Toleransi

Assalamualaikum. Saya Cikgu N, seorang pengusaha tadika di kawasan bandar yang baru sahaja beroperasi sejak Januari 2020.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula sejak 18 Mac, tadika di seluruh Malaysia antara yang terkesan kerana perlu tutup sepanjang PKP.

Tapi saya turut bersetuju dengan tindakan tersebut memandangkan tadika mempunyai murid-murid kecil yang tergolong dalam mereka yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Namun begitu, terdapat isu berkaitan pengutipan yuran timbul apabila sesetengah ibu bapa mungkin turut terkesan di mana ada yang memberitaku mereka dipaksa bercuti tanpa gaji dan risiko-risiko kehilangan kerja.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, gaji-gaji guru sepenuhnya bergantung kepada yuran yang dikutip daripada setiap murid.

Memandangkan kami baru membuka tadika, jadi terdapat banyak pusingan modal perlu dilakukan bagi kebanyakan perabot, alatan elektronik dan bahan-bahan mengajar.

Kami juga kurang bernasib baik kerana menyewa bangunan di atas nama pemilik lain yang tidak bertolak ansur dengan pembayaran sewa bulanan.

Saya memang memikir siang malam macam mana nak menyelesaikan bayaran gaji guru-guru saya jika tiada pendapatan masuk langsung daripada yuran.

Saya mengambil keputusan untuk mengambil langkah win-win situation di mana saya bercadang ingin meminta jasa baik ibu bapa membayar separuh daripada yuran.

Tapi apabila saya suarakan cadangan tersebut, saya mendapat lebih banyak maklum balas negatif berbanding positif daripada ibu bapa.

Perkara ini agak mendukacitakan kerana dalam kami cuba memahami situasi ibu bapa, kami juga mengharapkan pihak ibu bapa untuk bertoleransi dengan kami.

Namun begitu, saya terpaksa terima kerana sudah tentu mustahil untuk kami terus paksa ibu bapa yang tidak bersetuju terutama apabila bilangan yang membantah lebih ramai berbanding setuju.

Tapi saya tetap ada menyediakan bahan-bahan pengajaran dan cadangan aktiviti untuk anak-anak di rumah menggunakan bahan yang terhad.

Tapi berdasarkan pemerhatian saya, memandangkan yuran tidak dibayar, ternyata tidak ramai yang memberikan komitmen dalam menyelesaikan tugasan. Daripada 43 orang pelajar, setiap aktiviti hanya ada 4-5 orang yang submit.

Saya tidak mempertikai ada yang mungkin masih kerja dari rumah, tetapi lebih kurang 70% yang membantah usulan saya haritu beri alasan mereka kena bercuti tanpa gaji.

Seminggu saya beri 3 saja aktiviti berselang seli Isnin, Rabu, Jumaat. Mohon ya jangan ada kata kami pihak guru tidak ikhlas.

Kerana ikhlas itu seperti semut hitam dia atas batu yang hitam. Ikhlas itu bukan perkara yang boleh ditayang, itu hanya antara pemberi dan Allah SWT.

Tetapi ia lebih kepada rasa terkilan apabila usahamu dipandang enteng. Adakah kerana ia percuma, lalu ia tidak memberi erti?

Terdapat rakan saya dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tadika lain, mereka hanya dapat diskaun sebanyak 10% harga yuran, tapi beliau kata memang parents commit dengan tugasan yang diberi oleh guru.

Adakah kerana mereka perlu membayar, jadi mereka hargai usaha guru itu?

Adakah wajar saya teruskan meminta guru-guru saya yang tidak dibayar gaji oleh pihak tadika menyediakan bahan-bahan mengajar dan aktiviti sedangkan tidak dapat komitmen daripada para ibu bapa? Situasi kini lebih kena Win-Lose situation bagi saya.

Dan buat ibu bapa yang ada menghantar anak-anak ke tadika, percayalah jika pihak tadika anda meminta separuh pembayaran,

Itu sekadar kami mohon bantuan untuk menyelesaikan bayaran-bayaran yang perlu, tanpa mengambil untung langsung, bahkan mungkin ada yang masih perlu menambah dari emergency fund.

Kami memang mahu bantu anda. Tapi saya masih perlu fikirkan kebajikan staf saya. Mereka juga tinggal jauh dari keluarga, masih perlu menyara diri dan ada yang masih perlu juga menyelesaikan sewa rumah.

Terima kasih juga buat pihak kerajaan atas subsidi yang diberikan sebagai bantuan buat pihak seperti saya memastikan pendapatan anak-anak buah saya tidak terjejas.

Sekian.

– Cikgu N Si Pengusaha Tadika (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *