Tips Berpantang Sendiri

Tips berpantang sendiri

Terima kasih kalau perkongsian aku disiarkan.

Bukan semua orang bertuah untuk ada ibu atau bapa/penjaga yang setia menjaga dari mula bersalin sampailah menjengah hari ke-44. Disediakan segala keperluan berpantang seperti disediakan air mandian herba yang harum mewangi, makanan panas-panas dan fresh terhidang atas meja. Waktu mengantuk dan letih, si ibu/penjaga sedia melayani bayi dan kita boleh tidur dengan nyenyaknya setelah selesa bertungku dan bengkung diikat kemas di badan.

Realitinya, ada antara kita yang berhadapan dengan susah payah ketika berpantang berdua sahaja dengan suami. Nak tak nak, kena hadapi juga sebab bukan semua orang bertuah seperti yang aku katakan di atas. Salah seorangnya ialah aku. Jadi aku nak kongsi serba sedikit persiapan dan tips ketika berpantang sendiri dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua. Yang masih remaja atau masih belum berkahwin pun dijemput baca untuk mendapat gambaran awal mengenai kehidupan akan datang kalian. Yang lelaki, lagilah perlu baca dan hadam, semoga kalian akan sentiasa ada di samping isteri ketika berpantang. Maaf kalau coretan ini terlampau panjang.

Aku bahagikan tips kepada 3 bahagian. Dah macam buku Sejarah pulak ada poin-poin. Hehe. Sorry kalau annoying.
1) Mental
2) Persediaan fizikal (kewangan)
3) Semasa kejadian

Mental

– Fahamkan suami/jadikan suami tempat melepaskan segala keluhan
Pertama sekali, suami mesti difahamkan bahawa berpantang bukan sesuatu yang remeh. Mengandung 9 bulan sahaja sudah melelahkan, apatah lagi sakit bersalin. Belum lagi yang dibelah perutnya gara-gara untuk melahirkan seorang khalifah di dunia. Sebab ada sesetengah lelaki kurang faham bahawa kaum Hawa berpantang untuk suami jugak. Kalau ada posting2 di FB yang bermanfaat, jangan tag si suami, sebaliknya screenshot dan hantar personal message. Bincangkan soal itu bersama. Tolong jadikan suami tu sebagai tempat mengadu kalian. Please. Suamilah satu-satunya insan yang sepatutnya kita tak malu langsung untuk bercerita apa-apa. Terutama seminggu pertama berpantang, kalau dah rasa pelik dengan diri sendiri, rasa nak menangis, rasa benci, letih, dan sebagainya, suami perlu tahu itu.

– Sediakan bacaan ayat-ayat al Quran, movie/drama yang menghiburkan
Ayat-ayat al-Quran bukan sahaja menenangkan, tapi juga untuk elakkan gangguan dari makhluk Allah yang lain. Tak perlulah aku cerita lebih-lebih sebab meremang bulu roma bila teringat kes sewaktu baby aku menangis teruk, tiba-tiba phone suami aku terbukak sendiri, pasang music entah apa-apa di Gallery padahal telefon tu tak ada siapa-siapa sentuh pun.
Movie yang menghiburkan tu bagi aku perlu sebab waktu berpantang, bila kalian duduk sorang-sorang, lama-lama ada satu perasaan sangat sunyi, dan asing. 2 minggu pertama tak rasa sangat because you maybe too busy handling your child. Tapi lama-lama bila dah serasi dan dah cekap urus sendiri, akan terasa sunyi. Rasa macam sedih dan tak seronok. Jadi movie ini lah pembantu aku untuk lupakan kesunyian tu. Okey, aku tahu ada yang berpantang dilarang tengok TV atau skrin sangat. Tapi bagi aku, aku yang berpantang, jadi aku perlu sesuaikan keadaan dengan diri aku.

– Cari seseorang yang boleh jadi teman berbual walau dari jauh
Selain suami, ada baiknya kalau ada seseorang, sahabat atau adik-beradik yang boleh berkongsi rasa, faham dengan situasi kita. Jangan cari yang suka kecam-kecam. Silap-silap kalian happy, boleh tambah meroyan. Dan satu lagi, kalau ada soal jawab di FB mengenai hal parenting ni, elak untuk post soalan yang kita sendiri boleh Google atau cari sendiri penyelesaiannya. Tak salah nak post, tapi kalau komen-komen mengecam itu lebih ramai, untuk apa? Contoh kalau tanya soalan susu formula apa yang terbaik, mungkin akan ada yang kecam tanya kenapa tak bagi susu badan. (no offense. Aku sendiri masih BF sampai baby aku nak masuk 20 bulan).

– Positif, banyakkan zikir.
Positif ni memang sangat perlu. Kalau ada apa-apa yang negatif, kalian jadikan jugak tu semua positif. Jangan fikir buruk-buruk. Suami balik kerja lewat 5 minit jangan dok maki dia cari perempuan lain. Fuh, bahaya. Kalau pun kalian bukan jenis cemburu, angin meroyan ni datang bukan kira siapa. Hati-hati k.
Dan ini pesanan CL aku. Dia kata kalau rasa lain macam je feeling tu, kejap-kejap nak marah, nak menangis dengan sebab yang remeh, cuba tenangkan fikiran dan urut tapak tangan terutama bahagian yang menghala ke arah ibu jari. (Harap faham kedudukan tu kat mana). Urut-urut situ, tarik nafas dan hembus. Tarik nafas 4 saat, hembus nafas 8 saat. Kalau ada essential oil lavender, lagi bagus, boleh bagi efek ketenangan dan release stress. Atau macam-macam produk essential oil yang kalian boleh Google. Aku tak jual.
– Jangan expect yang terlalu sempurna (penyusuan, bersalin ceaser, anak kuning)

Ini masalah kebanyakan parents. Tak boleh ada silap sikit, mesti nak down. Terbagi anak susu formula pun dah rasa macam dosa besar (Again, aku tak pernah bagi anak aku formula, tapi aku tak pandang rendah pada diorang). Anak kena kuning pun dah rasa menyesal sebab tak minum minyak kelapa dara, susu kambing hari-hari waktu mengandung. Belum lagi makcik-makcik kepoh yang kata anak dia dulu sorang pun tak kena kuning, kenapa anak kau tinggi benar kuning, ini mesti melantak fastfood aje kan waktu pregnant. Haha. Best tak contoh aku?

Kalau ada yang macam ni, sila abaikan. Kita mahukan yang terbaik, tetapi kalau tak dapat seperti apa yang kita mahu, serahkan kepada Allah, Allah lebih mengetahuinya. Dan kalau ada iktibar yang boleh diambil, untuk masa akan datang, jangan ulangi kesilapan. Dan (eh dan lagi), ingatlah Allah takkan bagi ujian saja-saja nak bagi kalian menderita melainkan ada hikmah di sebaliknya.

– Redho aje rumah tak sempurna
Maksud aku kalau sebelum ini kalian yang mengemas rumah, basuh baju, mop lantai, sila bertabah jika semua tak berada pada aturan yang sepatutnya. Selerak pun, seleraklah. Pejam mata kejap. 44 hari aje. Jangan gatal tangan buat kerja berat. Kalau sakit badan nanti, kalian sakit, baby siapa nak jaga?

– Doa banyak-banyak
Seorang doktor yang umumkan aku pregnant ada pesan dekat aku. Dia kata waktu mengandung, doa kita mustajab. Jadi ambillah peluang untuk berdoa bersungguh-sungguh agar apa yang kita nak diperkenankan. Doalah kepada dia. Doa tu pulak sungguh-sungguh la. Khusyuk dan konsisten. InsyaAllah dimakbulkan, kalau tak dimakbulkan pun, percayalah doa kalian tetap dimakbulkan tapi mengikut lorong takdir yang lebih indah.
Fizikal

– Hire CL. CL tu maksudnya Confinement Lady. Ini adalah salah satu bajet terbesar aku untuk persiapan bersalin. Dan aku ambil masa 6 bulan untuk survey CL yang bersesuaian dengan aku. Kalian boleh pilih dan survey bermacam-macam servis dan khidmat yang ditawarkan. Memang ada yang mahal, mencecah 10k untuk penjagaan sampai 44 hari. Kalau tak mampu, cari yang murah, insyaAllah ada. Usaha kena lebih sikit. Sebaiknya cari helper yang boleh tolong mandikan baby, sediakan mandian, tolong masak dan jaga baby waktu kita mandi. Urut dan bertungku tu memang perlulah ya. Untuk kesihatan kita juga.

– Sediakan keperluan bayi mencukupi sebelum bersalin, tak perlu keluar rumah pergi shopping dah. Banyak sangat aku jumpa beli diapers anak waktu pantang dengan alasan suami tak reti beli. Haha. Aku no komen. Larat betul la diorang ni. Kalau aku memang tak larat. Hihi.
Okey, kemas barang-barang siap-siap ikut aturan, senang nak capai. Barut, diapers, ubat-ubatan, minyak bayi satu tempat yang tersusun.

– Sediakan makanan untuk kudap-kudap sepanjang masa di sisi. Kurma, biskut Jacob. Jangan biarkan perut kosong kerana ini akan menyebabkan perut bayi kembung. (Bagi yang menyusu badan). Kalau tak jaga makan., si ibu letih dan boleh pengsan. Again, kalau anda pengsan, siapa nak jaga baby? Sila jaga diri anda bukan untuk diri anda sahaja, tapi bayi kecil yang perlukan ibunya.

– Herba mandian sila standby siap-siap. Boleh beli online kalau tak jumpa di kedai. Kalau pantang dengan ibu-ibu, mesti ada yang bawak dari kampung kan?

– Jamu atau herba yang sesuai, dan cara berpantang yang betul sila hadam sebelum bersalin. Apa yang tak boleh makan, apa yang tak boleh buat, sila Google dan survey habis-habisan. Sediakan menu berpantang lengkap 44 hari kalau nak lagi sistematik.

– Bengkung sila pakai, bengkung yang susah nak pakai jangan beli kalau kena lilit sorang2. Cari yang moden je senang. Sila juga tungku atau tuam badan tu. Cari tungku versi ringan2, (tanah liat). Boleh bakar sendiri. Kalau tungku batu sungai memang sedap tuam, tapi berat nak handle, takkan nak tunggu suami balik kerja baru nak tuam kan. Huhu.

– Stoking jangan tinggal. Cari corak yang warna-warni, jangan suram2. Pakaian pun sama jangan yang kelabu, hitam, coklat tua. Ini pun pesanan CL aku.

Semasa kejadian.

Bangun pagi, kalau baby masih tidur, mandi herba dan siapkan tungku. Aku, encik suami sediakan mandian herba dan letak dalam termos kecil sebelum pergi kerja. Dalam 2 bekas termos. Bila nak mandi, baru tuang.

Makan kurma, susu, biskut. Pakai bengkung. Sapu minyak panas untuk segarkan urat-urat. Kalau aku pakai jenama Nona Roguy, kalau ada jenama lain yang sesuai dengan kalian, guna la. Bagi lenguh-lenguh badan tu surut.

Bila baby tidur, kita pun tidur kalau dah makan dan mandi. Jangan main telefon sangat melainkan waktu stress dan sedih perlukan teman berbual tu boleh la chat2 kejap.

Panaskan balik makanan yang dah dimasak encik suami pagi tadi. (Selepas CL dah tak bertugas). Nasi biar dalam rice cooker sentiasa panas. Aku tahu ada ‘mazhab’ yang kata tak boleh makan nasi yang dipanaskan ni, lauk yang dipanaskan pun tak boleh. Ibu-ibu yang beruntung ada orang jaga, sila jangan bagi tekanan lagi pada ibu-ibu yang berpantang sendiri ini. Itu sahaja pilihan yang ada. Kalau si ibu kuat untuk masak sendiri, tak apalah. Okey la. Cuma badan berketahanan lemah macam aku, 20 hari nak masak sendiri angkut kuali periuk memang aku rasa tak larat. Lembik. Tu kira aku yang bukan bersalin pembedahan tu. Ada yang cakap jangan manja sangat berpantang ni. Tapi kalau aku, suami aku melarang sekeras-kerasnya buat kerja rumah+ dapur even untuk susun pinggan mangkuk dekat rak. Oh ya, makanan berpantang frozen pun aku tengok dah ada orang buat. Kalau rasa semua itu memudahkan, why not? Delivery makanan berpantang pun ada. Ikutlah mana yang mudah.

Untuk checkup baby, kalau pantang sendiri, berdua dengan suami je, aku cadangkan checkup kuning baby dekat klinik swasta sahaja. Aku sangat faham keadaan dekat KKIA (Klinik kesihatan Ibu dan Anak) yang sesak dengan ibu mengandung, yang checkup bayi bulanan, dengan tempat duduk takde, dengan luka jahitan terasa perit, baby menangis nak susu tapi bilik menyusu penuh, nak menyusu dalam kereta, jauh pulak. Nanti nurse panggil tak dengar, dah satu hal kena bebel.

Fuh, semua ni mengundang meroyan. Buat kita rasa letih, stress. Tambah pula kita hadap berdua je dengan suami. Memang rasa nak nangis je. Ingat. Benda nampak kecik macam tu pun boleh jadi punca meroyan tau. Jadi, solusi terbaik adalah dengan check kuning bayi dekat klinik swasta yang tak ramai orang. Cepat siap, cepat boleh balik, cepat kita boleh rehat. Klinik berdekatan rumah aku RM30 saja sekali check. Aku survey awal-awal sebelum bersalin lagi. Aku ketepikan bajet untuk perkara lain dan buat tabungan khas untuk berpantang. Check kuning bayi ni termasuk sekali la. Aku asalnya nak bersalin hospital swasta pun terbantut sebab nak proses penjagaan pantang yang lebih selesa.

Penjagaan bayi pun sangat penting. Sebab kalian akan handle sendirian ketika suami kerja. Kenal pasti cara bayi menangis dan apa yang dia mahu. Perut kembung, nak tukar lampin, lapar, nak mengempeng dan macam-macam lagi, sila kenal pasti apa si manja anda mahukan.
Molek lagi kalau kalian ke kelas persediaan sebelum bersalin. Hospital kerajaan pun ada sediakan perkhidmatan ini secara percuma. Cuba Google. Aku dulu pergi ke kelas berbayar.

Persediaan ubat juga penting seperti panadol dan sebagainya ya untuk si ibu. Macam aku dulu demam sebab bengkak susu. Suhu badan mencecah 40 darjah celcius, badan menggigil dan baby merengek. Boleh bayang tak? Jadi mujur memang dah sedia ada panadol dalam simpanan. Punca aku bengkak susu hingga demam ialah sebab terlalu awal pump susu. Pump susu untuk stok nak masuk kerja tapi aku dah create oversupply (susu dihasilkan lebih dari keperluan anak aku), jadi bila anak aku tak menyusu sangat, susu tu membengkak di dada sebab tak dikeluarkan, akan mengeras dan menyebabkan sakitnya sungguh azab. Yang mengalami saja akan faham betapa horrornya bengkak susu ini. Jadi, kalau kalian berpantang sendiri, jangan kumpul stok susu awal sangat. LC (lactation counsellor) pun banyak kali pesan jangan pump terlalu awal. Lepas pantang 44 hari tu elok la.

Itu saja rasanya yang aku boleh kongsikan, sebab aku pun baru bergelar ibu kepada seorang anak. Kalau dah ada anak lagi seorang, mungkin banyak lagi yang boleh dikongsi. Mungkin cara nak handle toddler dan baby waktu berpantang. Hehe. Bagi aku, senang cerita, hantar si toddler tu dekat babysitter aje macam hari bekerja. Karang dilanyaknya si baby tak ke haru.
Bagi aku, kita yang berpantang sendiri boleh jalani hari-hari berpantang ni dengan baik, malah boleh jadi lebih baik berbanding sesetengah orang yang berpantang dengan ibu sendiri dan ibu mertua. Aku ada saudara yang dijaga emak mertuanya ketika berpantang tapi langsung tak berbengkung, tak makan jamu atatu herba2, tak berurut, bertuam apatah lagi. Makan pun berminyak-minyak, makanan pun sekali dengan orang yang sihat.

Malah dekat kelab-kelab ibu-ibu di FB pun banyak aku baca pengalaman stress berpantang dengan mak sendiri atau mak mertua. Stress sebab terlalu dikongkong, tak diizikan menyusu bayi, dan macam-macam lagi. Satu kelebihan berpantang sendiri ini ialah tak ada seorang pun yang halang aku apa aku nak buat. Tak ada yang suruh baby aku minum susu dicampur nes*** , tak ada yang merendahkan niat aku untuk menyusu badan dan macam-macam lagi. My baby, my rule. Walaupun bunyi macam sangat sedih, BERPANTANG SENDIRI tapi kadang-kadang aku rasa bebas dan gembira. Sebab bukan semua orang mampu hadapinya. Ada ibu beranak 6 pun mengaku tak berani pantang sendiri. Dan itu membuatkan aku rasa bersyukur kerana telah terlepas berpantang dengan baik untuk pertama kali. Untuk kali kedua, belum tahu lagi. Dan aku agak teruja untuk berpantang lagi kali ini.
Maaf andai ada kekurangan pada penulisan aku, jika admin lepas confession aku, jom la kongsi tips yang bagus untuk berpantang.

Semoga sama-sama kita dapat ilmu dan manfaat.

– Lion Mom

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit