunyai pekerjaan yang baik. Sedang saya daripada keluarga yang susah dan masih belajar. Saya bertekad untuk bekerja dan bantu keluarga dahulu baru saya ingin berfikir tentang perkahwinan.

Walaupun saya rasa bersalah pada Aziz, hidup saya teruskan seperti biasa. Sehinggalah guru saya menyatakan hasrat Luqman yang ingin berkenalan dengan saya ketika itu.

Walaupun sudah saya beritahu yang saya tidak bersedia, mungkin ada salah faham, atau guru saya tak mengerti kiasan saya, tiba-tiba Luqman menghubungi saya melalui whatsapp.

Saya terkejut, sedikit marah dan kecewa kerana nombor telefon saya diberi kepada Luqman tanpa kebenaran saya. Saya faham guru saya berniat baik.

Rasa bersalah saya pada Aziz belum pun habis dan saya sendiri sudah mengatakan yang saya tak sedia lagi. Walaupun stress, saya cuba layan Luqman seperti kawan biasa. Kami berbalas whatsapp tak lama dan saya rasa tak boleh nak teruskan.

Luqman sepertinya serius untuk menjalin hubungan. Saya jadi rimas dan mula balas acuh tak acuh. Sampai satu hari saya marah dia dan bagitau saya tak mahu berhubung dengannya lagi. Lepas tu dia terus senyap.

Berbalik kepada tahun ini (2020). Memori tentang saya berhubung dengan Luqman hilang terus dari ingatan saya. Kali pertama saya melihat Luqman dalam program yang saya hadiri beberapa bulan lepas, saya cuma ingat mukanya sahaja.

“Oh ini Luqman yang cikgu nak kenalkan dulu tu.”

Masa ni saya memang tak ingat langsung saya pernah whatsapp dia. Dalam ingatan saya, cikgu bagi gambar Luqman, minta untuk kami berkenalan, saya beritahu tak ready, and that’s it.

Ketika program berlansung, baru saya tahu kenapa guru saya beria menjemput saya ke program tersebut. Beliau ternyata mahu saya berjumpa dan mengenali peribadi Luqman.

Sepanjang program tersebut banyak interaksi saya dengan Luqman. Tetapi interaksi kami strictly professional. Ada juga masa-masa di mana guru saya mengusik saya dan Luqman. Tapi saya tak ada rasa apa. Dia pun tenang sahaja.

Saya perhatikan Luqman dalam diam. Dia baik orangnya. Boleh saya katakan sangat baik. Saya selesa bekerja dengan dia. Dia seorang yang serius. Tak ada nak bergurau ke apa. Dia sangat suka menolong orang.

Dalam setiap urusan mesti dia akan utamakan orang lain dahulu. Kebanyakan urusan dia yang banyak membantu. Walaupun guru saya memberikan banyak tugas yang perlukan saya berinteraksi dengan Luqman, perasaan saya masih biasa sahaja ketika itu.

Sehingga satu saat, saya rasakan saya jatuh hati pada Luqman. Ketika itu, dalam satu tentatif program, Luqman tak dapat menyertai kami kerana dia ada hal kecemasan. Jadi kami pergi ke tempat program tanpa Luqman. Guru saya sudah menceritakan pada saya hal kecemasan itu.

Jadi kami teruskan program seperti biasa. Sewaktu program sedang berjalan, lepas beberapa jam tiba-tiba Luqman muncul bersama dengan seorang peserta kami yang kurang upaya.

Rupanya peserta tersebut tidak mendapat maklumat tentang tentatif program pada petang itu. Jadi Luqman terus membawa peserta tersebut ke tempat program walaupun dia ada urusan sendiri.

Selepas beberapa hari dalam program tersebut, saya tak dapat menafikan perasaan saya. Ya, saya sukakan Luqman. Saya sukakan peribadinya. Ciri utama yang saya suka pada seorang lelaki ada pada dia. Saya sukakan sikapnya yang suka membantu orang dan sangat menghormati orang lain.

Selepas program berakhir saya berfikir beberapa hari lalu memberitahu guru dan ibu saya tentang perasaaan saya pada Luqman. Guru dan ibu saya gembira kerana akhirnya saya terbuka hati.

Pada waktu yang sama guru dan ibu saya mengingatkan saya kembali tentang kisah Luqman pernah menghubungi saya beberapa tahun lepas.

Pada awalnya saya nafikan kerana memang saya lansung tak ingat. Lama-kelamaan memori itu datang dan saya dapat mengingati dengan jelas bagaimana saya menolak Luqman dengan cara yang agak kasar.

Bila ingatan itu kembali, saya berasa amat sedih dan bersalah. Saya katakan pada guru saya, entah-entah Luqman marahkan saya. Saya cuba mengingati tingkahlaku Luqman sepanjang kami berprogram, dia melayan saya baik sahaja. Perasaan bersalah saya makin menebal.

Bagaimana dia boleh layan saya dengan baik setelah apa yang telah saya buat pada dia dulu? Saya tak habis fikir. Ingatkah dia pada saya? Tentang kisah kami yang dulu. Atau dia pun seperti saya sudah lupa semuanya?

Saya tanyakan pada guru saya, Luqman sudah berpunya atau tidak. Kata guru saya, setahunya dia masih bujang. Pesan guru saya, sekiranya saya sukakan Luqman doa dan mintalah pada Allah.

Saya cuba merisik status sebenar Luqman melalui beberapa sahabat baik saya. Mereka bertanya langsung kepada Luqman.

Luqman memberitahu mereka, hatinya belum terbuka lagi. Dia belum ada sesiapa lagi. Sempat Luqman bertanya pada mereka siapa gerangan yang bertanya tentang dia. Mereka rahsiakan atas permintaan saya. Tetapi Luqman kata dia dapat mengagak siapa orangnya.

Sehingga satu hari saya nekad untuk memberitahu Luqman tentang perasaan saya. Tak pernah saya lakukan perkara ini sepanjang hidup tetapi saya tak mahu menyesal di kemudian hari. Satu malam, saya call Luqman.

Walaupun debaran di dada saya begitu kuat, suara Luqman kedengaran tenang sahaja. Saya tanya dia ingat ke saya? Dia cakap yang dulu tu ke? Dia cakap ingat. Saya minta maaf pada dia. Dia cakap tak apa. Katanya pasal whatsapp tu dia pun sudah tak begitu ingat.

Saya beritahu dia saya lupa saya buat dia macam tu sampailah cikgu ingatkan semula. Dia cakap tak apa, saya tak pernah buat salah pun pada dia. Lepas tu saya tanya dia ada sesiapa ke sekarang.

Dia cakap sekarang memang dia tak ada sesiapa. Dia cakap lagi, dia bukan tak fikir lansung pasal kahwin. Ada fikir. Sebab umur pun sudah 30an. Tapi dia cakap mmg belum fikir soal tu lagi. Bila dia cakap macam tu makin tak terluah ayat nak beritahu saya sukakan dia.

Akhirnya panggilan kami akhiri macam itu sahaja. Selepas beberapa minit, saya whatsapp Luqman. Saya mengaku saya sukakan dia. Balasan dia, dia okay untuk kawan-kawan kenal-kenal.

Selepas daripada tu, saya tunggu kot-kot dia nak whatsapp saya dulu. Lansung tak ada. Jadi sepanjang kenal ni ada la 3 atau 4 kali yang saya mulakan dulu. Dia sentiasa sibuk.

Ada sekali tu saya bagi salam pun dia tak jawab sampai ke sudah. Sekali je ada yang dia whatsapp dulu. Itu pun sebab dia dah janji. Pernah juga dia beritahu saya katanya dia tak biasa mesej dgn perempuan. Well, saya pun tak biasa kot.

Satu pasal Luqman, dia akan balas kalau saya tanya soalan. Kalau saya bagi komen atau pernyataan dia takkan balas terus. Lepas beberapa kali saya mulakan, saya rasa macam saya seorang je yang berusaha. Dia tak ada mulakan dan tak pernah tanya apa-apa pasal saya.

Berbeza sungguh dengan Luqman yang ingin berkenalan dengan saya berberapa tahun lepas. Walhal dia tahu perasaan dan niat saya. Beberapa kali saya fikir nak lupakan dia tetapi guru saya kata dia memang begitu. Tak biasa dengan perempuan.

Guru saya sarankan untuk saya whatsapp dia sekali sekala dan teruskan berdoa. Ada juga guru saya sebut mengenai saya bila berborak dengan Luqman. Dia cuma mengatakan ada kami berhubung sekali sekala dan dia faham maksud saya. Tapi setakat itu sahajalah.

Sekarang saya sudah tidak menghubungi Luqman lagi. Dia juga sama. Diam seperti biasa. Saya anggap dia tak sukakan saya. Mungkin dia tak tergamak nak tolak saya. Saya serah pada Allah. Jika ada jodoh, adalah. Jika tak ada, tak mengapa. Saya dah usaha. Jadi tiada penyesalan di hati saya.

Bila teringatkan dia, ada rasa sedih juga. Saya rasa saya takkan jumpa lelaki sebaik dia. Kadang saya rasa ini kifarah untuk saya. Orang jujur sukakan saya. Tapi saya tolak tanpa alasan munasabah. Sebab ikutkan perasaan marah. Akhirnya, saya sukakan dia bila dia dah tak ada perasaan pada saya.

Saya buat keputusan untuk melupakan dia sebab hati ini bukan milik sesiapa melainkan Allah. Kerap saya mengingatkan diri sendiri, jangan sampai cinta kepada manusia melebihi cinta kau pada Allah dan Rasulullah.

Saya percaya jika Allah yang hadirkan perasaan ini dalam hati saya, maka Allah jugalah yang berkuasa untuk menghilangkannya.

Buat anda di luar sana. Ingin saya nasihatkan, jika datang seorang yang baik sukakan anda, fikirlah masak-masak sebelum membuat keputusan. Jangan terburu-buru dan mengikut emosi.

Bincang dengan keluarga dan orang terapat, berikan ruang dan peluang untuk mengenal peribadi masing-masing dan paling penting mintalah petunjuk dariNya.

Kedua, andai anda rasa orang tersebut tidak sesuai atau serasi, sebaiknya tolaklah dia dengan cara yang terbaik. Jangan dibiarkan mereka tertanya-tanya dengan jawapan anda yang samar.

Elakkan menggantung orang tidak bertali. Ditolak sebenarnya lebih baik daripada timbulnya false hope untuk orang yang berharap.

Terima kasih sudi membaca. Salam Ramadan.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *