Tiada Lagi Kasih Walaupun Sayang

Aku Syasya (bukan nama sebenar) berusia 24 tahun. Masih bujang. Sekarang menganggur tetapi sudah mendapat offer kerja.

Cerita aku ini ialah cerita seorang anak yang telah patah hati dengan kedua ibu bapaku sendiri.

Ibuku meninggalkan keluargaku ketika aku masih kecil. Dalam usia 3 ke 4 tahun? Aku tidak ingat. Mungkin dalam denial. Mungkin trauma.

Mungkin aku tidak dapat menerima hakikat. Itulah kali terakhir aku berjumpa dengannya, Ibu adalah wanita pertama yang mematahkan hatiku.

Berusia 18 tahun, aku berjumpa dengan ibuku buat kali kedua. Lebih tepat lagi jasad ibuku yang tidak bernyawa. Aku memandikannya dan mengsolatkan jenazahnya.

Persoalan yang bermain dimindaku dari kecil terpaksa aku kuburkan. Kenapa ibu tinggalkan aku?

Kenapa ibu mampu berbaik dengan abang dan adik tapi tidak kepadaku? Kenapa ibu begitu bencikan aku?

Ayah pula membesarkan aku dan abang sendiri sehingga usiaku menginjak 8 tahun. Dia berkahwin dengan ibu tiriku.

Sebagai kanak-kanak, aku neutral terhadap perkahwinan itu. Mungkin suka kerana akhirnya aku mendapat mak.

Tetapi kasih sayang mak tiri meskipun dari kecil hanyalah hutang yang aku perlu bayar semasa alam dewasa.

Dikatakan dia menyayangiku lebih daripada anak-anaknya sendiri tetapi perbuatan melebihi perkataan.

Dia bukanlah seperti mak tiri Cinderella atau Rapunzel yang jahat tetapi dia juga bukan mak yang berasa cukup dengan anak-anak tirinya.

Aku sangka aku boleh menumpang kasih seperti seorang ibu tanpa menyedari dia selamanya hanyalah ibu tiriku.

Ketika besar aku dipersalahkan kerana adik tiri perempuanku meninggal. Yang tinggal hanyalah adik-adik tiri lelakiku.

Ibu tiriku berkata kerana dia tidak boleh menjagaku, tuhan mengambil nyawa adik tiri perempuanku. Aku punca kematiannya. Aku cuma mampu diam membisu.

Ayahku cuba membesarkan aku dan abang dengan baik walaupun dia juga banyak masalahnya. Semuanya okay ketika aku kecil sehinggalah aku membesar dan badanku berubah.

Mungkin kebetulan fizikku berubah saat dia mengahwini ibu tiriku. Mungkin juga itu takdir. Tuhan saja yang tahu.

Ketika badanku menjadi gadis, ayahku berubah. Seolah-olah ada satu suis di kepalanya dipetik menyatakan aku tidak layak menjadi anaknya.

Aku sering dibanding-bandingkan dengan sepupu sepapat perempuan yang cantik yang berfesyen yang pandai.

Aku anak yang hodoh, anak yang bodoh. Mendapat B umpama menconteng arang ke mukanya. Aku ingin menyambung belajar pun tidak dipercayainya.

Ketika belajar, atau semasa cuti sem, aku dilarang bekerja sambilan. Pembelajaranku bergantung hampir sepenuhnya dengan wang pinjaman boleh ubah kerajaan.

Kini aku dibebani hutang yang tidak mampu untuk aku membayarnya.

Kalau di kampung, semua aibku dan salahku dicerita kepada sedara mara sehingga mereka memandang serong dan hina.

Aku dijadikan bahan jenaka. Tambah lagi mereka menyamakan aku seperti arwah ibu. Perempuan jahat. Perempuan tidak tahu sabar. Perempuan menyusahkan.

Sepupu-sepupuku yang lain ditelefon dimesej tetapi mesej anaknya sendiri dibiar melainkan perkara yang memanfaatkannya.

Ketika aku sibuk bekerja dan dia menginginkan sesuatu tetapi aku tidak membalas mesejnya dikatanya aku anak yang menyusahkan.

Anak yang tidak bersyukur. Anak yang mengabaikan ibu bapa. Anak yang tidak diredhai.

Ayahku mematahkan hatiku sebelum lelaki-lelaki lain mampu. Kini aku membesar dan hanya bertahan kerana tanggungjawab sebagai anak.

Dan seperti yang sering kali mereka katakan redha Tuhan terletak pada redha ibu bapa. Tetapi redha anak? Redha anak itu tidak perlu wujud.

Kacang melupakan kulit? Sedangkan kulit itu sendiri memperlakukan kacang itu seperti patung yang tidak punya fikiran dan perasaan.

Hanya sebagai patungg atau aksesori untuk dibanggakan kepada rakan-rakan lain.

Oh, anak aku dapat sambung belajar. Anak aku dapat first class. Anak aku dapat graduate. Tapi ketika anak membuat salah habis diceritakannya kepada semua orang.

Kini bila dewasa bukan sahaja sepupu, malah anak kawan-kawan menjadi taraf perbandingan kepada anak.

Aku masih bertahan di rumah kerana tanggungjawab. Membuat apa-apa kepada keluarga tanpa rasa ikhlas.

Membuat tanggungjawab sebagai anak kepada ibu tiriku dan bapaku bukan kerana sayang tetapi kerana tanggungjawab Tuhan berikan kepada aku sebagai anak.

Ikutkan hati ingin aku memutuskan hubungan membawa diri dan tidak berjumpa lagi.

Biarlah aku tidak redha terhadap apa yang dilakukan oleh ibu bapaku kepadaku kerana redhaku tiada nilai.

Biarkan aku hari-hari bertarung dengan depresi dan merasakan ingin kembali ke Tuhan kerana penat dengan ibu bapa sebegini. Biarkan batin dan mentalku tersiksa dan luka berdarah.

Asalkan mereka redha dengan aku supaya Tuhan juga redha dengan aku.

Aku akan laksanakan tanggungjawab ini tanpa kasih, tanpa sayang, tanpa mawaddah, tanpa rahmah sehingga aku meninggal dunia.

– Syasya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *