Tips Jadi Isteri Pertama Terbahagia

Assalamualaikum semua. Nama aku Downy, baru menjadi surirumah selama setahun. Berusia 35 tahun dan mempunyai 3 orang anak lelaki berumur 10, 4 dan 2 tahun.

Aku telah dimadukan oleh suamiku pada tahun lepas. Kalau diingatkan semula kisah itu memang sakit hatiku. tetapi hidup mesti diteruskan. Apatah lagi anak-anakku masih kecil pada ketika itu.

Kebiasaannya, wanita akan bersedih, meratap dan menangis untuk menghilangkan rasa sedih jika dimadukan. Aku juga melakukan benda yang sama seperti wanita normal yang lain tapi aku mempunyai beberapa tips untuk ‘move on’ dengan cepat daripada kemelut yang melanda.

InsyaaAllah jika dilakukan kita akan rasa gembira dan bersyukur. Tip-tip ini aku perolehi dari wanita-wanita yang juga dimadukan, orang yang lebih berusia, ceramah agama dan pembacaan.

1. Ingatlah bahawa Allah tidak akan memberi ujian di luar kemampuan hambanya. Allah beri ujian disebabkan Allah yakin kita mampu mengatasi dan menerimanya walaupun kita rasa seolah – olah kita tidak mampu.

2. Sedar kekhilafan diri. Mungkin kita ada ego yang tinggi sehingga tidak mampu mengakui kita melakukan kesalahan dan kesilapan terhadap suami kita sehingga dia mencari yang lain. Manusia tidak sempurna. Begitu juga kita, suami dan orang ketiga.

3. Banyakkan bersabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Jika kita rasa seolah olah tidak tahan menanggung derita, maka ingatlah bahawa ganjaran untuk orang-orang yang sabar itu sangat besar. Maka bersabarlah sedikit setiap kali emosi kita terganggu.

4. Tak usah berfikir untuk membalas dendam. Kita usaha macam mana pun untuk membalas dendam, kalau Allah tak izinkan, tak akan jadi. Kesudahannya, kita sendiri yang sakit hati plan kita tak menjadi. Serahkan pada Allah. Hukuman Allah lagi pedih dari hukuman kita.

5. Cari kawan dan lakukan aktiviti. Walaubagaimanapun, berhati hati memilih kawan. Jangan cari yang menghasut kita melakukan keburukan. Cari lah aktiviti yang bermanfaat. Kalau boleh lakukan aktiviti dengan anak2. Enjoy your life to the fullest.

6. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Antara hikmahnya kita tak perlu menjaga suami sepenuhnya. Beban dikongsi bersama madu. Makan pakai suami bukan kita seorang yang perlu memikirkannya. Kita akan ada banyak masa untuk diri sendiri. Boleh beribadah tanpa diganggu. Boleh masak makanan kegemaran kita yang suami tak suka bila dia tiada.

7. Ingatlah dunia dah akhir zaman. Tiada apa yang diimpikan selain masuk syurga. Jalani hidup yang sihat. Sentiasa beramal ibadah dan bersangka baik. Ingatlah hidup di dunia hanya sementara. Akhirat jua kekal selamanya.

Assalamualaikum..

– Downy

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *