Tips Temuduga Secara Individu

Alkisahnya hari khamis 18/1/2018 ada satu sesi temuduga bagi jawatan sambilan di pejabat. Saya diamanahkan untuk jadi penemuduga. 2 orang penemuduga. Calon yang hadir dalam 23 orang (bahagi dua bilik). Bilik saya 11 orang calon. Semua perempuan (calon lelaki seorang saja kat bilik sebelah, pupus ke?! Hahaha).

Semua yang hadir kelayakan tidak kurang hebat semuanya. Ijazah dan diploma (dean list pun ada tau). Ada yang baru grad, ada yang sedang cari kerja, ada yang sedang kerja sambilan dan tetap. Dari pukul 8.30 pagi sehingga pukul 12.30 tengahari baru sesi tamat (penat juga tanya orang macam-macam ni hahaha)

Daripada keseluruhan temuduga saya dapat simpulkan kebanyakan calon hadapi pelbagai masalah @ kekurangan sebagai calon yang sesuai dilantik. Tidak bersedia, tiada keyakinan, kurang pengetahuan, kurang inisiatif, tahap kepimpinan diri dan macam-macam lagi (kalau anda duduk dalam bilik temuduga tu, tak tahu la rasa macam mana, saya rasa kesian pada calon-calon ni).

Jadi saya rasa, sebelum anda mahu menghadapi temuduga apa pun anda perlu sediakan dan lakukan seperti yang disenaraikan di bawah. Berikut adalah kriteria yang dilihat oleh penemuduga kepada calon-calon. (Kiranya ini macam soalan dan jawapan bocor, percuma je saya bagi hahaha).

1. Keyakinan (confident) – jangan ‘over confident’. Keyakinan diri sangat perlu ketika anda menghadiri temuduga. Mata (point) terpenting yang perlu ada pada diri anda. Jika tiada keyakinan dengan diri sendiri, bagaimana anda mahu yakinkan majikan yang mahu melantik anda? Latih diri untuk memupuk keyakinan antaranya tahu siapa diri anda, bagaimana anda berhubung dengan orang sekeliling? Tanpa keyakinan semua yang anda lakukan tidak akan dipercayai. Contohnya : soalan – kenapa awak mahu bekerja di organisasi ini? Jawapan – saya tidak pasti. (Sila elak jawapan yang tepat dan ragu-ragu).

2. Persediaan (readiness) – jangan lenggang kangkong. Jika mahu hadir ke temuduga, silalah buat kajian dahulu, apa keperluan temuduga? Kaji tentang jawatan, organisasi, skop kerja yang dipohon. Apa jua yang berkaitan dengan temuduga haruslah diambil tahu dan kaji. Dapatkan maklumat yang tepat sahaja. Persediaan yang rapi menjamin jawapan yang terbaik.

3. Komunikasi (communication) – jangan bisu dan jangan jadi keretapi (tak berhenti bercakap sampai melalut). Cara anda berkomukasi antara yang terpenting. Anda hendak menyalurkan maklumat kepada penemuduga hasil dari soalan yang utarakan. Bermula sapaan dengan mesra, menerangkan pengenalan diri dengan teratur dan tenang (tidak gopoh gapah).

Sentiasa senyum dan memberikan reaksi positif jika penemuduga memberikan pendapat. Provokasi adalah kebiasaan, anda hanya perlu bertenang dan memberikan jawapan dengan baik (fikir sejenak sebelum memberikan jawapan). Bercakap sekadar perlu dan jangan melalut dari poin utama.

4. Pengetahuan (knowledge) – jangan jadi tin kosong. Persediaan dengan ilmu adalah sangat penting. Anda pemegang ijazah kejuteraan tapi memohon jawatan akauntan? Mustahil bukan! Boleh mohon tapi yang ahli pada bidangnya yang akan menang! Tetapi bagi sesetengah jawatan kadangkala tidak memerlukan kepakaran bidang tertentu. Oleh itu boleh dipohon oleh sesiapa sahaja. Maka perlulah tahu bidang yang ingin diceburi tersebut. Jika ditanya anda perlu jawab dengan yakin dan tepat. Jika lari dari kehendak jawapan hilanglah mata dari penemuduga.

5. Kelebihan (advantages) – apa kebolehan yang anda ada? Ini ciri yang membezakan anda dengan calon-calon lain. Semua calon adalah layak dari segi akedemik. Tetapi yang sangat membantu anda berbeza dengan calon lain adalah kelebihan yang anda miliki. Contohnya kemahiran berbahasa ketiga, kemahiran komputer yang lebih lanjut (advance) dan lain-lain kemahiran yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Selalunya ini markah tambahan bagi calon.

Ambil perhatian ya bab ini. Ada juga yang akan bertanya dari segi aktif sukan (cergas) dan kelab (kepimpinan). Ini juga diambilkira ketika menilai calon-calon pilihan.

6. Keterampilan (presentable) – menampakkan kesesuaian anda dengan pekerjaan dipohon. Pandangan pertama ketika ditemuduga adalah penampilan anda. Pakaian yang bersesuaian, lenggok bahasa, cara duduk dan pergerakan anda akan diperhatikan. Mula dimuka pintu penemuduga akan memberikan tanggapan pertama tentang diri anda. Tapi mungkin ada yang berkata ‘dont judge a book by its cover’ ya betul tapi penemuduga tidak kenal siapa anda.

Jadi seperti anda mahu berjumpa pertama kali dengan kekasih pasti anda mahu dia jatuh cinta dengan anda, dengan berpakaian cantik dan kemas! Begitu juga ketika temuduga, terampillah dengan segak dan kemas serta bersesuaian dengan jawatan, supaya majikan akan terkesima dengan penampilan anda apatahlagi dengan keperibadian yang anda tunjukkan sewaktu ditemuduga nanti.

Jadi kepada sesiapa yang sedang siap sedia untuk pergi temuduga cuba lihat kriteria-kriteria di atas. Lihat apa yang kurang, sila buat tambahbaik ya. Nak yang dihajati maka kena usaha dan usaha lebih dan berganda-ganda dari orang lain. Semoga bermanfaat buat anda semua. Semoga berjaya dilantik ke jawatan di pohon.

– Fadil Ahmad

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *