Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera.
Amaran awal: Confession ni sangat panjang, jadi kalau tak tahan nak baca panjang, boleh berhenti sini dulu..
Tapi sebelum itu, sedikit pengenalan diri. Saya baru sahaja tamat belajar peringkat Bacelor dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama, dan sekarang sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Awam (UA) tempatan. PNGK akhir saya waktu Bacelor adalah 3.9++, iaitu hampir 4 rata, dan ye, setiap semester saya dapat sama ada Kepujian Dekan (>3.75) atau Kepujian Naib Canselor (4.00). Tapi tidak, saya bukan ulat buku, mahupun pelajar ‘Nerd’ yang hanya tahu belajar sahaja. Saya aktif mewakili universiti dalam pertandingan-pertandingan yang memerlukan komitmen saya terhadap latihan hampir setiap malam, dan pada yang sama saya juga sertai program-program di sekitar universiti saya.
Tujuan saya buat confession ni adalah disebabkan ada beberapa orang yang tanya macam mana cara saya belajar sampai saya boleh dapat pointer tinggi macam tu. Sejujurnya bila orang tanya, saya selalu tak tahu nak cakap apa. Sebab bagi saya, cara belajar saya tak ada apa-apa yang istimewa pun melainkan saya akan mula belajar awal.
Tapi, selepas beberapa pemerhatian sendiri, saya tengok cara orang lain belajar dan apa yang saya ‘assume’ cara mereka belajar berdasarkan cara jawapan mereka (saya suka memerhati orang lain), saya senaraikan beberapa cara yang saya rasa mungkin menjadi penyumbang kepada kejayaan saya.
Disclaimer:
1. Bidang pengajian saya adalah bidang sains sosial, jadi mungkin ada beberapa isi yang saya akan kongsikan ni hanya terpakai kepada bidang-bidang yang seumpamanya sahaja.
2. Cara saya kongsikan tips belajar ni mungkin ada nada sinis dan mempersoalkan apa yang anda semua pernah buat selama ini, jadi bagi yang rasa mudah sentap, boleh berhenti sampai sini sahaja. Terima kasih.
3. Tiap orang cara belajarnya berbeza, jadi yang mana boleh ambil, silakan. Yang mana rasa tak sesuai, boleh senyum dan move on.
1. Faham DAN hafal!
Orang selalu cakap ‘jangan hafal, tapi faham’. Tapi bagi saya tak. Untuk faham, kena hafal (ingat) dulu. Sebab pemahaman sesuatu konsep sangatlah memerlukan kita untuk ada dulu sesuatu dalam otak sebelum kita boleh proses. Otak kita ni sebenarnya bias tau. Otak kita mudah ambil benda yang selari dengan apa yang dah ada dalam otak, berbanding dengan benda baharu yang tiba-tiba muncul. Malah, bila kita dah ingat sesuatu benda, tumpuan kepada apa yang kita tengah belajar lebih tinggi. Sebab otak dah kenal apa yang tengah belajar tu. Sebab itu kita kena ingat dulu sesuatu benda, baru kita boleh faham, sebab benda tu dah ada dalam kepala.
Kalau secara saintifiknya, untuk ingat dan faham sesuatu konsep untuk jangka masa lama, maklumat tu perlu ada dalam long-term memory. Untuk masuk long-term memory, perlu masuk short-term memory dulu. Short-term memory sebenarnya hanya terima maklumat, sahaja, dia tak proses. Pusat memproses maklumat adalah di working memory, kat sinilah segala konsep-konsep baik kompleks mahupun ringkas akan diproses untuk pemahaman sesuatu konsep sebelum masuk long-term memory, dan semua proses di semua peringkat memori ni perlu bermula dengan kita memberi perhatian kepada apa yang kita tengah belajar.
Jadi, dengan perhatian yang sedikit membolehkan kita memasukkan maklumat ke dalam short-term memory, kemudian bila otak kita dah kenal sesuatu konsep, dari sini kita boleh tingkatkan tumpuan perhatian kita, kemudian ke proses seterusnya.
Attention – short-term memory – working memory – long-term memory
2. Bab pengenalan dan definisi awal
Saya seorang yang sangat pentingkan topik awal atau topik pengenalan, yang mana definisi terma-terma utama yang kita akan guna dalam sesuatu subjek akan diterangkan dalam topik ini. Topik ini biasanya saya akan habiskan masa yang agak lama untuk hadam dan ingat betul-betul. Sebab apa? Definisi adalah tunjang kepada sesuatu subjek. Dalam bab itulah kita akan didedahkan dengan apa yang kita akan guna untuk sepanjang semester tu, dan apa-apa yang kita akan belajar dalam bab seterusnya pun, semuanya akan bersandar kepada apa yang ada dalam bab pengenalan ni! Kalau definisi pun tak tahu, maka risiko untuk tak faham bab-bab depan pun sangatlah tinggi!
3. Ulangkaji bab depan dulu
Yang ini sebenarnya lebih kurang je dengan tips awal, iaitu ulangkaji dan ingat bab depan dulu, baru ke bab seterusnya. Saya perasan ada kawan-kawan saya yang suka ikut mood, ambil je mana-mana bab masa ulangkaji tanpa ikut turutan bab. Cara ini mungkin boleh guna untuk sesetengah subjek yang kurang perkaitan antara bab. Tapi bagi saya, kebanyakan subjek memerlukan kita untuk faham konsep dalam bab depan dulu, baru boleh beralih ke bab seterusnya, terutamanya bagi subjek-subjek yang banyak perkaitan antara satu bab ke satu bab yang lain. Bagi saya ada sebab kenapa silibus sesuatu subjek tu disusun sebegitu rupa.
Saya pernah jumpa kawan yang minta tolong ajarkan bab ‘ABC’ yang dia tak faham. Bila saya terangkan dah jauh, dia boleh tanya, ‘A’ tu apa ye? Terus *faceplam* dalam hati. How can you expect to understand the complex concept if you haven’t understand nor remember and let alone mastered the simplest concept!? So please, do study, understand and remember the earlier topics before you move one to the later topics.
4. Kenal gaya belajar
Rasanya sekarang dah makin ramai kot yang pernah dengar tentang 3 gaya belajar dominan, iaitu visual, auditori dan kinestetik. Tapi bagi yang belum tahu, untuk visual, deria dominannya adalah penglihatan (maksudnya dia perlu tengok baru dia ingat), auditori adalah pendengaran (perlu dengar baru boleh faham dan ingat) dan kinestetik adalah pergerakan (jenis yang agak aktif, susah duduk diam dan sukar bagi tumpuan untuk jangka masa panjang). Boleh buat test online kalau nak tahu gaya belajar dominan anda apa. Semua orang ada ketiga-tiga gaya belajar ni, tapi ada yang dominannya yang tersendiri. Meaning that he/she learns best in that way.
Saya jenis yang visual dan saya tak suka nota dengan ayat yang panjang, sebab saya susah nak nampak kat mana pointnya terus (bila saya cuba ingat balik, saya akan nampak kedudukan point tu dalam nota kat mana). Jadi cara saya, saya akan guna highlight 3 warna untuk highlight point penting dalam nota. 1 warna untuk tajuk besar, apa-apa yang ada point kecil kat bawah dia atau untuk terminologi-terminologi yang ada definisi dia sebelum atau selepas terminologi tu, 1 warna untuk point-point sahaja dan 1 warna lagi untuk huraiannya.
Contohnya:
KELEBIHAN MENGGUNAKAN HIGHLIGHTER (saya highlight guna pink)
1. Menguatkan ingatan (saya highlight guna oren): penggunaan warna yang berlainan membolehkan kita membezakan…….. (saya highlight guna kuning).
Bagi yang jenis auditori, sila baca kuat-kuat masa study (sila cari tempat yang tiada orang, kang mengganggu orang lain pula), atau minta kawan baca kuat-kuat masa study. Dalam kelas masa pensyarah bagi kuliah pun perlu tumpukan perhatian betul-betul. Masa belajar, elakkan dengar lagu, sebab sangat boleh mengganggu proses penerimaan maklumat tu.
Bagi jenis kinestetik, sambil belajar, cuba kaitkan dengan contoh sebenar di alam nyata, lagi bagus kalau boleh praktikkan betul-betul. Sebab jenis kinestetik adalah jenis yang kena buat dulu baru dia boleh betul-betul faham. Boleh juga cuba tengok video yang menggambarkan aplikasi apa yang tengah belajar tu kalau tak boleh nak buat sendiri.
5. Kenal diri sendiri
Kenali diri ni datang dengan kita sentiasa nilai diri sendiri, dan paling penting, jangan overestimate atau underestimate diri sendiri. You can underestimate yourself if that would make you work even harder, but if it threaten your self-esteem, then don’t. Saya tak pasti la kenapa, tapi saya perasan ramai yang macam overestimate kebolehan diri, dan sebenarnya kajian pun tunjuk yang ramai orang yang overestimate kebolehan diri. Buktinya? Ramai yang merasakan dua jam cukup untuk faham dan ingat dan buat nota untuk satu bab, jadi mereka rasa boleh study satu subjek sehari, jadi bila study week mereka balik rumah dan berjimba dan tunggu esok nak ujian baru nak buka buku, ramai yang merasakan semalaman cukup untuk hasilkan satu assignment yang berkualiti jadi mereka tunda dan tunda hingga akhir waktu baru nak mula. Tak kurang juga yang esok nak ujian, hari ni baru tanya bab berapa yang masuk ujian. Saya tak tahulah betul ke tidak, tapi bagi saya orang sebegini sama ada dia taknak berjaya atau memang dia overestimate kebolehan diri.
Macam mana nak nilai? Setiap kali ujian, sentiasa baca ulangkaji betul-betul, seolah-olah memang itu ujian besar yang menjadi penentu (memang betul pun sebenarnya sebab di university ni, markah kita dikira bagi setiap ujian/kuiz yang kita buat, jadi semua tu mempengaruhi gred akhir). Kemudian tengok keputusan, capai tak macam yang kita nak? Kalau capai, nilai strategi belajar (boleh jadi apa saja, contohnya waktu belajar, teknik buat nota, etc) yang kita guna cari apa yang membuatkan kita capai keputusan tu dan teruskan untuk ujian seterusnya juga. Kalau tak capai, nilai strategi dan cuba tambahbaik untuk ujian seterusnya. Tabiat ni saya buat sejak saya sekolah lagi, di setiap ujian bulanan yang kawan-kawan saya selalunya tak buat betul-betul sebab bukan ujian besar, saya ulangkaji betul-betul untuk tengok tahap saya di mana, dan Alhamdulillah, disebabkan usaha itu, Allah buka peluang besar untuk saya di peperiksaan percubaan, yang membawa saya ke mana saya berada sekarang.
Paling senang nak nampak, tengok panduan yang pensyarah bagi berapa peratus untuk ujian, kuiz, projek, tugas dan ujian akhir. Kemudian tengok berapa peratus yang kita dapat untuk setiap bahagian, nilai berapa banyak yang kita hilang dan berapa banyak peratus lagi yang kita ada, untuk kita agak berapa kat mana gred kita untuk subjek tu dalam keadaan semasa, kemudian rancang bahagian mana yang kita perlu lebih tekankan untuk baiki gred.
Dengan sentiasa nilai diri sendiri inilah akan buatkan kita tahu apa kebolehan kita, di mana limit kita, apa kelebihan dan kekurangan kita, cara mana yang sesuai dan tak sesuai dengan kita, jadi strategi dan matlamat yang kita letakkan lebih realistik dan boleh dilaksanakan.
6. Cari bahan tambahan
Ini memang agak masalah bila ramai yang terlalu bergantung harap kepada nota slide yang pensyarah bagi. Walaupun tak faham, sanggup juga hadap sebab malas nak cari sendiri bahan tambahan untuk lebih fahamkan. Tak semua, tapi kebanyakannya. Kat Google tu punyalah banyak bahan, terutamanya kat Wikipedia tu. Takkanlah itu pun malas juga nak taip, nak baca, nak buat nota sendiri kan? Nota pensyarah tu sekadar panduan je untuk tahu apa yang kiat perlu belajar dan faham. Apatah lagi kadang-kadang, slide pensyarah tu bukan nota untuk kita pelajar, tapi untuk panduan pensyarah nak ajar apa dalam kelas je. Pensyarah dah ada semua dalam kepala, jadi dia cuma nak tahu flow dan bahagian mana yang dia kena ajar untuk satu-satu subjek tu. Jadi tugas kita pula untuk cari lebih dalam untuk pemahaman kita sendiri pula.
7. Be consistent!
Sesungguhnya, pembelajaran adalah proses yang berterusan, dan bukan semata-mata untuk gred semata-mata. Kalau betul nak dapat gred yang bagus, DAN nak belajar, sentiasa ulangkaji sepanjang semester dan bukannya bila nak ujian je baru nak buka buku. Cari dan tetapkan sekurang-kurangnya sehari 1-2 jam untuk baca balik apa yang dah belajar dalam kelas. Masa itulah sebenarnya untuk kita betul-betul mendalami apa yang kita dah belajar, dan bila nak ujian cuma perlu fokus untuk ‘refresh’ dan hafal perincian-perincian untuk tulis dalam ujian. Secara teori pun ada, tentang teknik dan sela masa yang sesuai untuk ulang balik apa yang kita baca (boleh Google: Forgetting Curve). Seriously, last minute study might work for some people, but most won’t even remember what he studied when by the time he’s out of the exam hall.
8. Matlamat
Walaupun macam klise ceramah motivasi yang kita selalu dengar, matlamat sangat (1000x) penting! Betul, semua orang nak berjaya, tapi kejayaan berbeza untuk setiap orang. Ada yang bagi dia dapat 3.50 dah cukup, ada orang matlamat dia first class. Ada orang matlamat dia bukan sekadar pointer, tapi nak kejar benda lain juga. Tanpa matlamat yang jelas dan spesifik, kita takkan tahu pun apa yang kita buat ni betul ke tak, motivasi pun takde, buat kerja asal lepas je, dan akhirnya kita tak ke mana. Jadi di awal semester ni, tetapkanlah matlamat nak dapat pointer berapa, tapi sila realistic. Janganlah sebelum ni nak dapat 3.00 pun cukup-cukup makan je, terus nak target 4 flat. Mungkin boleh mula dengan 3.5 ke, kemudian bila dah dapat, baru target lebih tinggi sebab takut bila tak dapat kita akan terlalu kecewa dan nak putus asa.
9. Jaga hubungan dengan manusia dan Tuhan
Dalam hidup kita ni, semua benda berkait. Jangan anggap hanya perkara yang berkaitan pembelajaran je yang akan mempengaruhi pembelajaran kita. Jaga hubugan kita dengan tuhan. Bagi yang muslim, solat 5 waktu itu basic, tapi jaga solat di awal waktu, amalkan baca Quran sekurang-kurangnya sekali sehari, lagi bagus boleh tambah solat sunat tahajjud dan dhuha. Kita nak minta kejayaan dengan tuhan, takkan tak boleh buat buat lebih kan?
Dari segi doa, saya amalkan baca doa yang jelas apa yang saya harapkan, bukan sekadar dari segi hasil, tapi juga dari segi usaha. Saya selalu doa supaya Allah buka ruang, kesempatan dan mood, dan permudahkan urusan untuk saya berusaha untuk belajar dan buat assignment. Sebab saya berpegang yang Allah takkan ubah nasib kita kalau bukan kita yang berusaha untuk ubah, jadi saya doa Allah bantu saya dalam usaha saya. Kemudian bila nak ujian saya doa supaya Allah buka pintu hati saya untuk ingat apa yang saya ulangkaji dan supaya apa saya dapat terangkan dengan baik mengikut soalan. Dan apa yang saya doakan bukanlah supaya soalan ujian itu senang, tapi supaya tak kiralah soalan tu senang ke susah ke, asalkan saya boleh jawab (sebab kita selalu je jumpa soalan senang, tapi tetap tak boleh jawab juga kan?), dan akhir sekali barulah saya minta supaya Allah beri kejayaan berdasarkan usaha yang saya buat, dan kalau usaha saya tak cukup, semoga Allah berikan petunjuk bahawa usaha itu tak cukup supaya saya boleh usaha lagi.
Dari segi hubungan dengan manusia, sentiasalah jaga hubungan kita dengan pensyarah atau tutor dengan cara sentiasa hormati mereka, panggil dengan panggilan yang betul, jangan ganggu waktu pengajaran dalam kelas, jangan datang lewat ke kelas, hantar tugasan tepat pada waktunya, dan buat apa yang pensyarah suruh buat. Jangan buat mereka rasa fed up satau sakit hati dengan kita, takut merek jadi tak redha dengan kita, dan jadi punca kita gagal. Saya pernah ada pengalaman waktu di sekolah, subjek Biologi adalah antara subjek yang memang saya sangat tekankan dan habiskan paling banyak waktu untuk ulangkaji sebab terlalu banyak benda yang perlu ingat, dan setiap kali ujian bulanan memang saya selalu dapat A, tapi bila peperiksaan sebenar, saya tak dapat jawab dan akhirnya dapat B+ je.
Saya rasa puncanya adalah sebab saya selalu tak buat kerja sekolah yang cikgu bagi dalam buku aktiviti. Saya selalunya cuma jawab dengan lisan atau dalam hati je bila buka contoh soalan sebab tak suka habiskan banyak masa untuk tulis jawapan, jadi bila cikgu semak atau nak bincang dalam kelas, buku kosong tak berjawab membuatkan cikgu terasa hati dengan saya. Semudah itu Allah boleh tarik nikmat kejayaan sebelum ni sebab cikgu tak redha dengan saya. Jadi sentiasalah jaga hubungan dengan manusia, terutamanya ibubapa, guru, kawan-kawan dan ahli kumpulan tugasan (jangan jadi free rider atau menyusahkan ahli kumpulan lain sebab kita hantar lambat, buat kerja tak berkualiti, etc) sebab kita tak tahu siapa yang tak redha dengan kita dan jadi punca Allah tak redha nak bagi kejayaan kepada kita.
10. Tidur
Ramai yang pandang mudah kepentingan tidur, sampaikan ramai yang sanggup tak tidur malam untuk ulangkaji atau buat tugasan sedangkan tidur adalah antara kunci supaya badan dan otak kita boleh berfungsi pada tahap yang optimum. Saya pernah berjaga malam untuk buat kuiz fizik tapi tak dapat buat, memang tak boleh fikir langsung macam mana nak jawab soalan tu. Bila saya tanya kawan, dia suruh saya tidur dulu, dan esok pagi cuba jawab balik. Jadi saya ikutlah nasihat tu, dan esoknya bila saya cuba jawab soalan yang sama, dengan mudahnya saya boleh jawab. The power of sleep! Kajian banyak tunjukkan bahawa tidur adalah penting untuk ‘memory retention’ iaitu membolehkan kita lebih ingat dan lebih mudah untuk ingat balik apa yang kita belajar, dan juga untuk pemprosesan maklumat yang lebih berkesan.
Jadi kalau sangat sibuk pun, pastikan tidur paling kurang pun 4 jam sehari, dan cuba cari masa untuk qailullah kejap. Daripada kita habiskan masa buat kerja yang akhirnya makan masa lebih banyak sebab kita tak efisyen sebab tak cukup tidur, lebih baik kita pendekkan masa buat kerja dengan tidur kejap supaya kita boleh buat kerja dengan lebih efisyen. Jangan terlebih tidur sudahlah ye..
Banyak lagi sebenarnya benda lain yang saya rasakan penting, rasa gatal je nak tulis tapi nanti jadi terlebih panjang pula. Jadi setakat ini sajalah dulu, moga ada point yang anda semua boleh ambil. Bagi yang dah buat macam saya, boleh kongsikan di komen berjaya atau tak strategi belajar tu.
Akhir kata, ingatlah bahawa kegigihan dan usaha yang bersungguh adalah kunci paling utama untuk berjaya. Saya selalu nampak yang masuk kelas lambat, kurang belajar, study week balik rumah, berjimba, main game, kemudian bila tak dapat result bagus, dia kata yang dia dah usaha betul-betul tapi tak juga dapat result bagus. Ingatlah, kejayaan takkan datang bergolek bagi mereka yang tak berusaha. Saya bukan nak memperlekehkan usaha orang lain. Saya juga percaya ramai yang betul-betul dah berusaha, cuma Allah kata belum masanya untuk anda kecapi kejayaan tu. Tapi sentiasalah percaya, perancangan Allah tak pernah lambat atau cepat, tapi tepat pada masanya.
Good Luck!
– NI
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit