Tidak Semua Punya Tempat Untuk Pulang

Kisah ini bermula dengan watak Kotak Kecil yang lahir di sebuah Desa Kotak.

Kotak Kecil ini sangat istimewa. Di kalangan kotak-kotak lain, dia sentiasa menjadi yang terbaik, sering mendapat penghargaan tertinggi dalam pelajaran di Sekolah Kotak, dan para Guru Kotak semua menyayanginya. Namun, di sebalik kepintarannya, Kotak Kecil ini mengalami cabaran yang besar.

Di Desa Kotak, tidak semua kotak senang melihat kejayaan Kotak Kecil. Rakan-rakan kotak sering memulaukan Kotak Kecil, meninggalkannya sendirian di sudut bilik, tidak melibatkan Kotak Kecil dalam permainan kotak yang menyeronokkan.

Semasa Kem Kotak di Hutan Kotak, Kotak Kecil mengalami penderaan mental. Banyak kotak lain tidak mahu berkawan dengannya, malah ada yang mengugut untuk menghancurkannya, membuatkan Kotak Kecil susah dan takut untuk tidur sepanjang kem tersebut.

Tahun-tahun berlalu, dan Kotak Kecil melangkah ke Sekolah Menengah Kotak. Di sana, dia berkawan dengan dua kotak lain, tetapi perasaan pengasingan itu masih ada. Walaupun mereka menggelarnya kawan, mereka tidak pernah melibatkan Kotak Kecil dalam aktiviti luar kelas atau projek sekolah.

Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, Kotak Kecil merasakan kesedihan yang mendalam. Dia tidak mampu untuk bergembira walaupun meraih tempat pertama, kerana kejayaannya sering menimbulkan rasa iri hati di kalangan kotak lain.

Akhirnya, kebenaran terbongkar. Persahabatan yang dibina itu hanyalah palsu. Ketika keputusan Kolej Kotak keluar, hanya Kotak Kecil yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kotak. Kegembiraannya tidak diraikan, malah berasa janggal untuk gembira. Persahabatan itu perlahan-lahan hilang, walaupun kotak-kotak lain masih bertemanan.

Kotak Kecil meneruskan hidupnya dengan tekad sebagai Kotak Kecil yang paling sulung dan bertanggungjawab kepada keluarga: keluar dari kemiskinan dan Desa Kotak. Bagi Kotak Kecil, Ibu Kotak, Bapa Kotak dan Adik Kotak adalah segalanya.

Kotak Kecil berjanji pada dirinya sendiri untuk tidak berkahwin. Katanya, dia ingin belajar bersungguh-sungguh, bekerja besar dan membuat Ibu Bapa Kotak gembira. Namun, beberapa tahun kemudian, Bapa Kotak meninggal dunia. Kehilangan Bapa Kotak menyebabkan perubahan besar dalam hidup Kotak Kecil.

Barulah Kotak Kecil sedar, ternyata selama ini yang mendorong dan menyokong kecintaannya terhadap ilmu adalah Bapa Kotak. Bagi seluruh kotak di Desa Kotak, menyambung pelajaran ke menara gading adalah pembaziran, lebih baik bekerja.

Ibu Kotak, yang selama ini dilihat sebagai kotak yang tabah, mula menunjukkan sikap yang berbeza. Tanpa kehadiran Bapa Kotak, Ibu Kotak menjadi semakin aneh, keras dan kadangkala sukar difahami sikapnya. Sikapnya sama seperti penduduk Desa Kotak yang lain, pemikiran yang sukar difahami oleh Kotak Kecil.

Kotak Kecil tetap berpegang pada tekadnya untuk mengubah nasib keluarga. Cinta? Hiburan? Kegembiraan masa muda seperti kotak lain? Itu semua tidak ada dalam kamus hidupnya.

Ketika adik lelakinya, Adik Kotak, memutuskan untuk berkahwin pada usia muda, dengan gaji yang sangat sedikit tanpa menyambung pengajian, Kotak Kecil kecewa. Mengapa Adik Kotak berfikiran seperti ini?

Kotak Kecil berfikir sendiri, kalau ada Bapa Kotak, mungkin dia menghalang hal ini. Kotak Kecil terasa, tetapi ia tahu ia tidak mampu menghalang.

Setahun kemudian, Ibu Kotak membuat keputusan yang mengejutkan. Dia bercinta dengan Kotak Muda dari seberang. Walaupun Kotak Kecil cuba memberi nasihat dan membincangkan pelbagai natijah sekiranya diteruskan, Ibu Kotak tetap berkeras ingin berkahwin dengan Kotak Muda tersebut.

Malah, Ibu Kotak mengancam dengan nyawanya sendiri jika Kotak Kecil tidak menuruti kehendaknya. Pernah sekali Ibu Kotak menelan daun larangan, cubaan menggertak untuk setuju dengan permintaannya.

Masa pun berlalu, Kotak Muda tersebut juga jelas hanya mempergunakan Ibu Kotak, namun buta mata dek kerana cinta. Akhirnya, tiada perkahwinan yang berlangsung, Kotak Muda pulang ke kampung halamannya, tanpa sebarang khabar berita.

Sejak itu, hubungan antara Kotak Kecil dan Ibu Kotak menjadi semakin renggang. Ibu Kotak sering menyimpan dendam terhadap Kotak Kecil. Baginya, Kotak Kecil adalah punca segalanya.

Setiap kali Kotak Kecil cuba berbincang atau menyelesaikan masalah, Ibu Kotak menjadi defensif dan mengelak daripada perbincangan tersebut. Katanya, “Penat aku hantar kau belajar tinggi, tapi tak boleh tolong aku pun dalam urusan pernikahan.”

Seiring waktu, hubungan antara Kotak Kecil dan Ibu Kotak semakin renggang. Tiada lagi cahaya bersama, tiada lagi canda tawa yang pernah mengisi ruang di antara mereka. Setiap kali cuba berbicara, Ibu Kotak selalu menolak, mengelak, defensif. Tiada ruang untuk berbicara, tiada kesempatan untuk memperbaiki keadaan.

Sampai satu hari, Ibu Kotak membuat keputusan yang lebih mengejutkan. Dia sedang berkawan dengan Kotak Tua dari seberang, merancang ke arah perkahwinan. Tiada siapa tahu bagaimana hal itu berlaku, tetapi Kotak Kecil mendapat tahu bahawa segalanya telah berlaku tanpa sebarang pengetahuan atau persetujuannya.

Hati Kotak Kecil remuk, dia merasa ditinggalkan dan tiada tempat untuk meluahkan perasaannya. Apatah lagi memikirkan, bagaimana ibunya yang buta huruf boleh menyelesaikan hal pernikahan?

Masa berlalu, hubungan semakin renggang. Pada suatu hari, Ibu Kotak mengumumkan bahawa dia mahu berkahwin dengan Kotak Tua dari seberang, namun dihalang lagi oleh Kotak Kecil, berasas.

Setelah diselidiki, ternyata Kotak Tua tersebut sudah berkeluarga: beristeri dan mempunyai anak di seberang. Namun, segala maklumat yang ditemui oleh Kotak Kecil diabaikan oleh ibunya, dan seluruh keluarganya juga tidak mempedulikannya.

Berderetan komen dari wanita seberang di media sosial Ibu Kotak, malangnya dia tidak tahu membaca. Fikiran Kotak Kecil di kejauhan kacau bilau. Adik-beradik Ibu Kotak mengatakan Kotak Kecil terlalu berprasangka, memandang keji warga seberang.

Akhirnya, Kotak Kecil mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari keluarganya. “Biarlah mereka, mungkin aku yang muda. Sukar untuk yang buluh mendengar kata.” Kata-kata dari kotak lain terlalu menyakitkan untuk ditanggung. Silapnya hanya pada Kotak Kecil, bukan mereka.

Setelah beberapa bulan membawa diri dan menjalani sesi dengan terapis, jauh dari keluarganya, Kotak Kecil menerima pesanan ringkas daripada ibunya. Pesanan itu mengatakan bahawa ibunya sudah berkahwin dan menjemputnya untuk menghadiri kenduri keramaian.

Bagaimana Ibu Kotak boleh berkahwin dengan Kotak Tua yang sudah berkeluarga? Siapa yang menguruskan hal pernikahan? Segala macam prasangka berada di hati Kotak Kecil. Siapa yang menyelesaikan prosedur pernikahannya? Semua persoalan itu dipendam sendiri.

Dengan hati yang berat, Kotak Kecil membuat keputusan untuk tidak pulang. Dia tetap menjalani hari-harinya sebagai kotak berjaya di kota raya. Tapi kosong jiwanya. Hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu tentang sejadah yang sering basah dengan air mata dalam sujudnya.

Pada hari kenduri, Adik Kotak hadir bersama isterinya. Adik Kotak terkejut besar apabila mengetahui bahawa ibunya sudah bernikah tanpa pengetahuannya. Dia segera menyoal ibunya, “Mana sijil nikahnya? Siapa yang menikahkan?”

Si ibu, yang licik, pada hari kenduri itu, ketika tetamu sudah berkumpul, mencuit abangnya si Kotak Ulung dan berkata, “Kalau warga bertanya, Ulung cakap aku nikah dekat Saranthia, Ulung yang menikahkan.”

Kotak Ulung hampir sahaja rebah mendengar kata-kata adiknya, terkejut dan bingung dengan permintaan itu. “Aku masih hidup, bagaimana kau dinikahkan tanpa kehadiran aku?”

Mendengar hal itu, Adik Kotak mula marah dan hilang sabar. Namun, seorang Kotak Purba cuba menenangkannya, berkata, “Jangan macam ni, malu pada penduduk desa dah datang.” Tapi dalam hati si Adik Kotak hanya terfikir, “Ibu malu pada penduduk, tapi tak malu pada Tuhan?”

Kotak Kecil di perantauan menghukum dirinya sendiri. Ternyata, ibunya memilih untuk berkahwin menggunakan sindiket. Segala wali dan tukang akad adalah palsu. Ini bukan soal undang-undang Desa, tetapi soal melanggar hukum Pencipta.

Setiap hari hidupnya dibelenggu oleh perasaan gagal. Dia tidak lagi mampu untuk pulang ke Desa Kotak. Setiap hari, Kotak Kecil terus hidup dalam kesedihan, walaupun di mata kotak-kotak lain dia kelihatan berjaya.

Dia merasakan segala pengorbanannya selama ini sia-sia. Kotak Kecil hidup sendirian, tanpa keluarga, tanpa tempat untuk pulang. Rasa kecewa dan hampa menyelubungi setiap sudut hidupnya, tetapi dia terus bertahan. Hanya mampu berduka dari jauh melihat ibunya membuat kesilapan.

Pada usia muda, dia meletakkan setiap keputusan demi keluarga, namun adik dan ibunya tidak pernah memikirkan hati dan perasaannya. Dia terus hidup dengan topeng sebagai kotak berdikari, menjadi rujukan kotak-kotak lain, tetapi hatinya kecewa kerana gagal membimbing keluarga sendiri.

Walaupun tiada cacat fizikal pada dirinya, kesan buli mental dari zaman kecil sehingga dewasa oleh rakan-rakan dan keluarga menjadikan dirinya kosong tanpa jiwa. Kembali ke Desa Kotak seolah-olah kembali ke satu kawasan gelap yang penuh trauma. Dan dia tidak mahu berada di situ lagi.

Hidupnya dipenuhi dengan rasa derhaka dan bebanan mental yang memerlukan rawatan di Hospital Kotak. Usahanya seolah-olah sia-sia, dan rasa terlalu berat untuk berdoa lagi. Tuhan juga tidak mendengar? Mungkin benar, seorang anak tidak dapat memilih ibunya.

Tetapi ujian ini berat sekali. Tiada ruang untuk dia pulang ke keluarganya sendiri. Apatah lagi bercerita, “Aku adalah anak hasil keluarga toksik, tersakiti.” Rasa sakit mendengar kata-kata manusia, “Ibu tetap ibu,” membuatkan si Kotak Kecil bertanya, “Apa yang Tuhan mahu darinya? Mengapa dia dipaksa menerima semua ini?”

Kotak Kecil menghukum dirinya sendiri. Hidupnya dipenuhi dengan rasa derhaka, merasa tidak disayangi, susah untuk mempercayai, dan menghadapi pelbagai bebanan mental yang memerlukan rawatan.

Ramai berkata, “Berlapang dadalah, berdamailah dengan takdir,” namun hakikatnya, itulah hal yang paling sukar untuk dia hadapi sekarang. Andai kata ibunya sendiri mampu mengkhianati hati anaknya seperti ini, siapa lagi yang boleh dia percayai di dunia ini?

Begitulah kehidupan Kotak Kecil. Dalam dunia yang dipenuhi kotak-kotak lain, dia berjuang untuk mencari tempatnya sendiri. Hakikatnya, tak semua anak punya tempat untuk pulang. Ada juga anak-anak yang hatinya mati hancur dilukai oleh ibu sendiri, seperti si Kotak Kecil ini.

– Kotak Kecil (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Kpd “kotak kecil”..
    Bertabah ketika diuji;
    Bersabar jika ianya boleh membawamu ke Syurga;
    Berdoa agar kotak2 yg lain tu mendapat hidayah & taufiq-Nya..
    Berserah hanya kpd Allah SWT, kerana Dia yg maha mengetahui & menilai segala2 nya;
    Bersyukur & berbahagia dgn apa yg dikurniakan-Nya; dan
    Berkeyakinan bhw semua yg terjadi mempunyai hikmah di sebaliknya..
    Wallahu a’lam bissawab..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *