Tips Survive Zaman Belajar

Assalamualaikum wbt warga IIUM.

Aku terdetik untuk berkongsi tips yang aku pernah buat waktu study dulu, kira kira dalam 5- 6 tahun yang lepas. Aku rasa waktu tu dengan sekarang tak jauh sangat jadi perbezaan taraf hidup pun tak besar sangat.

Kenapa aku beria nak menaip surat ini walaupun dengan penat lelah bertekak dengan bangla dekat kilang sebab perbezaan bahasa dan feminist. (Dorang pandang rendah sebab aku perempuan dekat production tu)*sigh*

Tadi waktu rehat, aku terbaca tentang komen sorang student ni pasal kesusahan dia masa belajar sekarang. Duit pinjaman cukup cukup untuk biaya yuran dan selebihnya digunakan sepanjang lebih kurang 4-5 bulan. Apa sangatlah yang boleh kita beli dengan balance tu. Belum masuk lecturer suruh beli buku lagi, katanya kalau tak ada buku yang dia nak, haaa pandai pandai lah kau nak hidup sem tu. Jadi nak tak nak, kena spend lagi duit untuk beli buku. Kan? Okay takpe nanti aku kongsi lagi tips dia kat bawah (kalau bebelan tntang masa lalu aku tak panjang)

Masa baca kisah adik tu tiba tiba simpati aku melimpah. Tambah tambah ramai yang menyokong kenyataan adik tu yang masing masing pun bergelar student. Okay, izinkan aku bercerita pasal kisah aku, 5-6 tahun lalu. Semoga adik2 yang membaca ni dapat ambik iktibar dan pengajaran.

Malu untuk aku cerita, tapi yang sebenarnya aku adalah bekas pelajar yang GAGAL dalam pelajaran. Aku berasal dari kampung. Bila sahaja dapat tawaran belajar di sebuah university awam yang top. Dapat pulak bidang kejuruteraan. Sebagai anak sulung, anak kapung, boleh bayang tak betapa bangganya mak dan ayah aku? Ayah yang selama ni sangat tegas dalam mendidik kami adk beradik tak putus putus tersenyum lebar setiap kali bercerita tentang kejayaan aku. Tapi apa yang aku balas untuk mereka? Aku alpa dengan dunia luar. Aku enjoy, berjoli, buang masa dan akhirnya, aku GAGAL dalam exam, pointer aku lebih sikit je dari 1.5. mana taknya, aku FAIL 3 paper, subjek lain C. Pinjaman pelajaran aku disekat untuk semester seterusnya.

Masa tu aku betul jatuh sedalam dalamnya. Kawan kawan menjauhkan diri. Dalam kelas, kami ibarat sedang bertanding, siapa yang gagal ditinggal, dipulau. Aku faham, jadi aku bangkit bersendirian. Ada segelintir kawan yang memandang hina, kawan yang dahulunya bergelar ‘kawan baik’ jadi orang yang asing. Ada seorang dua sahaja yang sanggup bersama, membantu aku bangkit kembali dan kerana mereka, aku berdiri di tempat ini sekarang. Kat sini aku nak nasihatkan buat adik2 kat luar sana, kawan yang betul2 ‘sahabat’ akan korang jumpa dan acknowledge bila di tahun akhir, di semester akhir.
Okay skip skip skip cerita kat atas, meh aku cerita macam mana aku survived hidup selama setahun tanpa pinjaman pelajaran, Berjaya langsaikan yuran sebelum final semester, tak kebulur dan dapat pointer 3.53 di akhirnya.

Tips yang pertama,

1) Cari pendapatan sampingan

Aku tahu susah, sangat susah untuk adik2 yang dah biasa bersama ibubapa untuk bekerja, tapi percayalah, bila kau ditekan pada semaksimum kemampuan kau, atau kau dah jatuh sejatuh jatuhnya, kau akan dapat buat benda ni. Mesti akan ada alasan;

“mana saya ada kenderaan nak gi sana sini”

“macam mana saya nak belajar kalau saya buat kerja?”

“macam mana dengan kuiz, exam, tutorial? Pelajaran saya mesti terganggu”

“mesti kena buat dropship ke agent ke. Taknak ah, saya tak pandai meniaga”

Dikkk….kejap2…tolong, tolong free kan minda dengan alas an2. Kau nak hidupkan dik? Buang semua fikiran negative tu, dengar akak nak cakap ni.

Dulu, aku tak meniaga pun, aku orang miskin, mana afford nak beli motor ke kereta ke nak kemana mana. Nak meniaga haraammm aku tak reti. Jadi apa aku buat? Aku pergi pusing dekat mall yang berdekatan university, aku Tanya mana yang sudi ambik aku untuk jadi part timer. Berbekalkan muka yang separuh tebal separuh kiut, aku sengih sengih gi setiap kiosk atau kedai makan Tanya kerja kosong. Aku lagi suka kerja kat kedai makan sebab benefit dia, kau dapat makan free. Dah jimat kat situ weh.

Dipendekkan cerita, aku dapat tempat dekat kedai nasi ayam yang famous. Kerja aku kena cukup 20jam seminggu. Jadi setiap hujung minggu, setiap masa terluang (tahun dua schedule tak penuh biasanya) aku akan bergegas ke mall untu kerja. Kalau hujung minggu takpe lagi, kadang habis kelas aku berlari ke mall untuk start kerja dari pukul 5 petang hngga 1030 malam. Masa tu aku naik rapid kl, lompat2 bas tukar2 bas hingga sampai ke destinasi. First day kerja, aku berdiri, berkejar sana kemari sebab hujung minggu, kedai penuh dengan pelanggan. Sebelum balik, cuci kedai dan terlepas bas terakhir, so aku ambik teksi, rm10. Masa tu grab ke uber takde lagi eh. Penat dia tak yah cakap, kaki krem, takde social life, takde nak lepak dengan kawan kawan.

Alah takpelah, masa tu pun aku takde kawan sangat. Budak loser kan
Makan kat kedai dalam stor yang sempit penuh dengan stok makanan kering. Meja aku masa tu kampit beras, kerusi kotak apa tah dah lupa.. Boleh bayang tak dengan macam macam bau lagi, aku cuba tahan muntah denagn suap nasi slow2…sampai sekarang, aku takleh bau, takleh makan nasi ayam kedai tu sebab rasa muak, mual nak muntah.

Masa tu gaji pertama aku rm 500 lebih, aku bagi kat mak kat kampung seratus, aku beli multicooker takde jenama yang dalam rm90 macam tu, pastu beli barang nak masak. Beli barang yang semurah mungkin weh.

Bila masa aku belajar? Time tak kerja. Bila kelas sampai petang, malam tu aku bukak buku, belajar sikit2. Aku pun pemalas jugak tapi sebab taknak gagal lagi, aku paksa diri untuk belajar.

Selain tu, aku sewa basikal kolej aku pusing2 taman perumahan berdekatan, untuk buat servis cuci dan kemas rumah, setengah hari sental rumah tu dapat RM50. Jimat dah belanja seminggu. Kadang2 aku tolong lecturer buat draft paperwork, slides dan sebagainya. Untuk buat semua ni kau perlukan satu benda yang sangat penting. MUKA TAK MALU. Yes, aku berpegang pada prinsip, AKU NAK HIDUP, AKU NAK SURVIVED DENGAN JAYANYA.

Jadi, apa alasan korang untuk salahkan takdir, salahkan duit pinjaman yang sikit? Aku tak suruh korang adik2 aku nih kerja macam nak mati. Aku dah lalui peritnya kesusahan tu. Penat yang tak terucap, tak, tak payah kerja macam nak mati gitu. Cuma…peluang rezeki tu sentiasa ada bagi siapa yang betul betul berusaha mencarinya. Tolong la janagan hanya duduk dalam bilik, merenung nasib sendiri, salahkan takdir kenapa lahir miskin ke apa.

kawan aku pernah cakap benda ni masa aku tengah jatuh dulu dan kata kata ni lah ayng aku pegang sampai sekarang, mungkin sampai bila bila

“Jangan salahkan takdir, Tuhan kalau kau lahir miskin. Tapi salahkan diri kau bila kau mati miskin sebab hanya berharap pada keajaiban dan takdir”

2) Beli rice cooker/ multicooker

Aku tahu mahal, aku tahu korang stay kolej, takleh masak la blablabla tapiii…nak survived tak?
Tips dia, beli Multicooker, bukan rice cooker. Takpe mahal sikit sebab bagi aku lagi senang nak pakai nak masak dari rice cooker, tapi terpulangla pada korang eh. Bagi aku, dengan kewujudan multicooker, aku boleh buat penjimatan maksima. Aku beli beras plastic kecil rm3.40 (biasa kedai runcit berdekatan kolej university ada jual ceni), bawang merah bawang putih, ikan bilis, telur. Bangga weh duit gaji kau dapat beli benda tu. Masa tu serius kau akan belajar dan kenal erti tanggungjawab. Aku habis tak lebih rm20 untuk bahan mentah/kering. Tapi dengan bahan bahan tu aku boleh masak selama lebih seminggu kadang2.

Pelbagaikan masakkan korang supaya tak muak makan benda yang sama je. Dulu bergedil 50sen je, aku beli dua lepas habis kelas pastu balik tanak nasi, satu simpan untuk malam satu makan tengah hari. Kicap pun aku pelbagaikan rasa so takdelah muak makan telur ngan kicap je. Kadang2 beli kuah atau sayur kat kantin, buat tambah menu.

Prinsip aku, aku takkan berlapar untuk penuhkan kehendak aku. Jadi aku boleh makan banyak jenis makanan, dan makanan yang sama lebih dari seminggu . Aku tak memilih sangat. Dan aku takkan beli benda2 tak berfaedah semata nak cantik, nak bergaya. Pakaian harian aku biasa2 takde yang berjenama. So aku jimat banyak dalam tu

3) Pandai pilih tempat beli barangan kering/mentah

Haa ni pun penting dan aku nak tekankan dekat sini. Okay, dekat pasar malam biasanya sayur2 ikan ayam murah kan? Korang boleh borong dekat situ (kalau ada peti ais). Untuk bahan kering, aku nasihatkan beli dekat supermarket sebab jauuuhhh lagi murah. Bukan taknak sokong bisnes melayu, bisnes muslim tapi kau kena sokong ekonomi diri sendiri dulu dik…
haaa bab ni maaf la sensitive sikit tapi kenapa eh kebanyakkan barang jualan orang kita lagi mahal dari yang lain? Kadang2 nampak kedai yang tokey beperwatakan warak, tapi harga jualan kemain mahal melambung. Tapi setakat ni tak pernah jumpa lagi orang ‘warak’ yang jual barang murah, ikut keadaan poket aku. Mungkin aku patut buka mata lagi luas sebab aku tahu tak semua macam tu.

4) Jangan beli makanan ringan sebagai snek

Untuk yang ni, aku bersyukur sebab aku bukan penggemar snek dan segala makanan dan minuman segera. Tapi korang tahu tak duit korang lagi banyak habis untuk ni dari beli makanan sihat yang lagi murah? Instead of beli jajan, korang beli salad, tomato, carrot ke buat makan dengan nasi atau snek masa tengah lapar. Buah macam mahal kan tapi makanan2 ni semua dekat pasar malam murahh je. Dapat sihat, dapat jimat. Aku tak cakap aku tak beli fast food sebab bila teringin aku beli je. Mana nak tahan oii kedai kepci depan kedai nasi ayam. Lagi pulak untuk berapa lama kita memag makan berctu, so kadang kadang apa salahnya treat yourself. Kerana dirimu begitu berharga. Eh?

5) Last tip. JANGAN BELI BUKU BARU PAKAI DUIT PINJAMAN

Okay untuk ni, kalau sesiapa yang mampu, silakan. Tapi untuk kaum yang tade duit macam aku, dinasihatkan jangan beli buku pakai cash belen2 duit yuran kau. Simpan duit tu untuk makan, minum, kehidupan kau nanti.

Untuk buku, ada 3 cara aku amalkan.

1) Beli buku prelove dari seniors. Kalau nasib baik, kau dapat la free, kalau tak pinjam jelah satu sem. Kalau dia taknak bagi pinjam, kau cari sapa yang nak jual buku yang kau nak pakai. Elakkan membeli baru.

2) Guna sepenuhnya baucer buku yang kerajaan bagi. Dulu zaman aku dapat RM200-RM250, aku guna sepenuhnya buat beli buku belajar untuk sem yang depan. Ak tak beli gajet2 ke buku motivasi ke buku novel ke. Masa tu dapat baucer buku pun biasanya dah pertengahan sem. Bila lagi nak merasa ada buku sendri. Time ni la nak bau buku baru (yang ni serius sedap bau dia)

3) Gunakan library sepenuhnya

Aku tak tahu lah library university korang macam mana, tapi university aku ada dua library, satu yang paling besar, satu lagi untuk faculty. So buku yang sama ada lebih kurang 5-6 pcs. Sistem dia sorang boleh pinjam selama dua minggu ke seminggu (maaf yang ni lupa) dan membaharui sebanyak dua atau tiga kali. So aku akan pinjam buku tu semaksima, sepanjang mungkin dan bila dah habis masa, aku akan cari buku yang sama yang lain. Code dia kan lain lain. Step ni aku tak pasti korang faham ke tak tapi kalau tak faham skip jelah eh. Aku rasa aku je kot buat macam nih..

Okay sekian tips SURVIVED dari seorang student loser macam aku. Tapi, hm student loser ni dah jadi engineer (taknak gitau position tepat apa) dekat kilang sarung tangan yang top kat Malaysia ni, jadi rasanya tak salah kan kalau adik adik nak ambik sikit sebanyak pengajaran dari kisah aku.

Paling penting sebenarnya, jangan, jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah. Ujian yang korang lalui sekarang adalah sebagai persediaan di luar sana. Kat luar lagi teruk tendang sepak terajang dia. Hidup ni atu perjuangan. Kau nak keluar dari rahim mak pun kau kena berusaha, apatah lagi sekarang ni dengan keadaan kau. Aku faham, setiap orang tak sama. Aku tak boleh samakan diri aku dengan situasi kau. Tapi tak salah untuk mencuba. Kau kena fikir apa dorongan kau.

Ayah aku pernah cakap, jangan pernah tinggal dhuha, hari hari mesti baca al kahfi atau al mulk. Kalau rasa sunyi, tak tahan, penat, lelah, kau ambik air solat, kau bersujud, berdoa pada Allah, kadang kadang aku terlalu penat. Aku jugak manusia biasa. Akhirnya aku rebah, aku menitiskan air mata di sejadah, meminta untuk diberikan kekuatan. Cerita aku terlalu panjang. Aku akhiri tulisan di perenggan ini. Maaf kalau tersinggung, maaf kalau melukakan.

Salam sayang dari
–AIDEN-

– Aiden

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit