Tiada Lagi Cahaya

Kadang-kadang aku terfikir, apa yang buatnya Allah sayang kat kita? Sembahyang? Zikir? Menjalankan perintah-Nya? Tersengih dalam diam. Aku cuma manusia biasa atau hina di atas muka bumi ini. Semua manusia tak dapat lari daripada masalah, betul. Hidup yang terumbang-ambing, dan di dalam keadaan yang amat memerlukan, siapa lagi yang kita toleh, tak lain tak bukan, Allah. Aku mempunyai beberapa masalah, masalah hidup kebanyakkannya. Dan aku cuba untuk memperbaiki apa yang silap, apa yang salah. Selama mana aku baca artikel berkenaan dengan zikir, qiamulail, dhuha, etc. Aku berubah ke arah itu. Perkara yang bagus kan? Setiap kali ada peluang untuk aku buat perkara yang disebutkan tadi, aku akan buat, termasuklah juga semua perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Kerana aku betul-betul memerlukan-Nya. Aku juga google ceramah ustaz-ustaz yang terkenal, google bacaan yang betul, google sembahyang yang betul, semua-Nya kerana aku amat-amat memerlukan bantuan-Nya dan keredhaan-Nya.

Terus terang aku amat cemburu apabila terbaca kisah kehidupan orang lain dengan Allah, di mana mereka mendapat rezeki yang murah, dilindungi, diberkati, dan macam-macam lagi. Aku masih lagi ikut apa yang dikatakan kerana aku juga mahu jadi seperti itu. Tentulah usaha mesti ada bukan? Doa dan usaha adalah gabungan yang terbaik mereka kata. Hanya lambat atau cepat. Hahaha…beberapa kali sudah aku cuba memberitahu perkara yang sama. “Nanti datang lah tu” “Nanti makbul lah tu” “Sabar, tunggu, akan ada ganjaran-Nya”. Mungkin aku cuma sekadar nak menipu diri sendiri yang semuanya akan menjadi lebih baik. Malah, semakin aku dekat dengan-Nya, semakin banyak musibah aku terima.

Dimanakah Allah disaat aku amat memerlukan-Nya? Tak terkira aku beberapa kali berdoa pada-Nya untuk meminta pertolongan, untuk meminta bantuan, malah pada masa yang aku amat terdesak. Tetapi apa yang aku dapat? Hanya sakit hati. Aku sudah terfikir yang Allah cuma hanya bantu orang yang dia mahu, pilih kasih. Aku berdoa dan berdoa sampaikan aku menangis dan menjerit aku berdoa dengan harapan dia mendengar tetapi tidak juga. Hidup aku terumbang-ambing. Aku buat banyak salah, buat dosa, aku sedar. Aku usaha ke arah yang lebih baik tapi aku rasa Dia tarik aku kebawah semula. Aku rasa semua amal ibadat, semua doa aku, hanya sia-sia. Malah, aku rasa Allah itu tidak wujud pun. Kalau Dia mahu aku jahil, mahu aku mungkar, cakap sahaja, aku buat. Tidak perlu membuang masa kalau hendak menjahanamkan segalanya.

Mungkin ada yang berkata, istighfarlah, bawa berucap. Aku ingin berkata, sudah berapa lama aku buat semua itu dan sudah berapa lama aku tahan dengan semua ini. Aku cuba sabar, aku cuba tawakal, tapi hanya tuba yang diberikan. Sebelum ini aku jaga solat aku, aku jaga semuanya, aku cuba ikut amalan yang membawa kepada keberkatan tapi kini aku rasa tak lagi. Aku putus asa. Tak ada makna kalau aku buat semua itu kalau hanya pedih yang menanti. “Allah beri ujian sebab sayang” atau mungkin Allah beri musibah sebab Allah benci? Aku sudah malas nak menipu diri sendiri. Apa lagi yang aku mampu buat kalau sang pencipta pun tidak mahu menolong aku? Tidak berada di saat aku teramat terdesak memerlukan-Nya? Walhal apa yang aku baca, di saat orang yang terdesak, Allah akan menolong mereka. Tolong mereka yang Dia mahu sahaja. Aku? Dibiarkan terkapai-kapai, berenang dan berdoa ada harapan untuk sekeping kayu untuk aku berpaut, tapi akhirnya tenggelam di dalam kegelapan.

Mungkin ada yang berkata aku manja, aku tak kuat. Ya mungkin, tapi badan sudah penuh dengan parut dan luka yang dalam, cuba untuk senyum dan fikir semua akan menjadi lebih baik. Sudahlah, hati aku makin lama makin keras, aku makin lama sudah tidak percaya pada apa-apa. Di saat aku bersedih, aku rasa Dia gelakkan aku dari singgahsana, memikirkan apa lagi yang patut Dia buat untuk aku merana. Siapalah aku untuk menipu diri sendiri yang semuanya menjadi lebih baik? Tiada cahaya bagiku dan hanya kegelapan tempatku.

“Life is a circus, and I’m the clown”

– P.0801

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit