Tolong!

Minta maaf terlebih dahulu kepada semua kerana aku bukanlah seorang penulis professional. Hanya ingin menyampaikan pesanan berdasarkan pengalaman yang aku lalui baru-baru ni.

Sebagai introduction, aku telah bertahun-tahun mengalami gangguan mistik dan mula mencuba rawatan secara islamik sekitar 3-4 tahun lepas.

Apa gangguan-gangguan mistik yang aku lalui tu usahlah diceritakan. Terlalu banyak. Kebanyakkannya memang serupa dengan simptom-simptom gangguan sihir dan saka yang kita boleh baca di carian google.

Dan gangguan-gangguan mistik tersebut menjadi semakin teruk apabila aku tidak lagi berada dalam ‘denial phase’.

Dulunya aku hanya ingatkan semua perasaan marah-marah dan mengamuk semasa beribadat adalah mainan perasaan aku sahaja.

Tapi aku mula percaya yang Allah uji aku dengan gangguan syaitan sihir/ saka ni selepas aku tiba-tiba meraung tanpa sebab semasa diruqyah. Orang lain yang diruqyah, aku pula yang mengamuk.

Tapi kali ni aku nak berkongsi cerita tentang perasaan semasa di’ganggu’. Sakitnya hati dan perasaan tu hanya Allah sahaja yang tahu.

Bayangkan, setiap kali diganggu teruk terutamanya semasa berubat atau semasa maghrib, aku seakan-akan dikurung di dalam badan sendiri.

Aku sedar semua yang terjadi. Aku nampak & dengar semuanya. Tapi bukan aku yang bercakap, bukan aku yang melakukan semua pergerakan, dan bukan aku yang mengamuk menangis menjerit.

Contoh situasi yang menyakitkan emosi aku adalah aku mengamuk bila suami aku solat, aku mengamuk bila aku sendiri nak solat dan mengaji, aku mengamuk pada orang-orang yang aku sayang,

Aku tak dapat jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang ibu ketika anak-anak aku kelaparan dan kehausan semasa maghrib.

Sebaliknya aku hanya terbaring kaku dengan nafas turun naik menahan marah sambil mata menjeling ke satu arah.

Padahal dalam hati aku menjerit minta badan aku bergerak bangun untuk solat, menyusukan anak, cebokkan anak, peluk anak-anak yang ketakutan melihat ibu sendiri yang berubah menjadi seseorang yang menakutkan.

Setiap kali aku tidak dapat kawal badan aku sendiri, aku sangat mengharapkan supaya suami aku sedar dan bantu aku secepat mungkin.

Aku berharap sangat suami aku guide aku untuk menyebut nama Allah & membaca ayat-ayat suci seperti alfatihah, ayat qursi dan 3 kul.

Aku berharap sangat suami aku mampu bersabar dengan segala dugaan ni dan terus setia bantu aku sehingga semua ujian Allah bagi ni selesai.

Sakit fizikal usah dicerita, memang hari-hari menanggung sakit. Tapi aku masih boleh kuatkan diri untuk bekerja demi keluarga dan masyarakat.

Tapi menjelang maghrib, aku sukar melawan. Dan aku sangat berharap supaya keluarga aku tetap bersabar dan tolong aku.

Sebab dari luaran, aku menjadi seorang pemarah dan tidak suka orang mendirikan solat/ mengaji apabila menjelang maghrib.

Sakitnya ‘melihat’ badan dan perlakuan aku bertindak tanpa kerelaan aku sendiri. Dan ya, aku langsung tidak boleh menyebut nama Allah setiap kali gangguan teruk ini berlaku.

Sehinggakan suami dan abah aku terpaksa guide aku sebut ayat satu demi satu walaupun untuk membaca al-fatihah, ayatul kursi dan 3 kul.

Dan aku tak kan boleh kawal badan aku sendiri selagi aku sendiri tidak cuba melawan menyebut nama dan ayat-ayat suci al-quran.

Laungan Azan & bacaan ayat-ayat suci yang dibaca oleh orang lain hanya membuatkan ‘badan aku’ menangis dan marah sahaja. Aku sendiri tetap kene lawan dan baca.

Ada ayat yang baca sambil nangis meraung, ada ayat yang aku baca sambil menjerit marah, ada ayat yang aku baca sambil ketawa memerli sambil memandang sinis pada suami aku.

Tapi alhamdulillah suami aku tetap tak jemu guide aku baca ayat-ayat suci tersebut sehingga habis.

Setiap kali aku terkurung dalam badan sendiri, aku seakan-akan menjerit meminta tolong.

Nak minta tolong dari Allah, tapi aku tak mampu nak menyebut nama Allah kecuali dibantu orang terdekat. Nak sebut ‘Tolong aku Ya Allah’ sahaja pon sangat struggle dan tersekat-sekat.

Semasa sesi rawatan, beberapa kali juga aku sepak terajang ustaz. Ada juga yang dicakar. Tapi semuanya tanpa kerelaan aku.

Dalam hati aku seperti keliru, serba salah dan sesat dalam badan sendiri. Tapi aku nak sangat teruskan rawatan walaupun aku malu muka aku hodoh nangis meraung dengan hingus meleleh.

Betul, nak lap hingus pon aku tak boleh gerakkan tangan. Walaupun mulut aku menangis, ketawa mengilai atau menjerit sakit tapi dalam hati aku sangat berharap semua perawat teruskan usaha merawat aku. Tolong aku sehingga sembuh.

Alhamdulillah, baru-baru ni beberapa ekor iblis berjaya disembelih oleh seorang imam. Aku sendiri terkejut dan tak percaya bila ‘aku’ tiba-tiba mengamuk, meraung dan seakan-akan bersilat melawan perubat islam tersebut.

Aku terkejut macam mana ‘badan’ aku boleh pengsan selepas ‘disembelih’ hanya menggunakan jari perawat dan bangun semula sebagai iblis lain.

Bertarung, disembelih dan pengsan lagi walaupun hakikatnya aku sedar apa yang terjadi. Tapi badan aku akan tetap bangun bertarung disembelih dan pengsan.

Aku masih tak faham tentang apa yang berlaku tapi aku sangat penat. Penat menahan sakit fizikal dan emosi yang masih keliru.

Alhamdulillah, sekarang aku dah boleh rasa nikmat solat dan mengaji. Tak lagi panas bila nak beribadat seperti dulu.

Terasa nikmat membaca quran apabila aku boleh menyebut dengan lancar. Bukan lagi tersangkut-sangkut dan batuk-batuk atau mengangis mengamuk apabila mahu mengaji.

Aku bersyukur Allah hadirkan seorang lelaki penyabar yang bergelar suami. Dialah yang tak putus membantu aku meneruskan rawatan dari tahun ke tahun walaupun perubahan aku hampir menyebabkan kami bercerai.

Manakan tidak, setiap kali nampak muka suami je aku mengamuk walaupun tak tahu apa yang diamukkan.

Tapi suamilah yang sentiasa memberi pertolongan secepat mungkin sehingga aku berjaya mengucap 2 kalimah syahadah semula.

Terima Allah kerana hadirkan orang-orang yang membantu aku dikala aku tidak kuat melawan iblis laknatullah tersebut.

Aku harap, sekiranya ada ahli keluarga pembaca yang senasib dengan aku, tolonglah jangan berhenti membantu orang-orang yang diuji seperti aku.

Aku percaya, walaupun dari segi luaran mereka mengamuk tidak mahu ditolong, tapi realitinya mereka terkurung dalam badan mereka sendiri dan menjerit-jerit meminta tolong dari orang terdekat. Bantulah mereka.

Sesungguhnya Hanya kepada Allah aku sembah, dan hanya kepada Allahlah aku memohon pertolongan. Aku percaya semua ujian yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri.

Tolonglah… Jangan berhenti menolong..

– Miz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *