30 tahun si dara tetapi masih belum bernikah. Bukan sebab tiada kenalan, cuma ibu bapa yang tak bersetuju.
Sepanjang 30 tahun aku hidup, aku tak pernah melawan sebab keredhaan ibu bapa adalah benda yang aku utamakan sehingga memakan diri sendiri.
Aku bekerjaya dan sepanjang 30 tahun aku hidup, ramai yang ingin berkenalan. 5 kali juga aku berkenalan dengan orang tetapi kelima-lima tak jadi sebab halangan ibu bapa aku.
Orang yang kelima, Ahmad (bukan nama sebenar) adalah perpisahan yang paling aku terkesan sebab aku memang sayangkan dia dan dia sayangkan aku.
3 tahun sudah perpisahan kami berlalu dan aku masih tak dapat lupakan dia dan aku pun dah berputus asa mencari pasangan walaupun ada yang berkenan sebab aku tahu kesudahannya bagaimana. Dan Ahmad pun belum bernikah.
Bukan kami tak solat istikharah, banyak kali. Kedua-duanya sangat yakin dengan jodoh sebab kami senang bila berkongsi pendapat dan masalah.
Komunikasi kami sangat mudah. Visi kami pun sama. Dia pun bekerjaya seperti aku. Cuma halangan adalah ibu bapa aku sendiri.
Pada awalnya ibu bapa aku nampak seperti tiada halangan. Apabila dekat dengan cadangan pertunangan kami, ibu bapa aku kerap kali membuat perkara jadi sukar seperti beri kecaman seolah semua serba tak kena.
Jadi sukar untuk aku dan bekas pasangan aku membuat keputusan. Apabila diminta untuk memberi kata putus, tak nak pula. Untuk hal perkahwinan dan pertunangan pun, tidak sesen pun kami minta.
Semua kami uruskan dengan duit kami sendiri. Aku tak nak Ahmad jadi susah dengan keadaan ibu bapa aku dan aku pula nak restu dari ibu bapa. Tetapi kenapa mereka buat benda ini jadi sukar?
Bila ajak berbincang, kedua-duanya tak nak. Jadi aku sendiri bingung apa isunya.
Adakah mereka tak nak aku jadi bahagia sebab mereka tak pernah sayangkan aku? Ataupun mereka nampak aku sebagai penjaga mereka di usia tua?
Kenapa adik beradik aku boleh bahagia tetapi aku tak? Bukan sekali dah perkara ni berlaku tetapi dah 5 kali. Maka selepas penat, maka aku lepaskan Ahmad. Sedih, kecewa dan hancur hati semuanya ada.
Hubungan aku dengan ibu bapa aku tak seperti dulu. Tak gembira. Dibalik senyum, aku menangis di waktu malam.
Aku pun mengalami kemurungan dan buntu. Aku bekerja, kerja dan kerja untuk alih perhatian aku.
Walaupun ahmad ada ingin hubungi aku tetapi terpaksa aku elak dia sebab aku terlampau sedih. Aku ingin lihat dia bahagia walaupun bukan dengan aku, sebab dia orang yang baik. Yang terbaik lah dia patut terima.
Kepada ibu bapa aku, aku harap mereka gembira. Adik cuma faham mak abah tetapi sampai sekarang adik tak jumpa jawapan kenapa mak abah tak suka tengok adik bahagia walhal setiap bulan adik tak pernah putus kongsi rezeki dengan mak abah.
Jadi, kenapa?
– Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit