Tolong Aku Yang Buntu

Nama aku Sha. Seorang perempuan. Adik beradik aku ada yang dah kahwin ada yang masih belajar. Tahun ni aku dah masuk 30 an. Aku adalah seorang penganggur. Tahun ni dah masuk tahun ke 6 aku jadi penganggur berjaya. Pendidikan tertinggi aku hanya SPM. Aku pernah sambung belajar di Politeknik, tapi tak dapat habiskan sehingga ke akhirnya. Dan semestinya aku ada hutang PTPTN.

Aku hidup dengan Mak Ayah aku. Aku rasa aku tak ada sebab pun untuk tinggal sendiri memandangkan ekonomi diri aku ni yang ‘tidak membenarkan’ aku menyewa rumah sendiri.

Aku pernah bekerja sekejap pada tahun 2013. Selepas beberapa bulan aku bekerja, ayah suruh aku berhenti kerja. Ayah nak aku berniaga. Tolong beliau berniaga. Mula dari 2013 tu lah aku ikut ayah aku. Kejap jual itu, kejap jual ini. Dalam tempoh 5 tahun aku rasa dah banyak produk kami jual. Lebih kepada online. Tapi ada masa kami buat offline jugak.

Untuk pengetahuan korang semua sepanjang aku ikut Ayah berniaga, aku tak pernah dapat satu sen pun gaji. Semua untung bisnes Ayah aku ambil, kata beliau duit tu semua nak pakai untuk bayar kereta 2 biji, bayar bil letrik, bil air, sewa rumah, nak bagi belanja adik-adik aku yang masih belajar.

Pernah sesekali aku merungut sebab kenapa aku tidak diberi upah untuk semua kerja aku. Aku bukan berkira. Tapi aku malu meminta. Kalau Ayah aku bagi aku tak payah minta pun. Aku ni dah besar kot. Dengan umur aku sekarang ni aku yang patut sara Mak Ayah aku. Bila aku minta izin untuk bekerja, Ayah aku tak benarkan. Pernah aku melawan aku kata aku ikut Ayah bisnes tapi tak dapat apa pun. Lepas tu Ayah marah kata aku anak yang tak reti bersyukur. Makan pakai aku semua Mak Ayah belikan, rumah pun duduk percuma. Tak payah fikir bayar bil apa semua.

Kalau boleh semua benda tu aku nak aku yang bayarkan. Aku nak kerja untuk senangkan Mak Ayah aku. Dan untuk aku jugak semestinya. PTPTN aku tu satu sen pun aku tak bayar lagi. Sebenarnya Mak Ayah aku ni masih bekerja. Kerajaan. Tapi nak jugak berniaga. Kalau untung niaga tak banyak duit gaji Mak Ayah aku masih ada. Masalahnya aku ni nak dapat duit dari mana?

Aku ada jugak buat dropship. Jual baju jual tudung. Untung adalah dalam RM4-RM10 per item. Tapi untung dropship tu cukup-cukup je untuk aku beli topup selalunya. Aku beli topup sebulan sekali je asalkan line aku tak mati dan ada jugaklah internet aku untuk lepas boring. Rumah kami tak ada tv. Jadi aku tengok telefon aku je lah.

Itu pun sebenarnya Ayah aku tak bagi aku jual barang orang lain. Dropship semua tu. Tapi aku degil jugak buat dropship (aku buat dalam diam) sebab aku desperate sangat dah. Aku jual dekat IG je. Sebab Mak Ayah aku ada facebook. Umur aku dah masuk 30 an ni, duit simpanan 1 sen tu tak ada. Sedangkan hutang PTPTN pun belum mula bayar apa lagi nak simpan.

Aku dah plan untuk tak kahwin selagi aku tak mula bayar PTPTN aku. Kalau ikut aku nak je kahwin cepat-cepat. Supaya aku tak payah nak ikut cakap Mak Ayah aku lagi. Supaya aku boleh kerja dan dapat gaji. Tapi aku rasa kalau aku kahwin sekarang, aku tak rasa aku akan menyenangkan bakal suami aku. Sebab aku nak duit belanja kahwin sebelah aku biar aku tanggung sendiri. Itu aku memang dah fikir sejak dulu lagi.

Sebab tu aku nak kerja. Nak bagi duit kat Mak Ayah aku. Aku nak bayar hutang PTPTN aku. Aku nak simpan untuk masa depan aku. Tapi tu lah, Mak Ayah aku tak izinkan aku kerja. Suruh aku teruskan bisnes dorang sebab dorang bekerja. Aku ni kalau ikut hati rasa nak degil jugak, nak degil jugak cari kerja. Mak Ayah aku dah ugut awal-awal dah. Dorang doa yang bukan-bukan. Hidup tak berkat lah apa lah kalau aku nak kerja jugak.

Aku tak kisah kalau Mak Ayah aku nak aku buat bisnes asalkan aku dapat hasil. Ni dah bertahun aku tak dapat apa-apa. Kalau betul-betul perlu baru aku minta. Aku malu meminta dengan umur aku sekarang ni. Ya Allah. Serius aku malu. Kadang-kadang aku rasa nak lari je dari rumah. Biarlah aku bersusah payah. Asalkan aku boleh tanggung diri aku sendiri. Tapi aku kesian kat Mak Ayah aku. Kalau aku tak ada, siapa nak tolong dorang? Tapi siapa pulak nak tolong aku? Aku rasa aku kena tolong diri aku sendiri jugak. Allahuakbar. Aku buntu.

Korang semua ada cadangan tak nak untuk aku ubah hidup aku sekarang ni? Tolong lah aku.

– Sha

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *