Tips Jodoh

Assalamualaikum semua. Setiap orang menginginkan pasangan hidup yang beragama, baik, bertanggungjawab dan berakhlak.

Dulu aku selalu membayangkan yang aku ingin berkahwin dengan lelaki yang rajin menolong isteri, rajin memasak, mengemas rumah, menjaga anak2, tidak merokok, bagi bunga selalu dan bermacam2 lagi. Bukan lelaki yang hanya tahu duduk depan TV minta kopi, sambil baca surat khabar.. sedangkan isteri sedang berperang dengan anak2 di dapur.

Bila aku memikirkan semua ciri2 yang aku inginkan ni, aku merasakan hampir mustahil untuk berjumpa dengan lelaki seperti ini. Baik dalam segala segi. Agama bagus, akhlak mulia, rajin membantu isteri, belas kasihan dan rahmah. Hampir mustahil!

Di sebabkan faktor pemilihan aku yang terlalu banyak ni juga menyebabkan aku lambat bertemu jodoh. Tetapi akhirnya aku bertemu dengan seorang lelaki melalui laman cari jodoh muslim luar negara. Lelaki bukan dari Malaysia. Tetapi aku tekad untuk berkahwin berdasarkan beberapa perkara.

Aku tak kenal dia. Aku tak tahu akhlaknya. Dia boleh berlakon dan menipu dengan mengatakan segala yang baik sahaja tentang dirinya. Dia juga mungkin scammer. Mungkin aku boleh menjadi mangsa penipuan antarabangsa. Aku tahu semua tu.

Maka, setiap hari aku berdoa, istikharah dan tahajud memohon pada Allah untuk tunjukkan aku jalan. Jika orang ini berniat buruk padaku, atau akan menzalimi aku atau keluargaku, maka jauhkan dia dariku. Sesungguhnya hanya kepadaMu aku bergantung sepenuhnya. Aku tidak mengenali siapa dirinya. Aku tidak tahu latar belakangnya dengan sebenar2nya. Aku tidak ada daya untuk tahu segala2nya. Aku hanya melakukan apa yang aku mampu, dan aku serahkan segalanya padaMu Ya Allah.

Jika dia baik untuk dunia akhirat aku dan keluargaku, dan dia adalah jodoh yang telah engkau takdirkan untukku semenjak engkau menciptakan ku, maka permudahkan jalan jodoh kami. Jika dia buruk untuk dunia akhirat aku dan keluargaku atau dia bukanlah yang telah Engkau tetapkan untukku, maka jauhkan dia dariku dan berilah petanda dan petunjuk padaku.

Setiap hari aku berdoa dan bersolat dengan sungguh2. Kerana aku benar2 memerlukan jawapan. Hari demi hari, aku lihat perjalanan jodoh semakin dipermudahkan. Dia berjaya menguruskan segala urusan perjalanannya ke Malaysia. Keluargaku juga boleh menerimanya, walaupun pada awalnya mereka benar2 risau untuk membenarkan aku berkahwin dengannya.

Maklumlah dari benua yang berbeza. Selepas 4 bulan perkenalan dari website tersebut, kami diijabkabulkan. Selepas bernikah, aku mendapati dia memiliki semua ciri2 yang pernah aku idamkan. Kehidupan aku selepas nikah terasa begitu mudah. Segala urusan rumah dibantu oleh suami.

Apa yang aku boleh beritahu kat sini. Kita cuba berusaha semampu kita untuk menyiasat dan mengenali calon jodoh kita. Tapi kita tetap tidak akan tahu tentang diri mereka sepenuhnya. Berdoa dan bergantunglah kepada Allah. Kerana Allah Maha Tahu segala2nya. Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Maha Tahu perangai setiap hamba2Nya.

Jika masih belum bertemu jodoh, yakinlah Allah dah tetapkan waktu terbaik untuk kita bernikah. Aku juga termasuk dalam kategori yang lambat bertemu jodoh, tetapi aku bersyukur sangat dengan waktu yang Allah dah tetapkan jodohku. Allah berikan aku pekerjaan yang baik, rumah, kereta, travel ke Turki (yang dulu aku rasa mustahil untuk dapat) dan menunaikan ibadah umrah.

Selepas aku memiliki semua ini, baru Allah berikan jodohku. Bila masanya tiba, baru aku nampak betapa cantik susunan Allah terhadap kehidupanku. Semua yang aku inginkan Allah berikan dengan teratur.

Buat semua. Teruskan berdoa kepada Allah dengan yakin yang Allah akan makbulkan doa tersebut. Kerana Allah mengikut sangkaan hambaNya. Mohon pada Allah berikan yang terbaik. Kepada yang belum bernikah, mohon Allah berikan jodoh yang terbaik pada waktu terbaik. Yang belum mempunyai anak, mohon Allah kurniakan pada waktu yang terbaik.

Terus bersangka baik pada Allah. Dan mohon juga kepada Allah agar Allah redhakan hati kita dengan segala ketentuanNya kerana kita takut kita tak kuat untuk menghadapi ketentuanNya. Ketentuan Allah adalah yang terbaik buat hamba2nya. Kerana Allah Maha Mengetahui. Allah Maha Berkuasa, Maha Bijaksana.

Kita hamba yang kerdil, serba lemah hanya mampu bergantung sepenuhnya pada Allah. Kita berusaha semampu kita, tetapi Allah adalah penentunya.

– Assaiyidah Zainab (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *