Tips Mencari dan Bekerja di Luar Negara
[Amaran: Artikel panjang, tiada lukisan]
Assalamualaikum para pemburu kerja sekalian. Dewasa ini Malaysia yang dicintai mengalami pelbagai masalah yang mana turut menjejaskan kehidupan kita sebagai rakyat di negara berdaulat ini. Salah satu masalah negara yang menggusarkan kita ialah kemerosotan ekonomi yang masih lagi tiada sebarang petanda untuk pulih. Kesannya, mata wang ringgit kita jatuh sekaligus meningkatkan harga barangan secara mendadak tidak seiring dengan kenaikan gaji.
Oleh itu ramai rakyat Malaysia nekad untuk bekerja di luar negara lantaran kadar tukaran wang yang agak tinggi. Negara seperti New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Singapura sememangnya pilihan popular dikalangan rakyat kita. Walau bagaimanapun, kes ditipu oleh ejen seringkali terpapar di media sosial. Oleh itu, saya dedikasikan artikel ini untuk berkongsi pengalaman saya mencari kerja di Singapura.
Kenapa Singapura?
Kenapa bukan New Zealand, Australia atau Korea selatan? Singapura sebuah negara kecil terletak bersebelahan Johor. Anda boleh tinggal di Johor dan bekerja di Singapura. Ini kerana kos sara hidup adalah tinggi di Singapura. Sebagai contoh, sebuah BILIK sewa di Singapura berharga SGD400-600. Anda boleh sewa sebuah RUMAH di JB dengan harga yang sama.
Selain itu, anda tidak perlu bergolok gadai ribuan ringgit hanya untuk datang mencari kerja yang belum pasti dapat atau tidak. Permit kerja juga dibuka sepanjang tahun, mudah untuk diluluskan dan tidak mengikut musim seperti New Zealand dan Australia. PENTING untuk anda bekerja secara yang sah disisi undang-undang untuk mengelak masalah di kemudian hari.
Tips mencari kerja.
✓Melalui Facebook
-Sertai kumpulan seperti ‘Geng Kerja Kosong Singapore’. Dari sini anda boleh mencuba kerja kosong yang dikongsi oleh ahli lain. Dilarang untuk KOMEN ‘PM’ kerana anda tidak akan dilayan. Ikut sahaja arahan yang diberi dalam iklan kerja kosong.
-Melalui kumpulan juga anda boleh mengenali ejen ejen kerja Singapura. Pastikan anda bertanya kepada ahli mengenai kesahihan ejen. Elakkan ejen yang meminta ‘wang pendahuluan’ sebelum berjumpa. Jika sudah kenal ejen-ejen maka mudahlah dimasa depan untuk mencari kerja.
✓Aplikasi Fastjob, Jobscentral, Jobstreet, Gumtree, Indeed.
-Ini adalah antara laman kerja kosong Singapura. Disini anda perlu tapis iklan dahulu, biasanya kerja untuk warga Singapura akan diletakkan tag ‘Singaporean Only’. Jika tiada maka anda boleh telefon dahulu dan sahkan jika majikan mahu mengambil warga Malaysia.
✓Masuk Singapura
-Ini adalah pilihan yang memerlukan duit berbanding dua pilihan diatas. Tetapi dengan cara ini saya mendapat kerja. Anda perlu masuk ke Singapura pada mana-mana hari berkerja(Isnin-Jumaat). Seeloknya masuk waktu pagi sekitar pukul 9 pagi(office hour). Anda boleh masuk melalui Woodland atau Tuas terus ke stesen MRT berdekatan.
Di stesen MRT, pergi ke kaunter untuk minta peta MRT percuma dan beli kad EZlink(SGD12) beli surat khabar Singapura. Pergi ke ruangan iklan dan cari kerja yang bersesuaian. Telefon dahulu untuk sahkan jika mereka terima warga Malaysia atau tidak. Rujuk lokasi kerja kosong dengan peta MRT. Anda boleh susun mengikut jarak. Di Singapura, MRT adalah pengangkutan antara bandar, manakala bas pula lebih kepada pengangkutan dalam sesebuah bandar.
Tips mengelak ejen penipu
-Elakkan ejen yang mewajibkan anda tinggal di Singapura dan mengenakan caj melalui tolakan gaji 3-4 bulan. Biasanya mereka akan memegang passport anda dan anda sukar untuk kembali ke Malaysia dalam tempoh itu. Passport anda adalah hak anda. ELAK ejen yang sebegini kerana mereka boleh mengeksplotasi anda yang tiada passport ditangan.
-Elakkan ejen yang meminta wang pendahuluan tanpa pernah berjumpa untuk temuduga atau isi borang kerja. Biasanya ejen yang betul mempunyai pejabat sendiri.
Tips memilih kerja
-Elakkan kerja yang lokasinya terlalu jauh dari sempadan. Bagi saya maksimum 8 stesen MRT dari Tuas atau Woodland. Tuas tidak sesibuk Woodland. Di Woodland anda boleh tersekat di imegresen Singapura 40-60 minit pada waktu puncak.
-Bagi yang tiada kenderaan, cari kerja yang menawarkan bas dari Johor ke tempat kerja. Kelebihan mempunyai bas tetap adalah anda tidak perlu berebut bas ketika dari imigresen Singapura ke imigresen Malaysia. Cubaan untuk menaiki bas Di Woodland pada waktu puncak kadang kala boleh bertukar menjadi mimpi ngeri.
Bukan senang mahu senang. Apabila bekerja di negara orang, kita akan dipandang seperti mana kita memandang bangla, nepal dll di negara kita. Akhir kata, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, ambil emas itu dan bawalah pulang. Itu sahaja perkongsian saya, jika ada maklumat tambahan boleh kongsikan di ruangan komentar.
– S
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit