Tips Kewangan Untuk Pasangan

Assalamualaikum semua. Sempena ulangtahun perkahwinan saya yang pertama, saya rasa nak berkongsi tips kewangan untuk pasangan. Tak dinafikan kewangan (bukan kekayaan ya) boleh menjadi punca utama kita bahagia, ataupun punca sengsara sehingga membawa pada penceraian.

Saya berterima kasih sangat pada suami yang mampu mendidik saya menjadi lebih celik kewangan dan berimpian besar. Jadi saya kongsi 9 tips kewangan yang kami amalkan.

Peringatan keras: Tips ini hanya terpakai bila pasangan adalah orang yang jujur dan tidak terlibat dengan mana-mana skim cepat kaya. Kalau pasangan anda jenis tak boleh percaya, tu kena tengok tips lain kot.

1. Telus dengan pasangan.

Kami sangat telus antara satu sama lain bukan sahaja berkisar tentang gaji, tapi kedudukan kewangan semasa. Disebabkan suami saya jenis berkongsi info, saya tau berapa hutang dia dan berapa yang dia mampu bagi nafkah.

Jadi tak timbul masalah, “berapa sebenarnya dia mampu bagi ni”. Yang perempuan pun, mesti jenis dapat berapa pun bersyukur kan, jadi doakan suami sentiasa dimurahkan rezeki selalu ya.

2. Kongsi impian kewangan bersama.

Sebenarnya saya tak pernah berimpian nak jadi jutawan sebab saya bekerja makan gaji dan join NGO (IKRAM bagi sesiapa yang tahu). Jadi jiwa tu lebih pada hidup seadanya, asal ada simpanan dan gembira.

Bila berkahwin dengan suami, rupa-rupanya dia bercita-cita nak jadi jutawan, capai financial freedom dan berinfaq sebanyak-banyaknya. Jadi, seronok bila bergabung, akhirnya impian akhir kami sama, untuk menyumbang untuk ummah.

3. Rajin update perbelanjaan.

Kami ada group whatsapp untuk update semua perbelanjaan kami. Jadi bila hujung bulan, kami akan review balik yang mana terlebih, yang mana kena kawal dan sebagainya. Jadi bila nak shopping tu, jadi beringat sikit sebab kena bagitau suami, hehe.

4. Suami sebagai role model, isteri sebagai pengurus.

Suami sangat mendidik saya cara berdoa. Dia akan minta apa yang dia nak, contoh, ya Allah berilah kami hadiah 2 juta ya Allah (kami rajin masuk pertandingan2, join SSP, Al Awfar Bank Islam sebagai usaha). Kami juga pernah tulis apa kami nak buat jika dapat 2 juta.

Basically, satu pertiga sedekah, satu pertiga keperluan dan luxury, satu pertiga simpanan dan pelaburan. Suami juga rajin bersedekah dan selalu belanja isteri dan ibubapa.

Saya pula rajin cari promo dan pakai apa yang menguntungkan. Jadi tinggal beritahu suami untuk follow. Contoh:

-Tahu harga normal dan promo barangan keperluan.

-Pakai kredit kad untuk fuel dan groceries (pakai Maybank, Jumaat Sabtu sahaja untuk dapat cashback). Purata, kami dapat RM20-30, kami tak pernah bayar lebih pada bank, malah bank yang beri kami duit setiap bulan, kalau setahun dalam RM200 – 300 juga tu.

-Bercuti dengan beli promo ticket (flight Final Call, accom Agoda yang murah2, voucher Mycar etc).

-Pakai loyalti kad yang percuma. Saya guna kad Petron dan Target supermarket (pernah baca loyalti kad berbayar tak boleh, kena cek lagi kot hukum sebab saya pakai yang percuma sahaja). Jadi memang dah banyak kali dapat isi minyak free.

-Sekarang e-Wallet touchngo banyak offer dan cashback. Cuba lah cek. Banyak juga dapat dari situ.

-Ada lagi tapi tak ingat, huhu.

5. Sentiasa mencari ilmu baru.

Sebelum kahwin, suami ada belanja pergi kelas kewangan untuk setup mindset. Kami juga cek CCRIS masing2 untuk pastikan yang kewangan kami sihat.

Selepas kahwin, kami sentiasa ada projek bersama. Contohnya, pergi kelas menulis buku, pergi kelas rumah lelong, dan yang terkini pergi kelas belajar saham (bukan Forex ya, ni saham betul2 di Bursa Malaysia). Jadi, bila berbual, sentiasa ada topik sebab kami buat aktiviti bersama.

Kami bukan pergi tuntut ilmu tentang wang dan ekonomi sahaja, kami juga suka baca ilmu rumahtangga, politik sikit2 dan dengar ceramah di youtube waktu dalam kereta (antara favourite kami: Dr Asri, Dr Rozaimi, Ustaz Amin, Dr Daud Bakar, Pak Utih, Ustaz Ebit Liew dan ada beberapa lagi) .

6. Penama dan penjaga harta.

Kami ada fail-fail yang berkaitan pinjaman, pelaburan dan simpanan. Kalau ada apa-apa jadi, masing-masing tahu amanah yang perlu dilaksanakan. Pasangan bukan penerima semua harta, tetapi hanya penjaga amanah. Hibah bab lain.

7. Rahsiakan your next move dan berapa harta yang ada pada saudara mara kecuali jika mereka memang nak tau untuk ilmu.

Tips ni saya dapat dari seorang CFP (certified financial planner). Dia kata, tak semua suka dengan kejayaan kita, jadi hanya cakap bila perlu sahaja. Kalau tak, orang mungkin iri hati, ada juga yang nak ambil kesempatan.

Jangan bagi hutang pada saudara mara dan kawan-kawan kecuali nilai itu kita tidak kisah jika jadi sedekah. Hati-hati dan fikir banyak kali untuk jadi penjamin, cek personaliti peminjam, takut-takut terjerat.

8. Jumpa CFP jika perlu.

Kadang-kadang, kita ni pandai menyimpan, tapi tak tahu hala tuju duit tu kemana. Akhirnya, duit habis ke gajet terkini dan percutian yang tak dirancang. Jadi, jumpalah dengan CFP (banyak di FB dan pastikan diiktiraf okay!)

Banyak pelaburan yang boleh dicuba seperti hartanah, emas (lebih kepada simpanan), ASB, AHB, Unit Trust, saham, dan macam-macam lagi. Pastikan patuh syariah ya. Juga jangan lupa takaful untuk perlindungan diri juga sedekah. Banyak tempat boleh sedekah dan waqaf seperti Mycare, Hidayah Centre Foundation, tabung bencana, waqaf Johor dan sebagainya.

9. Tawakkal dan takut pada Allah.

Akhir kalam, semua usaha ini hanyalah diberkahi jika disertakan rasa takut dan harap pada Allah. Jangan sampai rasa tidak cukup dan tamak menguasai diri. Didik diri untuk lebih bersyukur dan sentiasa mahu berkongsi.

Doakan rumahtangga saya dan suami sentiasa bahagia dan berkekalan, dimurahkan rezeki, dikurniakan anak2 yang soleh, dan sentiasa berguna untuk ummah. InsyaAllah.

– Solehah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *