Tidak Dikurnia Zuriat

Assalamualaikum, terima kasih admin sudi siarkan cerita aku. Nama aku Hawa (Bukan nama sebenar), berumur 29 tahun. Sudah mendirikan rumah tangga selama 3 tahun dengan pasangan pilihan hati aku.

Sebelum aku mulakan kisah aku, lebih baik aku nyatakan kisah ini bukan kisah yang baru terjadi dalam hidup aku. Dan mungkin ia sudah lama terjadi tetapi aku baru menyedari.

Masa zaman aku belajar dulu, aku selalu keluar dengan kawan-kawan. Belajar jauh dari mak abah, tapi pergerakan aku wajib mak abah tahu kemana aku pergi dan dengan siapa aku keluar. Kawan-kawan aku pun mak abah kenal, senang nak hubungi kata mereka kalau terjadi apa-apa.

Sepanjang zaman aku belajar, banyak kali jugak aku berkawan dengan lelaki. Niat nak serius lah, tapi selalu terkandas. Ada yang curang, ada yang berpisah cara baik dan ada jugak yang aku atau pasangan minta putuskan sebab rasa tak sehaluan. Biasa lah, jodoh. Tapi aku redha.

Tamat zaman belajar, arwah mak meninggal dunia. Allah saja yang tahu betapa sedihnya aku, tak sempat nak jaga mak, nak duduk lama dengan mak. Mak dah pun pergi. Allah sayangkan arwah mak.

2 tahun selepas kematian mak, Allah hadirkan seseorang dalam hidup aku. Kenal tak sampai pun setahun kami disatukan.

Alhamdulillah, suami aku (Adam-Bukan nama sebenar) seorang yang sangat baik dan sederhana. Adam jugak berasal daripada keluarga yang baik-baik. keluarga Adam terima aku seadanya, anggap aku macam keluarga mereka sendiri.

Aku dan Adam berhasrat nak zuriat awal, tapi kita sebagai hambaNya hanya mampu merancang. Setahun, 2 tahun usia perkahwinan masih belum nampak bayang kami akan peroleh zuriat.

Dalam usia 2 tahun perkahwinan, aku dan suami macam suami isteri yang lain jugak. Kejap bahagia, kejap bergaduh. Ya lah, asam garam rumah tangga kan. Aku ok, suami pun faham. Masing-masing dalam tempoh perkenalan lagi.

Tapi yang aku risaukan, hubungan suami isteri kami agak terganggu. Aku sentiasa akan rasa sakit bila bersama. Sakit tu kadang tak dapat nak ungkap pada suami. Kerap aku usulkan pada Adam dan katanya mungkin masalah hormon.

Berbalik kepada masalah masih tidak dikurniakan zuriat, aku dan suami banyak jugak berikhtiar. Pergi mengurut, dapatkan rawatan tradisional, refer OnG dan sebagainya. Ayat yang selalu dengar, “boleh ni, akan sampai rezeki anak… Sabar ya.” Ya, kami boleh sabar, in syaa Allah.

Memasuki tahun ketiga perkahwinan, aku rasakan keadaan aku semakin parah. Hubungan suami isteri kami sangat terganggu dan kadang aku rasa suami aku sangat tak memahami kesakitan aku. Benda tu buat aku jadi cepat marah, cepat naik angin dengan Adam.

Bila Adam balik kerja aku buat tak tahu pada dia, layanan aku pada dia semakin teruk. Ditambah dengan mimpi-mimpi buruk yang aku kerap alami sejak awal tahun. Dalam setiap mimpi aku pasti ada bayi dan bayangan makhluk ghaib. Rumah yang aku diami dua tingkat.

Dan setiap kali mimpi pasti aku akan nampak bayi dan makhluk ghaib tu ada di tangga rumah. Awalnya aku abaikan, tapi kian hari kian parah sehingga aku mengigau, meracau yang bukan-bukan, berpeluh dan ada kala aku rasakan makhluk ghaib tu ada disebelah aku setiap kali aku nak tidur.

Aku ambil keputusan untuk maklumkan pada Adam dan berbincang dengan mak mertua. Adam perasan perubahan yang mendadak pada aku.

Mak mertua aku pulak sangat susah hati. Dia cadangkan untuk bertemu dengan seorang pakcik (Pakcik Lan) di kampung suami. Aku tidak menolak kerana aku rasa semakin runsing.

Sampai di rumah Pakcik Lan, beliau menjemput aku dan suami masuk. Kami nyatakan hasrat kami berjumpa beliau dan beliau hanya mengangguk. Pakcik Lan minta izin pada Adam untuk ‘tengok’ aku dan Adam izinkan.

Soalan pertama Pakcik Lan, “kamu ramai kawan ke dulu?”.

Aku terdiam dan bertanya semula, “kawan yang macam mana tu pakcik?”.

Kemudian dia menjawab, “kawan bercinta ni lah.”

Aku tengok suami, dan aku tak tahu jawapan apa yang perlu aku bagi. Walaupun Adam tahu semua kawan lelaki yang aku pernah bercinta sebelum ni. Adam seolah memahami, dia hanya anggukkan kepala memberi izin aku menjawab soalan Pakcik Lan.

“Ramai tu tak ramai sangat pakcik, tapi yang saya serius sebelum berkahwin dengan Adam, ada lah seorang je.”

Pakcik Lan pula yang mengangguk.

Beliau buka mulut, “Dah lama kamu bawak ‘dia’ ni…”

Aku dan suami terkejut, mengalih pada Pakcik Lan sebelum dia menyambung lagi ayat,

“Dah banyak kali sebenarnya benih lekat dalam rahim kamu, tapi sebab ‘dia’ ada dalam tu, setiap kali lekat dia makan. Sebab orang yang hantar pada kamu ni nak kamu dan pasangan takdak zuriat.”

Demi Allah, aku sangat terkejut. Hampir aku menangis, Adam genggam tangan aku. Aku tanya pada Pakcik Lan,

“Siapa yang hantar pakcik? Macam mana dia boleh hantar?”

Pakcik Lan jawab, “Dah lama niat dia buruk dekat kamu, dia pun dalam kalangan kenalan kamu, perempuan, rendah-rendah je. Dia mungkin terlibat dengan salah seorang kawan lelaki kamu dulu. Sebelum kamu mimpi yang teruk-teruk tu dia ada pegi rumah kamu tanam ‘benda’.”

Allahu akbar!

Dalam diam, Pakcik Lan bacakan doa pada aku. Katanya zaman aku anak dara lagi orang tu dah tak suka aku. Disebabkan aku suka berjalan dengan kawan-kawan yang lain membuka ruang yang luas supaya dia mudah untuk hantar buatan pada aku.

Pakcik Lan pesan lagi, balik rumah nanti jangan pijak tanah lagi katanya. Jalan tepi-tepi rumah dulu, mungkin Pakcik Lan nampak rumah aku memang ada laluan yang tak bertanah.

Dengar apa yang Pakcik Lan cakap, aku jadi sangat sedih. Apa salah aku pada penghantar tu? Aku nak tahu apa lebihnya aku dari dia sampai di sanggup hantar bukan-bukan pada aku?

Sampai sanggup nak halang aku ada zuriat. Aku nak sangat tahu orangnya, tapi Adam cakap tak perlu, sebab ia akan buat aku berdendam dengan orang tu. Dan itu bukan solusi yang terbaik.

Pakcik Lan jugak cakap, jangan fikirkan sangat dan berusahalah untuk memaafkan sebab itu satu-satunya cara untuk kita membalas kejahatan orang pada kita.

Itu yang menjadikan darjat kita lebih tinggi dari orang tu. Pakcik Lan juga ada buatkan air penawar. Satu botol untuk direnjis keliling tanah yang ada, dan 2 botol lagi untuk diminum aku dan Adam.

Balik dari rumak Pakcik Lan, kami singgah rumah mertua dan selepas solat Isyak kami terus pulang ke rumah.

Sepanjang perjalanan aku hanya tidur dalam kereta. Aku rasa terlampau penat, kepala terasa sangat berat. Sampai di rumah tanpa menunggu suami, aku terus baring di ruang tamu.

Adam kejutkan aku untuk bangun dan berehat di atas, tapi aku tak daya. Dengan tudung masih di kepala, aku terus tidur. Dan nikmat tidur tu dah lama aku tak rasai.

Pertama kali aku rasakan tiada langsung mimpi-mimpi ngeri. Aku tidur tanpa gangguan. Subuh keesokkannya, aku bangun dengan penuh ketenangan, Alhamdulillah.

Syukur ya Allah. Selepas dari hari tu, aku dah tak pernah mimpi benda buruk dan hubungan suami isteri sangat baik. Sehingga 2 bulan kemudian, aku disahkan hamil 4 minggu. Adam sangat seronok bila aku maklumkan pada dia yang dia bakal jadi ayah setelah kami berikhtiar selama 3 tahun.

Satu perkara yang aku cuba ambil pengajaran dari apa yang berlaku, kurang dedahkan aktiviti yang aku buat hari-hari yang boleh buat orang rasa iri hati. Walaupun kalau ikutkan lepas berkahwin memang aku jarang tayang kehidupan aku di media sosial macam zaman anak dara dulu.

Adam pun memang jenis yang tak suka menunjuk, nak ajak dia selfie pun susah. Adam nasihatkan aku untuk rahsiakan berita kehamilan aku, dan ya. Hingga kini hanya keluarga terdekat dan kawan-kawan terdekat yang tahu bahawa aku sedang hamil.

Tentang siapa yang menghantar benda tak baik pada aku tu, sejujurnya aku masih nak tahu siapa sebab sepanjang aku bergaul dengan orang selama hidup aku, aku jenis yang memilih kawan.

Kalau kawan yang aku dapat rasa vibe negatif dia memang aku akan menjauh. Aku nak sangat tahu, teruk sangat ke life dia sampai dia nak buat yang bukan-bukan pada aku?

Aku nak sangat tahu apa kurangnya dia dan apa lebihnya aku yang buat dia iri hati? Atau aku memang ada buat salah pada dia?

Banyak sangat persoalan yang bermain dalam fikiran aku. Tapi Adam kerap ingatkan aku untuk sentiasa memaafkan dan jangan fikirkan lagi benda yang dah lepas.

Aku harap pembaca dapat ambik pengajaran dari kisah aku, maaf sekiranya kisah aku agak panjang. Terima kasih sudi membaca sampai habis. Aku doakan semoga kita semua berada dalam lindungan dan rahmat Allah.

Dan, kepada pembaca perempuan yang sedang menanti zuriat, jangan putus asa berikhtiar dan jangan ambil pusing dengan mulut manusia di sekeliling kita.

Kita hidup untuk Allah sayang bukan untuk manusia. Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakal. In syaa Allah, kita semua layak menjadi ibu selagi mana kita masih punya rahim. Wallahu’alam.

– HAWA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *