Tips Alam Perkahwinan

Saya mohon seribu kemaafan jika perkongsian saya ini panjang untuk anda semua. Sebelum saya bercerita dengan lebih lanjut, saya cuma nak mengingatkan yang perkongsian saya ini tiada niat untuk menunjuk atau berbangga dengan kehidupan rumah tangga saya. Niat saya hanyalah untuk berkongsi serba sedikit tentang tips-tips yang saya dan suami praktikkan di rumah.

Saya dan suami berkahwin ketika umur saya 25 tahun dan suami pula 26 tahun. Alhamdulillah, bulan Mei nanti masuklah usia 7 tahun perkahwinan kami dan bulan Julai nanti jika diizinkan Allah, saya akan melahirkan zuriat kami yang ketiga. Saya dan suami berkenalan ketika kami sama-sama belajar di universiti yang sama dengan jurusan ijazah yang sama. Sebelum berkahwin, saya yang terlebih dahulu ada ‘crush’ dekat suami semasa saya pertama kali kenal beliau dalam satu latihan persembahan untuk program kelab kami. Tengok cara beliau berlatih buat saya rasa ‘oh wow, hebatnya dia ni.’ dan tanpa saya sedar, saya hanya perhatikan beliau seorang sahaja dalam bilik latihan itu. Anak mata ni gatal sungguh mencari-cari kelibat sang lelaki berambut pendek tapi ada jambul macam ombak di pantai. Maklumlah, tengah darah muda, memang mengada-ngada rasa macam ya dunia ini patik yang punya.

Nak dipendekkan cerita, sepanjang tempoh pengajian, beliau tahu akan kewujudan saya sebagai manusia tapi tidak tahu tentang kewujudan rasa suka padanya di hati bak dihiris sembilu ini. Jadi saya ambil keputusan untuk berdiam diri tanpa menceritakan pada sesiapa pun tentang perasaan suka saya pada beliau. Walau ribut datang melanda, hujan dan panas sanggup saya tempuhi usaha keras saya dalam usaha untuk mendapatkan nombor telefon beliau akhirnya dipermudahkan. Tiba waktu beliau graduate, saya kumpul semangat untuk mesej beliau dengan ucapan tahniah dan semoga dapat pekerjaan yang diinginkan tapi hanya Tuhan saja yang tahu tentang keinginan hati saya untuk beritahu beliau yang saya sudah lama ‘spy’ beliau. Tapi demi martabat dan maruah seorang insan bergelar wanita, saya tahan dan berdoa andai beliau yang terbaik, moga Allah akan menjodohkan kami berdua. Untuk tidak menceritakan tentang kisah perkenalan kami dengan lebih panjang dan membuatkan para pembaca rasa bosan, maka dua tahun selepas kejadian ‘mesej tahniah’ itu, kami sah menjadi pasangan suami isteri di mana saya yang terlebih dahulu tanya beliau ‘awak tak ada keinginan nak nikah dengan saya ke?’

Syukur pada Allah kerana saya dikurniakan dengan seorang suami yang matang dan mampu terima segala baik dan buruk saya ini. Disaat saya bertukar menjadi seekor singa, disaat saya bertukar menjadi power rangers warna pink, disaat saya bertukar menjadi raksasa dalam cerita Ultraman, beliau masih mampu bersabar dengan saya. Pernah suatu hari ketika saya masih dalam pantang melahirkan zuriat kami yang pertama, emosi saya terganggu dan hari itu, apabila suami pulang dari tempat kerja, dengan bermasam muka saya tegur beliau ‘banyak sangat ke kerja abang sampai malam baru balik?’ Selaku seorang suami yang sudah terbiasa dengan perangai sang isteri, beliau berkata ‘sayang tengah marah ni, sayang tengah tak ada mood, jangan cakap dengan abang lagi. Aisha ni biar abang yang jagakan.’ lalu beliau ambil anak kami dan keluar dari bilik tidur. Ditinggalkan saya sendirian supaya saya mampu untuk menenangkan rasa marah ini. Beberapa jam selepas itu, marah saya sudah reda saya keluar dari bilik dan lihat suami sudah tertidur sambil meriba Aisha. Air mata kerana rasa bersalah mula mengalir. Suami baru balik kerja, tengah penat, saya pula mengada-ngada nak ‘mood swing’. Saya kejut suami dengan perlahan dan suruh beliau mandi, ambil Aisha dan tidurkan dia, dan terus ke dapur untuk bancuh teh Boh kesukaan ramai untuk suami. Seusai mandi, beliau ke dapur dan saya dengan rasa bersalah, memohon maaf pada beliau dan syukur pada Allah kerana walaupun penat, beliau masih mampu melayan karenah saya.

Sejak dari itu saya berfikir, setiap kali mood saya tak elok suami akan larang saya bercakap dengan beliau dan akan ambil anak kami supaya saya ada moment sendiri untuk menenangkan emosi saya. Beliau juga menjelaskan alasan atas tindakan itu. Kalau isteri marah, cara isteri bercakap dan kata-kata yang keluar dari mulut isteri mampu mengguris hati suami. Seterusnya apa terjadi? Ya! Derhakalah kamu wahai sang isteri yang bercakap secara kurang ajar dengan suami. Jadi sebab itu beliau selalu ulang ‘sayang tengah marah, jangan cakap dengan abang lagi.’ Hal ini adalah untuk mengelakkan pergaduhan yang lebih besar akan berlaku di mana ketika itu sabar si suami dan si isteri teruji dan bermulalah bisikan syaitan untuk isteri menjadi lebih derhaka dan suami menjadi lebih tidak peka.

Ada suatu hari, giliran suami pula yang ‘mood swing’. Sebabnya, biarlah rahsia. Tapi satu perkara yang saya perhatikan apabila suami ‘mood swing’ atau tengah marah, beliau akan dukung anak kami dan bercakap-cakap dengan dia. Alasannya apabila sang suami marah atau enggan bercakap dengan isteri, tapi dengan melihat anak, suami akan berfikir ‘isteri aku yang bersusah payah melahirkan anak, isteri aku yang penat berjaga malam, menyusu, sampai rehatnya terabai, takkan aku sanggup nak marah isteri yang dah berkorban untuk aku dan anak sebab hal yang kecil?’ dan selepas itu hati suami mula sejuk dan rasa marahnya juga menghilang. Ajaib bukan? Ya, saya juga masih ‘amazed’ dengan tindakan beliau.

Suami saya juga kaki bola. Maklumlah, jarang kaum lelaki yang tak berminat dengan bola. Jadi pada suatu malam beliau mesej saya untuk beritahu yang beliau akan balik lewat sebab nak lepak mamak tengok bola dengan kawan-kawan. Ingin saya ingatkan pada kaum wanita dan isteri-isteri di luar sana, kalau suami nak keluar lepak dengan kawan-kawan, bagi sahaja ‘green light.’ Ingat, sebelum suami kenal kita, beliau terlebih dahulu kenal kawan-kawan beliau. Sebelum ada kita tempat suami berkongsi masalah, kawan-kawan beliau dahulu yang ada membantu beliau. Jadi apa salahnya beri peluang untuk suami meluangkan masa bersama kawan-kawan. Berbalik pada cerita suami saya, selepas saya bagi ‘green light’ suami terus mesej ‘kalau pukul 1 pagi abang tak balik lagi, sayang call abang. Takut abang terlalu asyik enjoy the moment macam orang bujang.’ Kenapa beliau cakap macam tu? Pertama sebab tak mahu saya risau, kedua sebab beliau tahu ada batasnya kalau nak lepak dengan kawan dan ketiga, esok kerja oiii. Jadi para suami sekalian, apabila isteri dah bagi ‘green light’ tu, pandai-pandailah bertolak ansur. Jangan ambil peluang pula. Ingat, hati isteri mana yang tak risau dan tak bimbang kalau suami sampai jam 4 ke 5 pagi belum balik rumah? Saat itu, rasa macam nak saja call bomba penyelamat, polis, forensik, JKKK, wakil rakyat sebab risau.

Selain itu, suka juga untuk saya ingatkan buat para isteri, belajarlah untuk mengalah dan mengaku salah. Ingat, bukan dalam semua perkara kita betul. Ada kalanya kita juga salah, seperti salah menghabiskan duit untuk shopping, tersalah masuk semua kedai di shopping mall, tersalah cakap yang kita tak ada baju untuk pakai dan sebagainya. Jadi kita juga mesti bertolak-ansur, mohon maaf pada suami kalau tersalah cakap, kerja tu jangan nak ‘mood swing’ saja sepanjang hari, apa ingat suami tak boleh ‘mood swing’? Dan ingat, syurga seorang isteri apabila sudah berkahwin tidak lagi terletak di telapak kaki ibu, tetapi di telapak kaki suami. Tapi jangan pula di cuit-cuit telapak kaki suami sebab nak cari syurga tu, nanti ada yang makan kaki.

Saya bersyukur pada Allah, sepanjang tempoh perkahwinan, tidak pernah saya dan suami bergaduh secara besar-besaran seperti besarnya sale di Sephora dan Jakel. Mungkin kerana sikap tolak ansur saya dan suami, kematangan suami dalam menyelesaikan masalah yang sedikit sebanyak dapat membantu kami. Alam perkahwinan tak selalu indah, kentut pasangan tak selalu wangi, ada masa kita di uji. Jadi, hadapilah ujian itu bersama-sama. Saya tahu usia perkahwinan saya juga masih boleh dikatakan baru. Tapi perkongsian ini saya harapkan moga dapat membantu kalian semua. Terima kasih untuk kalian dan saya mohon agar kalian doakan agar proses kelahiran anak ketiga saya dipermudahkan oleh Allah. Buat suamiku, terima kasih atas segalanya. Sudah-sudahlah potong kuku dekat balkoni tu, marilah minum air teh Boh dan cekodok pisang hasil air tangan isterimu ini.

– Aleeya

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *