Titipan Untuk Isteri Yang Mempunyai Suami Panas Baran

Assalamualaikum semua. Saya terpanggil untuk berkongsi sedikit tips untuk isteri-isteri yang mempunyai suami panas baran selepas banyak terbaca isu ini dalam IIUM Confession.

Walau ada ramai pembaca yang tidak selesa apabila ruang ini menjadi seperti KRT, saya percaya mereka yang meluah disini merasakan platform ini sebagai platform yang selamat untuk meluah rasa. Tak semua yang mengalami masalah ini kuat untuk bercerai.

Moga perkongsian ini membantu pihak yang memerlukan.

https://iiumc.com/mampukah-aku-bertahan-lagi/

Penafian (disclaimer): Perkongsian ini mungkin tidak sesuai untuk semua memandangkan ia bergantung kepada situasi dan aspek lain juga. Saya juga tidak mahir menulis.

Mohon maaf jika ada beberapa terma yang tidak jelas. Saya cuba sampaikan/ bantu sebaik mungkin.

Bahagian pertama: Mulakan dengan diri sendiri.

1. Label perasaan dan kenali pencetus perasaan anda.

Anda perlu sedar dan tahu apakah yang menyebabkan anda merasakan sesuatu perasaan.

Contohnya selepas basuh kemas dapur tiba-tiba rasa marah. Beritahu diri, “aku marah”. Tarik nafas dalam. Berhenti sejenak fikirkan semula apakah yang menyebabkan anda marah.

Apakah disebabkan letih? geram suami tak basuh pinggan sendiri? tak selesa baju basah?. Selepas sudah label perasaan dan tahu kenapa ia wujud, cuba tangani dengan cara tidak menyakitkan orang lain.

2. Kenali sempadan (boundaries) diri.

Mengetahui sempadan diri adalah pintu kepada membina perhubungan yang sihat. Sempadan (Boundaries) adalah jangkaan dan keperluan yang anda perlukan untuk anda berasa selamat dan selesa dalam perhubungan.

Jangkaan dalam perhubungan bantu mental dan emosi yang sihat dan membentuk hubungan yang saling menghormati dan kerangka iman kita sebagai muslim.

Contohnya, anda memberi ruang kepada diri setiap hari untuk minum kopi tanpa gangguan sesiapa untuk 10 minit dan pasangan anda sedia maklum dan menghormati sempadan peribadi anda.

3. Mencari bahagia sendiri.

Panas baran adalah hasil dari kesan emosi yang tidak mampu diregulasi.

Maksudnya, seseorang yang panas baran itu mengalami kesukaran untuk mengurus emosi daripada mengenal perasaan yang datang, melabel, kenali pencetus rasa tersebut dan cara yang sihat untuk mengendalikannya.

Regulasi emosi ini terbina sejak dari zaman kanak-kanak. Biasanya ibu bapa yang cekap regulasi emosi akan mempunyai anak yang tenang mengurus emosi juga. Apabila berhadapan dengan individu sebegini, jangan tunggu mereka bahagiakan anda.

Cari bahagia anda seolah anda tidak memerlukan dia untuk bahagia. Anda boleh fokus kepada menjaga diri sendiri seperti jaga kulit, kuruskan badan, makan makanan sihat dan sertai aktiviti pembangunan diri seperti kelas agama, tadabbur quran.

Mencari hobi yang menenangkan seperti bercucuk tanam, melukis/ mewarna, joging, berbasikal, membaca buku, membuat biskut dan lain-lain.

Pokoknya aktiviti tersebut mestilah anda sukai dan mengisi ruang kekosongan dalam hidup anda. Perkahwinan bukanlah untuk orang yang mencari bahagia, namun perkahwinan adalah wadah berkongsi bahagia.

Bahagian 2: Mengurus tindakan suami panas baran.

Saya kongsikan pengalaman saya mengurus suami yang suka mengeluarkan kata-kata kejam dan kurang berempati. Kejadian ini berlangsung selama 3 tahun pertama perkahwinan saya.

Saya mula sedar isu ini semakin teruk dan merendahkan martabat saya sebagai seorang isteri. Berikut adalah tip dan trik yang saya buat untuk perlahan-lahan menyokong suami saya menjadi seorang yang lebih baik.

Pertama sekali, saya menyantuni diri saya sendiri dahulu seperti yang saya kongsikan di bahagian pertama.

Ya, prosesnya panjang dan menyakitkan. Lama kelamaan tanpa saya sedari suami saya kurang agresif dengan saya. Apabila dia sudah nampak tenang, dia mula mengambil berat tentang saya.

saya menggunakan peluang itu beritahu yang saya memang ada masalah tapi saya tak nak kongsi sebab saya tahu ini akan timbulkan kerisauan dan akan buat dia marah(perlahan-lahan saya cuba buat dia sedar perasaan itu wujud dan labelkan).

Kemudian dia akan cuba kawal dirinya. saya akan tanya, jika saya cerita, bagaimana dia akan kawal emosi dia dari marah dan keluarkan kata-kata kejam ke saya.

Saya bukan tong sampah dia untuk dihamburkan sisa dengan kejam. Saya isterinya, seorang yang patut dia rasa damai bersama.

Saya mula perkenalkan sempadan peribadi. Saya juga maklumkan bahawa saya akan tunggu sampai dia bersedia. Dia mula menghormati saya.

Setelah itu, saya perlahan-lahan perkenalkan aktiviti bersama dari yang mudah hingga yang mencabar. Dari mengajak dia tanam sayur hingga berkhemah bersama.

Poin penting sepanjang aktiviti ini adalah co-regulation. Apabila dia mula risau dan marah saya akan tetap tenang, beri ruang, bantu dia sedar emosi, dan hadir dengan solusi apabila difikirkan masa tersebut sesuai.

Tapi bila dia mula keluarkan kata-kata kejam, saya akan tahan, diam dan hanya katakan “yelah, saya salah, awak betul” (dengan tenang dan tulen).

Saya terus tutup mulut sampai dia pun keliru dan gugup. Saya tak melayan ego atau apa sahaja yang buat dia kenyang dengan reaksi saya. Sebagai seorang isteri yang mahu dihormati, saya perlu kental.

Cari kelebihan anda yang suami cari/suka. Suami saya suka berkongsi cerita dengan kawan dan perihal pejabat dengan saya.

Saya menggunakan peluang itu untuk tanya soalan seperti: apa yang awak rasa masa tu?, Apa awak cakap dengan kawan awak tu?, Awak tak marah ke masa tu?

Macam mana awak boleh rileks je tak marah?. Semua soalan berkisar tentang kesedaran emosi dan cara dia urus emosi dengan orang lain.

Dalam masa yang sama saya juga kongsikan cara saya urus emosi apabila berinteraksi dengan orang lain. Jadi kami sama-sama belajar dan tegur tanpa tegur secara terus atitud suami (dengan syarat kita perlu sembuh, heal dahulu).

Saya mula berhenti untuk berkongsi kisah rumahtangga saya dengan orang lain termasuk ibu bapa. Saya catat pencetus emosi saya dan suami dalam diari berbentuk apps siap password supaya tak ada siapa baca.

Saya luah semua di situ. Bahasa kejam juga disitu. Saya baca semula untuk kenal corak pencetus kemarahan dan baran saya dan suami. Ia membantu kawalan kendiri dan membentuk sempadan kendiri perlahan-lahan.

Saya cuba perhalusi apa yang mampu menundukkan ego suami.

Contohnya, saya belikan hadiah untuk ibu bapanya sempena hari jadi, saya berbuat baik dengan keluarganya secara berpada (perlu tahu sempadan), saya berbuat baik dengan kawannya (beri juadah berbuka puasa), saya tidak kongsikan perihal rumahtangga saya di media sosial,

Saya banyak diam dan senyum di hadapan keluarga dan kawan-kawannya namun masih mengekalkan hubungan baik.

Poinnya, banyakkan memberi khidmat dengan menghormati sempadan peribadi diri sendiri dan orang lain.

Proses ini ambil masa. Saya tiada jalan pintas untuk isu ini. Hasilnya Alhamdulillah. Saya dapat mengembalikan semula martabat saya sebagai seorang isteri dalam masa yang sama saya meletakkan semula martabat suami saya selari seperti yang saya impikan.

Bahagian 3: Frasa yang boleh bantu untuk mengurus individu panas baran.

“Tone suara awak makin keras, awak marah ni..”(label emosi)

“Awak tengah marah ni, saya beri ruang untuk awak bertenang. Saya tak nak bercakap selagi awak tak sedia.”

“saya tahu awak marah, tapi itu tak bermaksud awak boleh pukul dan caci saya. Saya hanya akan bercakap bila awak bertenang”(co-regulation)

“Saya tengah ada kerja, boleh kita bincang kejap lagi?. Saya takut nanti saya overwhelm dan buat saya marah”(set sempadan/kenal pencetus)

“Kita sama-sama tersilap kali ni, its okay. Its ok untuk rasa malu, marah, kecewa..”(normalize emosi)

“Saya rasa marah. Saya nak ambil masa untuk bertenang.”

” Sebelum awak marah, saya minta awak cuba faham situasi saya dan tahan diri awak dari caci saya”

Berikut adalah beberapa terma yang anda boleh kaji untuk membantu anda: co-regulation, sempadan(boundaries), kesejahteraan emosi/emotional intelligences.

Berikut adalah buku yang anda boleh baca: Solusi Stress(Dr Rozanizam Zakaria), buku daripada Yasmin Mogahed, Aku Terima Nikahnya atau mana-mana karya Hasrizal Abd Jamil, buku tentang sempadan (boundaries) – maaf saya tak jumpa tajuk penuhnya-boleh google dan lain-lain.

Boleh ikuti perkongsian di laman web atau media sosial: Aiman Azlan, Dr Harlina Siraj, Gottman Institute.

Sekadar menyebut sedikit sumber.

Jika masih buntu, jumpalah kaunselor yang mempunyai kelayakan dalam bidang psikologi, klinikal psikologi dan kaunseling. Berhati-hatilah mencari kaunselor. Pastikan kaunselor berdaftar. Siasatlah latar belakang pendidikan dan latihannya.

Ambil tahu juga pendekatan keunseling yang biasa yang digunakan supaya dapat membantu kita secara effektif. Itu juga hak anda sebagai klien. Jangan takut bertukar kaunselor jika anda rasa tidak serasi.

Semoga perkongsian saya ini sedikit sebanyak membantu isteri mahupun suami di luar sana.

Terima Kasih.

– Puan IJS (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *